Monday, May 11, 2009

Teknologikah Yang Menjadikan Kami Begitu?





Computer - Internet - WeBLog - PDA - WiFi HotSpot - RSS Feed - MP4 Player - 3G Mobile phone - P1 WiMax - Sky Broadband - MySpace - YouTube - Facebook - Twitter - LAN - Gadget - Podcast-


Semakin hebat teknologi, semakin hilang nilai kemanusiaan dalam diri...

Suasana di fakulti saya sendiri sudah mampu menggambarkan hakisan nilai kemanusiaan yang semakin ketara, seiring dengan kepesatan pembangunan teknologi maklumat. Setiap kali department menganjurkan sebarang program, sambutan yang diterima sememangnya sangat hambar. Malahan, pelajar semakin tidak peduli dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

Saya akui, kehadiran dunia tanpa sempadan ini telah membuka ruang yang sangat luas untuk saya memberi dan mengakses pelbagai maklumat dari seluruh dunia. Dunia maya ini jugalah yang telah mengajar saya untuk lebih berani dalam mengemukakan sebarang pandangan serta membina medan menegur yang sangat produktif.

Inilah penangan teknologi.

Semuanya menjadi begitu bebas dan terbuka.

Interaksi sesama manusia tanpa berlapikkan budi bahasa. Tiada lagi rasa segan dan silu.

Hilang teman tidak mengapa, asalkan komputer riba setia di sisi.

Syukur kepada Allah Taala yang telah menemukan saya dengan gerakan Islam semenjak di alam kampus. Berada dalam perjuangan Islam, secara tidak langsungnya telah meruntuhkan tembok 'robotik' dalam diri saya. Saya belajar mengenal erti ukhuwwah sesama manusia hamba. Baru saya sedar, persoalan ukhuwah ini penting selepas dai'e membangunkan iman. Kemudian, barulah boleh ditimbulkan soal fikrah.

Saya juga belajar merebut peluang untuk mengenali pelbagai jenis tabiat serta tingkah laku mad'u. Saya belajar merenung siasah kehidupan mereka melalui mata hati dan saya tidak terus menjadi penghukum. Saya semakin berminat untuk menerobos ke sempadan diri manusia. Dan, saya semakin menghampiri realiti dakwah berdasarkan pengalaman berjuang menyebabkan saya sentiasa mengkaji pendekatan dakwah di alam nyata yang lebih relevan.

Mencipta imaginasi dan ilusi itu sememangnya indah. Mengeluarkannya ke dalam bentuk realiti umpama berjuang antara peluh dan airmata. Adakalanya menuntut sesuatu yang tidak sanggup untuk kita lepaskan.

Mudah-mudahan saya akan diberikan kekuatan dalam menentukan halatuju perjuangan yang seterusnya serta berupaya menawarkan secebis penyelesaian buat dunia Perjuangan Islam. InsyaALLAH...


Sedikit berita gembira sebagai penawar keresahan hati:
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
UIAM bakal jadi hab ICT Islam

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kulliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan ICT untuk dunia Islam apabila bangunan baru bernilai RM79 juta siap menjelang 2011.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Idris Haron berkata, pusat penyelidikan di KICT itu bakal menjadi peneraju kemajuan dan perkembangan ICT untuk masyarakat Islam dan dunia sejagat.

Menurut beliau, KICT akan menjalin kerjasama dengan universiti, sektor industri, pusat penyelidikan di dalam dan luar negara untuk mencipta teknologi menggunakan peralatan terkini.

“Semua program di kulliyah itu dibentuk mengintegrasi ilmu Islam dengan ICT. Saya yakin UIAM akan menjadi hab KICT dunia Islam satu hari nanti.

“Jika terdapat pertemuan terbaru sudah tentu ia mempunyai hak intelektual (IP) dan sekiranya ada nilai komersial, semua pihak yang terlibat antaranya universiti dan penyelidik akan mendapat keuntungan.

“Kementerian dan pihak universiti tiada halangan dalam urusan mengagih dan berkongsi keuntungan jika sesuatu pertemuan terbaru mendapat pasaran antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan acara pecah tanah di tapak bangunan baru KICT seluas 500,000 meter persegi di UIAM Kampus Gombak di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang meminta parti-parti politik tidak mengganggu dan mempengaruhi persatuan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

No comments:

Post a Comment