Thursday, August 28, 2008

Langkah DSAI ke Parlimen...

Sekalung Tahniah Diucapkan Kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim Di atas Kemenangan Pada Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh.
Selepas 10 tahun menanti, akhirnya...
Selamat melangkah ke Putrajaya.

Action Speaks By Itself!
Kemenangan ini membuktikan kematangan rakyat dalam memilih pemimpin yang jujur dan amanah. DSAI layak menduduki kerusi Parlimen Permatang Pauh. Rakyat Malaysia pada hari ini sudah bijak membuat keputusan. Ternyata, penyebaran fitnah dari mainstream media ditolak mentah-mentah oleh penduduk Permatang Pauh. Ia juga merupakan suatu signal bersifat fundamental ke arah kesatuan serta menolak poltik tidak bermoral serta perkauman yang sudah tidak relevan bagi mengorak langkah ke hadapan.
Syabas diucapkan kepada penduduk Permatang Pauh serta rakyat Malaysia.

"Kami telah menjanjikan satu lembaran baru untuk Malaysia dan kami pasti akan melaksanakan janji kami. Kami akan melaksanakan Agenda Ekonomi Malaysia untuk memulihkan keadaan ekonomi kita, membasmi kemiskinan dan membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum. Kami akan memulihkan intergriti badan kehakiman, memerangi rasuah dan membina sebuah negara yang bersatu.
Dan kami akan menjadi sebuah kerajaan yang komited untuk merealisasikan aspirasi rakyat." (DSAI)




KEPUTUSAN PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN PERMATANG PAUH (P44):

Datuk Seri Anwar Ibrahim (KeADILan): 31,195 undi
Hanafi Mamat (AKIM): 92 undi
Datuk Arif Shah Omar Shah (BN): 15,524 undi

Jumlah mengundi: 47,258
Peratus keluar mengundi: 81 peratus
Undi rosak: 447 undi
Majoriti: 15,671 undi

Penyandang: Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (KeADILan)
Undi diperolehi 8 Mac 2008: 30,348
Majoriti: 13,398 undi

"HARAPAN BARU UNTUK MALAYSIA BARU"

Wednesday, August 27, 2008

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan


Ahlan, ahlan, ahlan Ya Ramadhan Kareem...
Bulan yang dirindui oleh Para Solihin,
Bulan Tarbiyyah buat Para Muslimin,
Menjana Ummat Muttaqin.

Padanya tersembunyi 1001 BERKAT, NIKMAT & RAHMAT dari Yang Maha Pemurah,
Beruntunglah bagi mereka mengisinya dengan amal ibadat,
Kerugianlah bagi mereka yang mengisinya dengan maksiat,



Sinarnya umpama cahaya dilapisi cahaya,
Terang benderang menerangi langit dan bumi,




Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Buat Semua ('',)

p/s: Pohon kemaafan atas segala salah dan silap

Thursday, August 21, 2008

DUKAMU PALESTIN, LUKA SEMUA




“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami.”(Al-Israa’: 1)


AL-QUDS DAY
Hari ini merupakan hari bagi memperingati peristiwa Masjid Al-Aqsa yang dibakar seorang Yahudi pada 21 Ogos 1969.

(Sumber:Memperingati Al-Aqsa Dibakar)

Kenapa masalah Al-Quds merupakan persoalan bersama umat Islam?
Kerana Al-Quds merupakan:
1)Qiblat pertama umat Islam.
2)Bumi Isra’ & Mi’raj.
3)Bumi tempat lahirnya nabi-nabi pilihan.
4)Kota ketiga yang diberkati dan dimuliakan Allah.
5)Arena jihad di jalan Allah.



60 TAHUN NAKBAH PALESTIN
Pada tahun 2008 ini juga genaplah 60 tahun berlaku peristiwa Nakbah iaitu peristiwa malapetaka ke atas rakyat Palestin. Pada tahun 1948 itu tentera Zionis Israel telah melancarkan pembersihan etnik iaitu sejumlah 750,000 orang atau tiga perempat populasi daripada rakyat Palestin dihalau keluar dari kediaman mereka.



Saya menyeru kepada seluruh umat Islam secara umumnya dan para aktivis Gerakan Islam khususnya untuk sama-sama memahami penderitaan rakyat Palestin yang masih belum berakhir semenjak pencerobohan wilayah oleh konspirasi gerakan Zionis Israel lebih dari 60 tahun yang lalu.

Mengingati Al-Quds mengingatkan saya kepada mati syahid.
Semoga Allah memperkenankan cita-cita tertinggi saya ini…Ameen.

Wednesday, August 20, 2008

Status Quo UiTM: Isu Yang Dipolitikkan




Rasa terpanggil untuk mengulas tentang isu 10% kuota kemasukan non-Bumiputera ke UiTM kerana saya merupakan salah satu dari produk keluaran UiTM cawangan Kelantan sebelum melanjutkan pengajian di UIAM, Gombak. Mungkin kerana sentimen UiTM masih menebal dalam diri saya. Sememangnya suasana di seluruh kampus UiTM agak unik berbanding di kampus-kampus lain memandangkan komuniti yang menghuni bumi UiTM adalah 100% Bumiputera ataupun Melayu. Pihak pentadbiran memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendoktrin pemikiran mahasiswa UiTM dengan semangat cintakan kerajaan BN sehinggakan slogan yang dipilih adalah “Nikmat Allah Wajib Disyukuri, Jasa Kerajaan Pusat Wajar Dikenangi”…

Sesungguhnya pola pergerakan mahasiswa UiTM amatlah sempit dan mendatar. Sepanjang mengikuti pengajian di sana, saya tidak pernah berpeluang mengutip pengalaman menyertai sebarang perarakan protes apatah lagi berdemonstrasi bagi menyatakan pendirian yang berhubungkait dengan mainstream pemerintah. Minda muda mahasiswa yang seharusnya sentiasa terkehadapan dan agresif ditumpulkan dengan peraturan dan pelbagai sekatan yang mengekang.

KEPRIHATINAN ATAU BERKEPENTINGAN?




Pada mulanya, pemikiran sempit saya tentang politik mengagumi keberanian dan rasa tanggungjawab seramai 5,000 pelajar-pelajar UiTM yang menganjurkan demonstrasi pada 14 Ogos 2008 bagi membantah cadangan MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Namun, setelah memperhalusi beberapa pandangan dari rakan-rakan mahasiswa serta alumni UiTM, saya mulai sangsi terhadap intent kepartian di sebalik penganjuran bantahan ini. Adalah satu perkara yang ajaib melihat ribuan mahasiswa UiTM menganjurkan demonstrasi jalanan tanpa sekatan dari pihak pentadbiran, skuad ‘polis pengiring’ dan FRU. Ternyata, aksi merbahaya ‘anak emas’ kerajaan ini mendapat pelepasan dan sokongan dari pihak atasan berdasarkan tindak-tanduk Naib Cancelor Universiti UiTM, Prof. Ibrahim Abu Shah yang tidak mengenakan sebarang tindakan disiplin terhadap pelajar-pelajar yang terlibat serta kritikan tajam beliau terhadap MB Selangor.

Saya yakin, seandainya kenyataan ini dikeluarkan oleh para pimpinan BN, isu mengenainya tidak akan diperpanjangkan lagi malahan akan disambut baik oleh warga UiTM atas dasar menggalakkan persaingan dan meningkatkan kualiti pendidikan kaum Bumiputera. Dato Menteri Besar telah menyatakan pendirian bahawa beliau tidak pernah bermaksud mempertikaikan hak-hak keistimewaan pelajar bumiputera dan sedar bahawa UiTM ditubuhkan bagi membantu mengangkat martabat pelajar Melayu serta bumiputra Sabah dan Sarawak. Kerajaan Negeri terus menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan termasuk Artikel 153 Mengenai Hak-hak Istimewa Orang Melayu. Namun, sampai ke saat ini, UMNO terus menyalakan api perkauman dengan memperbesarkan isu tersebut lebih-lebih lagi menjelang event penting buat PKR iaitu, Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh.

MENGANALISA TINDAKAN MB SELANGOR
Melihat kepada kedudukan beliau pada masa sekarang, pastinya perkara yang menjadi keperluan dalam menjaga imej PKR adalah dengan mempamerkan sikap adil beliau selaku perwakilan PKR itu sendiri, terhadap semua kaum. Namun, momentum yang ditunjukkan oleh pihak UiTM seolah-olah memberikan suatu jawapan bahawa hak keistimewaan Melayu sekali-kali tidak akan dicerobohi oleh mana-mana pihak.
Beliau telah menunjukkan pendirian yang tidak berbelah-bagi dan keterbukaan dalam soal ini dengan mencadangkan satu perjumpaan antara beliau dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dengan pelajar UiTM diadakan (dipetik dari Suara KeADILan Online).

UTAMAKAN YANG UTAMA
Dalam isu ini, UiTM seharusnya memberikan penumpuan dalam menaikkan mutu dan kemudahan universiti itu sendiri supaya ianya boleh dianggap sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang disegani di peringkat Negara berbanding soal hak. Seandainya pihak pentadbiran berusaha mengembleng tenaga dan buah fikiran para akademiknya untuk meningkatkan mutu pendidikan serta kualiti mahasiswa UiTM, pastinya tidak akan timbul soal membuka ruang kemasukan pelajar-pelajar non-Bumiputera ke UiTM bagi mewujudkan daya saing di kalangan mahasiswa.
Namun, agak sukar untuk mengenepikan sentiment yang telah sebati sejak sekian lama. Mahu tidak mahu, persoalan hak terpaksa diredah jua seandainya ingin membawa angin perubahan dalam sesebuah kawasan yang dijaga rapi, sekalipun pemiliknya telah bertukar tangan.


Mara means "to advance (forward)". It is the opposite of "retreat" and the declaration of defeat. It does not mean Undur. -Malaysiakini

Monday, August 11, 2008

Sharing Moment with Dr. Irfan Khairi

Tarikh: 4 Ogos 2008.
Tempat: Admin LT5, UIAM.
Masa: 8.00pm – 11.pm.
Penganjur: Persatuan Pelajar Ilmu Wahyu (IRKHS’S).

Walaupun tiba dalam kira-kira 1 jam sebelum slot tamat, namun saya tetap berpuas hati memandangkan banyak input yang diperolehi dari beliau. Antara point-point penting yang sempat di’capture’ dari beliau:
1) The power of mind
2) Success is a state of mind
3) Power of visualization
4) Lakukan perkara-perkara yang anda betul-betul MINAT

PRK, Satu Penanda Aras Tarbiyyah

Sedikit masa lagi, setiap kampus akan menghadapi bahang Pilihanraya Kampus (PRK). Sesi kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sedia ada bakal bertukar wajah lagi. Golongan manakah yang akan mencorakkan perjalanan pentadbiran dan politik kampus yang seterusnya? PRK pada kali ini dijangka menghidangkan pelbagai episode siasah yang lebih mendebarkan lagi berikutan ‘tsunami politik’ yang telah melanda negara pada PRU ke-12.

Pastinya setiap pakatan mahasiswa yang akan bertanding sedang bersiap sedia mengukuhkan armada perang masing-masing, mencatur strategi siasah serta bersedia menghadapi suara dan pilihan pelajar. Semua pihak akur bahawa tidak mudah bagi pro-mahasiswa menyusun gerak dan memperlengkapkan jentera untuk berdepan dengan pihak lawan. Mood massa yang sering tidak menentu menjadikan alasan, kemenangan adalah suatu teka-teki.

Namun, apa ingin saya ketengahkan di sini bukanlah mengenai persiapan dan cabaran yang bakal dihadapi oleh jentera PRK masing-masing. Tapi, sejauh manakah situasi PRK mampu mengisi agenda pentarbiyyahan di peringkat kampus? Kita tidak mahu partisipasi dalam PRK sekadar tidak mahu memberi kemenangan percuma kepada pro-aspirasi atau kita mahu ‘menang dengan bergaya’. Kita yakin, ada ruang yang perlu dimanfaatkan untuk menggerakkan pelan pertarbiyyahan mahasiswa melalui penglibatan dalam PRK.

Pendidikan Ruhiyyah
Ilmu Al-Quran mengajar kita tentang adanya dua perkara dalam setiap insan, iaitu jasad dan roh. Membina roh aktivis mahasiswa adalah dengan memberi faham kepada mereka tentang dosa dan pahala, taat dan maksiat, syurga dan neraka, hisab dan matlamat akhirat serta izzah dan ‘ujub. Kita mendambakan aktivis yang membayangi keperibadian tentera Islam acuan Rasulullah, bagaikan rahib di malam hari dan singa di siang harinya.

Pendidikan Jihad
Sesungguhnya gerakan mahasiswa mendidik anggotanya menerusi jalan jihad untuk menjadikan gerakan itu lebih kuat dari segala ‘pertubuhan peruntuh’ dan lebih waja dalam menghadapi kegiatan taktik serangan dan tipudaya. Kita mahu aktivis kita membiasakan diri mereka dengan mengetahui kadar yang diperlukan bagi berhubung dengan hal ehwal pergerakan dan pertubuhan. Kita juga mahu membiasakan diri dengan memperhalusi gerak kerja dan perjanjian masa. Dan, kita mahu membiasakan diri menanggung keadaan-keadaan susah seperti berkasar pada makan minum, tempat tidur, pergaulan dan perbelanjaan. Ini kerana, dalam fasa PRK kita terpaksa melalui lebih banyak detik-detik kesusahan berbandingan kesenangan.

Pendidikan Siasah
Dalam rangka konsep ini, kita cuba memuatkan prinsip siyasah syar’iyyah yakni menghasilkan nilai amalan dan aktiviti siasah menurut Islam untuk memperbetulkan mindset mahasiswa terhadap manhaj politik Islam yang sebenarnya. Kita meyakini bahawa keadilan hanya dapat dicapai melalui system yang betul dan kita mahu mengembalikannya kepada peraturan yang sebenar meskipun hanya dengan memanipulasikan pentadbiran kampus.
Kita mahu mewujudkan situasi yang lebih dinamik dan kondusif dalam PRK berbanding hari-hari biasa kita sebagai mahasiswa yang hanya mengelek buku-buku akademik, menghadapi suasana tempat belajar yang terlalu selesa serta menghadiri kelas-kelas dan seminar akademik. Kita mahu memperkenalkan dan mendidik aktivis kita mengenai strategi dan adab-adab ‘peperangan’ dengan cara menyediakan prasarana yang setaraf dengan level mahasiswa.

Keringat aktivis mahasiswa wajar digembleng secara terancang bagi mencapai matlamat yang diimpikan. Tanpa pengorbanan yang besar, impian hanya layak menjadi mainan tidur sahaja.

Alangkah tepatnya jika pelan pentarbiyyahan mahasiswa berjaya dirangka dengan teliti dan mampu membuat pengisian-pengisian secara berkesan dalam menghadapi ‘zon kritikal’ pada semester ini. Semoga PRK pada kali ini bakal mendokong suara perubahan yang lebih besar dalam sejarah gerakan mahasiswa Malaysia. INSYAALLAH…

“Jika mereka mempunyai tentera yang seribu, bersama kita Allah Yang Satu”

ZIKRULLAH: Kecil, Tapi Besar Keperluannya

Saya mestilah diam kerana BERFIKIR,
Saya mestilah bertutur kerana BERZIKIR…

Berzikir mengingati ALLAH itu merupakan ubat yang paling mujarab untuk jiwa.
Zikir juga merupakan senjata yang paling tajam dalam menghadapi serangan-serangan zaman, realiti hidup dan liku-likunya.

Seorang ahli ilmu jiwa telah mengatakan: “Doktor-doktor ilmu jiwa mengetahui bahawa IMAN yang kuat dan PEGANGAN yang teguh kepada agama sudah cukup untuk menghilangkan perasaan keluh-kesah, ketegangan saraf dan dapat menyembuhkan penyakit.”

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram” (Ar-Ra’d: 28)

Ucapkanlah SUBHANALLAH sebanyak apa yang berada di bumi,
Ucapkanlah SUBHANALLAH sebanyak apa yang berada di lautan,
Dan ucapkanlah SUBHANALLAH sebanyak apa yang berada di antara kedua-duanya.

Ucapkanlah ALHAMDULILLAH sebanyak apa yang berada di bumi,
Ucapkanlah ALHAMDULILLAH sebanyak apa yang berada di lautan,
Dan ucapkanlah ALHAMDULILLAH sebanyak apa yang berada di antara kedua-duanya.

Ucapkanlah ALLAHU AKBAR sebanyak apa yang berada di bumi,
Ucapkanlah ALLAHU AKBAR sebanyak apa yang berada di lautan,
Dan ucapkanlah ALLAHU AKBAR sebanyak apa yang berada di antara kedua-duanya.

Ucapkanlah LA ILAHA ILLA LLAH sebanyak apa yang berada di bumi,
Ucapkanlah LA ILAHA ILLA LLAH sebanyak apa yang berada di lautan,
Dan ucapkanlah LA ILAHA ILLA LLAH sebanyak apa yang berada di antara kedua-duanya.

Friday, August 08, 2008

Berdakwah? Saya belum sempurna.



Ramai orang yang mengetahui bahawa tugas berdakwah adalah wajib ke atas individu. Walaubagaimanapun, masih ramai yang tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah disebabkan oleh beberapa kekeliruan. Antara kekeliruan yang sering timbul adalah menanti kesempurnaan diri sebelum memulakan dakwah. Hal ini menyebabkan sebahagian daripada umat Islam tidak mahu mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran kerana merasakan amalannya belum cukup ‘mantop’ dan dirinya masih diselimuti dengan banyak kelemahan.

Siapakah di antara kita yang lengkap dan sempurna?

Syarat berdaya atau mampu perlu difahami dengan betul. Islam mengakui, tahap kemampuan setiap individu adalah berbeza. Justeru Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan kata-katanya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya dan mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman” –diriwayatkan oleh Imam Muslim.

There's no reasons to escape from this responsibility.

Kita bergerak mengikut kemampuan, kaedah dan ruang masing-masing.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra’: 84, yang mana bermaksud: “ Katakanlah (Muhammad), ‘Setiap orang berbuat sesuai dengan pembawaannya masing-masing’. Maka, Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya”.