Tuesday, April 28, 2009

Jangan Gagal Merancang Kewangan





"Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan
kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu
menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta
mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap
beroleh pahala yang besar.”
[QS al-Hadīd 57:7]


Satu perkara penting yang baru saya pelajari ketika membaca buku "Rich Dad Poor Dad" yang ditulis oleh Robert Kiyosaki, ialah ilmu tentang pengurusan kewangan. Kita lebih banyak dilatih dengan cara bagaimana untuk mencari wang berbanding dengan cara bagaimana untuk menguruskan wang setelah memilikinya. Memang benar, ilmu mengejar kekayaan dengan menambah pendapatan sangat mudah diperolehi. Tetapi, bagaimana cara untuk mengawal wang keluar atau merancang kewangan jarang dipelajari.


Sewaktu belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dulu, saya tidak pernah terfikir tentang perancangan kewangan. Wang pinjaman pengajian saya banyak digunakan tanpa dipertimbangkan terlebih dahulu. Pelajar-pelajar yang berada di bawah lindungan MARA sememangnya mewah berbanding pelajar-pelajar lain. Kami hanya menanggung yuran pengajian, manakala yuran penginapan dan perbelanjaan makan minum ditaja oleh MARA. Ini merupakan antara sebab kenapa saya merasakan tidak perlu ambil tahu tentang ilmu pengurusan kewangan. Kini, saya benar-benar berasa rugi kerana wang yang sepatutnya boleh digandakan atau dikekalkan nilainya, akhirnya lesap entah ke mana. Apabila hidup tanpa matlamat, harta pun kita tidak tahu hendak disalurkan ke arah mana.



Biar Sikit, Asalkan Berkat

"Kalau kita membazir atau selalu buang makanan yang tidak habis, lama-lama rezeki lari sebab merajuk dengan kita." Arwah bonda saya sering mengingatkan kami adik-beradik dengan kata-kata tersebut supaya kami menghargai rezeki.

Membazir menyempitkan pintu rezeki, kata orang tua-tua.

Mana tahu, yang kecil-kecil itulah yang mengandungi keberkatan.

Bersyukurlah, walaupun sekadar sebiji beras...

Ayah juga mengajar kami begitu, selalu beliau membuat 'spot check' di dapur rumah kami untuk memastikan makanan elok yang tidak habis dimakan semalam tidak dicampakkan begitu sahaja walaupun sekadar secawan air atau sejemput nasi. Sekurang-kurangnya dicampur dalam masakan lain atau dibagi kepada ayam-ayam jiran. Menjadi satu kepantangan bagi beliau melihat secubit makanan dalam pinggan yang tidak dihabiskan atau sengaja ditinggalkan.

Adik-beradik saya memang terdidik dengan amalan 'makan sehingga licin'. Semasa kami kecil-kecil dulu, ayah sayalah yang selalu menghabiskan saki baki makanan kami seandainya gagal kami disudahi kerana kekenyangan. Sayang katanya. Kini, saya pula belajar menyambung santapan anak-anak saudara yang tidak mampu mereka habisi.

Jiwa saya akan terusik apabila melihat sikap rakan-rakan yang suka meninggalkan sedikit makanan dalam pinggan dengan alasan ingin menjaga imej kononnya. Biasanya, saya akan memerhatikan tabiat pemakanan rakan-rakan yang selalu mengadu tentang masalah kewangan. Terbukti, majoriti daripadanya memang suka membazir dan mengamalkan cara hidup yang agak loaded. Makan di tempat yang mahal-mahal serta tidak suka menghabiskan makanan.

Agaknya Allah tarik balik nikmat kurniaNya kerana kita tidak pernah menghargainya.


Biasakan Mencatat Wang Keluar

Ketika berada di rumah kakak sulung, abang saya pernah menceritakan kepada saya tentang kebiasaan abang ipar kami. Beliau memiliki sebuah perniagaan kecil yang membekalkan peralatan binaan rumah.

Abang ipar saya sentiasa mencatat perbelanjaan isi rumahnya. Saya terkejut apabila dikatakan yang buku rekod kewangannya mencatatkan hatta sekecil-kecil pembelian gula-gula yang berharga sebanyak RM0.10. Ini bukan kedekut namanya, tetapi bijak mengesan perbelanjaan. Supaya kita dapat membuat keputusan, perbelanjaan mana yang dapat dikurangkan.


Menambah Ilmu Tentang Kekayaan

Setiap kali berkunjung ke rumah kakak saya yang terletak di Shah Alam, saya mengambil peluang menelaah buku-buku milik abang ipar saya. Kebanyakan koleksi buku beliau adalah tentang kekayaan dan kewangan yang ditulis oleh jutawan. Dari buku-buku Donald Trump hinggalah ke buku-buku jutawan hartanah, Azizi Ali.

Walaupun sudah selesa dengan wang gaji yang ada sekarang, namun beliau tetap melabur untuk menimba ilmu tentang harta dan kewangan. Bagi saya, seorang engineer seperti beliau tidak perlu merancang kewangan kerana tiada kebimbangan lagi tentang masalah kekurangan wang. Kini, saya sedar bahawa ilmu tentang kewangan itu perlu bagi menghadapi masa hadapan yang tidak menentu. Tidak kiralah sama ada seseorang itu surirumah sepenuh masa, mahasiswa, CEO atau akauntan. Semuanya memerlukan pengetahuan tentang kekayaan dan pengurusan kewangan.


Merujuk Pakar

Saya merasa beruntung mempunyai rakan-rakan yang mahir dalam bidang kewangan. Mereka sentiasa berkongsikan tips-tips mudah dalam merancang kewangan. Seorang rakan yang bekerja sebagai jururunding kewangan di syarikat Hijrah Weatlh Management bersedia memberikan khidmat nasihat secara percuma bagi membantu kami yang masih merangkak-rangkak dalam menguruskan kewangan sendiri. Begitu juga seorang rakan saya yang bekerja di sebuah syarikat swasta, tidak jemu-jemu beliau menulis tentang pengurusan hutang di halaman blognya.

Nasihat saya, manfaatkanlah sepenuhnya peluang menuntut ilmu yang kita ada melalui kenalan, seminar-seminar, internet serta buku-buku yang dihasilkan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan dan ekonomi. Jangan memandang remeh bab-bab kewangan dan jangan tunggu sampai poket kosong dulu, baru kita sibuk mencari agensi-agensi yang menyediakan khidmat kaunseling. Waktu itu, kita lebih perlukan wang dari ilmu.

No comments:

Post a Comment