“Hayya ‘ala ssolah, hayya ‘ala ssolah…”.
Terdengar sayup-sayup suara bilal dari Masjid SHAS, UIAM Gombak melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat fardhu. Mengajak sekalian ummat Islam menunaikan kewajipan mereka kepada Sang Pencipta. Selang 15 minit kemudian, kedengaran pula iqamah dari bilal yang sama menandakan solat berjemaah bakal dilaksanakan. Begitulah rutin harian di sini.
Azan dan iqamah dari bilal yang berlainan menghasilkan adunan tone yang berbeza. Begitu juga dengan imam yang mengimami solat. Lain imam lain pula lagunya yang mengiringi bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang diperdengarkan. Kadang-kadang saya cuba meneka tempat asal imam-imam tersebut berdasarkan lagu yang dibawa oleh mereka.
Acapkali juga Masjid SHAS menerima kunjungan dari pemimpin-pemimpin terkenal, murabbi-murrabi kehormat seperti Sa’id Ramadhan Al-Buti dan Syeikh Nuruddin Al-Banjari serta pelawat-pelawat dari segenap ceruk. Pernah juga solat tarawikh jemaah masjid diimamkan oleh adik Muhammad Ahmad Zahid Al-Hafiz, Johan Kategori Bacaan Terbaik Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai ke-12 (2008), satu ketika dulu. Terbuai jiwa saya mendengar alunan bacaan beliau.
Solat Yang Cacamerba
Sesetengah daripada kita menganggap solat sebagai satu pekerjaan, sebab itulah perlaksanaannya terasa begitu berat dan meletihkan. Tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai satu tuntutan yang mesti dipenuhi sekalipun secara paksaan. Yang penting, buat…
Mungkin atas factor inilah kita sukar mencapai kekhusyukkan dalam solat. Seusai saja takbiratul ihram dilafazkan, fikiran kita mula teringatkan assignment yang masih belum disiapkan, di situ letaknya kunci motor, perancangan selepas grad, usrah bermula pukul 2 nanti, nak update blog sikit, dan bermacam-macam lagilah. Bercampur aduk fikiran kita dengan perkara-perkara yang tak perlu diingati ketika solat.
Hilang terus focus kepada bait-bait percakapan kita dengan Allah Taala. Bayangkan kita sedang bercakap dengan seseorang dalam keadaan separuh sedar. Sekejap mengangguk, sekejap, menggeleng, sekejap mengiyakan, sekejap menidakkan tanpa mendengar kata-kata beliau. Tentu kecewa teman kita tu dengan sikap kita yang kurang rasa hormat ni.
Cuba tanya diri kita balik… Mahukah kita dilayan seumpama dengannya?
Solat, Waktu Rehat Bagi Para Solihin
“Wahai Bilal, istirehatkan kami dengan solah…”, ujar Baginda Rasulullah saw kepada Bilal bin Rabah.
Benar, solat merupakan waktu untuk berehat bagi yang memahami ertinya yang sebenar. Jika diperhatikan, waktu-waktu solat yang ditetapkan oleh Allah Taala adalah waktu-waktu yang digunakan oleh manusia untuk beristirehat dari sebarang pekerjaan. Ketetapan Allah Taala ini menepati fitrah asal kejadian manusia.
Waktu Subuh adalah waktu pagi di mana manusia mengumpul daya sebelum memulai sesuatu pekerjaan pada hari itu. Sedikit tafakur melalui jalan solat mampu mengembalikan kecergasan fizikal dan kecerdasan aqal.
Waktu Zohor merupakan waktu rehat sejenak sebelum menyambung tugasan yang seterusnya. Solat fardhu Zohor membantu manusia menjana kembali tenaga yang telah digunakan tadi.
Keletihan kita dapat dikurangkan dengan menunaikan solat fardhu Asar selepas tamat waktu bekerja. Lima belas minit yang diperuntukkan untuk ‘berbual-bual’ dengan Allah Taala tidak akan dirugikan-Nya walau sedikit pun. Malahan, hati kita akan lebih tenang berbanding berbual dengan manusia yang lebih banyak mengundang dosa dari pahalanya.
Solat fardhu Maghrib akan lebih bermakna sekiranya ditunaikan secara berjemaah bersama-sama keluarga ataupun jemaah masjid. Ambillah kesempatan ini untuk berkenal-kenalan sesama saudara seagama kita. Minda kita juga akan dapat dikembangkan dengan mengikuti kuliah-kuliah serta perbincangan ilmiah bersama jemaah Maghrib. Bagi yang menunaikan secara fardu pula, lapangkanlah jiwa dengan membaca Al-Quran dan dzikrullah sementara menunggu masuknya waktu solat fardhu Isyak. Jangan disia-siakan waktu ketenangan ini.
Di kala malam (Isyak) pula, inilah waktu yang terbaik bagi kita mengadu serta memuhasabah diri setelah seharian menjalankan tugas sebagai Hamba dan Khalifah kepada-Nya. Apa yang perlu ditambah, apa yang wajib dihentikan…. Rehatkan badan, rehatkan minda,
Walau sehebat mana pun seorang manusia itu, dia tetap memerlukan tempat atau teman yang paling rapat untuk mengadu nasib. Sesungguhnya, Allah lebih dekat dengan kita berbanding urat leher kita sendiri. Cuba rasa urat leher dengan tangan. Allah lebih dekat dari itu.
No comments:
Post a Comment