Saturday, December 27, 2008

Semoga Matang Bersama Umur Yang Berkat


Alhamdulillah, 28 Disember 2008 telah menggenapkan usia saya ke 25 tahun. Hampir setahun menunggu tarikh ini, akhirnya bertemu jua di antara penghujung tahun Masihi dan permulaan tahun Hijriyyah (1 Muharam 1430). Salam Hijratur Rasul 1430...

Tahun 2008 telah saya gunakan untuk mengembara dalam mengenal potensi diri setelah menyedari yang diri ini telah tersalah memilih jalan. Dan saya telah berazam untuk tidak mengalah dalam mencari destinasi yang sesuai dengan fungsi diri saya serta berani mengambil risiko untuk mencuba pelbagai bidang. Namun, keutamaan tetap diberikan kepada dakwah. Persoalan berjaya atau gagal, telah saya tinggalkan di belakang tawakkal.

Terlalu banyak pengajaran dan pengalaman pahit manis yang saya perolehi pada tahun ini. Keputusan terbesar sepanjang hidup yang saya ambil adalah dengan menjarakkan diri dari perkara yang sangat dekat dengan jiwa saya selama ini memandangkan ianya terlalu berkabut dan mengelirukan. Benarlah, sesuatu benda itu kabur dan susah untuk dilihat dengan jelas apabila terlalu dekat dengan mata kita. Ia perlu dijauhkan sedikit dari diri agar beroleh pandangan yang terang.

Ketika diri dalam kekeliruan, ayat ke-6 dari surah Al-Fatihah saya jadikan sebagai zikir memohon petunjuk dari Yang Maha Bijaksana. Saat ini, hanya hati yang memimpin setiap keputusan yang bakal dibuat.

Kebahagiaan bukanlah terletak pada sesuatu yang kita impikan, tetapi ianya berada pada sesuatu yang kita punyai pada saat ini. Walaupun kita telah berjaya mendapatkan segala apa yang kita mahukan, belum tentu kita akan merasa tenang dan puas. Sebaliknya, segala yang sedang kita miliki itulah sebenarnya yang mendamaikan hati kita. Allah-lah yang lebih mengetahui apa yang kita perlukan berbanding diri kita sendiri.

Cubalah hargai setiap perkara yang berada dalam tangan kita kerana sesuatu itu dijadikan bukan dengan sia-sia serta bukan untuk sia-sia. Pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Bersyukur dan redhalah dengan apa yang kita miliki, nescaya kita akan tenang dan bahagia.

Betapa indahnya tawakkal pada-Mu Ya Allah.

Berlalulah tahun 2008 dengan pelajaran realiti hidup yang bernilai. Selamat datang kepada tahun 2009, semoga hari-hari mendatang akan lebih bermakna. Ameen.

Hanya keberkatan yang kudambakan dari umur yang telah digunakan serta rahmat dari usia yang bakal dilalui nanti....Kembara seorang hamba mencari Sang Pencipta.


"SANAH HELWAH YA ZATIL AZYYATI MUSTAPHA"

Wednesday, December 03, 2008

Menghidupkan Roh Di Negeri Beragama












"Ya Allah Ya Tuhan kami,
Jadikanlah Negeri Kami,
Negeri Beragama Dan
Tempat Istirehat Orang-Orang Miskin Dan Memerlukan"

Alhamdulillah, negeri Kelantan Darul Naim yang selama ini terkenal sebagai Negeri Serambi Mekah telah berjaya mempelopori semangat Hijratur Rasul yang berlaku lebih 1400 tahun yang lalu.


Kelantan sedang meneruskan semangat hijrah tersebut dengan meninggalkan riba, meninggalkan amalan mendedah aurat, meninggalkan sikap tidak mengambil cakno terhadap fakir miskin, meninggalkan hiburan-hiburan yang membawa kepada dosa dan maksiat dan meninggalkan fahaman dan semangat sekular yang mengasingkan agama daripada politik, yang dipaksikan dengan prinsip ‘ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan.


Sesungguhnya kejayaan yang paling besar dalam hijrah ialah kejayaan membentuk kerajaan yang dapat mentadbir negara berpandukan ajaran Islam yang bertujuan untuk membawa kemaslahatan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.
Inilah juga kejayaan paling besar di Kelantan. Kita berjaya membentuk kerajaan yang mengawal Islam daripada gangguan-gangguan syirik, maksiat dan kefasikan. Dan menyuburkannya dengan mengadakan bermacam-macam program yang kesemuanya berjumlah kira-kira seratus jenis pembaharuan.


Kelantan Darul Naim walaupun memiliki kelengkapan yang agak kurang, tapi Allah S.W.T Maha Mengetahui sejak awal-awal lagi bahawa kita sedang berpegang pada seutas tali yang di hujung sana dipegang sendiri oleh Nabi Muhammad S.A.W yang ditauliahkan dengan anugerah.


Belajarlah daripada Kelantan tuan-tuan
Belajarlah daripada Tok Guru
Belajarlah berfikir sebagai insan merdeka
Bebaskan minda, bebaskan minda!