Monday, May 25, 2009

Saksikan Kupasan Mengenai Situasi Politik Malaysia



DI LUAR LINGKUNGAN: "Ke Arah Tontonan Tanpa Had Tanpa Sempadan"

Matangkah Pemikiran Politik Rakyat Malaysia?

Adakah rakyat Malaysia kini sudah matang berpolitik? atau adakah ia sekadar persepsi yang boleh disangkal?
Apakah ukuran kematangan politik di Malaysia?
Apakah punca matang atau dangkalnya politik malaysia?
Apakah ciri-ciri politik matang?
Bagaimanakah mendidik kematangan politik yang lebih tinggi di kalangan rakyat marhein?
Dan banyak lagi perbahasan dan kupasan yang menarik mengenai Kematangan Politik Malaysia termasuk krisis politik terkini yang berlaku di Negeri Perak.

Selepas segala macam polemik dan kerenah politik adakah pemikiran rakyat semakin matang? Ada yang melihat krisis Perak sebagai pembinaan kematangan yang perlu, tetapi apa natijahnya? Siapa yang menerima manfaat kematangan atau kedangkalan ini?
YB Ysmadi Yusuf, Prof Dr Nidzamuddin UKM, Dr Saifuddin UM

Monday, May 25, 2009
Time: 9:00pm - 10:00pm
Location: TV1










HUJAH Di TV9

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa dan Naib Presiden Umno, Dato' Ahmad Zahid Hamidi akan bertempur dalam Program Hujah TV 9 pada 26 Mei 2009 (Selasa) jam 9.30 malam.

Saksikan Program popular tersebut yang hoskan oleh Profesor Madya Agus Yusof dengan tajuk “Rasuah Politik” dan akan disiarkan secara langsung oleh TV9.

Sementara itu, esok 25 Mei 2009, Dato Husam akan menyatakan pendiriannya samada akan bertanding bagi mengisi jawatan dalam Pemilihan Kepimpinan PAS yang diadakan pada Jun nanti. Sidang media beliau akan diadakan pada jam 11.00 pagi di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Begitu juga Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Mahfuz Omar akan turut mengadakan sidang media pada jam 11.30 pagi (25 Mei 2009) bagi menyatakan pendirian menerima penawaran jawatan dalam pemilihan kepimpinan PAS pada Muktamar Tahunan yang dijadualkan pada Jun nanti di Shah Alam.

*Sumber: Jiwo Kelate

Friday, May 22, 2009

SUJUD: Membina Insan Dongak Dengan Hati Yang Tunduk



Sujud adalah simbol merendahkan diri di ‘hadapan’ Allah.

Sujud adalah darjat hamba yang paling tinggi.


“Dan apakah mereka tidak memperhatikan suatu benda yang diciptakan Allah, bayang-bayangnya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri, dalam keadaan sujud kepada Allah, dan mereka (bersikap) rendah hati.
Dan segala apa yang ada di bumi hanya bersujud kepada Allah iaitu semua makhluk bergerak (bernyawa) dan (juga) para malaikat, dan mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri.”
(an-Nahl: 48 & 49)


Abdullah Yusuf Ali di dalam The Holy Quran, mentafsirkan ayat tersebut sebagaimana berikut:
Secara metafora, benda-benda yang tidak bernyawa sekalipun dikatakan tunduk menyembah kepada Allah dengan rendah hati. Bahkan bayang-bayang mereka juga bergerak dari kanan ke kiri menurut cahaya dari langit dan bersujud ke tanah, mengagungkan dan memuji Allah dengan rendah hati. Bayang-bayang ini menunjukkan betapa segala sesuatu dalam hidup ini hanyalah sekadar bayang-bayang hakikat sebenar kehidupan akhirat; mereka berputar dan bergerak sesuai dengan cahaya Ilahi, sebagaimana bayang-bayang pohon dan bangunan yang bergerak dalam satu arah ataupun yang bertentangan, memanjang ataupun memendek mengikut cahaya dari langit. Daripada sudut lain, ‘makhluk-makhluk bergerak’ adalah makhluk-makhluk hidup. ‘Semua yang di langit ataupun di bumi’, termasuklah setiap sesuatu yang diciptakan. Segala sesuatu yang diciptakan itu disebutkan dalam tiga keadaan iaitu sesuatu yang tidak bernyawa, sesuatu yang hidup biasa dan para malaikat. Malaikat yang tertinggi sekalipun tidak sombong, mereka bersujud dan mengabdikan diri kepada Tuhan dan demikian pula semua ciptaan Allah.

Gerakan sujud dalam solat kita sehari-hari merupakan satu anugerah. Apabila bersujudnya seorang manusia itu, bererti ia telah menyelaraskan dirinya dengan alam semesta untuk memuji dan bersujud kepada Allah Yang Maha Tinggi.

Sesekali terlintas juga perasaan tinggi diri dan bangga melihat pencapaian diri yang lebih baik dari orang lain. Tetapi, apabila dahi mencecah ke sejadah, timbul rasa hina dan kesedaran bahawasanya diri ini merupakan hamba kepada 'SESEORANG'. Segala kelebihan hanyalah pinjaman dariNya.

Lahirkanlah seberapa ramai modal insan berjiwa besar yang bergelar juruterbang, ahli politik, sejarahwan, pengarah filem, jurutera, doktor, ahli falsafah, pensyarah, ilmuan Islam, pakar IT, tentera, arkitek, angkasawan, usahawan malahan petani dan tukang sapu sekalipun….asalkan mereka ini beriman kepada Allah subhanahu wa taala.

Dengan terbinanya iman dan taqwa dalam diri…
Seorang ahli politik tidak mungkin menggadaikan maruah dengan rasuah,
Seorang arkitek tidak mungkin membina bangunan dengan struktur yang rapuh,
Seorang doktor tidak mungkin memperjudikan nyawa pesakitnya,
Seorang guru tidak mungkin mengabaikan tanggungjawab mendidik,
Seorang ‘ulama tidak mungkin memperdagangkan ilmu pengetahuannya,
Dan, seorang pakar IT tidak mungkin mencipta inovasi teknologi yang mendorong ke arah maksiat.

Membentuk insan yang sentiasa mendongak ke hadapan itu keperluan, namun menundukkan jiwa mereka kepada Tuhan merupakan satu tujuan.

Wednesday, May 20, 2009

Memaknakan Sebuah Pertemuan



“Baiklah, kita mulakan usrah kita pada hari ini dengan tasbih kafarah dan surah Al-‘Asr,” saya mengejutkan ahli-ahli usrah yang sedang berbual-bual sementara menunggu dua tiga orang yang masih belum tiba lagi.

“Hah,” Masing-masing senyap sambil menjeling antara satu sama lain.

“Kenapa? Bukan ke masa Tamrin Nuqaba’ hari tu ada yang cakap usrah dimulakan dengan kaffaratul majlis dan surah al-‘Asr kemudian diakhiri dengan al-Fatihah?” saya tersenyum melihat kebingungan mereka.

Oleh kerana kebanyakan mereka terdiri daripada naqibah dan pimpinan, jadi kehadiran ke Tamrin Nuqaba’ merupakan satu kewajipan. Wajib haraki kata orang jemaah. Latihan serta pengisian yang mereka perolehi sama seperti saya. Tidak ada perbezaannya.

Sengaja saya cetuskan provokasi bagi mengetahui sejauh mana kefahaman mereka tentang konsep usrah dan majlis usrah. Seandainya mereka jelas tentang kefahaman asas ini, semestinya mereka akan mengaplikasikan apa yang mereka dapat melalui majlis usrah ke dalam kehidupan sehari-hari. Itulah baru dinamakan sebagai usrah, "It is a coaching, not a preaching".

Sesungguhnya, mengubah suatu kebiasaan bukanlah sesuatu yang amat mudah.

Nampaknya tiada sesiapa pun yang mahu bersuara untuk memberikan sebarang pandangan.

Mereka hanya menundukkan muka.

Mungkin saya terlalu ‘mencabar’ tradisi majlis usrah. Tanpa menunggu lebih lama, saya kembali memulakan majlis usrah seperti biasa, dengan bacaan ummul kitab.

Hah, barulah suasana berubah seperti biasa. Mereka kembali ceria dan menanti apa yang bakal saya perkatakan.

Kami mengambil sedikit masa untuk menenangkan diri.

“Apa ye tajuk usrah kita kali ini?” saya mengajukan soalan mudah bagi menguji kecaknaan mereka. Selalunya, apabila saya memaklumkan tarikh usrah, saya akan menyertakan beberapa maklumat asas termasuklah tajuk yang bakal dibincangkan nanti.

“Erm… Rasulullah. Aaa…” seorang daripada mereka cuba menjawab.

“Aaa.. Penghulu seluruh alam.”

“Hampir tepat.” Jawab saya.

“Rahmatan lil ‘alamin.” Mereka menyusun. Akhirnya tercantum sebuah ‘teka-teki’.

Saya memilih tajuk yang agak mudah dan ringan untuk mengisi usrah yang baru pertama kali diadakan. Cukuplah sekadar sebagai satu pengenalan. Lagipun, objektif utama usrah pada kali ini adalah untuk berkenal-kenalan antara kami dan bukannya untuk menambah thaqafah. Biar santai, asalkan tercapai matlamat. Diskusi yang terlalu ilmiah mampu membantutkan usaha untuk mengenali mereka. Manakala suasana yang lebih semulajadi, mendorong mereka kepada keterbukaan untuk memperkenalkan diri dengan lebih dekat lagi.


"Insyaallah, kali ini kita akan membincangkan serba sedikit tentang awal fasa kehidupan Rasulullah sempena Maulidur Rasul ni. Kemudian isu-isu dan permasalahan sekitar kehidupan baginda. Lepas tu kita akan bermain satu modul." saya mengambil nafas sebelum memulakan pengisian.

Saya memberikan huraian lanjut berdasarkan nota ringkas yang saya berikan kepada mereka. Nota yang dimuat turun dari blog Saifulislam.com ini tidak sarat dengan perkara-perkara yang sukar untuk mereka fahami. Penjelasan saya jadi berselang-seli dengan persoalan mereka.







Kemudian saya teruskan dengan modul ringkas, sekadar mengenali mereka dengan lebih dekat. Saya menyediakan beberapa helaian kertas kosong untuk mereka melakar satu objek yang mencerminkan sifat dominan atau keperibadian mereka. Kemudian, tuliskan juga di bahagian bawah, tiga perkara yang paling mereka sukai.

Sememangnya otak manusia lebih mudah mengingati gambar berbanding tulisan.

Akhirnya saya simpulkan objektif modul kami pada hari itu. Matlamatnya mudah, sekadar mahu bertaaruf serta merapatkan diri antara satu sama lain.

Ukhuwwah yang ingin saya jalinkan dengan mereka bukanlah satu pertalian biasa. Ianya merupakan ukhuwwah untuk membangunkan iman dalam diri, melalui komunikasi yang mesra. Ringkas, namun impaknya cukup bermakna buat saya.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [Al-Hujuraat 49: 10]

Ukhuwwah yang berteraskan ayat “sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara” adalah ukhuwwah yang menghasilkan manusia yang mampu berinteraksi serta berhubung dan memesrakan diri dengan manusia yang lain… cukup dengan alasan iman.

Tuesday, May 12, 2009

Kemenangan DS Nizar Bangkitkan Semangat Rakyat






Sokongan rakyat terhadap isu Menteri Besar Perak yang sah jelas kelihatan dalam ceramah rakyat anjuran Pakatan Rakyat malam semalam. Saya tidak melepaskan peluang untuk turut serta berkongsi berita gembira kemenangan YB Nizar, tokoh yang saya kagumi. Dengan bertemankan anak-anak usrah, saya memerhatikan satu persatu reaksi para pemimpin serta penyokong yang hadir ke situ.

Sememangnya saya sentiasa mengikuti perkembangan politik negeri Perak semenjak peralihan kuasa dari kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat. Rakyat Perak beruntung kerana dipimpin oleh mereka yang berkelayakan. Ada di kalangan mereka yang mengatakan bahawa Pakatan Rakyat gilakan kuasa, bukannya mahu berkhidmat untuk rakyat.

"Menjaga kebajikan rakyat tanpa memegang sebarang kuasa".

Bukankah itu suatu ungkapan yang ideal.

Saya mengambil berat tentang negeri Perak setelah mengetahui apa yang telah dan sedang berlaku ke atas rakyat Perak. Melihat dari sudut ruangan dakwah, kita memang mempunyai peluang yang cukup cerah di sana. Namun, semuanya dicemari dengan sikap sombong.

Bukankah kegagalan itu ditunjukkan untuk menghancurkan keangkuhan?

Berfikirlah duhai pemimpin negara...



Semakin bersemangat selepas menjenguk ke Facebook Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin:

SYUKUR ALHAMDULILAH
Today at 7:14am

Syukur alhamdulilah kepada semua warga dan rayat Perak khususnya dan Malaysia amnya yang telah sabar dan mendoakan untuk kemenangan dan keselamatan seluruh Rakyat Perak. Selama 3 bulan kita dalam suasana krisis perlembagaan oleh kerana perbuatan rakus merampas hak rakyat negeri Perak pada 5 Feb. 2009 lalu.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah berkerjasama dan mendoakan kejayaan ini. Marilah kita bertenang, terus memuji kebesaran Allah SWT serta memohon kempunan dari Allah SWT.

Semua rakyat harus bertenang dan Pakatan Rakyat akan meneruskan khidmat kami membantu rakyat serta membela rakyat yang memerlukan banyak perhatian dan pertolongan dari kerajaan. Sesungguhnya kami akan meneruskan dasar serta janji demi kebaikan rakyat dan melaksanakan diatas prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Semua rakyat Perak beragama Islam mesti menunaikan solat sebagai tiang agama dan kembali kepada ajaran nabi Mohammad SAW. InsyaAllah kita akan banyakan lagi program kebaikan dan membenteras kemungkaran demi berhasrat menyelamatkan bangsa , negara dan agama oleh kerana gejala sosial seperti dadah, rokok, ragut, rempit, zinah , mabuk , tak sembahyang, jahil dan lain-lain.

Maka marilah semua kaum dan rakyat Perak kita ikut dan patuh kepada perlembagaan dan undang-undang tubuh serta mengikut Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara supaya dapat kita bangunkan balik tamaddun Islam yang telah lama tidak di beri perhatian wajar.

Sebagai Ahli Parlimen P059 Bukit Gantang pula saya ajak seluruh warga parlimen tersebut mengemukakan segala masaalah mereka melalui pusat khidmat masyarakat yang telah saya dirikan di DUN Cgkt Jering, Kuala Sepetang dan dua pejabat di Trong.

Kepada semua kakitangan Kerajaan disemua peringkat, marilah kita laksanakan khidmat kepada rakyat dengan menganggap semua titik peluh kita sebagai amalan membantu rakyat agar mereka tidak menuntut hak mereka di hadapan Allah SWT diakhirat kelak. Marilah kita ambil kesempatan memberi sumbangan kepada rakyat yang cukup terhimpit akibat krisi ekonomi global kini.

Kepada semua media ,marilah kita bebaskan diri kita dari belenggu fitnah dan sindrom enggan melapurkan yang benar. Kepada semua bloggers dan media kerajaan, saya pohon keampunan atas kesilapan dan ketelanjuran saya. Saya turut memaafkan serta mengampunkan kesilapan kalian.

Kepada semua pegawai dan penjawat awam , jangan lagi menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya buat kerja dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Kepada RTM FM Perak, berlaku adilah kepada saya dan Pakatan Rakyat untuk suara saya didengari oleh rakyat Perak kerana saya cuma mahu mengajak kaum saya bersolat dan berilmu. Saya bertemu dengan Menteri Penerangan ketika itu, Dato' Shabery Chik dan merayu berilah saya setengah jam seminggu untuk mengajak orang Melayu supaya patuh pada Allah dan jangan lalai. Hendaklah serious beragama. Maka berilah ini kepada saya. Namun tiada layanan darinya dan warga Perak FM di Ipoh. Tolonglah kami kerana kami difitnah dan danayai. Belalah Islam!.

Kepada semua warga tani, peladang, penternak dan nelayan, saya sayang kepada kalian semua dan akan membantu melegakan kehidupan yang terik sekarang.

Kepada semua ketua JKKK yang telah diberi surat watikah oleh saya sebagai MB tempoh hari, teruskan usaha baik tuan tuan kerana saudara dipilih oleh rakyat. Ini telah diperkenan oleh kebawah duli yang teramat mulia Raja Muda semasa saya mengesyurkan usaha memilih ketua JKKK. RM cukup gemar dan berkenan dengan tindakan ini.
Saya kembali dengan hasrat memberikan hak kepada rakyat Perak pilih kerajaan yang kuat dan wibawa. Saya akan cuba sedaya upaya memohon perkenan Kebawah DYMM untuk bubarkan DUN Perak dan adakan pilihanraya seluruh negeri kita.

HIDUP RAKYAT.
ALLAHU AKBAR

Monday, May 11, 2009

Teknologikah Yang Menjadikan Kami Begitu?





Computer - Internet - WeBLog - PDA - WiFi HotSpot - RSS Feed - MP4 Player - 3G Mobile phone - P1 WiMax - Sky Broadband - MySpace - YouTube - Facebook - Twitter - LAN - Gadget - Podcast-


Semakin hebat teknologi, semakin hilang nilai kemanusiaan dalam diri...

Suasana di fakulti saya sendiri sudah mampu menggambarkan hakisan nilai kemanusiaan yang semakin ketara, seiring dengan kepesatan pembangunan teknologi maklumat. Setiap kali department menganjurkan sebarang program, sambutan yang diterima sememangnya sangat hambar. Malahan, pelajar semakin tidak peduli dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

Saya akui, kehadiran dunia tanpa sempadan ini telah membuka ruang yang sangat luas untuk saya memberi dan mengakses pelbagai maklumat dari seluruh dunia. Dunia maya ini jugalah yang telah mengajar saya untuk lebih berani dalam mengemukakan sebarang pandangan serta membina medan menegur yang sangat produktif.

Inilah penangan teknologi.

Semuanya menjadi begitu bebas dan terbuka.

Interaksi sesama manusia tanpa berlapikkan budi bahasa. Tiada lagi rasa segan dan silu.

Hilang teman tidak mengapa, asalkan komputer riba setia di sisi.

Syukur kepada Allah Taala yang telah menemukan saya dengan gerakan Islam semenjak di alam kampus. Berada dalam perjuangan Islam, secara tidak langsungnya telah meruntuhkan tembok 'robotik' dalam diri saya. Saya belajar mengenal erti ukhuwwah sesama manusia hamba. Baru saya sedar, persoalan ukhuwah ini penting selepas dai'e membangunkan iman. Kemudian, barulah boleh ditimbulkan soal fikrah.

Saya juga belajar merebut peluang untuk mengenali pelbagai jenis tabiat serta tingkah laku mad'u. Saya belajar merenung siasah kehidupan mereka melalui mata hati dan saya tidak terus menjadi penghukum. Saya semakin berminat untuk menerobos ke sempadan diri manusia. Dan, saya semakin menghampiri realiti dakwah berdasarkan pengalaman berjuang menyebabkan saya sentiasa mengkaji pendekatan dakwah di alam nyata yang lebih relevan.

Mencipta imaginasi dan ilusi itu sememangnya indah. Mengeluarkannya ke dalam bentuk realiti umpama berjuang antara peluh dan airmata. Adakalanya menuntut sesuatu yang tidak sanggup untuk kita lepaskan.

Mudah-mudahan saya akan diberikan kekuatan dalam menentukan halatuju perjuangan yang seterusnya serta berupaya menawarkan secebis penyelesaian buat dunia Perjuangan Islam. InsyaALLAH...


Sedikit berita gembira sebagai penawar keresahan hati:
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
UIAM bakal jadi hab ICT Islam

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kulliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan ICT untuk dunia Islam apabila bangunan baru bernilai RM79 juta siap menjelang 2011.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Idris Haron berkata, pusat penyelidikan di KICT itu bakal menjadi peneraju kemajuan dan perkembangan ICT untuk masyarakat Islam dan dunia sejagat.

Menurut beliau, KICT akan menjalin kerjasama dengan universiti, sektor industri, pusat penyelidikan di dalam dan luar negara untuk mencipta teknologi menggunakan peralatan terkini.

“Semua program di kulliyah itu dibentuk mengintegrasi ilmu Islam dengan ICT. Saya yakin UIAM akan menjadi hab KICT dunia Islam satu hari nanti.

“Jika terdapat pertemuan terbaru sudah tentu ia mempunyai hak intelektual (IP) dan sekiranya ada nilai komersial, semua pihak yang terlibat antaranya universiti dan penyelidik akan mendapat keuntungan.

“Kementerian dan pihak universiti tiada halangan dalam urusan mengagih dan berkongsi keuntungan jika sesuatu pertemuan terbaru mendapat pasaran antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan acara pecah tanah di tapak bangunan baru KICT seluas 500,000 meter persegi di UIAM Kampus Gombak di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang meminta parti-parti politik tidak mengganggu dan mempengaruhi persatuan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

Monday, May 04, 2009

Penguasa Bernama Ulama'


Persoalan mengenai kepimpinan PAS semakin hangat diperkatakan menjelang Muktamar pada bulan Jun nanti. Isu berkenaan timbul sejurus selepas Ustaz Mohd Daud al I'raaqi, Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat menyuarakan pandangannya agar Presiden dan Timbalan Presiden mestilah di kalangan ulama'.

Antara Ulama' atau professional, golongan manakah yang bakal menerajui PAS?

Kita sedia maklum, PAS telah memperkenalkan dasar kepimpinan Ulama' bermula tahun 80an. Ketika itu, Almarhum Yusuf Rawa yang memegang jawatan sebagai Presiden dan dasar tersebut telah mewujudkan sebuah institusi yang dinamakan sebagai Majlis Syura Ulama di samping memperkasakan Dewan Ulama Pas.

Seterusnya, Dato' Mustafa Ali selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang bertanggungjawab menggagaskan Kepimpinan Ulama' dalam PAS pada tahun 1982 yang lalu turut mempertahan institusi ulama'.

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa kombinasi antara ulama' dan professional telah berjaya meraih kemenangan yang besar buat PAS dalam sejarah politik Malaysia. Namun, persoalan siapa yang seharusnya berada di pucuk pimpinan merupakan keutamaan tertinggi.

Harus difahami, PAS bukan sekadar sebuah parti politik tetapi merupakan gerakan Islam. Kemampuan pemimpin tertingginya membawa PAS menghayati ruh sebuah gerakan Islam sangat diperlukan. Sesiapa sahaja mampu memimpin sebuah parti politik tetapi tidak semua orang berupaya memimpin sebuah gerakan Islam.

Firman Allah:
إنَمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah adalah Ulama'"
(Surah Fatir : 28)