Wednesday, August 20, 2008

Status Quo UiTM: Isu Yang Dipolitikkan




Rasa terpanggil untuk mengulas tentang isu 10% kuota kemasukan non-Bumiputera ke UiTM kerana saya merupakan salah satu dari produk keluaran UiTM cawangan Kelantan sebelum melanjutkan pengajian di UIAM, Gombak. Mungkin kerana sentimen UiTM masih menebal dalam diri saya. Sememangnya suasana di seluruh kampus UiTM agak unik berbanding di kampus-kampus lain memandangkan komuniti yang menghuni bumi UiTM adalah 100% Bumiputera ataupun Melayu. Pihak pentadbiran memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendoktrin pemikiran mahasiswa UiTM dengan semangat cintakan kerajaan BN sehinggakan slogan yang dipilih adalah “Nikmat Allah Wajib Disyukuri, Jasa Kerajaan Pusat Wajar Dikenangi”…

Sesungguhnya pola pergerakan mahasiswa UiTM amatlah sempit dan mendatar. Sepanjang mengikuti pengajian di sana, saya tidak pernah berpeluang mengutip pengalaman menyertai sebarang perarakan protes apatah lagi berdemonstrasi bagi menyatakan pendirian yang berhubungkait dengan mainstream pemerintah. Minda muda mahasiswa yang seharusnya sentiasa terkehadapan dan agresif ditumpulkan dengan peraturan dan pelbagai sekatan yang mengekang.

KEPRIHATINAN ATAU BERKEPENTINGAN?




Pada mulanya, pemikiran sempit saya tentang politik mengagumi keberanian dan rasa tanggungjawab seramai 5,000 pelajar-pelajar UiTM yang menganjurkan demonstrasi pada 14 Ogos 2008 bagi membantah cadangan MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Namun, setelah memperhalusi beberapa pandangan dari rakan-rakan mahasiswa serta alumni UiTM, saya mulai sangsi terhadap intent kepartian di sebalik penganjuran bantahan ini. Adalah satu perkara yang ajaib melihat ribuan mahasiswa UiTM menganjurkan demonstrasi jalanan tanpa sekatan dari pihak pentadbiran, skuad ‘polis pengiring’ dan FRU. Ternyata, aksi merbahaya ‘anak emas’ kerajaan ini mendapat pelepasan dan sokongan dari pihak atasan berdasarkan tindak-tanduk Naib Cancelor Universiti UiTM, Prof. Ibrahim Abu Shah yang tidak mengenakan sebarang tindakan disiplin terhadap pelajar-pelajar yang terlibat serta kritikan tajam beliau terhadap MB Selangor.

Saya yakin, seandainya kenyataan ini dikeluarkan oleh para pimpinan BN, isu mengenainya tidak akan diperpanjangkan lagi malahan akan disambut baik oleh warga UiTM atas dasar menggalakkan persaingan dan meningkatkan kualiti pendidikan kaum Bumiputera. Dato Menteri Besar telah menyatakan pendirian bahawa beliau tidak pernah bermaksud mempertikaikan hak-hak keistimewaan pelajar bumiputera dan sedar bahawa UiTM ditubuhkan bagi membantu mengangkat martabat pelajar Melayu serta bumiputra Sabah dan Sarawak. Kerajaan Negeri terus menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan termasuk Artikel 153 Mengenai Hak-hak Istimewa Orang Melayu. Namun, sampai ke saat ini, UMNO terus menyalakan api perkauman dengan memperbesarkan isu tersebut lebih-lebih lagi menjelang event penting buat PKR iaitu, Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh.

MENGANALISA TINDAKAN MB SELANGOR
Melihat kepada kedudukan beliau pada masa sekarang, pastinya perkara yang menjadi keperluan dalam menjaga imej PKR adalah dengan mempamerkan sikap adil beliau selaku perwakilan PKR itu sendiri, terhadap semua kaum. Namun, momentum yang ditunjukkan oleh pihak UiTM seolah-olah memberikan suatu jawapan bahawa hak keistimewaan Melayu sekali-kali tidak akan dicerobohi oleh mana-mana pihak.
Beliau telah menunjukkan pendirian yang tidak berbelah-bagi dan keterbukaan dalam soal ini dengan mencadangkan satu perjumpaan antara beliau dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dengan pelajar UiTM diadakan (dipetik dari Suara KeADILan Online).

UTAMAKAN YANG UTAMA
Dalam isu ini, UiTM seharusnya memberikan penumpuan dalam menaikkan mutu dan kemudahan universiti itu sendiri supaya ianya boleh dianggap sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang disegani di peringkat Negara berbanding soal hak. Seandainya pihak pentadbiran berusaha mengembleng tenaga dan buah fikiran para akademiknya untuk meningkatkan mutu pendidikan serta kualiti mahasiswa UiTM, pastinya tidak akan timbul soal membuka ruang kemasukan pelajar-pelajar non-Bumiputera ke UiTM bagi mewujudkan daya saing di kalangan mahasiswa.
Namun, agak sukar untuk mengenepikan sentiment yang telah sebati sejak sekian lama. Mahu tidak mahu, persoalan hak terpaksa diredah jua seandainya ingin membawa angin perubahan dalam sesebuah kawasan yang dijaga rapi, sekalipun pemiliknya telah bertukar tangan.


Mara means "to advance (forward)". It is the opposite of "retreat" and the declaration of defeat. It does not mean Undur. -Malaysiakini

No comments:

Post a Comment