Thursday, February 19, 2009

Sejarah Itu PASTI Berulang



"Pernah tak Kak Zatil terfikir, pada waktu bila Nabi Ibrahim, Nuh dan Muhammad diutuskan?" soal Sulastri, sahabat saya ketika kami berdiskusi tentang situasi ummat pada era Kenabian, Khulafa' Ar-Rasyidin, Khilafah Islamiyyah dan pada masa kini.

Pada malam itu, kami banyak bermuhasabah tentang kesan tinggalan sejarah dari ummat-ummat terdahulu. Beliau menerangkan kepada saya satu persatu kronologi tamadun Islam dan barat, bermula dari zaman kegelapan hingga ke era pencerahan.

Apa yang saya kagumi tentang Sulastri adalah, beliau sanggup mengorbankan satu tahun tempoh pengajian dengan berhijrah dari kursus ICT ke History semata-mata mahu mendalami ilmu sejarah dan tamadun Islam. Subhanallah, semoga Allah memberkatimu.


Dari Mana Nak Ke Mana?

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa persoalan yang diajukan kepada saya itu pernah bermain dalam fikiran ini pada suatu masa dahulu.

Tamadun sedang mengalami proses yang manakah ketika para Nabi itu diutuskan? Adakah ketika proses permulaan, kebangkitan, kematangan atau kejatuhannya?

Di mana pula kedudukan kita atau gerakan Islam pada ketika ini?

Jika kita sedang berada pada peringkat permulaan tamadun, apakah peranan kita?

Apa pula cabaran yang dihadapi serta bagaimana pula kita memberikan respon yang tepat terhadapnya?


Sejarah Itu Suatu KetetapanNya



“Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)”
(Ali Imran 3:140)

"Sunnatullah (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.
(Surah Al-Fath 48: 23)


Setiap sesuatu penciptaan itu tidaklah dijadikan secara sia-sia serta untuk tujuan yang sia-sia. Pasti ada sebabnya yang tersendiri yang memerlukan kepada analisis yang teliti.

Sesebuah tamadun itu mempunyai jangka hayatnya serta mengalami proses yang sama dan berulang-ulang, sebagaimana jangka hayat manusia.

Seumpama kaedah didikan, tidak mungkin kita menggunakan proses yang sama untuk peringkat umur yang berbeza bagi seseorang individu.

Dengan mengenalpasti tahap dan kedudukan sesebuah tamadun, kita dapat memahami situasi ummat pada masa kini serta pada masa hadapan kerana sejarah itu pasti akan berulang. Jika ada perubahan pun, prinsipnya tidak akan jauh berbeza.


"Jatuh bangunnya sebuah tamadun, amat berkait rapat dengan bagaimanakah response mereka kepada cabaran yang muncul dari satu zaman ke satu zaman. Apabila challenge muncul, ummah mesti responsif. Kejumudan yang melumpuhkan tindak balas dan reaksi, adalah pembunuh paling agresif bagi sebuah tamadun. Seandainya ada reaksi, maka ia mestilah pula tepat dengan bentuk cabaran yang dihadapi.

Kegagalan sesebuah tamadun untuk memberikan reaksi yang tepat terhadap cabaran yang dihadapi, akan mengundang kematian."
- Ust. Hasrizal


Meneladani jatuh bangun sesebuah tamadun bermakna kita mencungkil rahsia di sebalik kejayaan atau kegagalan metodologi yang diaplikasikan dalam bidang keagamaan, pentadbiran, dakwah Islamiyyah, sains sosial, pendidikan serta politiknya.

Bukannya untuk mendabik dada atau memperkecilkan sesebuah pemerintahan.


Menyemak Manhaj Tarbiyyah Pada Hari Ini

Kita juga meneliti sejarah masa lampau untuk menilai keberkesanan pendekatan tarbiyyah pada waktu itu agar dapat kita warisi untuk kegunaan ummat manusia pada hari ini.

Menjadi suatu keperluan bagi setiap pendakwah untuk menyemak balik pendekatan tarbiyyah yang digunapakai supaya perubahan cabaran semasa berjaya ditangani dengan respon yang betul.

Kenal pasti apakah cabaran semasa? Kemudian tentukan tindak balas yang sesuai dengannya.

Berubahlah duhai pendakwah kerana mad'u sudah berubah.

Mudah-mudahan kita tidak akan menjadi penonton tetapi dai'e yang mengembangkan amanah sebagai ejen perubahan.


"History... To Shape The Future"

No comments:

Post a Comment