Wednesday, July 27, 2011

Catatan Lauh Mahfuz




Usai solat maghrib tadi terdetik untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran dari surah Al-Hadid. Sudah menjadi kelaziman saya jika membaca Al-Quran, mesti mendahulukan Al-Quran yang berserta dengan maknanya sekali. Supaya jelas akan definisinya.

"Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.

Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu , dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu..." (ayat 22 & 23)

Beberapa kali saya mengulang-ulang ayat-ayat tersebut. Lebih-lebih lagi, sejak kebelakangan ini saya sering menerima persoalan dan pengaduan dari beberapa orang rakan sekerja, jiran dan rakan internet berkaitan permasalahan yang sedang mereka hadapi. Majoriti mereka adalah dari kalangan wanita. Sememangnya sifat semulajadi wanita suka berkongsi dan berterus-terang. Setiap perkongsian mereka saya jadikan teladan untuk hidup saya memandangkan saya juga tidak terkecuali menerima beberapa ujian hidup dalam bulan ini.

Benar, setiap apa yang menimpa diri manusia itu telah tersurat. Segala bentuk nikmat, ujian, bala, jodoh, umur, ajal dan rezeki telah ditentukan sejak lahir.

Namun, itu tidak bermakna kita digalakkan untuk menunggu sahaja segala takdir yang bakal berlaku ke atas diri kita. Kita dituntut untuk BERUSAHA mencari jalan mendapatkan apa yang telah tertulis buat diri kita.

Hikmahnya:
(1) Supaya kita tidak melampau-lampau bersedih hati jika tidak ada hasil selepas berpenat-lelah.
(2) Supaya kita tidak terlalu gembira sehingga menerbitkan rasa bangga atas apa yang telah kita dapat.