Saturday, August 22, 2009

SHAUM: Bekalan Di Sepanjang Perjalanan


Allah telah menyebut di dalam surah al-Baqarah ayat yang ke-183 bahawasanya, puasa itu diwajibkan ke atas Muslim agar mereka bertaqwa.

Orang-orang yang berpuasa kerana Allah pada bulan Ramadhan akan mendapat pakaian TAQWA. Ia merupakan perisai yang mempertahankan diri dari kejahatan dan hawa nafsu.

‘Ibadat puasa lebih istimewa daripada ibadat-ibadat yang lain kerana ia dinisbahkan secara khusus kepada Allah. Daripada Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu:
Bersabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam: Allah ‘Azzawajalla berkata: “Setiap anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untukKu dan Akulah yang membalasnya. Puasa adalah perisai. Apabila seseorang itu berpuasa pada suatu hari maka janganlah mengungkapkan perkataan jelek dan janganlah menengking. Sekiranya seseorang mencelanya atau menyerangnya, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa.’ Demi yang diri Muhammad di tanganNya, sesungguhnya berubahnya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah dari bau kasturi. Orang yang berpuasa merasai dua kegembiraan. Apabila ia berbuka, ia bergembira. Dan apabila ia bertemu dengan Tuhannya, ia bergembira dengan puasanya.” (Sepakat riwayat)

Fardhu puasa terikat dengan bulan Ramadhan. Apabila disebut Ramadhan, seolah disebut syurga yang amat luas. Seorang Muslim merentasinya, seolah-olah ia berjalan di tengah-tengah padang pasir kehidupan yang mana bahang panasnya tidak terperi dan mereka terpaksa menempuh pelbagai fitnah. Maka, puasalah yang menjadi bekalan dan memberikan kebaikan kepadanya. Ianya difardhukan pada bulan Ramadhan agar bekalan dapat digandakan serta bertambalah seri dan kebaikan.

Puasa menghasilkan sifat ikhlas dan memperbaiki ingatan hati terhadap Allah subhanahu wa ta’ala, kerana ia adalah rahsia antara hamba dan Tuhannya. Ikhlas kepada Allah merupakan antara bekalan terbesar dan paling perlu bagi setiap Muslim di sepanjang kembara kehidupan mereka. Tiada kebaikan daripada amalan atau usaha yang tiada keikhlasan kepada Allah. Allah subhanahu wa ta’ala terkaya daripada segala sekutu. DIA tidak menerima sebarang amalan melainkan yang ikhlas kepada-NYA.

Puasa juga berupaya menghasilkan mujahadah terhadap keinginan nafsu dan jasad. Ia menguatkan kemahuan seseorang Muslim. Puasa menahan kemahuan nafsu syahwat dari suatu yang halal dalam jangka waktu, pada setiap hari, selama sebulan. Inilah bekalan yang mesti dan daruri bagi setiap Muslim dan mujahid di jalan-Nya.

Amalan berpuasa memperbetulkan mind set yang salah pada kebanyakan orang, mereka bergembira apabila mendapat kebendaan dunia dan bersedih ketika kehilangannya.

Sesungguhnya, puasa menuntut seribu satu kesabaran. Sabar dalam membendung hawa nafsu. Sabar dalam mendidik akal dan hati. Sabar dalam memahami prinsip syari’atullah dan sunnatullah. Sabar dalam meluruskan perjalanan sebagai ‘abdillah dan khalifatullah.

“Sesungguhnya aku berpuasa.”

1 comment: