Friday, May 22, 2009

SUJUD: Membina Insan Dongak Dengan Hati Yang Tunduk



Sujud adalah simbol merendahkan diri di ‘hadapan’ Allah.

Sujud adalah darjat hamba yang paling tinggi.


“Dan apakah mereka tidak memperhatikan suatu benda yang diciptakan Allah, bayang-bayangnya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri, dalam keadaan sujud kepada Allah, dan mereka (bersikap) rendah hati.
Dan segala apa yang ada di bumi hanya bersujud kepada Allah iaitu semua makhluk bergerak (bernyawa) dan (juga) para malaikat, dan mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri.”
(an-Nahl: 48 & 49)


Abdullah Yusuf Ali di dalam The Holy Quran, mentafsirkan ayat tersebut sebagaimana berikut:
Secara metafora, benda-benda yang tidak bernyawa sekalipun dikatakan tunduk menyembah kepada Allah dengan rendah hati. Bahkan bayang-bayang mereka juga bergerak dari kanan ke kiri menurut cahaya dari langit dan bersujud ke tanah, mengagungkan dan memuji Allah dengan rendah hati. Bayang-bayang ini menunjukkan betapa segala sesuatu dalam hidup ini hanyalah sekadar bayang-bayang hakikat sebenar kehidupan akhirat; mereka berputar dan bergerak sesuai dengan cahaya Ilahi, sebagaimana bayang-bayang pohon dan bangunan yang bergerak dalam satu arah ataupun yang bertentangan, memanjang ataupun memendek mengikut cahaya dari langit. Daripada sudut lain, ‘makhluk-makhluk bergerak’ adalah makhluk-makhluk hidup. ‘Semua yang di langit ataupun di bumi’, termasuklah setiap sesuatu yang diciptakan. Segala sesuatu yang diciptakan itu disebutkan dalam tiga keadaan iaitu sesuatu yang tidak bernyawa, sesuatu yang hidup biasa dan para malaikat. Malaikat yang tertinggi sekalipun tidak sombong, mereka bersujud dan mengabdikan diri kepada Tuhan dan demikian pula semua ciptaan Allah.

Gerakan sujud dalam solat kita sehari-hari merupakan satu anugerah. Apabila bersujudnya seorang manusia itu, bererti ia telah menyelaraskan dirinya dengan alam semesta untuk memuji dan bersujud kepada Allah Yang Maha Tinggi.

Sesekali terlintas juga perasaan tinggi diri dan bangga melihat pencapaian diri yang lebih baik dari orang lain. Tetapi, apabila dahi mencecah ke sejadah, timbul rasa hina dan kesedaran bahawasanya diri ini merupakan hamba kepada 'SESEORANG'. Segala kelebihan hanyalah pinjaman dariNya.

Lahirkanlah seberapa ramai modal insan berjiwa besar yang bergelar juruterbang, ahli politik, sejarahwan, pengarah filem, jurutera, doktor, ahli falsafah, pensyarah, ilmuan Islam, pakar IT, tentera, arkitek, angkasawan, usahawan malahan petani dan tukang sapu sekalipun….asalkan mereka ini beriman kepada Allah subhanahu wa taala.

Dengan terbinanya iman dan taqwa dalam diri…
Seorang ahli politik tidak mungkin menggadaikan maruah dengan rasuah,
Seorang arkitek tidak mungkin membina bangunan dengan struktur yang rapuh,
Seorang doktor tidak mungkin memperjudikan nyawa pesakitnya,
Seorang guru tidak mungkin mengabaikan tanggungjawab mendidik,
Seorang ‘ulama tidak mungkin memperdagangkan ilmu pengetahuannya,
Dan, seorang pakar IT tidak mungkin mencipta inovasi teknologi yang mendorong ke arah maksiat.

Membentuk insan yang sentiasa mendongak ke hadapan itu keperluan, namun menundukkan jiwa mereka kepada Tuhan merupakan satu tujuan.

No comments:

Post a Comment