Sunday, June 21, 2009

Dalami Ilmu Sebelum Memimpin

Seminggu dua ini boleh dikatakan hampir separuh dari ruangan media massa dipenuhi dengan isu-isu politik semasa dari dalam dan luar Negara. Baru sahaja akal cuba memahami usul muktamar PAS ke-56 yang diluluskan, kita dikejutkan pula dengan berita menyayat hati tentang serangan ke atas penduduk Islam di Selatan Thailand. Kemudian krisis bantahan terhadap keputusan pilihanraya Iran yang masih lagi hangat dibicarakan dan isu Kerajaan Perpaduan yang tidak putus-putus dimainkan oleh media badan politik dan media awam.

Penat juga mencermati pelbagai pandangan dari laman web ke laman web, siaran ke siaran dan penganalisis ke penganalisis mencari sumber-sumber yang boleh dipercayai sebelum ‘tajarrud’ (berpegang teguh) dengan pendirian mereka yang terlibat. Cabaran terbesar dalam abad ke-21 ini sudah semestinya pada keupayaan memilih atau mengenalpasti kebenaran yang samar-samar dalam ledakan maklumat atau dikenali sebagai ‘information overload’.

Dalam apa-apa situasi sekalipun sikap suka meneliti setiap maklumat yang sampai kepada kita harus diamalkan supaya kita tidak mudah terpengaruh dengan khabar yang tidak benar. Apatah lagi bagi saya yang masih lagi bertatih mengenali dunia politik. Cepat benar saya mengiyakan pandangan pakar-pakar politik. Seandainya saya memandang sesuatu isu dengan subjek yang berat dan besar, bagi mereka pula ia hanyalah perkara yang bersifat biasa. Sebab itulah saya suka membandingkan pemikiran saya dengan mereka yang lebih berpengalaman.

Bermula dari sini, saya belajar memajukan diri dengannya…

Jika kita mendalami ilmu tentang sains politik, pastinya kita akan lebih mudah membaca realiti semasa, cepat merasai arus perubahan yang sedang berlaku, meramal tindakan seterusnya, menangkap perkara yang tersirat disebaliknya serta mengambil tahu tentang pentadbiran, dasar luar Negara, ekonomi, pendidikan dan undang-undang.

Terselamatlah mereka yang arif tentang selok-belok dunia politik dari segala bentuk penipuan.

No comments:

Post a Comment