Showing posts with label Nota Dai'e. Show all posts
Showing posts with label Nota Dai'e. Show all posts

Monday, December 12, 2011

Ringkas dan padat mengenai SYURGA CINTA



Jodoh itu ada tiga jenis.

Pertama: Jodoh dari syaitan

"Kamu berdua berkenalan,
berpegangan tangan,
dan terus buat maksiat,
... akhirnya si perempuan mengandung,
baru kamu menikah."

Kedua: Jodoh dari jin

"Kamu berdua berkenalan,
kamu sukakan si perempuan ,
tetapi si perempuan tidak suka pada kamu,
kamu bomohkan dan sihirkan agar si perempuan suka kepada kamu,
dan kamu berdua menikah."

Ketiga: Jodoh dari Allah

"Kamu berdua berkenalan,
cinta terus menusuk ke kalbu,
kamu terus meminang si perempuan,
dan si perempuan menerima pinangan kamu,
dan kamu berdua menikah,
InsyaAllah berkekalan hingga akhir hayat."

DAN ITULAH YANG DINAMAKAN SEBAGAI 'SYURGA CINTA'.

[Petikan dari filem "Syurga Cinta']

Sunday, September 26, 2010

Supaya Gelisah berNILAI IBADAH

Ketika pulang bercuti tempoh hari saya sempat membelek-belek sejumlah buku yang masih lagi tidak dikeluarkan dari kotak. Buku-buku yang menemani saya sepanjang berada di UIAM, Gombak. Agak risau juga bila memikirkan serangan anai-anai yang tidak mengenal nilai sesuatu bahan. 

Alhamdulillah, buku-buku milik saya masih lagi tersimpan elok. Cuma sedikit berhabuk.

Bila diperhatikan satu persatu buku-buku tersebut, timbul rasa kesal memandangkan sudah lama saya tidak 'mengulangkaji' isi kandungannya.

ILMU, apabila ditinggalkan, ia terus hilang ibarat unta yang terlepas dari tali kekangannya.

Terasa sayang bila mengenangkan sudah berpuluh-puluh buku yang dibaca, namun pengetahuan lenyap akibat jarang dimanfaatkan.

Buku-buku usrah masih lagi saya gunakan ketika ada ruang untuk berdiskusi bersama rakan-rakan. Cuma buku-buku yang jarang terusik seumpama buku sejarah dan fiqh kelihatan masih 'baru'.

Refleksinya turut mempengaruhi nilai penulisan. Sudah berhari-hari blog tidak dijenguk dan diisi dengan subjek yang baru akibat daripada kekeringan idea. Beberapakali juga posting saya bertukar dari 'publish' kepada 'draf'' kerana kematian akal dan kekreatifan untuk menyusun kata. 



Semakin hari semakin gelisah mengingatkan diri yang semakin jauh dari pengisian ilmu dan hikmah.

Diluahkan agar gelisah tidak hanya kekal sebagai gelisah selama-lamanya.

Namun untuk mengubah gelisah kepada nilai IBADAH.

“Selaku orang yang beriman, apabila kita ditimpa musibah kita kena cepat-cepat ingat pada Allah dan kembali kepadaNya. Terdapat banyak doa-doa yang boleh membantu dan memujuk kita yang gelisah untuk menghadapi situasi yang merunsingkan kita itu.”

-Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Wednesday, November 04, 2009

Proses Tajdid Di Dalam Sebuah Kehidupan



Saya kurang mengikuti siri-siri ceramah Ustaz Asri Zainal Abidin.
Namun, saya tekun meneliti hampir kesemua penulisan beliau.

Saya jarang memberikan komen tentang pandangan-pandangan beliau.
Namun, saya sering mengikuti perkembangan semasa tentang beliau terutamanya selepas tidak lagi memegang jawatan sebagai Mufti perlis.

"Tidak kelihatan, tidak semestinya tidak ada"

Walaupun tidak pernah menunjukkan sebarang sokongan atau bangkangan terhadap pemikiran tajdid beliau, namun saya mencuba agar tidak ketinggalan dalam mendengar pendapat yang sentiasa berlapikkan hujah ilmiah beliau terhadap beberapa perkara penting. Adakalanya, saya mempersetujui respon beliau terhadap isu-isu semasa dan adakalanya tidak.

Apatah lagi rakan baik saya selalu menyebut tentang beliau bilamana kami berdiskusi tentang minda tajdid yang diperkenalkan semenjak lama dulu. Saya juga mengagumi hasil pemikiran beliau selepas membaca buku, "Mengemudi Bahtera Perubahan Minda" yang memuatkan sebahagian daripada himpunan tulisan Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin dalam kolum tetap beliau ‘Pena Mufti’ di Mingguan Malaysia yang bermula sejak 11 Mac 2007. Penulisan yang telah membuka minda.

Kontroversi yang sinonim dalam perjalanan hidup adakalanya mencetuskan persepsi yang negatif terhadap beliau. Saya akui, saya juga merupakan salah seorang daripadanya.

Artikel ustaz Hasrizal yang di'post' pada tengah hari ini banyak mengubah tanggapan saya sendiri selaku orang awam terhadap pendirian ustaz Asri. Entahlah, bermacam-macam rasa bercampur baur semenjak membaca artikel tersebut. Rasa kesal yang mendominasi.

Dahulu, corak pemikiran saya banyak ditentukan oleh pandangan atau kritikan dari mereka yang agak dipercayai. Namun, pengalaman "belajar untuk berfikir sendiri" telah memandu saya agar mengamalkan sikap suka membaca hasil penulisan seseorang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.

Saya berpegang kepada prinsip:
Untuk mengkaji dan memahami tentang seseorang atau sesuatu topik, maka jangan mulakan kajian dengan membaca komen penyokong atau komen musuh. Pergi kepada hasil kerjanya sendiri.


Teringat kembali kepada suatu arahan yang pernah dikeluarkan oleh seorang pimpinan kampus suatu ketika dahulu. Arahan yang mengundang kelucuan, atau mungkin juga kesedihan... Ahli-ahli ditegah daripada mengikuti sebarang ceramah ustaz Asri atas alasan supaya tidak terpengaruh dengan sebaran fahaman beliau. Saya yang tidak menghadiri pertemuan tersebut hanya termenung mendengarnya. Malah, sahabat saya yang meminta justifikasi terhadap arahan tersebut juga turut dilabelkan sebagai salafi.

Menepati zamankah arahan yang sedemikian rupa? Dalam suasana kebanjiran informasi pada abad ini, walau seketat manapun sekatan yang dikenakan untuk membendung sesuatu kemasukan maklumat baru, ia adalah sesuatu tindakan yang tidak menepati zaman. Apa yang boleh dilakukan hanyalah dengan menyediakan diri agar sentiasa berpendirian apabila berpandangan serta mempersiapkan diri dengan ilmu tentang keupayaan untuk memilih.

Pertambahan ilmu pengetahuanlah yang mampu mengubah cara pemikiran setiap individu secara bertahap.

Izinkan diri untuk menempuh perubahan dari satu usia ke satu usia, kerana ia sebahagian dari proses kematangan Bani Insan.


Artikel Bersama:
Justifikasi seorang Teman
Tangkapan Dr. Asri: Satu Pandangan

Monday, October 05, 2009

Open House: Peluang Mendekatkan Yang Jauh




Sudah menjadi suatu kebiasaan atau tradisi yang digalakkan di Malaysia, dengan mengadakan majlis rumah terbuka sepanjang bulan Syawal pada hujung minggu.

Rumah terbuka dihadiri untuk mengambil kesempatan bertemu mata dengan saudara mara dan rakan-rakan terdekat.

Bukanlah hidangan yang menjadi tumpuan utama, namun wajah-wajah sahabat bagi melepaskan kerinduan. Tambah istimewa lagi apabila dapat bertemu teman-teman yang sudah lama terpisah dengan 'wajah' baru serta pertambahan ahli keluarga masing-masing.

Seboleh-bolehnya, saya juga tidak mahu melepaskan peluang bagi memenuhi setiap undangan seandainya berkelapangan dan berkemampuan.


Sekalung penghargaan diucapkan buat:
Akhi Mohd Zulkifli Shafie
Kak Najdah Mohammed Hussain
Aishah Nurina
Amal Hayati
Anis Adlina
Mohd Fathi

B-102A Apartment Indah,
Damansara Damai.

Friday, September 11, 2009

Legasi Teragung Khatimul Anbiya'



InsyaAllah, jika tidak ada apa-apa halangan, saya bakal berangkat ke negeri tercinta menjelang waktu berbuka puasa nanti. Mudah-mudahan, Allah permudahkan segala urusan ketika perjalanan.

Sudah lama memendam niat untuk menunaikan ibadah puasa di Kelantan selama mana yang boleh. Alhamdulillah, ada lagi seminggu masa berbaki.

Masjid UIAM Gombak sudah mula dipenuhi dengan mereka yang mahu ber'iktikaf bermula malam semalam (21 Ramadhan). Terasa hidup suasana Ramadhan di masjid dengan alunan al-Quran. Saya mencari-cari ruang masa di celahan solat sunat tarawih untuk menyemak bacaan.

Ada yang berhajat mahu 'menangguhkan' amalan sunat mereka ke bulan Ramadhan yang berikutnya. Bagi saya, kita perlu merebut pahala yang berganda-ganda ini pada tahun ini juga kerana tawaran pada Ramadhan yang akan datang merupakan tawaran yang berlainan. Setiap bonus yang datang, kita kejar pada waktu itu juga.

Di antara amalan-amalan sunat yang biasa dilakukan oleh kebanyakan orang pada bulan Ramadhan, saya lebih suka mengutamakan ibadah khusus dengan membaca al-Quran. Pahala pembacaan al-Quran pada bulan ini tidak sama dengan bulan-bulan yang lain.

Tidak menjadi satu kesalahan, seandainya kita menzahirkan berapa banyak juzuk yang telah berjaya dihabiskan serta target yang mahu dicapai pada bulan Ramadhan ini dengan niat mahu berlumba-berlumba dalam membuat kebaikan. Segalanya bergantung kepada niat asal serta cara yang tidak bersalahan dengan agama.

"Fokus utama Ramadhan dalam al-Quran ialah diturunkan al-Quran. Sementara perkara-perkara lain adalah perkara kedua. Namun, kebanyakan kita tidak banyak memberi fokus kepada al-Quran. Kita banyak berkisar kepada puasa, solat tarawih dan solat witir. Sedangkan fokus utama penurunan al-Quran mempunyai maksud yang jauh lebih besar. Fungsi utama al-Quran ialah dua perkara, iaitu untuk menjadi penunjuk jalan kepada manusia dan untuk memberikan segala penjelasan yang tidak ada manusia di muka bumi boleh beri penjelasan dengan tepat sebagaimana penjelasan al-Quran" - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Pemergian Rasulullah ditangisi Ummu Aiman dengan tangisan yang berat bukanlah semata-mata menangisi kehilangan seorang anak asuhannya, bahkan itulah sebaik-baik tempat di sisi Allah. Namun, kerana menyedari bahawa sesungguhnya WAHYU TELAH TERPUTUS DARI LANGIT.

Bacalah! Walau sebaris ayat sehari.

Friday, September 04, 2009

Muhasabah Di Pertengahan Ramadhan




Alhamdulillah, dengan izin-Nya kita telah memasuki fasa pertengahan dalam bulan Ramadhan. Ini merupakan satu nikmat yang sewajibnya disyukuri.

Ketika menyambut kedatangan bulan yang penuh kemuliaan dahulu, jiwa bercampur baur dengan perasaan gembira, sayu, syukur dan sebak memandangkan inilah pertama kali keluarga saya menyambut serta melalui hari-hari di bulan Ramadhan tanpa Bonda tercinta. Rupa-rupanya, Ramadhan 2007 merupakan Ramadhan terakhir kami bersama Bonda. Ya Allah, seandainya kami mengetahui...

Kepiluan semakin bertambah apabila mengenangkan ayah yang sedang bersahur dan berbuka dalam keadaan berseorangan. Sudah tentu saya sendiri tidak mampu menghadapinya tatkala cuba meletakkan diri di tempat ayah. Hati ayah, tiada siapa yang tahu.

Namun, apabila seorang sahabat saya menceritakan tentang pemergian bondanya pada bulan Syawal (sebagaimana arwah bonda saya) ketika usianya 16 tahun, saya termalu sendiri. Malu kerana kurang sabar. Padahal, masih ada ramai lagi mereka yang lebih kurang bernasib baik berbanding diri saya.


Sharpen Your Saw

Siapa diri kita akan menentukan bagaimana cara kita melihat ibadah puasa.
Apa yang dilihat itulah yang akan kita dapat.

Di pertengahan Ramadhan ini, saya kembali bermuhasabah bagi mendapatkan piala kemenangan (Taqwa) seolah-olah sedang menyertai satu pertandingan bola sepak. Saya mahu memastikan jaringan yang dibuat pada pusingan kedua ini merupakan satu jaringan penentu kepada kemenangan.



"Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya adalah pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.

Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?"

- Ustaz Hasrizal



Pembebasan

Ditakdirkan, pada Ramadhan ini juga negara kita telah menyambut ulang tahun kemerdekaan kali yang ke-52. Ada kemujurannya juga, sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini dibuat dengan cara yang bersederhana bagi menghormati bulan mulia.

"Merdeka bermaksud BEBAS." jawab seorang jemaah tarawih apabila pemberi tazkirah mengajukan soalan tentang erti kemerdekaan.



Imam Hassan al Banna telah menggunakan kedua-dua kalimah patriotisme dan nasionalisme (wataniyyah dan qaumiyyah) dengan menyelaraskan kalimah-kalimah dan penggunaannya sesuai dengan tuntutan dan nilai Islam.

Beliau telah menerima apa yang dinamakan sebagai wataniyyatu 'l-hanin (cintakan negara), wataniyyatu 'l-hurriyyah wa 'l 'izzah (menjunjung nilai-nilai kemerdekaan dan kehormatan), wataniyyatu 'l-fath (semangat juang untuk mengembangkan Islam).

Pada masa yang sama beliau menolak wataniyyatu 'l-hizbiyyah (dasar yang memecah-belahkan ummah supaya mereka saling bermusuhan).

Sementara yang berkaitan dengan nasionalisme atau al-qaumiyyah pula, Imam Hassan al-Banna menerima apa yang diistilahkan sebagai qaumiyyatu 'l-majd, iaitu pendirian yang menghargai dan mengambil pengajaran contoh-contoh terbilang generasi terdahulu, dan juga qaumiyyatu 'l-ummah, iaitu pendirian yang mengutamakan pengorbanan terhadap umat atau kaum kerabat.

Sementara itu, beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-jahiliyyah iaitu nasionalisme yang berusaha menghidupkan semula budaya jahiliah dan berusaha melepaskan kehidupan dari ikatan Islam.

Beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-udwan iaitu nasionalisme yang berasaskan kesombongan, ketinggian dan ego diri sehingga membawa kepada penindasan dan pencabulan hak-hak manusia yang lain.


Amat malanglah seandainya hasil amal ibadah di bulan Ramadhan ini masih lagi sama dengan bulan-bulan sebelumnya. Tidak ada sebarang perubahan yang dikecapi, malahan lebih buruk lagi.

Selamat memburu Lailatul Qadr.

Saturday, August 22, 2009

SHAUM: Bekalan Di Sepanjang Perjalanan


Allah telah menyebut di dalam surah al-Baqarah ayat yang ke-183 bahawasanya, puasa itu diwajibkan ke atas Muslim agar mereka bertaqwa.

Orang-orang yang berpuasa kerana Allah pada bulan Ramadhan akan mendapat pakaian TAQWA. Ia merupakan perisai yang mempertahankan diri dari kejahatan dan hawa nafsu.

‘Ibadat puasa lebih istimewa daripada ibadat-ibadat yang lain kerana ia dinisbahkan secara khusus kepada Allah. Daripada Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu:
Bersabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam: Allah ‘Azzawajalla berkata: “Setiap anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untukKu dan Akulah yang membalasnya. Puasa adalah perisai. Apabila seseorang itu berpuasa pada suatu hari maka janganlah mengungkapkan perkataan jelek dan janganlah menengking. Sekiranya seseorang mencelanya atau menyerangnya, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa.’ Demi yang diri Muhammad di tanganNya, sesungguhnya berubahnya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah dari bau kasturi. Orang yang berpuasa merasai dua kegembiraan. Apabila ia berbuka, ia bergembira. Dan apabila ia bertemu dengan Tuhannya, ia bergembira dengan puasanya.” (Sepakat riwayat)

Fardhu puasa terikat dengan bulan Ramadhan. Apabila disebut Ramadhan, seolah disebut syurga yang amat luas. Seorang Muslim merentasinya, seolah-olah ia berjalan di tengah-tengah padang pasir kehidupan yang mana bahang panasnya tidak terperi dan mereka terpaksa menempuh pelbagai fitnah. Maka, puasalah yang menjadi bekalan dan memberikan kebaikan kepadanya. Ianya difardhukan pada bulan Ramadhan agar bekalan dapat digandakan serta bertambalah seri dan kebaikan.

Puasa menghasilkan sifat ikhlas dan memperbaiki ingatan hati terhadap Allah subhanahu wa ta’ala, kerana ia adalah rahsia antara hamba dan Tuhannya. Ikhlas kepada Allah merupakan antara bekalan terbesar dan paling perlu bagi setiap Muslim di sepanjang kembara kehidupan mereka. Tiada kebaikan daripada amalan atau usaha yang tiada keikhlasan kepada Allah. Allah subhanahu wa ta’ala terkaya daripada segala sekutu. DIA tidak menerima sebarang amalan melainkan yang ikhlas kepada-NYA.

Puasa juga berupaya menghasilkan mujahadah terhadap keinginan nafsu dan jasad. Ia menguatkan kemahuan seseorang Muslim. Puasa menahan kemahuan nafsu syahwat dari suatu yang halal dalam jangka waktu, pada setiap hari, selama sebulan. Inilah bekalan yang mesti dan daruri bagi setiap Muslim dan mujahid di jalan-Nya.

Amalan berpuasa memperbetulkan mind set yang salah pada kebanyakan orang, mereka bergembira apabila mendapat kebendaan dunia dan bersedih ketika kehilangannya.

Sesungguhnya, puasa menuntut seribu satu kesabaran. Sabar dalam membendung hawa nafsu. Sabar dalam mendidik akal dan hati. Sabar dalam memahami prinsip syari’atullah dan sunnatullah. Sabar dalam meluruskan perjalanan sebagai ‘abdillah dan khalifatullah.

“Sesungguhnya aku berpuasa.”

Thursday, July 30, 2009

Sukarnya Menahan Marah



Diriwayat daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki meminta nasihat daripada Nabi s.a.w. katanya, "Berilah wasiat kepadaku." Sabda s.a.w ,'“Janganlah engkau marah.” Lelaki itu mengulangi (permintaannya) beberapa kali. Rasulullah s.a.w. tetap bersabda, "Janganlah engkau marah." (Hadis Riwayat al-Bukhari)



Dalam dua tiga hari ini sahaja sudah beberapa kali hati saya terbakar.

Saya marahkan perkara-perkara kecil yang mana saya sendiri merasa bagaikan tidak logik untuk menghamburkan rasa marah terhadapnya.

Kehilangan pendrive.

Masalah network connection.

Masa menunggu yang lama.

Spontaneous presentation.

A'uudzu billah mina syaithaanir rojiim...

“Sesungguhnya kemarahan adalah daripada syaitan dan syaitan dicipta daripada api, apabila salah seorang kamu marah maka hendaklah dia berwudhuk” (Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud)

“Ketahuilah sesungguhnya kemarahan adalah bara yang marak menyala di dalam hati anak adam” (Hadith riwayat Ahmad & Tarmizi)


Mungkin kerana saya telah berazam dengan bersungguh-sungguh untuk belajar mengawal kemarahan, maka Allah menguji dengan perkara-perkara yang melibatkan emosi. Pantang terusik, mudah melenting. Saya akui, menahan marah itu lebih sukar dari mengenggam bara api. Tersangat sulit untuk bersabar. Semakin bersabar, semakin banyak pula dugaan yang datang.

Pada hari ini juga, kita melihat kebanyakan manusia yang berada di sekeliling kita memang cepat marah. Buktinya, jika kita perhatikan berita-berita di akhbar, kebanyakannya memaparkan kes jenayah buli, dera, pukul kawan, pukul guru, pukul mak ayah sehinggakan kes bunuh... Semua ini menggambarkan memang manusia hari ini cepat marah. Asal silap sikit saja dah mula merah telinga, tersilap cakap sikit macam-macam sumpah seranah yang sampai ke telinga kita.

Kenapakah manusia pada hari ini cepat marah?

Mungkinkah kerana disebabkan oleh TEKANAN...

Friday, July 24, 2009

Saya Memuliakannya



"Hari ni hari Jumaat ke?" Saya bertanya kepada seorang rakan ketika kami berjalan keluar dari kedai buku MPH.

Oleh kerana keputusan untuk ke kedai buku pada hari itu dibuat tanpa sebarang perancangan, saya tidak ambil kisah tentang hari. Seolah-olah hilang dari ingatan saya. Betul-betul tidak terlintas.

Tengahari itu terasa sungguh hening. Segala pergerakan manusia kelihatan tenang. Sebab itulah saya terdetik untuk bertanyakan kepada rakan.

"Ya, hari ni hari Jumaat." Jawab beliau ringkas.

"Patut pun." Saya berbisik.

"Kenapa?" Beliau sudah kehairanan.

"Entahlah, rasa lain je. Tengoklah buku-buku yang dibelek tadi, buku-buku yang bersifat kerohanian sikit." Gurau saya.

Entah kenapa, setiap kali hari ini tiba saya merasakan 'sesuatu' dari lubuk hati.

Tenang.

Damai.

Syahdu.

Ianya merupakan satu hari yang sangat istimewa bagi saya. Tidak dapat untuk digambarkan dengan kata-kata.

Saya meraikan kehadiran Jumaat dengan cara yang tersendiri. Lain dari hari yang lain.

Mungkin kerana sudah terbiasa dengan suasana di Kelantan yang mengisytiharkan hari Jumaat sebagai cuti umum, saya sering mengelak untuk keluar dari tempat tinggal sekiranya tidak ada perkara yang mustahak.

Khutbah Jumaat sudah tentu tidak dipinggirkan selain dari menghayati terjemahan ayat-ayat al-Quranul Kareem dari surah al-Kahfi.


"Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya."



"Hari ini mesti diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat." Azam saya.

Wednesday, July 22, 2009

Maaf, Belum Sampai Ke Tahap Itu


"Salam. Kak Zatil, minta huraikan tentang hadith ni. Apa status hadith ni?"

"Ada orang tanya, Jika nabi Muhammad itu maksum, kenapa baginda masih lagi buat kesalahan yang menyebabkan dosa kecil? macam mana ye nak jawab? URGENT."

"Wakil ***** (Nama sebuah pertubuhan) akan berjumpa dengan pimpinan PAS. Apa harapan akak untuk disampaikan kepada Tuan Guru?"

"Assalamu'alaikum. Ustazah, minta bagi pengisian tentang tajuk Aqidah Islamiyyah untuk tamrin asas,"

"Salam. Tolong saya akak. Tolong terangkan kenapa kita mesti pilih jemaah ni? Apa sejarah mengenai jemaah ******?"

"Salam. Kak Zatil, nak tanya tentang Fiqh Taghyir dan contohnya. As soon as possible ye. Syukran."

"Minta pandangan akak tentang jalan kesufian dalam gerakan Islam."


Jangan salah faham dengan entri saya pada kali ini. Tidak pernah terlintas di hati untuk bermegah-megahan. Malah, saya menulisnya sebagai peringatan bahawa ilmu pengetahuan saya belum sampai ke tahap itu untuk menjawab soalan-soalan yang pernah diajukan oleh sahabat-sahabat yang dikasihi. Apatah lagi mahu memenuhi setiap undangan untuk menyampaikan pengisian atau ceramah. Kemampuan saya masih belum sampai ke tahap itu.

Kadang-kadang saya menjawabnya dengan 'ilmu segera' kerana saya tidak melalui sebarang disiplin ilmu untuk menuntut ilmu dalam bidang pengajian agama Islam. Perasaan bimbang dan bersalah menghantui saya seandainya memberikan jawapan dalam keadaan yang tidak pasti mengenai kesahihannya.

Sebenarnya saya berasa serba salah apabila diberikan persoalan yang berkaitan dengan bidang pengajian agama Islam. Rasa rendah diri pun ada apabila pihak yang bertanyakan soalan itu merupakan pelajar yang berlatarbelakangkan bidang pengajian Syari'ah, Ilmu Wahyu serta bahasa Arab. Besar pertimbangan yang dibuat sebelum jawapan disediakan buat mereka. Saya memohon kemaafan seandainya penjelasan saya sekadar cukup-cukup makan sahaja. Aras pengetahuan saya masih lagi rendah. Mana mungkin saya berupaya menjawab persoalan level 5 dengan kedudukan yang masih berada di level 3.

Saya mudah memenuhi sesuatu permintaan atau persoalan itu kerana tidak sampai hati membiarkan mereka tertunggu-tunggu. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang amat memerlukan jawapan dengan kadar segera. Saya akan berusaha menggalinya juga walaupun tidak setepat mana kerana saya terfikir, mungkin mereka dalam keadaan yang sangat terdesak. InsyaAllah, saya cuba menjawabnya sebaik mungkin.

Realitinya, saya akan merasa berpuashati seandainya dapat menyelesaikan permasalahan yang ada hubungkaitnya dengan pendidikan dan ICT kerana ia merupakan bidang saya. Namun, tidak ramai yang berminat untuk bertanyakan persoalan mengenai dunia ICT jika dibandingkan dengan subjek agama. Sukar untuk saya mendalaminya...

Kepada sahabat-sahabat, jangan merasa bimbang untuk mengajukan sebarang persoalan selepas daripada ini. Asalkan dengan meletakkan saya sebagai sumber sekunder. InsyaAllah, saya akan cuba untuk memenuhinya dengan kemampuan yang ada. Saya menganggapnya sebagai satu cabang untuk mencari pengisian diri. Banyak yang telah saya pelajari daripadanya. Malahan, saya merasa semakin bersemangat untuk menambah ilmu pengetahuan agar mampu menyelesaikannya suatu masa nanti.

Berikanlah sedikit masa. Saya masih lagi dalam proses pembelajaran...



Firman Allah dalam Surah al-Isra ayat 36 (maksudnya):
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.


Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H):
“Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang daripada kesilapan (maksudnya RasululuLah S.A.W) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat kekeliruan pada ikutan tersebut. Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima kita tinggalkannya.”. (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s 165, Beirut: Dar al-Kitab al-`Arabi).

Monday, July 20, 2009

TEKANAN: Ancaman Atau Peluang?



“Setiap hari Isnin – Jumaat bermula dari pukul 8.00 pagi hingga ke pukul 5.00 petang saya berada dalam bilik kuliah. Memulakan pembelajaran tentang asas-asas bidang Islamic banking, Economics dan Financial. Memang tidak ada masa untuk berehat.” Cerita sahabat saya tentang pengalamannya yang sedang mengikuti kursus di sebuah bank yang terkemuka di ibu Negara.

“Tak stress ke dengan keadaan macam tu?” Tanya saya.

“Hah, soalan awak itulah yang selalu timbul. Memang betul pun kalau awak cakap stress. Bayangkan subjek yang jika diajar di university memerlukan masa selama 6 bulan, kami di sini perlu menghabiskannya dalam jangka waktu hanya beberapa minggu sahaja. Lepas tu kena menjalani beberapa test dan exam. Memang stress pun sebab nak menelaah buku pun tak ada masa. Hari minggu biasanya ada aktiviti lasak. Kadang-kadang ada siri-siri ceramah tentang Corporate Social Responsibility (CSR). Benda ni memang penting.” Dia menerangkan dengan panjang lebar, tanpa ada peluang bagi saya untuk mencelah.

Dia menyambung, “Tapi semua tu depends pada setiap orang. Bagi saya, saya cuma teruskan dengan apa yang saya minat dan saya rasa betul. Saya belajar tentang cara-cara untuk menguruskan stress. Banyak belajar benda-benda baru.”

Sememangnya setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza dalam memandang sesuatu perkara. Bagaimana kita melihat akan menentukan siapa diri kita.

Jika kita melihat tekanan hanyalah satu masalah, maka ia akan menjadi beban di sepanjang hidup kita. Sebaliknya, jika kita menjadikan tekanan tersebut sebagai satu pelajaran hidup serta berusaha mencari nilai positif di dalamnya. Maka, banyak kejayaan yang bakal terhasil daripadanya.




Tekanan Mampu Menghasilkan Kualiti



Saya teringatkan satu dokumentari mengenai Kejuruteraan Pengurusan Banjir di Netherlands, Belanda yang ditonton melalui rancangan National Geographic Channel. Selain daripada rasa terpegun melihat jambatan rekaan seorang arkitek bernama Ben van Berkel, saya juga tertarik melihat cara pemimpin penduduk Netherlands serta jurutera dan arkitek mereka menangani masalah banjir yang dihadapi sejak tahun 1287 sehingga tahun 1995.


Petikan dari Wikipedia.com:

Belanda telah berjuang menentang banjir sejak petempatan awal di sini. Lebih daripada 60% negara ini terletak di bawah aras laut. Tidak terhitung banyaknya mangsa-mangsa yang kehilangan rumah dan nyawa mereka akibat banjir daripada laut atau sungai-sungai yang yang gagal diatasi oleh sistem pertahanan banjir.

Kepentingan perlindungan tersebut telah menyebabkan Belanda menubuhkan sebuah Kementerian khas yang bertanggungjawab dalam perlindungan terhadap banjir. Lebih dari itu, diwujudkan agensi-agensi tempatan yang berfungsi sebagai satu lapisan tambahan kerajaan bagi meningkatkan taraf perlindungan dari banjir dan bagi pengurusan air. Ini telah menghasilkan tahap perlindungan banjir yang amat tinggi. Perlindungan dari banjir tetap kekal sebagai agenda penting akibat ancaman banjir terhadap ekonomi Belanda.



Penduduk Belanda sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah banjir yang banyak menjejaskan petempatan, ekonomi dan ekosistem negara mereka. Antaranya, dengan membina Zuiderzee Works (sistem buatan manusia pada empangan, reklamasi tanah dan kerja-kerja perlongkangan air), Delta Works (sebuah sistem pertahanan banjir yang terdiri daripada empangan dan sempadan surge ribut) serta jambatan kreatif sebesar menara Eiffel.

Hasilnya, sehingga kini tidak ada satu negara di dunia ini pun yang mampu menandingi kepakaran Netherlands dalam bidang pengurusan air dan pengawalan banjir.

Friday, July 17, 2009

Agar PERSPEKTIF Sentiasa OPTIMIS



JOHANES LIM dalam bukunya "No Pain No Gain" (1997) mengisahkan cerita menarik tentang seorang petani dan seekor kuda. Ada seorang petani di sebuah desa yang mempunyai seorang anak lelaki dewasa dan seekor kuda. Pada suatu hari, kuda si petani tersebut telah lari ke hutan, tentu saja ia sangat sedih tambahan pula menerima sindiran dari jiran tetangganya. Walaupun begitu, si petani tetap tabah dalam menghadapi musibah itu.

Syukurlah, selang beberapa minggu kemudian si kuda yang hilang tadi kembali. Kuda itu pulang bersama seekor kuda liar.

Si petani menugaskan anak lelakinya dalam usaha untuk menjinakkan kuda liar agar menjadi kuda tunggangan. Akan tetapi, anak petani tersebut mengalami kecederaan yang teruk ketika cuba mengawal kuda liar itu.

Sekali lagi si petani sedih dengan musibah yang dihadapinya. Jiran tetangganya kembali mencemuhnya dan bergembira melihat peristiwa ini. Namun, si petani tetap optimis, "Hari baik atau hari buruk bukan mereka yang menentukan," fikirnya.

Pada waktu itu, negaranya sedang mengalami perang saudara. Kemudian, datang sepasukan pegawai tentera dan pemerintah setempat untuk merekrut pemuda-pemuda di desa tersebut dengan mewajibkan mereka mengikuti kursus tentera. Pemuda-pemuda yang menyertai pasukan tentera itu tidak diketahui sama ada akan kembali dalam keadaan hidup ataupun tidak.

Ketika pegawai tentera tersebut tiba di rumah si petani. Melihatkan keadaan kaki anak lelaki si petani sedang luka parah akibat terjatuh dari tunggangan kuda liar beberapa hari yang lalu, dia dikecualikan daripada perekrutan wajib ketenteraan. Kini, jiran-jirannya pula yang bersedih dengan pemergian anak-anak mereka.

Hari yang baik atau hari yang buruk, tidak ada sesiapa yang tahu. Maka, lakukanlah tugas kita dengan sebaik-baiknya.

Seorang bijak pernah berkata, dalam situasi yang serba tidak menentu, satu perkara yang tidak dapat berubah namun mampu mengubah dunia sekeliling kita, iaitu senyuman, perkataan dan ungkapan syukur.

Kajian menunjukkan, seorang pekerja yang sentiasa bersyukur (optimis) atas apa yang diterimanya baik ataupun buruk ternyata membuat dia lebih tahan terhadap penyakit stress akibat kerja dibandingkan mereka yang selalu mengeluh (pesimis).


Sebagaimana kisah petani di atas, di sebalik ucapan syukur terdapat rasa optimis yang luar biasa.

Apakah itu OPTIMISME?

Optimisme yang sebenarnya adalah...

Menyedari masalah tetapi mengenali penyelesaiannya,

Mengetahui kesulitan namun yakin bahawa itu dapat diatasi,

Melihat yang negatif tetapi menekankan yang positif,

Menghadapi yang terburuk namun mengharapkan yang terbaik,

Mempunyai alasan untuk bersedih tetapi memilih untuk tersenyum.

Thursday, July 09, 2009

Kembara Mencari Tuhan



Pertama kali membaca buku "Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok" karangan Profesor Dr. Muhd Kamil Ibrahim, saya banyak merenung cara Allah membawa kita menuju kepadaNya. Setiap daripada kita melalui jalan yang berbeza-beza dalam mengenal Al-Khaliq. Ada yang melalui lorong kesusahan dan ada yang melalui jalan kesenangan. Kesemuanya ditentukan oleh Allah dengan penuh hikmah dan keadilan. Sesuai dengan kemampuan seseorang hamba itu. Islam itu sendiri bermaksud Jalan Hidup, bukannya Destinasi Hidup.

Keberkesanan isi kandungan buku tersebut yang membekas di hati, mendorong saya untuk mendapatkan buku pertama beliau, "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman" (The national bestseller). Buku ini juga berjaya menambah semangat saya untuk menyegerakan perlaksanaan ibadah Haji. Melaksanakan haji dan umrah bukan sekadar memenuhi tuntutan salah satu dari rukun Islam sahaja, namun lebih daripada itu adalah satu kembara untuk mencari hakikat penciptaan diri melalui ibadah.

Antara saya dan Prof. Dr. Muhd Kamil, kami mempunyai dua persamaan. Pertama, kami mula mengenali tanggungjawab berdakwah di institusi pengajian yang sama, iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM). Yang keduanya, dari sudut cara Allah subhanahu wa taala memperkenalkanNya kepada kami. Catatan dakwah beliau mengingatkan saya kepada pengalaman ketika berkerjasama dengan warga Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU).

Saya juga sudahpun berkunjung ke blog isteri beliau, Roza Roslan. Beliau merupakan orang utama yang telah memudahkan laluan perubahan diri Prof. Dr. Muhd Kamil.

Membaca lembaran penghargaan penulis sahaja sudah membuatkan saya mengalirkan air mata. Apatah lagi menghayati setiap perjalanan hidup beliau. Sesungguhnya, permulaan hidup seseorang tidak penting. Pengakhiran hidup kitalah yang menentukan cara kita menemui Allah, sama ada sebagai seorang Muslim atau sebaliknya. Ramai yang lahir dalam agama Islam, namun di akhir hayatnya mati dalam kekufuran.

Saya teringatkan perbualan saya dengan seorang sahabat. Katanya, pernah dalam satu program motivasi, trainer menyebut kajian yang diambil dari sebuah hospital. Kajian itu menunjukkan sebanyak 80% pesakit di hospital tersebut, meninggal dunia dalam keadaan tidak mengucap dua kalimah syahadah. Kebanyakan daripada mereka menyebut nama orang-orang yang paling dikasihi ketika menghembuskan nafas yang terakhir. Na'uzubillahi min dzalik...

Bimbang juga andainya saya mendahulukan cinta makhluk berbanding cinta Ilahi. Alangkah ruginya nyawa andai kehidupan hanya diisi dengan perkara-perkara yang melalaikan sahaja. Sekiranya hanya Allah yang kita cintai, nama Allah jualah yang sentiasa disebut-sebut walau dalam apa keadaan sekalipun.

Hanya Allah s.w.t yang berkuasa memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Jangan mudah menghukum seseorang dengan pandangan zahiriah semata-mata. Boleh jadi, kedudukannya lebih dekat di sisi Allah s.w.t jika dibandingkan dengan diri kita.

Allah SWT berfirman :

Terjemahannya : Yaitu mereka yang memenuhi janji Allah dan tidak pula merusakkan perjanjian.(Ar Raad : 20)

Terjemahannya : Dan mereka menghubungi apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan (silaturrahim) dan mereka takut pada Tuhan mereka dan takut pada hisab yang buruk. (Ar Raad : 21)

Terjemahannya : Dan mereka juga bersabar dalam mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan shalat dan menafkahkan sebagian rezeki yang Kami berikan pada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan. Dan mereka menutupi kejahatan dengan kebaikan. Mereka itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).(Ar Raad : 22)

Terjemahannya : (Yaitu) syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh di kalangan bapak-bapaknya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedangkan malaikat-malaikat masuk menemui mereka di semua pintu masuk. (Ar Raad: 23)

Terjemahannya : (Sambil mengucapkan) “Salam sejahtera karena kesabaran kamu”, maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu. (Ar Raad : 24)


Dengan nama-Mu Ya Allah, hamba berazam mendekatkan diri kepada-Mu
Ya Allah, hamba mohon DITAMBAHKAN IMAN untuk menjalani segala ujian dari-Mu
Bebaskan hamba dari segala penyakit hati Ya 'Adzim
Berkatilah hamba Ya Rahman
Redhalah akan kehidupan hamba Ya Rahim

Sunday, June 21, 2009

Dalami Ilmu Sebelum Memimpin

Seminggu dua ini boleh dikatakan hampir separuh dari ruangan media massa dipenuhi dengan isu-isu politik semasa dari dalam dan luar Negara. Baru sahaja akal cuba memahami usul muktamar PAS ke-56 yang diluluskan, kita dikejutkan pula dengan berita menyayat hati tentang serangan ke atas penduduk Islam di Selatan Thailand. Kemudian krisis bantahan terhadap keputusan pilihanraya Iran yang masih lagi hangat dibicarakan dan isu Kerajaan Perpaduan yang tidak putus-putus dimainkan oleh media badan politik dan media awam.

Penat juga mencermati pelbagai pandangan dari laman web ke laman web, siaran ke siaran dan penganalisis ke penganalisis mencari sumber-sumber yang boleh dipercayai sebelum ‘tajarrud’ (berpegang teguh) dengan pendirian mereka yang terlibat. Cabaran terbesar dalam abad ke-21 ini sudah semestinya pada keupayaan memilih atau mengenalpasti kebenaran yang samar-samar dalam ledakan maklumat atau dikenali sebagai ‘information overload’.

Dalam apa-apa situasi sekalipun sikap suka meneliti setiap maklumat yang sampai kepada kita harus diamalkan supaya kita tidak mudah terpengaruh dengan khabar yang tidak benar. Apatah lagi bagi saya yang masih lagi bertatih mengenali dunia politik. Cepat benar saya mengiyakan pandangan pakar-pakar politik. Seandainya saya memandang sesuatu isu dengan subjek yang berat dan besar, bagi mereka pula ia hanyalah perkara yang bersifat biasa. Sebab itulah saya suka membandingkan pemikiran saya dengan mereka yang lebih berpengalaman.

Bermula dari sini, saya belajar memajukan diri dengannya…

Jika kita mendalami ilmu tentang sains politik, pastinya kita akan lebih mudah membaca realiti semasa, cepat merasai arus perubahan yang sedang berlaku, meramal tindakan seterusnya, menangkap perkara yang tersirat disebaliknya serta mengambil tahu tentang pentadbiran, dasar luar Negara, ekonomi, pendidikan dan undang-undang.

Terselamatlah mereka yang arif tentang selok-belok dunia politik dari segala bentuk penipuan.

Friday, May 22, 2009

SUJUD: Membina Insan Dongak Dengan Hati Yang Tunduk



Sujud adalah simbol merendahkan diri di ‘hadapan’ Allah.

Sujud adalah darjat hamba yang paling tinggi.


“Dan apakah mereka tidak memperhatikan suatu benda yang diciptakan Allah, bayang-bayangnya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri, dalam keadaan sujud kepada Allah, dan mereka (bersikap) rendah hati.
Dan segala apa yang ada di bumi hanya bersujud kepada Allah iaitu semua makhluk bergerak (bernyawa) dan (juga) para malaikat, dan mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri.”
(an-Nahl: 48 & 49)


Abdullah Yusuf Ali di dalam The Holy Quran, mentafsirkan ayat tersebut sebagaimana berikut:
Secara metafora, benda-benda yang tidak bernyawa sekalipun dikatakan tunduk menyembah kepada Allah dengan rendah hati. Bahkan bayang-bayang mereka juga bergerak dari kanan ke kiri menurut cahaya dari langit dan bersujud ke tanah, mengagungkan dan memuji Allah dengan rendah hati. Bayang-bayang ini menunjukkan betapa segala sesuatu dalam hidup ini hanyalah sekadar bayang-bayang hakikat sebenar kehidupan akhirat; mereka berputar dan bergerak sesuai dengan cahaya Ilahi, sebagaimana bayang-bayang pohon dan bangunan yang bergerak dalam satu arah ataupun yang bertentangan, memanjang ataupun memendek mengikut cahaya dari langit. Daripada sudut lain, ‘makhluk-makhluk bergerak’ adalah makhluk-makhluk hidup. ‘Semua yang di langit ataupun di bumi’, termasuklah setiap sesuatu yang diciptakan. Segala sesuatu yang diciptakan itu disebutkan dalam tiga keadaan iaitu sesuatu yang tidak bernyawa, sesuatu yang hidup biasa dan para malaikat. Malaikat yang tertinggi sekalipun tidak sombong, mereka bersujud dan mengabdikan diri kepada Tuhan dan demikian pula semua ciptaan Allah.

Gerakan sujud dalam solat kita sehari-hari merupakan satu anugerah. Apabila bersujudnya seorang manusia itu, bererti ia telah menyelaraskan dirinya dengan alam semesta untuk memuji dan bersujud kepada Allah Yang Maha Tinggi.

Sesekali terlintas juga perasaan tinggi diri dan bangga melihat pencapaian diri yang lebih baik dari orang lain. Tetapi, apabila dahi mencecah ke sejadah, timbul rasa hina dan kesedaran bahawasanya diri ini merupakan hamba kepada 'SESEORANG'. Segala kelebihan hanyalah pinjaman dariNya.

Lahirkanlah seberapa ramai modal insan berjiwa besar yang bergelar juruterbang, ahli politik, sejarahwan, pengarah filem, jurutera, doktor, ahli falsafah, pensyarah, ilmuan Islam, pakar IT, tentera, arkitek, angkasawan, usahawan malahan petani dan tukang sapu sekalipun….asalkan mereka ini beriman kepada Allah subhanahu wa taala.

Dengan terbinanya iman dan taqwa dalam diri…
Seorang ahli politik tidak mungkin menggadaikan maruah dengan rasuah,
Seorang arkitek tidak mungkin membina bangunan dengan struktur yang rapuh,
Seorang doktor tidak mungkin memperjudikan nyawa pesakitnya,
Seorang guru tidak mungkin mengabaikan tanggungjawab mendidik,
Seorang ‘ulama tidak mungkin memperdagangkan ilmu pengetahuannya,
Dan, seorang pakar IT tidak mungkin mencipta inovasi teknologi yang mendorong ke arah maksiat.

Membentuk insan yang sentiasa mendongak ke hadapan itu keperluan, namun menundukkan jiwa mereka kepada Tuhan merupakan satu tujuan.

Wednesday, May 20, 2009

Memaknakan Sebuah Pertemuan



“Baiklah, kita mulakan usrah kita pada hari ini dengan tasbih kafarah dan surah Al-‘Asr,” saya mengejutkan ahli-ahli usrah yang sedang berbual-bual sementara menunggu dua tiga orang yang masih belum tiba lagi.

“Hah,” Masing-masing senyap sambil menjeling antara satu sama lain.

“Kenapa? Bukan ke masa Tamrin Nuqaba’ hari tu ada yang cakap usrah dimulakan dengan kaffaratul majlis dan surah al-‘Asr kemudian diakhiri dengan al-Fatihah?” saya tersenyum melihat kebingungan mereka.

Oleh kerana kebanyakan mereka terdiri daripada naqibah dan pimpinan, jadi kehadiran ke Tamrin Nuqaba’ merupakan satu kewajipan. Wajib haraki kata orang jemaah. Latihan serta pengisian yang mereka perolehi sama seperti saya. Tidak ada perbezaannya.

Sengaja saya cetuskan provokasi bagi mengetahui sejauh mana kefahaman mereka tentang konsep usrah dan majlis usrah. Seandainya mereka jelas tentang kefahaman asas ini, semestinya mereka akan mengaplikasikan apa yang mereka dapat melalui majlis usrah ke dalam kehidupan sehari-hari. Itulah baru dinamakan sebagai usrah, "It is a coaching, not a preaching".

Sesungguhnya, mengubah suatu kebiasaan bukanlah sesuatu yang amat mudah.

Nampaknya tiada sesiapa pun yang mahu bersuara untuk memberikan sebarang pandangan.

Mereka hanya menundukkan muka.

Mungkin saya terlalu ‘mencabar’ tradisi majlis usrah. Tanpa menunggu lebih lama, saya kembali memulakan majlis usrah seperti biasa, dengan bacaan ummul kitab.

Hah, barulah suasana berubah seperti biasa. Mereka kembali ceria dan menanti apa yang bakal saya perkatakan.

Kami mengambil sedikit masa untuk menenangkan diri.

“Apa ye tajuk usrah kita kali ini?” saya mengajukan soalan mudah bagi menguji kecaknaan mereka. Selalunya, apabila saya memaklumkan tarikh usrah, saya akan menyertakan beberapa maklumat asas termasuklah tajuk yang bakal dibincangkan nanti.

“Erm… Rasulullah. Aaa…” seorang daripada mereka cuba menjawab.

“Aaa.. Penghulu seluruh alam.”

“Hampir tepat.” Jawab saya.

“Rahmatan lil ‘alamin.” Mereka menyusun. Akhirnya tercantum sebuah ‘teka-teki’.

Saya memilih tajuk yang agak mudah dan ringan untuk mengisi usrah yang baru pertama kali diadakan. Cukuplah sekadar sebagai satu pengenalan. Lagipun, objektif utama usrah pada kali ini adalah untuk berkenal-kenalan antara kami dan bukannya untuk menambah thaqafah. Biar santai, asalkan tercapai matlamat. Diskusi yang terlalu ilmiah mampu membantutkan usaha untuk mengenali mereka. Manakala suasana yang lebih semulajadi, mendorong mereka kepada keterbukaan untuk memperkenalkan diri dengan lebih dekat lagi.


"Insyaallah, kali ini kita akan membincangkan serba sedikit tentang awal fasa kehidupan Rasulullah sempena Maulidur Rasul ni. Kemudian isu-isu dan permasalahan sekitar kehidupan baginda. Lepas tu kita akan bermain satu modul." saya mengambil nafas sebelum memulakan pengisian.

Saya memberikan huraian lanjut berdasarkan nota ringkas yang saya berikan kepada mereka. Nota yang dimuat turun dari blog Saifulislam.com ini tidak sarat dengan perkara-perkara yang sukar untuk mereka fahami. Penjelasan saya jadi berselang-seli dengan persoalan mereka.







Kemudian saya teruskan dengan modul ringkas, sekadar mengenali mereka dengan lebih dekat. Saya menyediakan beberapa helaian kertas kosong untuk mereka melakar satu objek yang mencerminkan sifat dominan atau keperibadian mereka. Kemudian, tuliskan juga di bahagian bawah, tiga perkara yang paling mereka sukai.

Sememangnya otak manusia lebih mudah mengingati gambar berbanding tulisan.

Akhirnya saya simpulkan objektif modul kami pada hari itu. Matlamatnya mudah, sekadar mahu bertaaruf serta merapatkan diri antara satu sama lain.

Ukhuwwah yang ingin saya jalinkan dengan mereka bukanlah satu pertalian biasa. Ianya merupakan ukhuwwah untuk membangunkan iman dalam diri, melalui komunikasi yang mesra. Ringkas, namun impaknya cukup bermakna buat saya.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [Al-Hujuraat 49: 10]

Ukhuwwah yang berteraskan ayat “sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara” adalah ukhuwwah yang menghasilkan manusia yang mampu berinteraksi serta berhubung dan memesrakan diri dengan manusia yang lain… cukup dengan alasan iman.

Monday, May 11, 2009

Teknologikah Yang Menjadikan Kami Begitu?





Computer - Internet - WeBLog - PDA - WiFi HotSpot - RSS Feed - MP4 Player - 3G Mobile phone - P1 WiMax - Sky Broadband - MySpace - YouTube - Facebook - Twitter - LAN - Gadget - Podcast-


Semakin hebat teknologi, semakin hilang nilai kemanusiaan dalam diri...

Suasana di fakulti saya sendiri sudah mampu menggambarkan hakisan nilai kemanusiaan yang semakin ketara, seiring dengan kepesatan pembangunan teknologi maklumat. Setiap kali department menganjurkan sebarang program, sambutan yang diterima sememangnya sangat hambar. Malahan, pelajar semakin tidak peduli dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

Saya akui, kehadiran dunia tanpa sempadan ini telah membuka ruang yang sangat luas untuk saya memberi dan mengakses pelbagai maklumat dari seluruh dunia. Dunia maya ini jugalah yang telah mengajar saya untuk lebih berani dalam mengemukakan sebarang pandangan serta membina medan menegur yang sangat produktif.

Inilah penangan teknologi.

Semuanya menjadi begitu bebas dan terbuka.

Interaksi sesama manusia tanpa berlapikkan budi bahasa. Tiada lagi rasa segan dan silu.

Hilang teman tidak mengapa, asalkan komputer riba setia di sisi.

Syukur kepada Allah Taala yang telah menemukan saya dengan gerakan Islam semenjak di alam kampus. Berada dalam perjuangan Islam, secara tidak langsungnya telah meruntuhkan tembok 'robotik' dalam diri saya. Saya belajar mengenal erti ukhuwwah sesama manusia hamba. Baru saya sedar, persoalan ukhuwah ini penting selepas dai'e membangunkan iman. Kemudian, barulah boleh ditimbulkan soal fikrah.

Saya juga belajar merebut peluang untuk mengenali pelbagai jenis tabiat serta tingkah laku mad'u. Saya belajar merenung siasah kehidupan mereka melalui mata hati dan saya tidak terus menjadi penghukum. Saya semakin berminat untuk menerobos ke sempadan diri manusia. Dan, saya semakin menghampiri realiti dakwah berdasarkan pengalaman berjuang menyebabkan saya sentiasa mengkaji pendekatan dakwah di alam nyata yang lebih relevan.

Mencipta imaginasi dan ilusi itu sememangnya indah. Mengeluarkannya ke dalam bentuk realiti umpama berjuang antara peluh dan airmata. Adakalanya menuntut sesuatu yang tidak sanggup untuk kita lepaskan.

Mudah-mudahan saya akan diberikan kekuatan dalam menentukan halatuju perjuangan yang seterusnya serta berupaya menawarkan secebis penyelesaian buat dunia Perjuangan Islam. InsyaALLAH...


Sedikit berita gembira sebagai penawar keresahan hati:
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
UIAM bakal jadi hab ICT Islam

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kulliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan ICT untuk dunia Islam apabila bangunan baru bernilai RM79 juta siap menjelang 2011.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Idris Haron berkata, pusat penyelidikan di KICT itu bakal menjadi peneraju kemajuan dan perkembangan ICT untuk masyarakat Islam dan dunia sejagat.

Menurut beliau, KICT akan menjalin kerjasama dengan universiti, sektor industri, pusat penyelidikan di dalam dan luar negara untuk mencipta teknologi menggunakan peralatan terkini.

“Semua program di kulliyah itu dibentuk mengintegrasi ilmu Islam dengan ICT. Saya yakin UIAM akan menjadi hab KICT dunia Islam satu hari nanti.

“Jika terdapat pertemuan terbaru sudah tentu ia mempunyai hak intelektual (IP) dan sekiranya ada nilai komersial, semua pihak yang terlibat antaranya universiti dan penyelidik akan mendapat keuntungan.

“Kementerian dan pihak universiti tiada halangan dalam urusan mengagih dan berkongsi keuntungan jika sesuatu pertemuan terbaru mendapat pasaran antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan acara pecah tanah di tapak bangunan baru KICT seluas 500,000 meter persegi di UIAM Kampus Gombak di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang meminta parti-parti politik tidak mengganggu dan mempengaruhi persatuan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

Tuesday, February 24, 2009

Di Manakah Nilai Ikutanmu?


“Hebatlah abang ni. Akademik cemerlang, berkepimpinan, cantik, bijak, petah berpidato pula tu.”, puji seorang ahli usrah tentang kehebatan naqib A. Pujian bukan untuk mengambil hati, namun tidak dapat dinafikan secara realitinya naqib A itu seorang yang berkebolehan dalam pelbagai bidang.

Beberapa bulan kemudian, tamatlah tempoh pengajian bagi naqib A tadi. Perlantikan naqib (B) yang baru telah dibuat oleh pihak Biro Dakwah Dan Kepimpinan bagi menggantikan naqib yang telah bergraduasi tersebut.

Namun, apa yang menghairankan naqib B adalah komitmen yang mengecewakan ahli usrah tersebut terhadap usrah kendaliannya. Puas diajak, dipujuk dan diberi kaunseling namun masih tiada perubahan. Setia dan kagum benar dirinya terhadap naqib A.

Ketika bersama naqib A dulu, tidak ada pula masalah berkenaan ketidakhadirannya. Dialah orang yang paling jarang meninggalkan usrah. Sakit-sakit pun tetap hadir. Ke hulu ke hilir bersama dengan naqibnya. Malahan, membuat tuntutan pula kepada naqib A untuk diadakan aktiviti tambahan kerana masa perbincangan dalam usrah tidak mencukupi.

Maka bermuhasabahlah si naqib B mencari entah di mana silapnya dan apakah kesalahan yang telah dilakukannya.

Apabila diselidiki, rupa-rupanya ahli usrahnya tadi memberikan komitmen yang tinggi kepada usrah lamanya kerana naqib A seorang yang lebih hebat berbanding naqib B.

Kehadirannya ke usrah bukanlah kerana kefahaman terhadap apa yang disampaikan tetapi kerana tertarik dengan kehebatan syahsiyyah yang dimiliki oleh si naqib.

Akibatnya, komitmen terhadap usrah mulai berubah seiring dengan pertukaran naqib.


Salahkah menjadi seorang naqib yang hebat?


Pendirian Abu Bakr

Dalam isu ini, suka saya mengimbau kembali sikap Abu Bakr selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. Setelah memasuki bilik Aisyah dan mencium muka Rasulullah s.a.w., beliau keluar menemui orang ramai bersama Umar al-Khattab. Beliau menyuruh Umar duduk, “Wahai Umar, sila duduk”. Namun Umar enggan.

Lalu Abu Bakr membiarkan Umar di situ dan berkata kepada sidang hadirin:
“Adapun selepas tahmid dan syukur maka ingin aku menyebut di sini, sesiapa di antara kamu yang menyembah Muhammad sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak akan mati”.

Kemudian beliau membaca firman Allah s.w.t. dalam surah al-Imran: 144,
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (meninggalkan agama Allah)? Sesiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur”.

Soalan yang sama ingin saya ajukan kepada ahli usrah tersebut, “Apakah jika naqib kamu telah tiada nanti, kamu mahu meninggalkan perlaksanaan usrah ini padahal apa yang dibawakan oleh naqib B ini adalah merupakan ajaran yang sama?”

Terpulanglah apa jawapannya. Namun bagi saya adalah tidak wajar sekiranya seseorang ahli usrah itu meninggalkan usrah semata-mata kerana mahu bernaqibkan seorang yang hebat sahaja.

Apakah nilai pertimbangan yang diambil?

Islam mengajar ummatnya supaya berpegang pada tali kebenaran atau ajarannya, bukanlah kepada pembawa ajaran atau penganutnya.

Adalah malang bagi seorang pengikut andainya ajaran yang diikutinya tidak membawa kepada kefahaman dan ketundukan kepada Allah. Sebaliknya, tanpa disedari dia sedang menuju ke arah ketaksuban terhadap gurunya.

Bukanlah menjadi satu kesalahan mengagumi kehebatan seseorang guru, namun kesalahan itu terletak pada perbuatan meninggalkan ajarannya setelah ketiadaan beliau untuk mempelajari ajaran baru yang diajar oleh guru yang lebih hebat syakhsiyyahnya.


“Ya Allah, jadikanlah aku ini dicintai dalam hati setiap orang yang BERIMAN kepada-MU"

Thursday, January 29, 2009

Mencari Nur Khadijah


"Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia,
yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar,
yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan,
yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan ...
darinyalah aku mendapatkan keturunan."

- Gambaran kecintaan Rasulullah s.a.w. terhadap Siti Khadijah




Saidatina Khadijah RA merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah SAW melaksanakan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah. Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah SAW.

Sudah menjadi kebiasaan Rasulullah untuk pergi ke Gua Hira kerana ingin bertafakur dan bermunajat kepada Allah seorang diri. Setiap kali baginda ke sana, baginda akan membawa sedikit bekalan yang disediakan oleh isterinya, Siti Khadijah. Apabila makanan sudah habis, baginda turun semula ke Mekah dan tawaf di Kaabah sebanyak tujuh pusingan, kemudian barulah kembali menemui isteri tercinta. Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah, berulang alik dalam tempoh masa lebih kurang lima tahun di Gua Hira.

Sungguhpun demikian, Siti Khadijah tidak pernah berasa kecil hati terhadap Rasulullah. Malah, beliau berusaha agar baginda lebih memperoleh ketenangan dalam bermunajat kepada Allah. Oleh yang demikian, apabila Rasulullah pulang ke rumah, beliau tidak pernah bersungut apatah lagi bermasam muka. Beliau melayan suaminya dengan baik, penuh hormat dan kasih sayang.

Menyingkap kembali peristiwa yang sungguh mendebarkan jantung Rasulullah SAW ketika baginda menerima wahyu yang pertama di Gua Hira. Sekembalinya ke rumah, baginda berkata kepada isterinya yang tercinta, "Aku berasa khuatir terhadap diriku".

Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata, "Wahai kekanda, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kekanda adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab. Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah".

Apakah ada wanita lain yang dapat menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya? Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh. Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya. Persoalannya, dapatkah kita berlaku demikian?

Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah SAW, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua. Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang saleh. Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT. Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.


Siti Khadijah srikandi sejati

Kaulah lambang cinta sejati
Serikandi pertama tika islam bermula
Hatimu menyalakan keyakinan
Hartamu membuktikan pengorbanan

Rasul keseorangan engkaulah teman
Dia tersisih engkau memilihnya
Dia terbuang engkau menyayanginya
Kerana iman kau sanggup berjuang

Siti Khadijah namamu indah
Qudwah hasanah tauladan ummah
Jika rasul terpinggir
Engkaulah insan terhampir

Siti Khadijah mujahidah solehah
Agung jasamu dipersada sejarah
Pemergianmu ditangisi nabi
Hingga kini tiada pengganti

Sunyi jalan menuju allah
Menggamit hati mencari teman
Indah jalan menuju allah
Jika teman seperti Khadijah
Masih ada lagi...

Friday, November 28, 2008

Nikmat Tuhanmu Yang Manakah Kamu Ingkari?


“Sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku. Jibril berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau: “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya” Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad)


Subhanallah...

Takjub saya dengan sikap Rasulullah saw bila terbaca hadith ini. Masakan tidak, Baginda melaksanakan sujud syukur ke atas perkara-perkara yang 'kelihatan' kecil. Sungguh berbeza dengan kita. Kebanyakan kita hanya berterima kasih (mengucapkan Alhamdulillah) untuk perkara-perkara yang dipandang besar dan penting sahaja. Jauh sekali untuk bersujud syukur untuk sesuatu yang kecil.

Kurniaan Allah se'WAJIB'nya disyukuri meskipun kita hanya menerima khabar gembira mahupun salam dari orang lain.
Nikmat Allah tidak pernah bertepi.
Pemberian-Nya tidak mengharapkan sebarang balasan dari kita
Rahmat-Nya datang dalam pelbagai bentuk tanpa mengundang syarat dari hamba-Nya.
Benarlah firman-Nya, sedikit sekali di kalangan hamba-Nya yang bersyukur.


Peringatan Allah Kepada Hamba-Nya

“Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.”
(QS. Al-Baqarah, 2 : 152)


"Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.
(QS. An-Naml, 27 : 40

Ya Allah.... Semoga Aku termasuk ke dalam golongan hamba-Mu yang bersyukur. Ameen...