Friday, February 13, 2009

Apabila Media Berpaling Dari Kebenaran




Sejak akhir-akhir hilang rasa minat untuk membelek akhbar-akhbar utama Malaysia. Berita-berita yang disajikan di televisyen pun banyak yang kurang menyenangkan. Rasa agak ragu-ragu dengan sumber informasi yang dibawakan. Apatah lagi dengan kenyataan yang berat sebelah. Rasa kecewa pun ada.

Media seharusnya sedar betapa besarnya impak sesuatu catatan itu terhadap rakyat. Jangan penuhi media dengan seribu satu sogokan, putar-belit dan kutukan semata-mata. Sesuatu isu itu sepatutnya diperhalusi dan diterjemahkan ke dalam maklumat yang berbentuk pendedahan atau pengajaran.

Saya pernah terbaca satu artikel tentang etika kewartawanan. Menurut penulis, menjadi wartawan bukan sahaja menjadi pencatat peristiwa tetapi mereka perlu mencipta peristiwa. Proses ini berlaku melalui penyaluran mesej yang betul dalam fikiran pembaca. Setiap wartawan juga perlu ada pembinaan prinsip dalam diri untuk mempertahankan integriti dalam profesion ini. Dalam konteks Malaysia, sudah ada perubahan kecil tetapi memberi impak yang besar dalam memberi kefahaman masyarakat.

Bekas Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Sulaiman yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama 40 tahun mengatakan ‘Etika Kewartawanan’ tidak wujud di Malaysia dalam erti kata tiada kanun seragam khusus yang mengawal dan mengurus perjalanan profesion kewartawanan atau badan tertentu yang bertanggungjawab mengawasi pematuhan kepada kanun berkenaan, seperti di sesetengah negara, terutama negara maju. Secara umumnya, etika kewartawanan bergerak atas beberapa peraturan kecil seperti, mengutamakan kebenaran, keadilan, kebebasan dan sikap tidak memihak dalam pemberitaan.





“Wahai manusia! Sekiranya ada di kalangan kamu yang dilantik sebagai wakil pentadbir oleh kami, dan kemudian menyorokkan daripada kami walaupun hanya sebatang jarum, atau lebih, dia sudah berkhianat, dan akan membawanya di Hari Kebangkitan.”
(Hadis riwayat Abu Dawud)


Saya menghormati wartawan dan media yang mampu menyalurkan maklumat yang benar. Penyebaran informasi yang tidak jujur hanya akan menghakis kredibiliti serta kepercayaan orang ramai terhadap seseorang wartawan.

Sejauh manakah media mampu menutup kebenaran dalam era ledakan teknologi maklumat masa kini?

No comments:

Post a Comment