Wednesday, December 22, 2010

Bermula Dengan Matlamat Akhir

Kembali semula ke sekolah rendah sebagai tenaga pengajar membuatkan saya sering mengingati kenangan ketika zaman persekolahan.

Suatu ketika dahulu, saya pernah dirotan kerana gagal memberikan jawapan yang betul kepada guru subjek Penulisan Jawi walaupun saya dengan sukarelanya mengangkat tangan untuk menjawab soalan tersebut. Kejadian itu telah memberikan persepsi yang salah tentang sifat berani. Dalam diri saya telah menyimpan satu pandangan salah yang mana keberanian hanya mengundang padah.

Mulai dari hari itu, saya menjadi seorang murid yang agak pasif dan hilang keyakinan diri.

Ini antara kisah yang dikongsikan bersama guru-guru agar sentiasa berfikir sebelum mengambil sebarang tindakan. Peristiwa di sekolah mampu memberikan impak yang besar kepada pertumbuhan seseorang pelajar.

Ramai antara mereka yang memilih karier sebagai guru atau pendidik sebenarnya bukan sahaja kerana minat mengajar, malah mereka menyimpan impian untuk melakukan perubahan.

Majoritinya terkenangkan zaman persekolahan yang telah lama ditinggalkan itu. Karakter setiap murid banyak mengingatkan mereka kepada diri sendiri. Mereka juga masih ingat mengenai guru yang telah mempengaruhi hidup mereka.
Hasrat utama mereka adalah bagi menjadi guru yang membawa pengaruh baik kepada anak-anak didik mereka.

Ramai guru yang tidak sedar betapa besarnya pengaruh yang dimainkan oleh mereka pada perkembangan fizikal, emosi, mental dan rohani anak didik mereka. Terlalu ramai murid yang hilang semangat sebelum persekolahan mereka tamat.

Kebiasaannya, mereka mahu merasakan yang diri mereka juga bernilai. Namun, ramai di antara ibu bapa dan guru yang memberitahu bahawa mereka tidak ada nilai. Malah, ramai juga yang mengekspresikan perhatian mereka ke dalam bentuk yang salah.

Saya memegang dalam diri:
"Kepimpinan itu adalah kebolehan menyatakan harga diri dan potensi seseorang itu dengan jelas sehingga mereka sendiri mendapat inspirasi bagi melihatnya ada dalam diri sendiri."

Thursday, November 25, 2010

Termenung Seketika...


Seorang nenek harus berjalan jauh ke pasar di kota untuk menjual bunga cempaka. Itulah kerja hariannya.

Selepas berjualan, beliau singgah dahulu ke masjid di kota untuk bersolat zuhur.
Selepas berdoa dan berwirid sekadarnya, nenek itu akan terlebih dahulu membersihkan dedaun yang berselerakan di halaman masjid. Ini dilakukannya setiap hari di bawah terik matahari. Setelah semua dedaun itu dibersihkan barulah beliau pulang ke desanya.Jemaah dan pengelola masjid kasihan melihat rutin nenek yang demikian.

Suatu hari, pengurus masjid memutuskan untuk membersihkan dedaun yang berselerakan di halaman masjid sebelum nenek itu datang. Fikirnya, usaha itu akan membantu nenek tadi agar tidak perlu bersusah payah membersihkan halaman masjid itu.

Rupanya, niat baik itu telah membuat nenek tersebut menangis sedih.

Dia bermohon supaya dia terus diberi kesempatan membersihkan halaman masjid seperti biasa.

Akhirnya, pihak masjid terpaksa membiarkan situasi berjalan seperti biasa supaya nenek itu tidak lagi hiba.

Satu ketika apabila ditanyakan seorang kiai mengapa nenek tersebut perlu melakukan hal itu, nenek tersebut menjawab:

“Saya ini perempuan bodoh, kiai. Saya tahu amal-amal saya yang kecil ini mungkin juga tidak benar dijalankan. Saya tidak mungkin selamat pada hari kiamat tanpa syafaat Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam.

“Setiap kali saya mengambil selembar daun, saya ucapkan satu selawat kepada Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam. Kelak jika saya mati, saya ingin Rasulullah menjemput saya.

“Biarlah semua dedaun ini bersaksi bahwa saya telah membacakan selawat kepadanya.”

Sunday, September 26, 2010

Supaya Gelisah berNILAI IBADAH

Ketika pulang bercuti tempoh hari saya sempat membelek-belek sejumlah buku yang masih lagi tidak dikeluarkan dari kotak. Buku-buku yang menemani saya sepanjang berada di UIAM, Gombak. Agak risau juga bila memikirkan serangan anai-anai yang tidak mengenal nilai sesuatu bahan. 

Alhamdulillah, buku-buku milik saya masih lagi tersimpan elok. Cuma sedikit berhabuk.

Bila diperhatikan satu persatu buku-buku tersebut, timbul rasa kesal memandangkan sudah lama saya tidak 'mengulangkaji' isi kandungannya.

ILMU, apabila ditinggalkan, ia terus hilang ibarat unta yang terlepas dari tali kekangannya.

Terasa sayang bila mengenangkan sudah berpuluh-puluh buku yang dibaca, namun pengetahuan lenyap akibat jarang dimanfaatkan.

Buku-buku usrah masih lagi saya gunakan ketika ada ruang untuk berdiskusi bersama rakan-rakan. Cuma buku-buku yang jarang terusik seumpama buku sejarah dan fiqh kelihatan masih 'baru'.

Refleksinya turut mempengaruhi nilai penulisan. Sudah berhari-hari blog tidak dijenguk dan diisi dengan subjek yang baru akibat daripada kekeringan idea. Beberapakali juga posting saya bertukar dari 'publish' kepada 'draf'' kerana kematian akal dan kekreatifan untuk menyusun kata. 



Semakin hari semakin gelisah mengingatkan diri yang semakin jauh dari pengisian ilmu dan hikmah.

Diluahkan agar gelisah tidak hanya kekal sebagai gelisah selama-lamanya.

Namun untuk mengubah gelisah kepada nilai IBADAH.

“Selaku orang yang beriman, apabila kita ditimpa musibah kita kena cepat-cepat ingat pada Allah dan kembali kepadaNya. Terdapat banyak doa-doa yang boleh membantu dan memujuk kita yang gelisah untuk menghadapi situasi yang merunsingkan kita itu.”

-Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Wednesday, September 01, 2010

Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Pakistan

Berkesempatan menghantar rombongan Yayasan AMAL serta Haluan ke Pakistan sehingga KLIA.

Semoga selamat sampai dan selamat kembali.

Saya difahamkan mereka akan berada di sana selama seminggu.

Monday, August 30, 2010

Aktiviti Sepanjang Ramadhan 2010

Semoga Ramadhan pada kali ini diisi para remaja dengan pelbagai aktiviti yang benar-benar berfaedah.

Mudah-mudahan para remaja memanfaatkan Ramadhan dengan amalan-amalan soleh.

Hidupkan malam dengan Qiyamullail


   Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju


Tadarus Al-Quran


Program Tadarus dan Khatam Al-Quran bersama Nisa' Gombak


Grand Iktikaf


Mendidik anak-anak beriktikaf dan menjaga adab-adab ketika berada di masjid (Murid tahun 6)


Program Diskusi Ilmu atau Ceramah Agama
                       Program bersama Sheikh Siyam