Saturday, January 31, 2009

USRAH: Bukan Tempat Menadah Kitab


Entry saya pada kali ini bukanlah ditulis dengan objektif untuk ditujukan kepada mana-mana pihak. Sekadar pemerhatian secara peribadi supaya kita sama-sama membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

Pada pandangan saya, matlamat akhir usrah adalah untuk membina penggerak dakwah atau seorang Dai’e yang bakal melaksanakan tanggungjawab dakwah. Usrah merupakan salah satu daripada proses menyuntik kemahuan untuk berdakwah supaya ahli usrah bergerak menuju mampu sebelum mereka terjun ke alam realiti.

Pengalaman saya sepanjang terlibat dengan usrah gerakan, ada ketikanya sebagai ahli usrah yang mengikuti usrah yang dianjurkan dan adakalanya saya sendiri bergelar sebagai naqibah. Sebagai naqibah, kebiasaannya saya hanyalah mencorakkan pembawaan usrah sebagai satu tempat untuk mengeratkan ukhuwwah, saling memperingati serta berkongsi ilmu pengetahuan bersama ahli-ahli usrah. Tidak lebih dari itu.

Saya akui, pendekatan usrah akan menjadi berbeza mengikut waqi’e atau reality semasa. Sahabat saya yang sering mengikuti pengajian kitab di Syria pernah berkongsikan pengalamannya sepanjang mengikuti system tarbiyyah di sana. Menurut beliau, kaedah usrah malahan tamrin yang dijalankan hanyalah bersifat pengajaran atau ta’alim. Pengisian usrahnya adalah dengan berpandukan isi kandungan sesebuah kitab yang dikupas oleh naqib. Begitu juga halnya dengan program tamrin, tidak seperti di Malaysia yang sarat dengan perbincangan, modul dan aktiviti-aktiviti sampingan.


Usrah Untuk Mengikat Hati

Bagi saya, usrah merupakan medan yang terbaik untuk ahli usrah memperkukuhkan hubungan antara satu sama lain. Namanya pun usrah (keluarga), bukan madrasah (tempat belajar). Ciptalah seberapa banyak yang boleh kenangan manis bersama sahabat-sahabat kerana nilai usrah itu terletak pada kualitinya, bukan pada kuantiti. Naqib harus bijak mengendalikan usrah supaya pertemuan yang mahal harganya ini terbayar dengan nilai yang berbaloi. INGAT…bukan mudah bagi setiap ahli usrah itu untuk meluangkan masa hadir ke usrah, masing-masing mengorbankan satu komitmen yang lain. Oleh itu, gunakan sepenuhnya peluang ini untuk bercakap tentang perkara-perkara yang paling utama, bukan dengan perkara-perkara yang remeh-temeh.

Inilah juga masanya untuk ahli usrah saling berkenal-kenalan dengan lebih dekat. Berkenalan tidak semestinya berlaku dalam bentuk formal yang mana seorang ahli usrah diminta berdiri sambil membacakan profil lengkap tentang dirinya. Ta’aruf dalam erti kata yang sebenarnya adalah lebih mendalam dari itu. Percaya atau tidak jika saya katakan, melalui usrahlah kita dapat mengenal tabiat dan karakter seseorang. Itupun jika sekiranya kita lebih banyak memberikan perhatian kepada sahabat yang lain berbanding kita cuba meraih perhatian dari orang lain.

Melalui usrah juga, kita saling memperingati tentang perjalanan hidup sebagai musafir antara satu sama lain. Kita bangunkan kembali semangat perjuangan dalam diri. Saya memilih untuk membangunkan roh berbanding jasad kerana mereka yang kuat spiritualnya akan kalis dengan kesakitan fizikal. Umpama Mashitah, Bilal bin Rabah dan Sumayyah yang diseksa dengan penuh ngeri, namun merasai kemanisan kerana hati mereka penuh dengan cahaya keimanan. Mereka mampu bertahan dengan penderaan fizikal walaupun tidak pernah menjalani sebarang bentuk latihan yang lasak. Sebaliknya, jika seseorang itu kelihatan sihat pada fizikalnya namun jiwanya sedang sakit, pelbagai symptom negative yang dapat kita lihat berada pada dirinya. Jika seseorang naqib itu telah dibekalkan dengan silibus tertentu, pastikan juga elemen ruhiyyah tidak dikesampingkan.

Elakkan juga dari terlalu terikat dengan silibus usrah. Cubalah kaitkan pengisian dengan reality hidup kita. Belajar untuk berpijak di bumi yang nyata.


Elakkan Kekeliruan

Seboleh-bolehnya saya akan mengelakkan perbincangan kami dari terbabas ke topik-topik yang terlalu berat serta berada di luar kemampuan kami untuk mengupasnya dengan lebih mendalam. Membincangkan isu-isu yang terlalu berat seumpama fikrah, Negara Islam dan talfiq boleh mengundang padah apabila seseorang naqib itu hanya memahaminya secara serpihan, apatah lagi kami datang dari pelbagai bidang yang berlainan. Saya mengambil pendekatan untuk mengabaikannya sebagai langkah berjaga-jaga. Cukuplah sekadar penerangan tentang konsepnya untuk pemahaman umum.

“Jangan sesekali tinggalkan ahli usrah dengan persoalan yang tergantung”.
Ini merupakan peringatan dari saudara Zulkifli yang masih saya pegang hingga sekarang. Meninggalkan mereka dengan persoalan yang tidak terjawab hanya akan menyeret mereka ke kancah kekeliruan. Ini merupakan satu jenayah pemikiran ke atas ahli usrah. Sekiranya naqib tidak ada jawapan, usahakan dengan mendapatkannya dari orang-orang yang lebih arif. Saya yakin, tidak akan ada masalah yang timbul walaupun naqib menunda jawapannya ke usrah yang seterusnya.


Apabila Ahli Usrah Mula Berkurangan

Usrah boleh jadi sesuatu yang menjemukan seandainya naqib asyik mengulangi topic perbincangan yang sama. Cubalah jadi naqib dan ahli usrah yang kreatif. Luaskan skop perbincangan dengan rajin menambah pengetahuan dari sumber-sumber yang lain. Apabila ahli usrah semakin berkurang jumlahnya serta sering mencari alasan untuk tidak hadir, cubalah periksa di mana silapnya kita. Mungkin pada pembawaan usrah. Mungkin mereka menganggap usrah kita hanya sesuatu yang membuang masa sahaja. Terdapat banyak kemungkinan yang boleh difikirkan. Maka, ubahlah caramu sebelum mereka mengubah haluan mereka. Menangi hati mereka supaya tetap konsisten dengan usrah kita.


Sehingga sekarang, saya masih lagi optimis pada perlaksanaan usrah. Walaupun kelihatan perlahan pada pencapaiannya, namun tidak dapat disangkal pada keberkesanannya untuk jangka masa yang panjang.




Kenangan Ketika Berprogram di D' Muara Chalet, Kelantan:



2 comments:

  1. Teruskan berusrah... wujudkan kumpulan usrah walau dimanapun berada. Usrah adalah keluarga selepas keluarga yang saling menyayangi kerana Allah. Yang paling penting, membina ikatan HATI.

    Dari ikatan hati yang tulus itu, akan tercetuslah gerak kerja mengajak manusia kepada Allah, insyaAllah.

    ReplyDelete
  2. Insyaallah...
    Ana banyak belajar dari akhi.
    SYUKRAN JAZILAN

    ReplyDelete