Wednesday, September 17, 2008

Redakanlah Kemarahan Itu Dengan SENYUMAN



Kebanyakan kita pernah mendengar pada satu-satu ketika bahawa senyuman boleh menghapuskan barah kemarahan. Benar, senyuman adalah ubat yang mujarab untuk orang-orang yang ‘berdarah panas’. Senyuman umpama air yang menyimbah api kemarahan dari terus merebak.

Senyuman sebenarnya memberikan sesuatu yang lebih dari sekadar mengubati perasaan kita yang sakit. Senyuman yang sebenar juga boleh mencairkan perasaan lawan dengan serta-merta. Orang lain tidak akan marah dengan kita jika kita memberikannya satu senyuman lebar yang ikhlas.
Tetapi, sekiranya kita melemparkan senyuman sindiran atau sinis kepada orang lain… AWAS, kemungkinan besar kawan boleh bertukar kepada lawan.
Senyum seorang diri tanpa bersebab pula boleh mengundang syak wasangka dari orang lain (‘’,).

Saya pernah mengalami satu keadaan yang biasa dialami oleh orang lain bagi menggambarkan perkara ini. Pernah pada satu ketika saya ditugaskan untuk mengendalikan sebuah mesyuarat bagi mengadakan program motivasi. Selalunya jika dilantik sebagai pengarah program atau diminta mengetuai sesuatu gerak kerja, saya ‘mewajibkan’ diri saya sebagai orang yang paling awal untuk hadir ke mesyuarat. Hampir satu jam menunggu kehadiran penuh ahli jawatankuasa program. Satu jam masa orang lain juga terbuang dengan begitu saja. Jika dimaklumkan terlebih awal tentang kelewatan, tentunya saya akan pertimbangkan. Dari kejauhan, saya memerhatikan mereka berjalan menuju ke bilik mesyuarat menghampiri saya. Saya akui, saya telah bersedia secara verbalnya untuk menyerang mereka tanpa bersoal-jawab. Tetapi, Alhamdulillah, belum sempat saya memperolehi peluang itu, mereka berjalan ke arah saya sambil tersenyum dan berkata dengan suara yang amat bersungguh: “Kak Zatil, maaf lambat, ada kerja tadi. Ingatkan boleh siapkan awal. Maaf sangat-sangat deh.” Subhanallah, senyuman beserta kata-kata yang ikhlas tadi telah melembutkan hati saya. Terasa kelu untuk berkata-kata. Hanya terkeluar ayat: “Tak mengapa, meeting tak start lagi.” Hati yang panas membara tiba-tiba menjadi sejuk.

Dalam masa yang singkat, ‘bakal musuh’ saya telah bertukar menjadi rakan sekerja yang tekun menyiapkan kerja-kerja program.

Kalaulah saya menghamburkan kemarahan saya, mungkin mereka sudah menarik diri. Jika meneruskan kerja-kerja pun, mungkin dalam keterpaksaan atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Saya akui, melatih sifat sabar cukup penat dan mencabar lebih-lebih lagi dalam situasi yang kritikal. Namun, hilanglah pertimbangan diri dan kewarasan akal seandainya saya membuka pintu kemarahan sekalipun berhak untuk rasa marah.

Dulu, saya sangat terkenal dengan sifat tegas dan pemarah sehinggakan saya pernah dimuhasabah oleh beberapa sahabat terdekat. Namun, digeruni dan ditakuti bukanlah suatu perkara yang menjadikan diri kita seorang yang hebat. Perkara yang saya mahukan untuk diri sendiri adalah disegani dan disenangi sama ada kawan mahupun lawan. Saya ingin meramaikan kawan dari lawan.
Muhasabah dari sahabat-sahabat, saya jadikan sebagai panduan dalam melakukan perubahan diri (Terima kasih buat sahabat-sahabat yang memberikan teguran). Saya juga cuba mengenali tabiat orang-orang yang saya temui di sekeliling saya bagi memudahkan laluan penghijrahan saya ini. Alhamdulillah, ramai yang menyedarinya dan memberikan sokongan..Syukran sekali lagi.

Kini, saya mengamalkan tiga perkara bagi mengawal emosi:
1) Tahan kemarahan.
2) Cari sumber ketenangan.
3) Tetapkan kesabaran.

Senyuman yang besar itu sebenarnya merupakan satu jaminan।

Senyumlah dengan sepenuh hati.

Asahkan kuasa serta bakat senyuman anda…

No comments:

Post a Comment