Wednesday, May 20, 2009

Memaknakan Sebuah Pertemuan



“Baiklah, kita mulakan usrah kita pada hari ini dengan tasbih kafarah dan surah Al-‘Asr,” saya mengejutkan ahli-ahli usrah yang sedang berbual-bual sementara menunggu dua tiga orang yang masih belum tiba lagi.

“Hah,” Masing-masing senyap sambil menjeling antara satu sama lain.

“Kenapa? Bukan ke masa Tamrin Nuqaba’ hari tu ada yang cakap usrah dimulakan dengan kaffaratul majlis dan surah al-‘Asr kemudian diakhiri dengan al-Fatihah?” saya tersenyum melihat kebingungan mereka.

Oleh kerana kebanyakan mereka terdiri daripada naqibah dan pimpinan, jadi kehadiran ke Tamrin Nuqaba’ merupakan satu kewajipan. Wajib haraki kata orang jemaah. Latihan serta pengisian yang mereka perolehi sama seperti saya. Tidak ada perbezaannya.

Sengaja saya cetuskan provokasi bagi mengetahui sejauh mana kefahaman mereka tentang konsep usrah dan majlis usrah. Seandainya mereka jelas tentang kefahaman asas ini, semestinya mereka akan mengaplikasikan apa yang mereka dapat melalui majlis usrah ke dalam kehidupan sehari-hari. Itulah baru dinamakan sebagai usrah, "It is a coaching, not a preaching".

Sesungguhnya, mengubah suatu kebiasaan bukanlah sesuatu yang amat mudah.

Nampaknya tiada sesiapa pun yang mahu bersuara untuk memberikan sebarang pandangan.

Mereka hanya menundukkan muka.

Mungkin saya terlalu ‘mencabar’ tradisi majlis usrah. Tanpa menunggu lebih lama, saya kembali memulakan majlis usrah seperti biasa, dengan bacaan ummul kitab.

Hah, barulah suasana berubah seperti biasa. Mereka kembali ceria dan menanti apa yang bakal saya perkatakan.

Kami mengambil sedikit masa untuk menenangkan diri.

“Apa ye tajuk usrah kita kali ini?” saya mengajukan soalan mudah bagi menguji kecaknaan mereka. Selalunya, apabila saya memaklumkan tarikh usrah, saya akan menyertakan beberapa maklumat asas termasuklah tajuk yang bakal dibincangkan nanti.

“Erm… Rasulullah. Aaa…” seorang daripada mereka cuba menjawab.

“Aaa.. Penghulu seluruh alam.”

“Hampir tepat.” Jawab saya.

“Rahmatan lil ‘alamin.” Mereka menyusun. Akhirnya tercantum sebuah ‘teka-teki’.

Saya memilih tajuk yang agak mudah dan ringan untuk mengisi usrah yang baru pertama kali diadakan. Cukuplah sekadar sebagai satu pengenalan. Lagipun, objektif utama usrah pada kali ini adalah untuk berkenal-kenalan antara kami dan bukannya untuk menambah thaqafah. Biar santai, asalkan tercapai matlamat. Diskusi yang terlalu ilmiah mampu membantutkan usaha untuk mengenali mereka. Manakala suasana yang lebih semulajadi, mendorong mereka kepada keterbukaan untuk memperkenalkan diri dengan lebih dekat lagi.


"Insyaallah, kali ini kita akan membincangkan serba sedikit tentang awal fasa kehidupan Rasulullah sempena Maulidur Rasul ni. Kemudian isu-isu dan permasalahan sekitar kehidupan baginda. Lepas tu kita akan bermain satu modul." saya mengambil nafas sebelum memulakan pengisian.

Saya memberikan huraian lanjut berdasarkan nota ringkas yang saya berikan kepada mereka. Nota yang dimuat turun dari blog Saifulislam.com ini tidak sarat dengan perkara-perkara yang sukar untuk mereka fahami. Penjelasan saya jadi berselang-seli dengan persoalan mereka.







Kemudian saya teruskan dengan modul ringkas, sekadar mengenali mereka dengan lebih dekat. Saya menyediakan beberapa helaian kertas kosong untuk mereka melakar satu objek yang mencerminkan sifat dominan atau keperibadian mereka. Kemudian, tuliskan juga di bahagian bawah, tiga perkara yang paling mereka sukai.

Sememangnya otak manusia lebih mudah mengingati gambar berbanding tulisan.

Akhirnya saya simpulkan objektif modul kami pada hari itu. Matlamatnya mudah, sekadar mahu bertaaruf serta merapatkan diri antara satu sama lain.

Ukhuwwah yang ingin saya jalinkan dengan mereka bukanlah satu pertalian biasa. Ianya merupakan ukhuwwah untuk membangunkan iman dalam diri, melalui komunikasi yang mesra. Ringkas, namun impaknya cukup bermakna buat saya.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [Al-Hujuraat 49: 10]

Ukhuwwah yang berteraskan ayat “sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara” adalah ukhuwwah yang menghasilkan manusia yang mampu berinteraksi serta berhubung dan memesrakan diri dengan manusia yang lain… cukup dengan alasan iman.

No comments:

Post a Comment