Showing posts with label Minda Teknologi. Show all posts
Showing posts with label Minda Teknologi. Show all posts

Wednesday, February 03, 2010

Tetap Tidak Sama


Kira-kira dua bulan saya menghabiskan masa di rumah. Sudah dua bulan juga tidak menjenguk internet. Susah juga mengubah tabiat daripada melayari internet sebanyak dua tiga kali sehari kepada dua tiga kali sebulan. Terasa gelisah sepanjang hari. Serba tak kena dibuatnya.

Paling terasa ketinggalan, apabila terlepas pandang setiap isu-isu terkini atau berita-berita penting yang berlaku dalam dua tiga minggu ini. Terlepas khabar terbaru mengenai perlaksanaan dasar-dasar kerajaan. Saya kekurangan maklumat berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’. Juga tidak jelas tentang perkara-perkara yang melibatkan politik di Kelantan.

Bukan tidak ada media alternatif…


Media Massa Vs Media Maya

Meskipun saban waktu televisyen menyiarkan berita tentang perkembangan semasa di dalam dan luar Negara, berbanding internet, ianya masih terdapat kekurangan dari sudut kepelbagaian sudut pandang yang diwakili individu serta badan-badan tertentu.

Saya mengikuti berita-berita di saluran TV 1, TV 3, Astro Awani dan Bernama. Namun, kesemuanya masih lagi memuatkan isi kandungan yang serupa. Malah, penyampaiannya juga hampir sama. Tidak ada pandangan yang pro dan kontra. Mungkin kerana kesemuanya datang daripada sumber berita yang satu bagi menjamin keseragaman fakta.

Berbeza dengan internet, kupasan setiap satu berita lebih menyeluruh di laman berita dan blog peribadi milik mereka yang lebih ahli untuk bercakap mengenainya.

Begitu juga dengan akhbar. Tidak ada kepuasan membaca setiap helaian di halaman yang terlalu padat lagi terbatas. Bahan bacaan lebih bersifat satu hala. Jika di internet, pengunjung masih berpeluang untuk memberikan respon terhadap sesuatu dakwaan atau pernyataan. Namun tidak di akhbar. Tidak ada perbincangan aktif bagi menyuarakan pandangan tertentu.


Semakin Hari, Semakin Senyap

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk menjadi pemerhati setia buat sementara waktu. Benarlah kata pepatah Jerman, Silent is Golden (Diam adalah Emas). Memperkatakan tentang sesuatu perkara yang kita kurang pengetahuan mengenainya, hanya akan membiakkan masalah serta kekeliruan. Diam merupakan jalan yang terbaik.

Benar-benar terasa ketinggalan.

Monday, August 10, 2009

Pembaca Yang Berhajatkan Penulisan


“Kebelakangan ni, semakin ramai rakan-rakan yang berhenti mengemaskinikan blog mereka.” Luah saya kepada seorang teman.

Bimbang juga melihat blog mereka yang sudah terlalu lama terbiar tanpa dikemaskini, tidak seperti di awal waktu pembinaannya dahulu.

Ada juga yang mengambil keputusan dengan memansuhkan terus blog peribadi mereka. Namun, saya tidak menolak kemungkinan pemansuhan tersebut dilakukan dengan bertujuan untuk menjaga hal-hal tertentu.

“Sibuk agaknya.” Jawab teman saya.

“Entahlah, mungkin lepas balik ke rumah nanti, Kak Zatil pun akan kurang update blog. Mungkin berbulan-bulan lamanya. Dekat rumah tak ada connection, tak boleh online.” Saya mengagak.

Mungkin juga cabaran untuk saya mengemaskini blog, timbul apabila berada di alam membina keluarga ataupun kerjaya nanti. Saya masih belum berada di fasa kehidupan yang sama dengan mereka. Jadi, tidak pasti pula jika saya pun bakal mengikut jejak langkah yang sama.

“Kalau kes yang macam itu, tidak mengapa. Tapi ini kalau memang tak mahu menulis langsung.” Dia membalas.

Kami mula menetapkan perancangan, “Kita akan terus update blog kita.”

“Biarpun sekadar sekeping gambar.” Sambung saya.

Saya bukanlah seorang yang gemar menulis mahupun membaca pada permulaannya. Malah, saya mengambil masa yang agak lama untuk berfikir tentang keperluan membina sebuah blog peribadi. Pada waktu itu, banyak perkara yang saya pertimbangkan. Antaranya, bahan penulisan, bentuk pengisian yang sesuai, teknik penulisan, sumber yang banyak dan boleh dipercayai serta peruntukan masa untuk menulis dan mengkaji.

Akhirnya, blog ini tercipta dengan satu matlamat, iaitu untuk PERKONGSIAN (bukannya untuk dikemaskini setiap waktu).


Halangan Dalam Mengemaskini Blog

Sebenarnya, saya sendiri merasa kurang yakin dengan keupayaan diri dalam menjamin kelangsungan blog ini. Pelbagai bisikan pesimis yang terdetik di hati. Namun, keinginan yang kuat telah memadamkan bisikan-bisikan tersebut.

Selain daripada faktor risau akan kekeringan idea untuk menulis, saya juga bimbangkan penerimaan pembaca terhadap artikel-artikel saya. Mana mungkin pembaca akan tertarik dengan penulisan yang sebegini biasa sedangkan terdapat pelbagai himpunan penulis yang lebih berpengalaman di dunia maya.

Apatah lagi dengan kehadiran pelbagai aplikasi baru yang semakin menjadi pilihan ramai seumpama Facebook, Flixster dan MySpace. Pastinya ia bakal menjadi pesaing terbesar dalam menarik perhatian pengguna-pengguna internet. Tidak mustahil semakin lama, semakin kurang pengguna yang mengunjungi blog.

Namun, saya semakin berminat untuk menulis di blog setelah terjumpa dengan hasil penulisan saya di beberapa buah blog yang tidak saya kenali siapa pemiliknya. Mereka merupakan silent readers yang pernah menziarahi blog saya. Tanpa menyapa di ruangan chat box mahupun memberikan sebarang respon di ruangan komentar, mereka mempamerkan artikel-artikel saya dengan menyatakan sumbernya dan saya amat menghargai usaha tersebut.


Tulislah, Pasti Ada Yang Membacanya

Percayalah, akan ada seseorang yang membaca penulisan kita. Meskipun bukan sekarang, namun pada suatu ketika nanti, insyaAllah.

Saya sendiri sentiasa memperuntukkan masa untuk mengunjungi blog milik rakan-rakan yang dikenali. Bahkan, saya juga turut tidak melepaskan peluang untuk mengambil faedah dari blog-blog mereka yang tidak kenali.

Blog rakan-rakan terdekat dikunjungi bagi mengetahui perkembangan terkini tentang diri mereka. Manakala, blog yang lain dijadikan sebagai tempat untuk mencari ilham buat diri sendiri.

Artikel di blog-blog tersebut, ada yang sudahpun berusia di antara dua hingga sepuluh tahun lamanya. Namun, isi kandungannya sangat menarik. Walaupun sudah bertahun-tahun dihasilkan, maklumat tersebut masih lagi relevan untuk digunakan kembali.


Perkara Utama Dalam Menulis

Sebahagian daripada pengunjung blog saya merupakan mereka yang mencari subjek-subjek tertentu melalui enjin carian Yahoo dan Google. Saya menjejaki mereka dengan menggunakan kemudahan software StatCounter untuk memerhatikan taburan pengunjung. Dalam sehari, terdapat sekurang-kurangnya 20 orang pengunjung.

Namun, saya tidak meletakkan kehadiran pengunjung sebagai satu perkara utama dalam meneruskan penulisan di blog.

Bagi saya, menulis merupakan satu bonus kerana ia mampu mendorong saya membaca dan mengetahui perkara-perkara yang dianggap baru. Melalui pembacaan, saya telah menambah bonus ilmu dalam setiap artikel yang ditulis. Aktiviti menulis juga dapat memperkemaskan lagi kualiti penulisan.

Apa yang lebih penting, menulislah kerana Allah s.w.t.

Setelah mewujudkan blog sendiri, pelbagai pengalaman bermakna yang dilalui sepanjang proses memahirkan diri dengan pembacaan dan penulisan. Tidak kurang juga, pengetahuan dan percambahan idea-idea baru yang diperolehi hasil daripada perkongsian dengan bermacam-macam jenis penulisan blog.

Terasa bermanfaatnya memiliki blog.

Monday, May 11, 2009

Teknologikah Yang Menjadikan Kami Begitu?





Computer - Internet - WeBLog - PDA - WiFi HotSpot - RSS Feed - MP4 Player - 3G Mobile phone - P1 WiMax - Sky Broadband - MySpace - YouTube - Facebook - Twitter - LAN - Gadget - Podcast-


Semakin hebat teknologi, semakin hilang nilai kemanusiaan dalam diri...

Suasana di fakulti saya sendiri sudah mampu menggambarkan hakisan nilai kemanusiaan yang semakin ketara, seiring dengan kepesatan pembangunan teknologi maklumat. Setiap kali department menganjurkan sebarang program, sambutan yang diterima sememangnya sangat hambar. Malahan, pelajar semakin tidak peduli dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

Saya akui, kehadiran dunia tanpa sempadan ini telah membuka ruang yang sangat luas untuk saya memberi dan mengakses pelbagai maklumat dari seluruh dunia. Dunia maya ini jugalah yang telah mengajar saya untuk lebih berani dalam mengemukakan sebarang pandangan serta membina medan menegur yang sangat produktif.

Inilah penangan teknologi.

Semuanya menjadi begitu bebas dan terbuka.

Interaksi sesama manusia tanpa berlapikkan budi bahasa. Tiada lagi rasa segan dan silu.

Hilang teman tidak mengapa, asalkan komputer riba setia di sisi.

Syukur kepada Allah Taala yang telah menemukan saya dengan gerakan Islam semenjak di alam kampus. Berada dalam perjuangan Islam, secara tidak langsungnya telah meruntuhkan tembok 'robotik' dalam diri saya. Saya belajar mengenal erti ukhuwwah sesama manusia hamba. Baru saya sedar, persoalan ukhuwah ini penting selepas dai'e membangunkan iman. Kemudian, barulah boleh ditimbulkan soal fikrah.

Saya juga belajar merebut peluang untuk mengenali pelbagai jenis tabiat serta tingkah laku mad'u. Saya belajar merenung siasah kehidupan mereka melalui mata hati dan saya tidak terus menjadi penghukum. Saya semakin berminat untuk menerobos ke sempadan diri manusia. Dan, saya semakin menghampiri realiti dakwah berdasarkan pengalaman berjuang menyebabkan saya sentiasa mengkaji pendekatan dakwah di alam nyata yang lebih relevan.

Mencipta imaginasi dan ilusi itu sememangnya indah. Mengeluarkannya ke dalam bentuk realiti umpama berjuang antara peluh dan airmata. Adakalanya menuntut sesuatu yang tidak sanggup untuk kita lepaskan.

Mudah-mudahan saya akan diberikan kekuatan dalam menentukan halatuju perjuangan yang seterusnya serta berupaya menawarkan secebis penyelesaian buat dunia Perjuangan Islam. InsyaALLAH...


Sedikit berita gembira sebagai penawar keresahan hati:
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
UIAM bakal jadi hab ICT Islam

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kulliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan ICT untuk dunia Islam apabila bangunan baru bernilai RM79 juta siap menjelang 2011.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Idris Haron berkata, pusat penyelidikan di KICT itu bakal menjadi peneraju kemajuan dan perkembangan ICT untuk masyarakat Islam dan dunia sejagat.

Menurut beliau, KICT akan menjalin kerjasama dengan universiti, sektor industri, pusat penyelidikan di dalam dan luar negara untuk mencipta teknologi menggunakan peralatan terkini.

“Semua program di kulliyah itu dibentuk mengintegrasi ilmu Islam dengan ICT. Saya yakin UIAM akan menjadi hab KICT dunia Islam satu hari nanti.

“Jika terdapat pertemuan terbaru sudah tentu ia mempunyai hak intelektual (IP) dan sekiranya ada nilai komersial, semua pihak yang terlibat antaranya universiti dan penyelidik akan mendapat keuntungan.

“Kementerian dan pihak universiti tiada halangan dalam urusan mengagih dan berkongsi keuntungan jika sesuatu pertemuan terbaru mendapat pasaran antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan acara pecah tanah di tapak bangunan baru KICT seluas 500,000 meter persegi di UIAM Kampus Gombak di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang meminta parti-parti politik tidak mengganggu dan mempengaruhi persatuan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

Thursday, April 02, 2009

Platform Dakwah Di Era Ini



"Sesungguhnya dakwah bukan sekadar menyampaikan. Sebaliknya tanggungjawab menguruskan dakwah juga sama penting. Soal dokumentasi, adalah penting agar usaha dakwah seorang da’ie tidak mati dengan matinya dia.

Berdakwah dengan hikmah itu luas pengertiannya. Namun hikmah yang penting untuk dikaitkan dengan topik berdakwah melalui blog ini, adalah hikmah yang bermaksud ketepatan. Tepat kaedah dan tepat sasaran. Bukan sahaja perniagaan yang memencilkan internet akan kerugian besar pada pelanggannya yang berpotensi, malah pada jalur yang sama, dakwah juga akan terpencil dengan memencilkan internet.

Berdakwah melalui blog adalah response yang dituntut bagi mendepani challenge yang sedang dihadapi semasa. Ia adalah suatu tindakan proaktif." - Ustaz Hasrizal

Friday, March 13, 2009

Anak-Anak Sudah Berubah, Ibubapa Bila Lagi?



Alhamdulillah, berkesempatan mengendalikan beberapa slot di program Kem Bina Insan Muslimah Sejati untuk pelajar sekolah tingkatan 2, 3, 4 dan 5. Masih terbayang-bayang gelagat para peserta, suasana syahdu ketika killer slot, wajah-wajah para guru yang bertungkus-lumus memastikan program berjalan lancar serta keindahan landskap chalet yang berkonsepkan desa. Terasa rindu untuk ke sana lagi. InsyaAllah, jika berpeluang.

Takjub saya mendengar cerita dari seorang ustaz tentang penghuni sebuah pusat pemulihan akhlak. Setiap kali penceramah menyebut kalimah “Rasululullah s.a.w.”, bergegar bilik kuliah dengan ucapan selawat ke atas Baginda. Subhanallah, betapa lembutnya hati mereka. Menandakan keazaman mereka untuk memulakan sebuah PENGHIJRAHAN.

Saya menarik nafas lega bila mana majority daripada peserta Kem Bina Insan ini menyatakan kesediaan mereka untuk memperbaiki kesilapan diri apabila pulang dari program nanti. Rata-ratanya memberikan kesanggupan untuk berubah jika diberikan peluang. Namun, apa yang menjadi kebimbangan adalah seandainya iltizam mereka bakal mengundang lelah di tengah jalan…

Lelah kerana persekitaran yang membantutkan pembinaan diri.

Lelah kerana terputusnya kesinambungan didikan di sekeliling mereka.

Lelah kerana terpengaruh dengan perkara-perkara negative yang datangnya dari masyarakat.

Dan, lebih malang lagi lelah dengan sikap ibubapa yang memandang remeh terhadap cara hidup beragama dalam kehidupan seharian.

Kalau adik-adik tak solat, mak ayah marah tak?”, saya cuba menyelongkar kaedah didikan ibubapa mereka.

Tak.” Sebahagiannya menggeleng-gelengkan kepala.

Sebahagian lagi menjawab, “Mereka tak cakap apa pun.”

Saya memandang mereka dengan sayu. Sama ada sedar ataupun tidak, masih ramai lagi ibubapa yang memandang ringan soal amal ibadah serta cara hidup anak-anak mereka. Beginikah caranya mengekspretasikan erti sebuah kasih sayang? Tanggungjawab ibubapa tidak cukup hanya dengan memenuhi tuntutan keperluan asas untuk hidup sahaja. Malah, ramai saja di kalangan mereka yang kekurangan dari sudut material mampu mencapai kejayaan yang membanggakan. Hal ini terjadi disebabkan oleh disiplin hidup mereka.

Fitrah jiwa remaja, mudah terikut-ikut dengan budaya dan perkara-perkara baru. Namun, fitrah memerlukan hidayah, tunjuk ajar ataupun panduan yang betul. Jika tidak, fitrah bakal bertukar menjadi fitnah. Dalam usia semuda mereka, kebiasaannya mereka akan tercari-cari satu qudwah atau role model terbaik untuk dicontohi. Ibubapalah orang yang terhampir dengan pandangan mereka untuk dijadikan teladan. Gagalnya ibubapa dalam menjadi ikutan yang baik bakal membawa mereka kepada ikutan yang salah di luar sana. Oleh itu, tawarkanlah diri sendiri untuk menjadi yang terbaik dari kaca mata anak-anak.

Saya yakin didikan yang berkesan lahir dari ajaran yang berterusan. Jika mereka telah bersedia untuk ditarbiyyah, bagaimana pula dengan murabbi mereka? Adakah berada di atas track yang sama?

Saya amat berharap supaya pihak penganjur menyediakan satu ruang di mana para ibubapa dan guru berpeluang menyaksikan sendiri kesungguhan anak didik mereka untuk mengubah diri. Janji-janji peserta hanya akan bernilai jika dilafazkan di hadapan individu-individu yang paling hampir dengan mereka atau yang bertanggungjawab dalam membentuk mereka, bukan di hadapan pihak penganjur kerana mereka tidak dikenali.




RESTU

Setitis kasih sayang ibuku tiada ternilai
Secebis pengorbanan ayahku tiada terbalas
Mengasuh mendidikku menjadi insan yang berjaya
Terima kasih ibu, ayah kerana membawaku ke dunia

Ku kucup tangan ibu, ayah tanda ku memohon restu
Ampuni jua dosa-dosa anakmu andai tersilap laku
Doakanlah hidup anakmu ini agar berjaya
sempurna sejahtera menempuhi hari yang bakal menjelma

Restu ibu dan ayah
Cahaya kehidupan
Cinta dan kasih sayang
Bersemi di taman hati

Restu ibu dan ayah
Azimat perjuangan
Mencari impian cinta
Keluarga bahagia

Segenggam harapan anakmu melangit tingginya
Seuntai kalimah doa ibu ayah diperkenankan Ilahi
Ku pohonkan restu, redhamu duhai permata hati
Damailah bahagia sinar suci di taman indah syurgawi

Oh ibu, ayah dengarlah rintihan anakmu
Anakmu mendamba restu dan kasih sayangmu
Redha Allah itu terletak di atas keredhaan ibu ayah
Restu ibu dan ayah membawa cahaya kedamaian yang abadi

Tajuk: Restu
Munsyid: Saujana & Nowseeheart
Album: Jalan Sehala



“Give Them a Chance to Change”

Friday, February 13, 2009

Apabila Media Berpaling Dari Kebenaran




Sejak akhir-akhir hilang rasa minat untuk membelek akhbar-akhbar utama Malaysia. Berita-berita yang disajikan di televisyen pun banyak yang kurang menyenangkan. Rasa agak ragu-ragu dengan sumber informasi yang dibawakan. Apatah lagi dengan kenyataan yang berat sebelah. Rasa kecewa pun ada.

Media seharusnya sedar betapa besarnya impak sesuatu catatan itu terhadap rakyat. Jangan penuhi media dengan seribu satu sogokan, putar-belit dan kutukan semata-mata. Sesuatu isu itu sepatutnya diperhalusi dan diterjemahkan ke dalam maklumat yang berbentuk pendedahan atau pengajaran.

Saya pernah terbaca satu artikel tentang etika kewartawanan. Menurut penulis, menjadi wartawan bukan sahaja menjadi pencatat peristiwa tetapi mereka perlu mencipta peristiwa. Proses ini berlaku melalui penyaluran mesej yang betul dalam fikiran pembaca. Setiap wartawan juga perlu ada pembinaan prinsip dalam diri untuk mempertahankan integriti dalam profesion ini. Dalam konteks Malaysia, sudah ada perubahan kecil tetapi memberi impak yang besar dalam memberi kefahaman masyarakat.

Bekas Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Sulaiman yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama 40 tahun mengatakan ‘Etika Kewartawanan’ tidak wujud di Malaysia dalam erti kata tiada kanun seragam khusus yang mengawal dan mengurus perjalanan profesion kewartawanan atau badan tertentu yang bertanggungjawab mengawasi pematuhan kepada kanun berkenaan, seperti di sesetengah negara, terutama negara maju. Secara umumnya, etika kewartawanan bergerak atas beberapa peraturan kecil seperti, mengutamakan kebenaran, keadilan, kebebasan dan sikap tidak memihak dalam pemberitaan.





“Wahai manusia! Sekiranya ada di kalangan kamu yang dilantik sebagai wakil pentadbir oleh kami, dan kemudian menyorokkan daripada kami walaupun hanya sebatang jarum, atau lebih, dia sudah berkhianat, dan akan membawanya di Hari Kebangkitan.”
(Hadis riwayat Abu Dawud)


Saya menghormati wartawan dan media yang mampu menyalurkan maklumat yang benar. Penyebaran informasi yang tidak jujur hanya akan menghakis kredibiliti serta kepercayaan orang ramai terhadap seseorang wartawan.

Sejauh manakah media mampu menutup kebenaran dalam era ledakan teknologi maklumat masa kini?

Monday, September 22, 2008

UNDER CONSRUCTION!




Mengubah Tradisi Hidup Melalui ICT



Islamic world view melihat manusia sebagai khalifah yang telah diberikan keistimewaan seperti dikurniakan akal, ilmu, sumber alam, kesempurnaan kejadian, diutus Rasul dan dikurniakan Kitab sebagai pembimbing dalam hal-hal kehidupan supaya pembangunan, kebahagian dan kesejahteraan tidak hanya dapat dinikmati di dunia tetapi juga di akhirat yang kekal abadi. Dengan keistimewaan ini manusia dibebaskan berkarya selagi tidak melanggar batas-batas Syara’.

Kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi amat mempengaruhi kemajuan dan pelbagai kegiatan awal hasil sosial yang ada dalam masyarakat, seperti yang ada dalam bidang ekonomi, industri, politik dan juga dalam bidang pendidikan. Manakala, ICT dilihat hanyalah sebagai “tools” di dalam menyampaikan mesej kepada khalayak. Baik buruk kesan daripada penggunaannya adalah bergantung kepada manusia yang membina, meneroka (mendominasi perisian) dan pelanggan sebagai pengguna terakhir.

ICT juga merupakan medium perhubungan atau alat mendapatkan maklumat dengan pantas dan segera yang berasaskan technology and knowledge. Ia telah menjadi alat penting dalam kehidupan generasi kini, yang mengamalkan dasar langit terbuka (open sky).




Whoever empowers the information, knowledge and wisdom will power the world?
Alvin Toffler dalam bukunya Powershift (1991) dan Creating a New Civilization (1995) meramalkan bahawa masa hadapan sesebuah negara banyak didominasi oleh pembangunan sains dan teknologi (inilah hasil pemikiran yang diasaskan oleh Nicholas Copernius pada abad ke 16 dan menjadi asas kepada falsafah sains barat). Teknologi yang banyak mempengaruhi kehidupan kini adalah teknologi maklumat. Sesiapa yang menguasai teknologi ini diramalkan akan menguasai pembangunan masa hadapan dan seterusnya.

Dari tradisi ke modenisasi
Kebiasaannya, sesebuah negara yang kurang mengamalkan dasar ‘Pengetahuan adalah kuasa’ akan membiarkan rakyatnya yang biasa bekerja dalam sistem yang sedia ada (tradisi) mungkin tidak bersedia unrtuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka kerana terkongkong dengan disiplin ilmu yang ada. Dalam sistem teknologi maklumat terkini, maklumat dan akhirnya pengetahuan merupakan milik bersama. Seseorang individu perlu bersedia untuk berinteraksi dengan masyarakat yang berbeza disiplin ilmu dengan dirinya. Akibat daripada tidak mampu menyerasikan diri dengan rentak terkini, lahirlah budaya kongkongan akal (captive mind) yang melihat keluar sebagai lebih baik, rasa rendah diri dan sebagainya.

The Pro’s and Con’s
Keberkesanan dan kebaikan ICT adalah mengikut tunjuk arah oleh penggunanya. Dalam konteks pendidikan Islam, sekiranya kita benar-benar berpegang kepada asas yang kukuh seperti mana yang terkandung di dalam falsafah pendidkan Islam itu sendiri dan wujud pengawasan serta pemantauan yang baik, ia akan mendatangkan kebaikan yang dikehendaki tetapi sekiranya berlaku sebaliknya ia hanya akan mengundang musibah dan tragedi yang tidak pernah diimpikan oleh ummah dan masyarakat seluruhnya. Ini disebabkan dakyah-dakyah yang negatif dan maklumat-maklumat yang bertentangan dengan pendidikan Islam dan ahklaknya amat mudah didapati dan wujudnya dalam kuantiti yang banyak serta lebih menarik dari sudut pemaparannya.

Wednesday, September 10, 2008

Techno Ramadhan

"Sentiasalah SETTING niat,
UPGRADE iman,
DOWNLOAD sabar,
UPLOAD usaha,
DELETE dosa,
UPDATE doa
dan TOP UP ilmu,
supaya dapatlah REDEEM pahala banyak-banyak...
SELAMAT BERPUASA"

Tersenyum saya membaca SMS yang diterima dari rakan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Pasir Mas atau kini, Maahad Muhammadi Pasir Mas. Sarat dengan istilah-istilah yang berasaskan ICT. Terima kasih atas peringatan.

Walau apapun bahasa atau ungkapan yang digunakan bagi menterjemahkan konsep ibadah ini,

Semoga proses pentarbiyyahan puasa pada Ramadhan 1429H ini bakal menghasilkan output TAQWA kepada Allah Taala. InsyaALLAH...

"Selamat Kembali Kepada FITRAH"

Monday, August 11, 2008

Sharing Moment with Dr. Irfan Khairi

Tarikh: 4 Ogos 2008.
Tempat: Admin LT5, UIAM.
Masa: 8.00pm – 11.pm.
Penganjur: Persatuan Pelajar Ilmu Wahyu (IRKHS’S).

Walaupun tiba dalam kira-kira 1 jam sebelum slot tamat, namun saya tetap berpuas hati memandangkan banyak input yang diperolehi dari beliau. Antara point-point penting yang sempat di’capture’ dari beliau:
1) The power of mind
2) Success is a state of mind
3) Power of visualization
4) Lakukan perkara-perkara yang anda betul-betul MINAT