Showing posts with label Peribadi. Show all posts
Showing posts with label Peribadi. Show all posts

Wednesday, July 27, 2011

Catatan Lauh Mahfuz




Usai solat maghrib tadi terdetik untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran dari surah Al-Hadid. Sudah menjadi kelaziman saya jika membaca Al-Quran, mesti mendahulukan Al-Quran yang berserta dengan maknanya sekali. Supaya jelas akan definisinya.

"Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.

Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu , dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu..." (ayat 22 & 23)

Beberapa kali saya mengulang-ulang ayat-ayat tersebut. Lebih-lebih lagi, sejak kebelakangan ini saya sering menerima persoalan dan pengaduan dari beberapa orang rakan sekerja, jiran dan rakan internet berkaitan permasalahan yang sedang mereka hadapi. Majoriti mereka adalah dari kalangan wanita. Sememangnya sifat semulajadi wanita suka berkongsi dan berterus-terang. Setiap perkongsian mereka saya jadikan teladan untuk hidup saya memandangkan saya juga tidak terkecuali menerima beberapa ujian hidup dalam bulan ini.

Benar, setiap apa yang menimpa diri manusia itu telah tersurat. Segala bentuk nikmat, ujian, bala, jodoh, umur, ajal dan rezeki telah ditentukan sejak lahir.

Namun, itu tidak bermakna kita digalakkan untuk menunggu sahaja segala takdir yang bakal berlaku ke atas diri kita. Kita dituntut untuk BERUSAHA mencari jalan mendapatkan apa yang telah tertulis buat diri kita.

Hikmahnya:
(1) Supaya kita tidak melampau-lampau bersedih hati jika tidak ada hasil selepas berpenat-lelah.
(2) Supaya kita tidak terlalu gembira sehingga menerbitkan rasa bangga atas apa yang telah kita dapat.


Tuesday, December 28, 2010

Catatan Tanggal 28 Disember 2010

Ya Allah, Engkau telah meminjamkan umur yang panjang buatku. Pinjamkanlah ia dengan pinjaman yang baik.

Engkau kurniakanlah keberkatan kepada jangka hayatku ini Ya Allah.

Untuk umurku yang akan datang, Engkau bimbinglah perjalanan hidupku Ya Allah.

Engkau redhailah diriku Ya Allah.

Engkau kurniakanlah kekuatan kepadaku Ya Allah.

Engkau pasakkanlah keimanan dalam diriku Ya Allah

Engkau jadikanlah diriku ini sebagai seorang yang banyak bersabar dan bersyukur Ya Allah.

Aku impikan KEIKHLASAN HATI dalam beramal kepada-Mu Ya Allah.

Kuserahkan ketentuan hidupku di bawah kekuasaan-Mu Ya Allah.
Perkenankanlah hajat di hatiku Ya Allah.
Ameen, ameen, ameen Ya Rabbal 'Alamin.

* Al-Fatihah buat arwah bonda yang telah mempertaruhkan nyawanya untukku.

Thursday, November 25, 2010

Termenung Seketika...


Seorang nenek harus berjalan jauh ke pasar di kota untuk menjual bunga cempaka. Itulah kerja hariannya.

Selepas berjualan, beliau singgah dahulu ke masjid di kota untuk bersolat zuhur.
Selepas berdoa dan berwirid sekadarnya, nenek itu akan terlebih dahulu membersihkan dedaun yang berselerakan di halaman masjid. Ini dilakukannya setiap hari di bawah terik matahari. Setelah semua dedaun itu dibersihkan barulah beliau pulang ke desanya.Jemaah dan pengelola masjid kasihan melihat rutin nenek yang demikian.

Suatu hari, pengurus masjid memutuskan untuk membersihkan dedaun yang berselerakan di halaman masjid sebelum nenek itu datang. Fikirnya, usaha itu akan membantu nenek tadi agar tidak perlu bersusah payah membersihkan halaman masjid itu.

Rupanya, niat baik itu telah membuat nenek tersebut menangis sedih.

Dia bermohon supaya dia terus diberi kesempatan membersihkan halaman masjid seperti biasa.

Akhirnya, pihak masjid terpaksa membiarkan situasi berjalan seperti biasa supaya nenek itu tidak lagi hiba.

Satu ketika apabila ditanyakan seorang kiai mengapa nenek tersebut perlu melakukan hal itu, nenek tersebut menjawab:

“Saya ini perempuan bodoh, kiai. Saya tahu amal-amal saya yang kecil ini mungkin juga tidak benar dijalankan. Saya tidak mungkin selamat pada hari kiamat tanpa syafaat Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam.

“Setiap kali saya mengambil selembar daun, saya ucapkan satu selawat kepada Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam. Kelak jika saya mati, saya ingin Rasulullah menjemput saya.

“Biarlah semua dedaun ini bersaksi bahwa saya telah membacakan selawat kepadanya.”

Monday, August 16, 2010

Kembali Berblog

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah.

Akhirnya berjaya membebaskan blog dari beberapa masalah yang berkaitan dengan penggunaan 'username' yang pelbagai.

Semoga berkekalan MERDEKA!!!

Monday, November 09, 2009

Selangkah Ke Hadapan


InsyaAllah, jika tidak ada apa-apa halangan, saya bakal meninggalkan kampus UIAM (Gombak) kira-kira dua minggu dari sekarang. Masih ada satu kertas peperiksaan berbaki yang akan diduduki pada 13 November 2009 ini.

Berbagai-bagai perancangan yang sedang diatur bagi menyelaraskan matlamat yang ingin dicapai sesuai dengan kemampuan diri. Dalam mempertimbangkan beberapa cadangan daripada rakan-rakan, terkenangkan perbualan bersama seorang teman.

"Tinggal beberapa bulan lagi kat sini. Apa perkara yang terfikir hendak dibuat sebelum meninggalkan UIA?", soal teman saya.

"Bukan apa yang nak dibuat di sini (UIA) yang diutamakan, tapi apa sumbangan yang bakal diberikan setelah berada di luar nanti. Hendak menyumbang di mana?"

Sememangnya saya lebih runsingkan kehidupan realiti selepas tamat pengajian berbanding perkara yang saya mahu wariskan kepada generasi pelapis memandangkan zaman kampus merupakan satu dunia yang lebih mudah dibentuk pemikirannya (akal). 'Dunia tahu' kata orang zaman sekarang. Manakala, dunia realiti memerlukan kepada MAHU. Segala-galanya bergantung kepada diri sendiri. Bergerak dengan hasil dorongan dari dalam diri.

Jika kita berdakwah kerana keyakinan akal terhadap hujah dan dalil, akal kita menawarkan TAHU. Apabila kita duduk dalam ‘dunia akal ‘di kampus, ia sudah cukup untuk membantu diri kita terjun ke medan dakwah. Dunia realiti bukan dunia akal. Ia bukan dunia tahu, dunia kita adalah dunia MAHU.


Terbayang-bayang 5 huruf yang cukup digeruni... S.I.B.U.K.

Sewaktu berada di kampus, tidak banyak kewajipan yang mesti didahului. Oleh sebab itu, keutamaan kepada kewajipan berdakwah tidak sukar untuk dipenuhi. Namun, apabila sudah berkeluarga dan berkerjaya, peranan semakin bertambah. Mungkin kewajipan berdakwah dilihat sebagai agenda kedua atau ketiga.

Dalam keserabutan minda memikirkan pelbagai perkara, akhirnya saya tadahkan tangan memohon ke hadrat Ilahi agar ditunjukkan jalan yang benar serta sentiasa berada di dalam pemeliharaan-Nya.

"Dakwah bukan hanya untuk kejayaan diri, tetapi juga untuk kejayaan orang lain. Bukan hanya berjaya mengubah cara fikir, cara pakai dan cara cakap, tetapi berjaya mengubah erti hidup dan bertemu jalan menuju Syurga!


Kita berdakwah kerana pada dakwah itulah kita bertemu kepuasan hidup. Pada dakwah itulah kita memberi makna kepada hidup. Keinginan untuk berdakwah, adalah kerana kemanisan iman dan penghargaan yang tinggi terhadap hidayah Tuhan, yang melimpah ruah di dalam hati, sebelum datang soal wajib dakwah dan panggilan dakwah terhadap kerosakan bi’ah (persekitaran)." - Abu Saif




“Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya” (Surah Al-Mu’minun : 61)

Wednesday, September 30, 2009

1 Syawal 1430: Dari Hujung Lensa


Satu hari di hari raya bersama sebahagian kecil dari Keluarga


Ayahanda


Adik Bongsu, Ayahanda, Saya dan Abang


Bersama Nur Safira (anak saudara)

Monday, August 17, 2009

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan





عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : صعد النبي صلى الله عليه وسلم المنبر فقال : آمين ، آمين ، آمين ، قيل يا رسول الله إنك صعدت المنبر فقلت : آمين آمين آمين ، قال : أتاني جبريل عليه الصلاة والسلام فقال : من أدرك شهر رمضان فلم يغفر له فدخل النار فأبعده الله ، قل : آمين ، فقلت : آمين ، فقال : يا محمد ، ومن أدرك أبويه أو أحدهما فلم يبرهما فمات فدخل النار فأبعده الله ، قل : آمين ، فقلت : آمين ، قال : ومن ذُكرتَ عنده فلم يصل عليك فمات فدخل النار فأبعده الله ، قل : آمين ، فقلت : آمين

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA katanya: “Nabi SAW menaiki mimbar, kemudian baginda berkata: amin, amin, amin. Ditanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah, tuan menaiki mimbar dan mengucapkan amin, amin, amin?” Baginda SAW menjawab: “Jibril AS datang kepadaku, dan berkata: “Sesiapa yang berada dalam bulan Ramadhan, lalu Allah tidak mengampunkan dosanya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka dan akan dijauhkannya, katakan (wahai Muhammad) amin,” Lalu aku (Nabi SAW) pun menyebut “amin”. Jibril berkata lagi: “Wahai Muhammad, sesiapa yang memiliki dua orang tuanya atau salah seorang mereka, namun dia tidak berbuat kepada mereka berdua, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam neraka, dan Allah akan menjauhkannya, katalah amin.” Lalu akupun berkata: “Amin”. Berkata Jibril lagi: “Sesiapa yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak berselawat kepadamu, dan Allah akan menjauhkanya, katalah amin.” Lalu akupun menyebut: “Amin.”



Di kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf kepada semua sahabat sahabiah serta para pembaca yang dihormati sekalian.

Sesungguhnya, setiap kebaikan itu merupakan kurnia dari Allah subhanahu wa taala. Manakala, segala yang buruk itu berpunca dari kelemahan diri saya sendiri dan saya mohon kesejahteraan dari-Nya.

"Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan."

Mudah-mudahan, dengan kedatangan bulan tarbiyyah ini, kita berjaya merintis jalan keTAQWAan serta berpeluang mendekatkan diri kepada Tuhan Rabbul 'Alamin.

InsyaAllah...

Wednesday, July 22, 2009

Maaf, Belum Sampai Ke Tahap Itu


"Salam. Kak Zatil, minta huraikan tentang hadith ni. Apa status hadith ni?"

"Ada orang tanya, Jika nabi Muhammad itu maksum, kenapa baginda masih lagi buat kesalahan yang menyebabkan dosa kecil? macam mana ye nak jawab? URGENT."

"Wakil ***** (Nama sebuah pertubuhan) akan berjumpa dengan pimpinan PAS. Apa harapan akak untuk disampaikan kepada Tuan Guru?"

"Assalamu'alaikum. Ustazah, minta bagi pengisian tentang tajuk Aqidah Islamiyyah untuk tamrin asas,"

"Salam. Tolong saya akak. Tolong terangkan kenapa kita mesti pilih jemaah ni? Apa sejarah mengenai jemaah ******?"

"Salam. Kak Zatil, nak tanya tentang Fiqh Taghyir dan contohnya. As soon as possible ye. Syukran."

"Minta pandangan akak tentang jalan kesufian dalam gerakan Islam."


Jangan salah faham dengan entri saya pada kali ini. Tidak pernah terlintas di hati untuk bermegah-megahan. Malah, saya menulisnya sebagai peringatan bahawa ilmu pengetahuan saya belum sampai ke tahap itu untuk menjawab soalan-soalan yang pernah diajukan oleh sahabat-sahabat yang dikasihi. Apatah lagi mahu memenuhi setiap undangan untuk menyampaikan pengisian atau ceramah. Kemampuan saya masih belum sampai ke tahap itu.

Kadang-kadang saya menjawabnya dengan 'ilmu segera' kerana saya tidak melalui sebarang disiplin ilmu untuk menuntut ilmu dalam bidang pengajian agama Islam. Perasaan bimbang dan bersalah menghantui saya seandainya memberikan jawapan dalam keadaan yang tidak pasti mengenai kesahihannya.

Sebenarnya saya berasa serba salah apabila diberikan persoalan yang berkaitan dengan bidang pengajian agama Islam. Rasa rendah diri pun ada apabila pihak yang bertanyakan soalan itu merupakan pelajar yang berlatarbelakangkan bidang pengajian Syari'ah, Ilmu Wahyu serta bahasa Arab. Besar pertimbangan yang dibuat sebelum jawapan disediakan buat mereka. Saya memohon kemaafan seandainya penjelasan saya sekadar cukup-cukup makan sahaja. Aras pengetahuan saya masih lagi rendah. Mana mungkin saya berupaya menjawab persoalan level 5 dengan kedudukan yang masih berada di level 3.

Saya mudah memenuhi sesuatu permintaan atau persoalan itu kerana tidak sampai hati membiarkan mereka tertunggu-tunggu. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang amat memerlukan jawapan dengan kadar segera. Saya akan berusaha menggalinya juga walaupun tidak setepat mana kerana saya terfikir, mungkin mereka dalam keadaan yang sangat terdesak. InsyaAllah, saya cuba menjawabnya sebaik mungkin.

Realitinya, saya akan merasa berpuashati seandainya dapat menyelesaikan permasalahan yang ada hubungkaitnya dengan pendidikan dan ICT kerana ia merupakan bidang saya. Namun, tidak ramai yang berminat untuk bertanyakan persoalan mengenai dunia ICT jika dibandingkan dengan subjek agama. Sukar untuk saya mendalaminya...

Kepada sahabat-sahabat, jangan merasa bimbang untuk mengajukan sebarang persoalan selepas daripada ini. Asalkan dengan meletakkan saya sebagai sumber sekunder. InsyaAllah, saya akan cuba untuk memenuhinya dengan kemampuan yang ada. Saya menganggapnya sebagai satu cabang untuk mencari pengisian diri. Banyak yang telah saya pelajari daripadanya. Malahan, saya merasa semakin bersemangat untuk menambah ilmu pengetahuan agar mampu menyelesaikannya suatu masa nanti.

Berikanlah sedikit masa. Saya masih lagi dalam proses pembelajaran...



Firman Allah dalam Surah al-Isra ayat 36 (maksudnya):
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.


Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H):
“Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang daripada kesilapan (maksudnya RasululuLah S.A.W) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat kekeliruan pada ikutan tersebut. Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima kita tinggalkannya.”. (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s 165, Beirut: Dar al-Kitab al-`Arabi).

Saturday, April 25, 2009

Saya Ingin Kembara

Setiap kali terbaca artikel yang menceritakan pengalaman penulis mengembara di bumi asing, hati saya dipaut rasa cemburu. Sudah lama saya merancang untuk berkelana ke seberang laut dengan nawaitu untuk menambah ilmu dan menambah keyakinan tentang kisah-kisah sejarah yang pernah saya baca. Tidak sah rasanya mengenal sejarah tanpa mengenali kawasan atau tempat kejadiannya.

Pernah satu ketika, saya dan sahabat baik saya, Sulastri merancang untuk menyediakan peruntukan untuk kami keluar mengembara selepas tamat belajar nanti di samping menyelesaikan hutang-piutang yang bersangkutan dengan pengajian.

Jika beliau memilih untuk menjenguk ke negara Sepanyol demi menyaksikan sendiri tinggalan sejarah Andalus, Cordova dan Granada serta keagungan pemerintahan kerajaan Al-Hambra suatu masa dahulu. Saya pula memasang impian untuk menjejakkan kaki ke Salalah atau dikenali juga sebagai "Kota Nabi-Nabi". Di wilayah Salalah terletaknya makam nabi Ayub, makam Imran (datuk nabi Isa) dan bekas-bekas peninggalan nabi Saleh a.s.

Saya ingin ke Gunung Mathlab, Madain Saleh di Yaman bagi memungut ibrah dari kisah kaum Nabi Saleh serta menikmati hasil seni pahatan kaum Tsamud. Jika membelek kisah nabi Saleh dari Surah As-Syu'ara', maka kita akan dapati sejumlah besar kaum Tsamud merupakan pengukir dan pemahat bukit yang baik. Subhanallah, hati pasti terpesona melihat keindahan gunung yang dipahat membentuk bangunan tersebut.


Keutuhan Seni Binaan Kaum Tsamud
























Kecanggihan Teknologi Dan Kegemilangan Peradaban Sepanyol








Wednesday, April 22, 2009

Air Tangan Seorang Ayah

"Pergilah makan dulu. Nasi ada dekat dapur. Lauk ada bawah saji." Sampai-sampai saja, ayah terus menyuruh saya makan terlebih dahulu. Beliau pula sedang bersiap-siap untuk ke surau yang berdekatan. Sudah hampir Maghrib rupa-rupanya. Rutin harian beliau, bersiap sedia untuk ke surau 15 minit sebelum masuk waktu solat.

Ayah saya faham, perjalanan yang mengambil masa selama 8 jam dari Kuala Lumpur ke Kelantan pastinya menggunakan banyak tenaga. Sememangnya inilah tabiat saya. Pulang saja dari UIAM, kaki saya terus melangkah ke dapur mencari sesuatu untuk mengisi perut.

Namun, kepulangan kali ini tidak seperti biasa. Ini kali pertama saya menjamah masakan kari ayam dan telur dadar hasil air tangan ayah. Jika dulu hidangan emak yang membuka selera menggamit rasa. Kini, masakan ayah menumpahkan kasih sayang yang berada di luar kebiasaan. Mungkin beliau tidak mahu saya merasai kehilangan bonda tersayang. Saya menjamu selera dengan perasaan sebak.

"Ilmu agama kena cari sendiri. Ayah tak dapat bagi sebab ayah pun kurang juga. Ilmu agama tu penting, sebagai bekalan di akhirat." Antara pesanan ayah ketika memberi ucapan dalam satu sambutan hari keluarga saya.

Kasih ayah bonda tersemat di kalbu.

Terima kasih duhai ayahanda tercinta.


Kenangan Di Zaman Sekolah

Memandang setiap sudut di dalam rumah, mampu mengundang titisan air mata. Saya rindukan zaman kanak-kanak saya yang penuh warna-warni. Pagi kami sekeluarga dikejutkan dengan suara garau ayah yang baru pulang dari menunaikan solat Subuh dari surau. Selama 12 tahun ayah setia menghantar dari rumah serta mengambil saya dari sekolah. Sementara menunggu saya dan adik menyiapkan diri untuk ke sekolah, beliau menghabiskan beberapa helaian Al-Quran sebagai santapan rohani.

Pulang saja dari sekolah, kami adik-beradik berkejaran ke rumah tok guru untuk belajar mengaji Al-Quran. Siapa lambat, panjanglah beraturnya kerana jumlah kami yang ramai, menjangkau 30 orang. Lambat siap mengaji, lambatlah pula ke padang permainan. Permainan kami macam-macam, dari coh (galah panjang), wau bulan, bola kaki tiga hinggalah ke aktiviti berakit di sepanjang parit di belakang rumah saya.

Di sebelah malam pula, kami adik-beradik menyiapkan kerja sekolah selepas menonton TV. Waktu itu, rancangan kegemaran saya adalah Tomato Man, The Cave of the Golden Rose dan Mask Man.


Kini

Perangai, pemikiran, gaya hidup dan tabiat saya sudah banyak yang berubah seiring dengan pertambahan usia. Ramai juga rakan-rakan yang menegur kelainan saya ini.

Namun, saya bersyukur andainya saya berubah ke arah kebaikan. Sebaliknya, saya mohon diperbaiki sekiranya keburukan yang ditempa.


*Takziah saya ucapkan kepada teman, Ernie Farashikin dan Wan Firdaus yang baru sahaja kehilangan ayahanda tercinta. Semoga tabahkan hati.

Tuesday, April 14, 2009

"Sebutir Permata" Dakwah Yang Hilang

"AL-FATIHAH kpd allahyarham Ahmad Syukri Abd Kadir yang telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Moga ruhnya di kalangan para Muttaqin."

"ALFATIHAH kpd allahyarham Ahmad Syukri (Bayie) yang baru meninggal dunia sebentar tadi. Semoga arwah dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman."


Mesej yang diterima sekitar pukul 12.15-12.30 am lewat malam semalam, saya sambut dengan alunan surah Al-Fatihah di dalam dada.

Hanya Allah yang menjadi saksi segala jasa dan pengorbanan yang telah dikau curahkan ke jalan dakwah ini hingga ke titisan terakhir.

Alhamdulillah, Allah mengurniakan kesempatan kepada saya untuk menziarahi beliau pada tahun lepas. Ketika itu beliau baru sahaja selesai menunaikan solat fardhu Asar. Terasa sebak seketika apabila melihat beliau terpaksa membuka kelopak mata dengan kudrat tangan kerana ingin melihat sahabat-sahabat yang berkunjung ke rumah kakak beliau. Sedaya upaya saya cuba menahan air mata ini dari gugur ke pipi.

Masih terbayang-bayang lagi kenangan ketika sama-sama menjalankan gerak kerja dakwah di kampus UIAM.

Hanya doa yang dapat kami kirimkan.

Semoga Allah swt mempermudahkan kembaramu di alam barzakh.

Dan... kami juga bakal menyusulmu ke sana satu hari nanti.

Thursday, January 29, 2009

Kerinduan Yang Menjengah


Sewaktu Majlis Konvokesyen Saya Di UiTM, Shah Alam (2005)


Lebih kurang 15 minit lagi azan Maghrib akan berkumandang dari Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS), UIAM Gombak. Air mata saya sudah semakin sukar untuk dibendung, mengalir laju menuruni pipi. Saya biarkan saja sambil tersedu sedan. Entah kenapa, hati ini tiba-tiba saja dilanda rindu yang amat mendalam terhadap bonda.

Perlukah untuk saya iringi pemergian bonda dengan tangisan? Saya sedar, bukan kesedihan yang bonda perlukan untuk menjadikan tempat tinggal abadinya bercahaya. Lantas, sekalung doa saya utuskan buat bonda selesai sahaja azan Maghrib:

“Ya Allah Ya Tuhanku, ampunkanlah dosa-dosa ibuku.
Cucurilah rahmat kepadanya sebagaimana dia telah menjagaku semasa kecil.
Tempatkanlah ibuku di kalangan para Solihin.
Allahumma aamin, Allahumma aamin, Allahumma aamin…”


Hati saya terasa berat untuk pulang ke rumah pada cuti pertengahan semester ini. Pulang ke rumah membuatkan jiwa saya terasa sebak. Saya mudah menangis setiap kali terpandangkan tempat pembaringan bonda yang mana di situlah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan ditemani ayah, kakak sulung serta adik bongsu saya.



Family Gathering 2008 (3 Syawal 1429)




Kenangan Di Aidilfitri 1998 (Separuh dari jumlah sekarang)


Sudah saya maklumkan kepada ayah awal-awal lagi tentang ketidakpulangan saya ini sewaktu beliau ingin pulang ke Kelantan setelah 2 minggu berada di rumah kakak.
Sekali-sekala kami bawa ayah ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan kami adik-beradik dan cucu-cucunya sambil kami mengadakan Grand Family Gathering yang tidak kerap mampu mempertemukan kami sepuluh beradik sekaligus. Cucu ayah sudah seramai 23 orang rupa-rupanya. Alhamdulillah...


"BERTEMU TIDAK JEMU, BERPISAH TIDAK GELISAH..."

Saturday, December 27, 2008

Semoga Matang Bersama Umur Yang Berkat


Alhamdulillah, 28 Disember 2008 telah menggenapkan usia saya ke 25 tahun. Hampir setahun menunggu tarikh ini, akhirnya bertemu jua di antara penghujung tahun Masihi dan permulaan tahun Hijriyyah (1 Muharam 1430). Salam Hijratur Rasul 1430...

Tahun 2008 telah saya gunakan untuk mengembara dalam mengenal potensi diri setelah menyedari yang diri ini telah tersalah memilih jalan. Dan saya telah berazam untuk tidak mengalah dalam mencari destinasi yang sesuai dengan fungsi diri saya serta berani mengambil risiko untuk mencuba pelbagai bidang. Namun, keutamaan tetap diberikan kepada dakwah. Persoalan berjaya atau gagal, telah saya tinggalkan di belakang tawakkal.

Terlalu banyak pengajaran dan pengalaman pahit manis yang saya perolehi pada tahun ini. Keputusan terbesar sepanjang hidup yang saya ambil adalah dengan menjarakkan diri dari perkara yang sangat dekat dengan jiwa saya selama ini memandangkan ianya terlalu berkabut dan mengelirukan. Benarlah, sesuatu benda itu kabur dan susah untuk dilihat dengan jelas apabila terlalu dekat dengan mata kita. Ia perlu dijauhkan sedikit dari diri agar beroleh pandangan yang terang.

Ketika diri dalam kekeliruan, ayat ke-6 dari surah Al-Fatihah saya jadikan sebagai zikir memohon petunjuk dari Yang Maha Bijaksana. Saat ini, hanya hati yang memimpin setiap keputusan yang bakal dibuat.

Kebahagiaan bukanlah terletak pada sesuatu yang kita impikan, tetapi ianya berada pada sesuatu yang kita punyai pada saat ini. Walaupun kita telah berjaya mendapatkan segala apa yang kita mahukan, belum tentu kita akan merasa tenang dan puas. Sebaliknya, segala yang sedang kita miliki itulah sebenarnya yang mendamaikan hati kita. Allah-lah yang lebih mengetahui apa yang kita perlukan berbanding diri kita sendiri.

Cubalah hargai setiap perkara yang berada dalam tangan kita kerana sesuatu itu dijadikan bukan dengan sia-sia serta bukan untuk sia-sia. Pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Bersyukur dan redhalah dengan apa yang kita miliki, nescaya kita akan tenang dan bahagia.

Betapa indahnya tawakkal pada-Mu Ya Allah.

Berlalulah tahun 2008 dengan pelajaran realiti hidup yang bernilai. Selamat datang kepada tahun 2009, semoga hari-hari mendatang akan lebih bermakna. Ameen.

Hanya keberkatan yang kudambakan dari umur yang telah digunakan serta rahmat dari usia yang bakal dilalui nanti....Kembara seorang hamba mencari Sang Pencipta.


"SANAH HELWAH YA ZATIL AZYYATI MUSTAPHA"

Thursday, October 23, 2008

Pemergianmu



Ke Makam Bonda

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan

Oleh: Usman Awang (Tongkat Warran)



Innalillahi wa inna ilaihi rojiun.
Telah pulang ke Rahmatullah, Bonda tercinta Fatimah Bt Deris pada hari Selasa (8.40pm), 7 Syawal 1429 bersamaan 7 Oktober 2008. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesedihan di hati bilamana menerima panggilan selepas selesai menunaikan solat fardhu Isyak, yang mana mengkhabarkan berita pemergian Bonda tercinta.

Ya Allah... terasa berat untuk dihadapi.
Bonda yang melahirkanku telah 'tiada'.
Terputus sudah doa darimu,
Berakhir sudah tarbiyyah darimu,
Tiada lagi insan yang menyambut kepulanganku,
Tiada lagi tempat untukku mengadu,
Hilang sudah sumber inspirasiku,
Masih terasa restumu mengiringi perjuanganku,
Kasihmu tiada nilainya... duhai Bonda

Saya & Keluarga mengucapkan TERIMA KASIH yang tak terhingga kepada semua
TERIMA KASIH kepada Sulastri dan Hawa yang telah menemani dan banyak menenangkanku ketika saat itu. Jasa baik Hawa kepada kami sekeluarga tidak akan dilupakan.

TERIMA KASIH juga kepada sahabat-sahabat yang datang ziarah ke rumah:
ust. Ridhwan, Ahmad Firdaus, Ain Kamaluddin, Tengku, Farhaini, Kak Hajar & suami, Kak Syie serta sahabat-sahabat Nisa' dari SUK Kelantan.

TERIMA KASIH kepada sahabat-sahabat yang mengutuskan doa:
Syairah & ust. Shaferul.

TERIMA KASIH kepada sahabat-sahabat yang memberikan kata-kata semangat:
Hasna Kamilah, Rosashrakiah, Hidayat, Siti Fatimah Mustapa, Siti Fatimah Hidayah (dari rumah Generasi), Zalikha, Izzah, Rafidah, seluruh Mas'ul & Mas'ulah serta Alumni UIAM & UiTM, akhi Saifudin, Aidah, Najmudin, Syafiq, Nazariah, Fakhrati, Noor Azmin, Nor Azrina (Iena), adik-adik usrah KSKB Sg. Buloh, Shamsiah, Faezah, Abdul Rauf, Erni, serta sahabat-sahabat yang tak mampu untuk saya ingat kesemuanya memandangkan terlalu ramai & keadaan emosi saya pada waktu itu (sesungguhnya saya memohon kemaafan atas kelemahan diri).

"HANYA ALLAH YANG DAPAT MEMBALASNYA"


“(Yaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami akan kembali.” [TQS al-Baqarah (2):156]

Ya Allah, ampunilah kami, baik yang masih hidup maupun yang telah mati, yang hadir di sini maupun yang tidak hadir, yang kecil maupun yang besar, yang laki-laki maupun yang wanita. Engkau Maha Tahu tempat kami dan tempat istirahat kami. Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, barang siapa yang Engkau hidupkan diantara kami maka hidupkanlah di atas Islam dan sunnah (ahli sunnah, pent). Barang siapa yang Engkau matikan diantara kami maka matikanlah di atas Islam dan sunnah. (HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Ya Allah ampunilah dia, rahmatilah dia, selamatkanlah dia, maafkanlah dia, baguskanlah tempat tinggalnya, luaskanlah kuburnya, mandikanlah ia dengan air, salju dan embun, bersihkanlah ia dari dosa dan kesalahan sebagaimana kain putih dibersihkan dari kotoran. Jadikanlah rumah yang lebih baik dari rumahnya, pasangan yang lebih baik dari pasangannya, masukkanlah ia ke dalam sorga dan lindungilah ia dari azab kubur dan azab neraka. Lapangkanlah ia dalam kuburnya dan berilah ia cahaya di dalamnya. (HR. Muslim)


"Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uuna. Allaahumma ajirnii fii mushiibatii wakhluf lii khairan minhaa."

Sesungguhnya kami memiliki Allah dan sesungguhnya kami kembali kepada-Nya. Ya Allah berilah kami pahala dalam musibahku ini dan berilah pengganti yang lebih baik. (HR. Muslim)