Wednesday, March 31, 2010

Menjadi Manusia Terbaik


Saya memerhatikan seorang lelaki berbangsa Cina yang sedang menguruskan seorang pesakit yang berada di sebelah kiri katil arwah bonda. Mungkin saudara maranya, saya mengagak.

Kebiasaannya, pesakit di wad perempuan ini sentiasa silih berganti keluar masuknya. Namun, wanita di sebelah ini sudah lama di sini. Keadaan beliau kelihatan agak serius kerana tidak mampu menguruskan makan, minum dan pakai sendiri. Tidak pasti pula apa sakitnya.

Hari ini merupakan giliran saya untuk menjaga bonda di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Bonda terus dimasukkan ke sini setelah dibawa pulang dari Mekah kira-kira dua minggu yang lalu kerana menghadapi masalah pernafasan.

Sejak mula-mula sampai tadi beliau terus membersihkan pesakit, mencuci luka-luka di seluruh badan, menukar posisi badan agar tidak terkena 'bedsoil', menyuapkan ubat dan susu melalui tiub serta menukar kain cadar yang kotor. Setiap satunya dilakukan dengan penuh tertib dan berhati-hati.

Setelah itu, melepaskan penat dengan duduk bersandar di kerusi yang berada di sebelah pesakit.

"Uncle, ini siapa?" saya meramahkan diri.

"Ooo, ini isteri saya." dia menoleh sambil menjawab dalam dialek Cina.

"Oh, sakit apa uncle?" tanya saya dengan rasa ingin tahu.

"Dia ada ketumbuhan dalam otak. Sudah tiga tahun dekat sini. Mula-mula kena bedah, ok lagi. Dua tahun lepas tu, terus jadi macam ni." Jawabnya dengan baik.

Beliau mengunjukkan kad pengenalan isterinya kepada saya untuk ditunjukkan wajah sebenarnya sebelum ditimpa penyakit tersebut. Terlalu jauh berbeza daripada sekarang.

Sambung beliau, "Tiap-tiap hari lepas kerja, saya datang sini untuk bagi dia makan."

Saya cuma mengangguk-anggukkan kepala mendengar beliau bercerita sebelum meminta diri untuk menyiapkan bonda yang mahu menunaikan solat fardhu Asar.

Sambil membantu bonda mengambil wudhuk, saya terfikirkan betapa beruntungnya wanita Cina itu tadi kerana memiliki suami dan anak-anak yang baik. Masih setia menjaga beliau walau dalam keadaan sakit begini.

Dan, alangkah lebih bertuah lagi seandainya suami beliau merupakan seorang Muslim yang sejati. Kerana peluang bagi menjadi MANUSIA YANG TERBAIK amat terbuka luas.

Merapatkan silaturrahim sesama ahli keluarga merupakan perbuatan baik.

Menjaga kebajikan ahli keluarga merupakan perbuatan baik.

Melindungi hak sanak-saudara merupakan perbuatan baik.

Pendek kata, setiap mereka yang berbuat baik kepada keluarganya mampu menjadi manusia yang terbaik.

Hal ini bertepatan dengan satu hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:

“Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah orang yang paling berbuat baik untuk keluargaku!”

Timbul kepelikan apabila melihat segolongan manusia berlumba-lumba mengejar populariti, kekayaan dan pangkat atas tujuan ingin menjadi manusia terbaik. Namun keluarga sendiri terabai dari sudut pengisian hidup, material dan perhatian.

Baikkah manusia yang seumpama itu?

2 comments:

  1. Menarik perkongsian ni.. perkongsian yang sangat bermanfaat.. antara perkara yang mambawa kebahagian hidup adalah pada memberi manfaat sesama manusia...

    Jazakillah..

    ReplyDelete
  2. Benar... seringkali kita terlepas pandang 'sekecil-kecil' perkara ini

    ReplyDelete