Thursday, February 26, 2009

Simposium Mahasiswa Islam Malaysia: "Memacu Survival Ummah"



Simposium Mahasiswa Islam Malaysia

Tarikh: 28 Feb - 1 Mac 2009

Tempat: Auditorium Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya


Perasmian : Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Haji Idris
(TNC HEPA Universiti Malaya)

3 Panelis untuk Forum 28 Feb 2009
Masa: 9 - 11 malam
Tajuk: “Mahasiswa Malaysia vs Mahasiswa Luar Negara”

1) Ustaz Ramadhan Fitri Elias (Mantan YDP PMIUM 2004/05)
2) Saudara Feriz Omar (Presiden ProWaris)
3) Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (Profesor UM)

Moderator : Sdr. Shazni Munir Mohd Ithnin (Jurucakap GAMIS)

4 Pembentang Kertas Kerja pada 1 Mac 2009
Masa: 9 pagi - 5 petang

1) YB Saifuddin Nasution (MP Machang)
Tajuk: “Mahasiswa Sebagai Elemen Sedar Masyarakat”

2) Prof Dato’ Mohammad Abu Bakar (Dekan FSSS UM)
Tajuk: “Kampus, Keresahan Intelek dan Kebangkitan Mahasiswa”

3) Sdr Md. Hisommudin Bakar (Mantan YDP MPMUM 2001/02)
Tajuk: “Ke Arah Kesatuan Mahasiswa Islam Malaysia”

4) Dato’ Mohd Nadzmi Mohd Salleh (Pengerusi Proton Holding Berhad)
Tajuk: “Mahasiswa Islam Sebagai Pemain Ekonomi Penting Masa Hadapan”

Ucaptama : Datuk Paduka Ibrahim Ali (Presiden PERKASA)

Pendaftaran percuma..

Untuk pertanyaan sila hubungi:

Nik Razak (013-2965731) atau Hasbie Muda (013-2965619)

Memahami Bahasa Orang Politik





“Saya melihat politik pada masakini telah mengalami perubahan dari feudal ke arah kematangan”, saya terus mencatit butir-butir isi penting yang disebutkan oleh panel yang pertama.

“Dulu, kefahaman masyarakat terhadap politik lebih singular ataupun tunggal, kini masyarakat sudah berpemikiran plural. Maksudnya, lingkaran sempadan itu telah hancur. Ianya bukanlah suatu kerosakan, tapi pembangunan tamadun demokrasi”, sambung ahli panel yang kedua sambil menghuraikan tentang corak pemikiran pelbagai kalangan bangsa Malaysia. Saya cuba menerobos ke lingkaran sempadan tersebut.

“Kita mestilah berfikiran secara critical constructive, bukannya critical destructive dengan berpandukan kepada politik hati nurani dan kematangan. Kita mesti tahu erti mewarisi perjuangan, bukannya mahu mewarisi kepimpinan”, kali ini saya mengukirkan senyuman mendengar hujah-hujah dari ahli panel ketiga apabila beliau menyebut perkataan “politik hati nurani”. Lengkap dengan mewarisi perjuangan lagi. Sangat dalam pengertiannya tu.

“Pembangunan ke arah kematangan”, ulas panelis keempat yang lebih banyak menerangkan mengenai teori pembangunan. Beliau juga mengaitkan politik semasa dengan ajaran Islam dan system yang kita mahu implemenkan. Nadanya tenang. Fikiran saya menghadamnya dengan mudah dan jelas.

Demikianlah persepsi yang diberikan oleh keempat-empat ahli panel jemputan "Intellectual Dialogue Towards Upholding Ummatic Aspiration", apabila moderator program meminta pandangan tentang pemikiran masyarakat terhadap politik.

Rata-ratanya bercakap tentang pembangunan dan memandang positif ke atas perkembangan politik yang sedang berlaku di tanahair masakini. Masyarakat sedang semakin matangkah dengan senario politik semasa?

Saya lebih ternanti-nantikan pendapat dan hujah dari panelis kedua berbanding yang lain memandangkan beliau lebih banyak membentangkan fakta sejarah dan rasional dari sudut akademik. Lebih bercorak realistic dan holistic.

Sukar untuk saya menterjemahkan perkara-perkara yang tersirat di sebalik perbincangan dan pendedahan umum pada forum tersebut. Masih terasa terawang-awangan sehari selepas hadir ke dialog pada malam itu. Cuba mengharmonikan antara pendidikan dan realiti politik, namun tak terdaya rasanya.

Tercari-cari bahasa baru bagi menggantikan bahasa yang digunapakai oleh panelis forum.

Bahasa dakwah untuk meningkatkan kefahaman, bahasa tarbiyyah menghasilkan perubahan, bahasa siasah bahasa berstrategi.

Semoga para mahasiswa yang turun pada malam itu mampu mempertimbangkan hasil perbincangan secara konstruktif. Mudah-mudahan hendaknya…


“Bahasa Cerminan Keintelektualan”

Tuesday, February 24, 2009

Generasi Berjiwa Fast Food




Generasi zaman sekarang lebih sukakan makanan segera yg terdapat di McDonalds, KFC, A&W dan sebagainya berbanding makanan yang berkhasiat.

Ramai pula ibu bapa yg tidak kisah jika anak-anak mereka memilih makanan seperti itu walaupun ternyata, ianya berisiko tinggi untuk kesihatan anak-anak mereka.

Lihatlah betapa prihatinnya Rasulullah SAW terhadap apa yang dimakan oleh Baginda, Hasan dan Husin. Sirah Nabawiyyah ada menceritakan bagaimana Baginda mengeluarkan semula buah kurma yang dimakan oleh Hasan dan Husin apabila tidak mengetahui tuan punya buah yang dimakan oleh mereka bagi memastikan tiada apa-apa yang haram yang masuk ke dalam perut cucu-cucu Baginda.

Tabiat pemakanan melambangkan peribadi seseorang. Sebagaimana ungkapan yang seringkali kita dengar iaitu "you are what you eat".

Tidak hairanlah ramai generasi hari ini yang liat untuk menunaikan solat, terlibat dengan pelbagai jenayah, berdepan dengan krisis ketandusan jati diri sebagai Muslim serta kepupusan nilai akhlak.


"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi manusia"
[Surah Al Baqarah: 168].

Di Manakah Nilai Ikutanmu?


“Hebatlah abang ni. Akademik cemerlang, berkepimpinan, cantik, bijak, petah berpidato pula tu.”, puji seorang ahli usrah tentang kehebatan naqib A. Pujian bukan untuk mengambil hati, namun tidak dapat dinafikan secara realitinya naqib A itu seorang yang berkebolehan dalam pelbagai bidang.

Beberapa bulan kemudian, tamatlah tempoh pengajian bagi naqib A tadi. Perlantikan naqib (B) yang baru telah dibuat oleh pihak Biro Dakwah Dan Kepimpinan bagi menggantikan naqib yang telah bergraduasi tersebut.

Namun, apa yang menghairankan naqib B adalah komitmen yang mengecewakan ahli usrah tersebut terhadap usrah kendaliannya. Puas diajak, dipujuk dan diberi kaunseling namun masih tiada perubahan. Setia dan kagum benar dirinya terhadap naqib A.

Ketika bersama naqib A dulu, tidak ada pula masalah berkenaan ketidakhadirannya. Dialah orang yang paling jarang meninggalkan usrah. Sakit-sakit pun tetap hadir. Ke hulu ke hilir bersama dengan naqibnya. Malahan, membuat tuntutan pula kepada naqib A untuk diadakan aktiviti tambahan kerana masa perbincangan dalam usrah tidak mencukupi.

Maka bermuhasabahlah si naqib B mencari entah di mana silapnya dan apakah kesalahan yang telah dilakukannya.

Apabila diselidiki, rupa-rupanya ahli usrahnya tadi memberikan komitmen yang tinggi kepada usrah lamanya kerana naqib A seorang yang lebih hebat berbanding naqib B.

Kehadirannya ke usrah bukanlah kerana kefahaman terhadap apa yang disampaikan tetapi kerana tertarik dengan kehebatan syahsiyyah yang dimiliki oleh si naqib.

Akibatnya, komitmen terhadap usrah mulai berubah seiring dengan pertukaran naqib.


Salahkah menjadi seorang naqib yang hebat?


Pendirian Abu Bakr

Dalam isu ini, suka saya mengimbau kembali sikap Abu Bakr selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. Setelah memasuki bilik Aisyah dan mencium muka Rasulullah s.a.w., beliau keluar menemui orang ramai bersama Umar al-Khattab. Beliau menyuruh Umar duduk, “Wahai Umar, sila duduk”. Namun Umar enggan.

Lalu Abu Bakr membiarkan Umar di situ dan berkata kepada sidang hadirin:
“Adapun selepas tahmid dan syukur maka ingin aku menyebut di sini, sesiapa di antara kamu yang menyembah Muhammad sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak akan mati”.

Kemudian beliau membaca firman Allah s.w.t. dalam surah al-Imran: 144,
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (meninggalkan agama Allah)? Sesiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur”.

Soalan yang sama ingin saya ajukan kepada ahli usrah tersebut, “Apakah jika naqib kamu telah tiada nanti, kamu mahu meninggalkan perlaksanaan usrah ini padahal apa yang dibawakan oleh naqib B ini adalah merupakan ajaran yang sama?”

Terpulanglah apa jawapannya. Namun bagi saya adalah tidak wajar sekiranya seseorang ahli usrah itu meninggalkan usrah semata-mata kerana mahu bernaqibkan seorang yang hebat sahaja.

Apakah nilai pertimbangan yang diambil?

Islam mengajar ummatnya supaya berpegang pada tali kebenaran atau ajarannya, bukanlah kepada pembawa ajaran atau penganutnya.

Adalah malang bagi seorang pengikut andainya ajaran yang diikutinya tidak membawa kepada kefahaman dan ketundukan kepada Allah. Sebaliknya, tanpa disedari dia sedang menuju ke arah ketaksuban terhadap gurunya.

Bukanlah menjadi satu kesalahan mengagumi kehebatan seseorang guru, namun kesalahan itu terletak pada perbuatan meninggalkan ajarannya setelah ketiadaan beliau untuk mempelajari ajaran baru yang diajar oleh guru yang lebih hebat syakhsiyyahnya.


“Ya Allah, jadikanlah aku ini dicintai dalam hati setiap orang yang BERIMAN kepada-MU"

Thursday, February 19, 2009

Palestin Masih Bermandikan Darah





“Ya Allah, muliakanlah Islam dan kaum Muslimin.
Ya Allah, tolonglah kaum Muslimin dan Mujahidin di Palestin.
Ya Allah, teguhkanlah Iman mereka dan turunkanlah ketenteraman di dalam hati mereka dan satukanlah barisan mereka.
Ya Allah, hancurkanlah kaum kuffar dan kaum musyrikin.
Ya Allah, binasakanlah kaum Yahudi dan pasukan Israel dan cerai-beraikanlah kesatuan mereka.
Ya Allah, menangkanlah kaum Mujahidin atas musuh kami musuh agama dengan RahmatMu, Wahai Yang Maha Pengasih.
Dan sampaikanlah Selawat kami kepada Nabi Muhammad.”





Di Mana Pemimpin Mesir?

Dr Mahmud al-Zahhar, seorang pemimpin HAMAS berkata:
"Sebanyak mana pun bantuan yang dihulurkan kepada rakyat Palestin, mereka masih lagi memerlukan bantuan terutamanya dalam suasana kini, khususnya bantuan dari Mesir, bukan hanya kerana Mesir dekat dengan Palestin dari sudut geografinya, tetapi juga kerana hubungan sejarah yang telah menyatukan rakyat kedua-dua negara dan keadaan sempadannya yang tidak pernah ditutup sebelum ini".


Sudahkah anda membantu rakyat Palestin?
Tabung Kemanusiaan Harakah

Sejarah Itu PASTI Berulang



"Pernah tak Kak Zatil terfikir, pada waktu bila Nabi Ibrahim, Nuh dan Muhammad diutuskan?" soal Sulastri, sahabat saya ketika kami berdiskusi tentang situasi ummat pada era Kenabian, Khulafa' Ar-Rasyidin, Khilafah Islamiyyah dan pada masa kini.

Pada malam itu, kami banyak bermuhasabah tentang kesan tinggalan sejarah dari ummat-ummat terdahulu. Beliau menerangkan kepada saya satu persatu kronologi tamadun Islam dan barat, bermula dari zaman kegelapan hingga ke era pencerahan.

Apa yang saya kagumi tentang Sulastri adalah, beliau sanggup mengorbankan satu tahun tempoh pengajian dengan berhijrah dari kursus ICT ke History semata-mata mahu mendalami ilmu sejarah dan tamadun Islam. Subhanallah, semoga Allah memberkatimu.


Dari Mana Nak Ke Mana?

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa persoalan yang diajukan kepada saya itu pernah bermain dalam fikiran ini pada suatu masa dahulu.

Tamadun sedang mengalami proses yang manakah ketika para Nabi itu diutuskan? Adakah ketika proses permulaan, kebangkitan, kematangan atau kejatuhannya?

Di mana pula kedudukan kita atau gerakan Islam pada ketika ini?

Jika kita sedang berada pada peringkat permulaan tamadun, apakah peranan kita?

Apa pula cabaran yang dihadapi serta bagaimana pula kita memberikan respon yang tepat terhadapnya?


Sejarah Itu Suatu KetetapanNya



“Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)”
(Ali Imran 3:140)

"Sunnatullah (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.
(Surah Al-Fath 48: 23)


Setiap sesuatu penciptaan itu tidaklah dijadikan secara sia-sia serta untuk tujuan yang sia-sia. Pasti ada sebabnya yang tersendiri yang memerlukan kepada analisis yang teliti.

Sesebuah tamadun itu mempunyai jangka hayatnya serta mengalami proses yang sama dan berulang-ulang, sebagaimana jangka hayat manusia.

Seumpama kaedah didikan, tidak mungkin kita menggunakan proses yang sama untuk peringkat umur yang berbeza bagi seseorang individu.

Dengan mengenalpasti tahap dan kedudukan sesebuah tamadun, kita dapat memahami situasi ummat pada masa kini serta pada masa hadapan kerana sejarah itu pasti akan berulang. Jika ada perubahan pun, prinsipnya tidak akan jauh berbeza.


"Jatuh bangunnya sebuah tamadun, amat berkait rapat dengan bagaimanakah response mereka kepada cabaran yang muncul dari satu zaman ke satu zaman. Apabila challenge muncul, ummah mesti responsif. Kejumudan yang melumpuhkan tindak balas dan reaksi, adalah pembunuh paling agresif bagi sebuah tamadun. Seandainya ada reaksi, maka ia mestilah pula tepat dengan bentuk cabaran yang dihadapi.

Kegagalan sesebuah tamadun untuk memberikan reaksi yang tepat terhadap cabaran yang dihadapi, akan mengundang kematian."
- Ust. Hasrizal


Meneladani jatuh bangun sesebuah tamadun bermakna kita mencungkil rahsia di sebalik kejayaan atau kegagalan metodologi yang diaplikasikan dalam bidang keagamaan, pentadbiran, dakwah Islamiyyah, sains sosial, pendidikan serta politiknya.

Bukannya untuk mendabik dada atau memperkecilkan sesebuah pemerintahan.


Menyemak Manhaj Tarbiyyah Pada Hari Ini

Kita juga meneliti sejarah masa lampau untuk menilai keberkesanan pendekatan tarbiyyah pada waktu itu agar dapat kita warisi untuk kegunaan ummat manusia pada hari ini.

Menjadi suatu keperluan bagi setiap pendakwah untuk menyemak balik pendekatan tarbiyyah yang digunapakai supaya perubahan cabaran semasa berjaya ditangani dengan respon yang betul.

Kenal pasti apakah cabaran semasa? Kemudian tentukan tindak balas yang sesuai dengannya.

Berubahlah duhai pendakwah kerana mad'u sudah berubah.

Mudah-mudahan kita tidak akan menjadi penonton tetapi dai'e yang mengembangkan amanah sebagai ejen perubahan.


"History... To Shape The Future"

Friday, February 13, 2009

Apabila Media Berpaling Dari Kebenaran




Sejak akhir-akhir hilang rasa minat untuk membelek akhbar-akhbar utama Malaysia. Berita-berita yang disajikan di televisyen pun banyak yang kurang menyenangkan. Rasa agak ragu-ragu dengan sumber informasi yang dibawakan. Apatah lagi dengan kenyataan yang berat sebelah. Rasa kecewa pun ada.

Media seharusnya sedar betapa besarnya impak sesuatu catatan itu terhadap rakyat. Jangan penuhi media dengan seribu satu sogokan, putar-belit dan kutukan semata-mata. Sesuatu isu itu sepatutnya diperhalusi dan diterjemahkan ke dalam maklumat yang berbentuk pendedahan atau pengajaran.

Saya pernah terbaca satu artikel tentang etika kewartawanan. Menurut penulis, menjadi wartawan bukan sahaja menjadi pencatat peristiwa tetapi mereka perlu mencipta peristiwa. Proses ini berlaku melalui penyaluran mesej yang betul dalam fikiran pembaca. Setiap wartawan juga perlu ada pembinaan prinsip dalam diri untuk mempertahankan integriti dalam profesion ini. Dalam konteks Malaysia, sudah ada perubahan kecil tetapi memberi impak yang besar dalam memberi kefahaman masyarakat.

Bekas Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Sulaiman yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama 40 tahun mengatakan ‘Etika Kewartawanan’ tidak wujud di Malaysia dalam erti kata tiada kanun seragam khusus yang mengawal dan mengurus perjalanan profesion kewartawanan atau badan tertentu yang bertanggungjawab mengawasi pematuhan kepada kanun berkenaan, seperti di sesetengah negara, terutama negara maju. Secara umumnya, etika kewartawanan bergerak atas beberapa peraturan kecil seperti, mengutamakan kebenaran, keadilan, kebebasan dan sikap tidak memihak dalam pemberitaan.





“Wahai manusia! Sekiranya ada di kalangan kamu yang dilantik sebagai wakil pentadbir oleh kami, dan kemudian menyorokkan daripada kami walaupun hanya sebatang jarum, atau lebih, dia sudah berkhianat, dan akan membawanya di Hari Kebangkitan.”
(Hadis riwayat Abu Dawud)


Saya menghormati wartawan dan media yang mampu menyalurkan maklumat yang benar. Penyebaran informasi yang tidak jujur hanya akan menghakis kredibiliti serta kepercayaan orang ramai terhadap seseorang wartawan.

Sejauh manakah media mampu menutup kebenaran dalam era ledakan teknologi maklumat masa kini?

Thursday, February 05, 2009

Kemelut Politik Di Perak

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Seketika ini, hanya doa yang mampu disumbangkan buat Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin serta sahabat-sahabat seperjuangan di Perak apabila mendapat tahu tentang kemelut yang sedang dihadapi oleh Pakatan Rakyat.

Kebimbangan saya mulai timbul apabila terdengar desas-desus bahawa kedua-dua Exco berkenaan, Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu berada di Pekan, Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Razak di kediamannya sebelum ini.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar dalam kenyataan mengumumkan bahawa ADUN Behrang, Jamaluddin dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai wakil rakyat di rumah beliau pada 5.45 petang semalam.

Pagi semalam beliau memaklumkan kekosongan kedua-dua kerusi itu kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri.


Antara Kerisauan Dan Harapan

Rasa berdebar apabila terbaca tentang apa yang berlaku di bangunan pentadbiran kerajaan Perak dan di kediaman MB Perak pada petang tadi.

Sehingga kini, pembubaran Dun belum berlaku lagi kerana Tuanku Sultan masih belum memberi perkenan Dun dibubarkan. Malahan Tuanku meminta Menteri Besar letak jawatan. Namun begitu Mohamad Nizar bertegas tidak akan meletak jawatan.

Kerajaan BN masih belum boleh dibentuk di Perak dan kerajaan Pakatan Rakyat masih sah di sudut undang-undang.

Namun, ada sedikit kelegaan bilamana membaca laporan dari Harakahdaily yang menyatakan yang menurut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, terdapat tiga cara untuk menukar menukar kerajaan:

Pertama, melalui pembubaran Dun. Menteri Besar Perak menasihati Paduka Seri Sultan Perak supaya membubarkan Dun bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan dan memberi mandat rakyat memilih kerajaan yang baru.

Kedua, Menteri Besar Perak dan semua Exco meletakan jawatan dan menyerahkan jawatan kepada parti yang mendapat kerusi majoriti memerintah Perak.

Ketiga, melalui usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. Sekirnya pilihan pertama dan kedua tidak berlaku, rakyat kena menunggu sidang Dewan Undangan Negeri dipanggil bagi membolehkan Usul Undi tidak percaya dibentangkan.


Justeru, selagi Sidang Dun belum bersidang dan Usul Undi Tidak Percaya dibentangkan dan mendapat undi majoriti, selagi itulah Kerajaan Pakatan Rakyat kekal memerintah.



[Laporan Khas Malaysiakini]



Teringat pula kepada statement yang pernah dikeluarkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz:
"Saya rasa cukup dukacita apabila timbul cerita wakil rakyat hilang selama dua tiga hari dan kemudian nak melompat. Saya tak faham macam mana keadaan ini boleh berlaku di Malaysia. Manusia macam ni patut dilemparkan dengan kasut. Selepas dapat undi dalam pilihan raya, tiba-tiba mereka jual (berpaling tadah). Perbuatan ini pastinya ada perancang yang memujuk mereka sebagai cara mudah mencari majoriti (membentuk kerajaan). Kalau begini, lebih baik tak payah diadakan pilihan raya, sebaliknya cukup diagihkan duit saja".


Ternyata, mentadbir hati manusia tidak semudah mentadbir sebuah kerajaan.

"Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan Sabar dan Solat"