Tuesday, April 28, 2009

Jangan Gagal Merancang Kewangan





"Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan
kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu
menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta
mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap
beroleh pahala yang besar.”
[QS al-Hadīd 57:7]


Satu perkara penting yang baru saya pelajari ketika membaca buku "Rich Dad Poor Dad" yang ditulis oleh Robert Kiyosaki, ialah ilmu tentang pengurusan kewangan. Kita lebih banyak dilatih dengan cara bagaimana untuk mencari wang berbanding dengan cara bagaimana untuk menguruskan wang setelah memilikinya. Memang benar, ilmu mengejar kekayaan dengan menambah pendapatan sangat mudah diperolehi. Tetapi, bagaimana cara untuk mengawal wang keluar atau merancang kewangan jarang dipelajari.


Sewaktu belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dulu, saya tidak pernah terfikir tentang perancangan kewangan. Wang pinjaman pengajian saya banyak digunakan tanpa dipertimbangkan terlebih dahulu. Pelajar-pelajar yang berada di bawah lindungan MARA sememangnya mewah berbanding pelajar-pelajar lain. Kami hanya menanggung yuran pengajian, manakala yuran penginapan dan perbelanjaan makan minum ditaja oleh MARA. Ini merupakan antara sebab kenapa saya merasakan tidak perlu ambil tahu tentang ilmu pengurusan kewangan. Kini, saya benar-benar berasa rugi kerana wang yang sepatutnya boleh digandakan atau dikekalkan nilainya, akhirnya lesap entah ke mana. Apabila hidup tanpa matlamat, harta pun kita tidak tahu hendak disalurkan ke arah mana.



Biar Sikit, Asalkan Berkat

"Kalau kita membazir atau selalu buang makanan yang tidak habis, lama-lama rezeki lari sebab merajuk dengan kita." Arwah bonda saya sering mengingatkan kami adik-beradik dengan kata-kata tersebut supaya kami menghargai rezeki.

Membazir menyempitkan pintu rezeki, kata orang tua-tua.

Mana tahu, yang kecil-kecil itulah yang mengandungi keberkatan.

Bersyukurlah, walaupun sekadar sebiji beras...

Ayah juga mengajar kami begitu, selalu beliau membuat 'spot check' di dapur rumah kami untuk memastikan makanan elok yang tidak habis dimakan semalam tidak dicampakkan begitu sahaja walaupun sekadar secawan air atau sejemput nasi. Sekurang-kurangnya dicampur dalam masakan lain atau dibagi kepada ayam-ayam jiran. Menjadi satu kepantangan bagi beliau melihat secubit makanan dalam pinggan yang tidak dihabiskan atau sengaja ditinggalkan.

Adik-beradik saya memang terdidik dengan amalan 'makan sehingga licin'. Semasa kami kecil-kecil dulu, ayah sayalah yang selalu menghabiskan saki baki makanan kami seandainya gagal kami disudahi kerana kekenyangan. Sayang katanya. Kini, saya pula belajar menyambung santapan anak-anak saudara yang tidak mampu mereka habisi.

Jiwa saya akan terusik apabila melihat sikap rakan-rakan yang suka meninggalkan sedikit makanan dalam pinggan dengan alasan ingin menjaga imej kononnya. Biasanya, saya akan memerhatikan tabiat pemakanan rakan-rakan yang selalu mengadu tentang masalah kewangan. Terbukti, majoriti daripadanya memang suka membazir dan mengamalkan cara hidup yang agak loaded. Makan di tempat yang mahal-mahal serta tidak suka menghabiskan makanan.

Agaknya Allah tarik balik nikmat kurniaNya kerana kita tidak pernah menghargainya.


Biasakan Mencatat Wang Keluar

Ketika berada di rumah kakak sulung, abang saya pernah menceritakan kepada saya tentang kebiasaan abang ipar kami. Beliau memiliki sebuah perniagaan kecil yang membekalkan peralatan binaan rumah.

Abang ipar saya sentiasa mencatat perbelanjaan isi rumahnya. Saya terkejut apabila dikatakan yang buku rekod kewangannya mencatatkan hatta sekecil-kecil pembelian gula-gula yang berharga sebanyak RM0.10. Ini bukan kedekut namanya, tetapi bijak mengesan perbelanjaan. Supaya kita dapat membuat keputusan, perbelanjaan mana yang dapat dikurangkan.


Menambah Ilmu Tentang Kekayaan

Setiap kali berkunjung ke rumah kakak saya yang terletak di Shah Alam, saya mengambil peluang menelaah buku-buku milik abang ipar saya. Kebanyakan koleksi buku beliau adalah tentang kekayaan dan kewangan yang ditulis oleh jutawan. Dari buku-buku Donald Trump hinggalah ke buku-buku jutawan hartanah, Azizi Ali.

Walaupun sudah selesa dengan wang gaji yang ada sekarang, namun beliau tetap melabur untuk menimba ilmu tentang harta dan kewangan. Bagi saya, seorang engineer seperti beliau tidak perlu merancang kewangan kerana tiada kebimbangan lagi tentang masalah kekurangan wang. Kini, saya sedar bahawa ilmu tentang kewangan itu perlu bagi menghadapi masa hadapan yang tidak menentu. Tidak kiralah sama ada seseorang itu surirumah sepenuh masa, mahasiswa, CEO atau akauntan. Semuanya memerlukan pengetahuan tentang kekayaan dan pengurusan kewangan.


Merujuk Pakar

Saya merasa beruntung mempunyai rakan-rakan yang mahir dalam bidang kewangan. Mereka sentiasa berkongsikan tips-tips mudah dalam merancang kewangan. Seorang rakan yang bekerja sebagai jururunding kewangan di syarikat Hijrah Weatlh Management bersedia memberikan khidmat nasihat secara percuma bagi membantu kami yang masih merangkak-rangkak dalam menguruskan kewangan sendiri. Begitu juga seorang rakan saya yang bekerja di sebuah syarikat swasta, tidak jemu-jemu beliau menulis tentang pengurusan hutang di halaman blognya.

Nasihat saya, manfaatkanlah sepenuhnya peluang menuntut ilmu yang kita ada melalui kenalan, seminar-seminar, internet serta buku-buku yang dihasilkan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan dan ekonomi. Jangan memandang remeh bab-bab kewangan dan jangan tunggu sampai poket kosong dulu, baru kita sibuk mencari agensi-agensi yang menyediakan khidmat kaunseling. Waktu itu, kita lebih perlukan wang dari ilmu.

Saturday, April 25, 2009

Saya Ingin Kembara

Setiap kali terbaca artikel yang menceritakan pengalaman penulis mengembara di bumi asing, hati saya dipaut rasa cemburu. Sudah lama saya merancang untuk berkelana ke seberang laut dengan nawaitu untuk menambah ilmu dan menambah keyakinan tentang kisah-kisah sejarah yang pernah saya baca. Tidak sah rasanya mengenal sejarah tanpa mengenali kawasan atau tempat kejadiannya.

Pernah satu ketika, saya dan sahabat baik saya, Sulastri merancang untuk menyediakan peruntukan untuk kami keluar mengembara selepas tamat belajar nanti di samping menyelesaikan hutang-piutang yang bersangkutan dengan pengajian.

Jika beliau memilih untuk menjenguk ke negara Sepanyol demi menyaksikan sendiri tinggalan sejarah Andalus, Cordova dan Granada serta keagungan pemerintahan kerajaan Al-Hambra suatu masa dahulu. Saya pula memasang impian untuk menjejakkan kaki ke Salalah atau dikenali juga sebagai "Kota Nabi-Nabi". Di wilayah Salalah terletaknya makam nabi Ayub, makam Imran (datuk nabi Isa) dan bekas-bekas peninggalan nabi Saleh a.s.

Saya ingin ke Gunung Mathlab, Madain Saleh di Yaman bagi memungut ibrah dari kisah kaum Nabi Saleh serta menikmati hasil seni pahatan kaum Tsamud. Jika membelek kisah nabi Saleh dari Surah As-Syu'ara', maka kita akan dapati sejumlah besar kaum Tsamud merupakan pengukir dan pemahat bukit yang baik. Subhanallah, hati pasti terpesona melihat keindahan gunung yang dipahat membentuk bangunan tersebut.


Keutuhan Seni Binaan Kaum Tsamud
























Kecanggihan Teknologi Dan Kegemilangan Peradaban Sepanyol








Thursday, April 23, 2009

KLIBF '09: "Discover The Power Of Reading"


Berada kira-kira dua jam di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009, bagi saya sudah memadai. Selebihnya, tunggu pada 26 April nanti. Kebetulan Kak Intan Abdullah, wartawan Harakah ada kelapangan. Beliau menemankan saya ke PWTC.

Sambutan KLIBF kali ini amat menggalakkan berbanding tahun lepas. Mungkin kebanjiran buku-buku yang baru dilancarkan menjadi tarikan utama pengunjung di samping aktiviti-aktiviti kreatif bersama penulis dan penganjur. Tumpuan utama saya semestinya pada buku-buku hasil karangan Ustaz Hasrizal dan Ustaz Pahrol. Setelah mendapatkan buku-buku yang dicari dari beberapa booth di aras dua, kami beralih ke aras tiga untuk ke booth Telaga Biru.


Di Sebalik "Keberanian Menggapai Harapan"
Tiba-tiba kaki saya terhenti sebaik sahaja melintasi booth Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Niat di hati ingin mendapatkan buku yang baru sahaja dilancarkan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah semalam. Rupa-rupanya booth ITNM diseliakan oleh pelajar-pelajar Kelab Usahawan dari UIAM.

Buku yang diterjemahkan daripada buku asalnya, "The Audicity of Hope" ini menceritakan perjalanan hidup Barrack Obama dalam mencapai cita-cita beliau untuk bergelar sebagai Presiden U.S.

Sudah terdapat banyak versi buku tentang Barrack Obama di pasaran, namun tidak menarik minat saya untuk membacanya. Entah kenapa tergerak di hati saya untuk mendalami buku ini, apatah lagi saya sedang berjinak-jinak dengan buku-buku terbitan ITNM sejak akhir-akhir ini bermula dengan buku "Ancaman Islam: Mitos Atau Realiti" yang ditulis oleh John L. Esposito.

Anggaplah pembelian saya ini sebagai satu bentuk sokongan terhadap aktiviti penterjemahan di Malaysia yang lebih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara Indonesia dan Thailand.

Sementara menunggu wartawan Intan Abdullah menyiapkan temuramah beliau bersama Dr. Abu Hassan Bin Hasbullah, selama 4 jam saya beruzlah di surau pejabat akhbar Harakah bersama buku tersebut.

Saya meneliti pandangan Barrack Obama terhadap kepercayaan agama, isu yang pernah dimanipulasikan oleh parti Republikan sepanjang kempen pilihanraya Amerika Syarikat. Beliau mengeluarkan statement:


"Agama adalah ungkapan budaya manusia, jelasnya, ia bukan permulaan, tetapi salah satu daripada cara - dan tidak semestinya cara yang terbaik - bagaimana manusia cuba mengawal apa yang tidak dapat diketahui olehnya dan memahami kebenaran yang lebih dalam tentang hidup kita."


Buku yang dihasilkan sendiri oleh Barrack Obama ini juga telah memberikan impak yang besar dalam meraih undi rakyat Amerika terhadap beliau.


Tabiat Membaca Dan Memilih Bahan Bacaan
Biasanya saya akan memastikan buku-buku yang bakal dibeli, mengandungi kepelbagaian dan keseimbangan dari segi pembangunan jiwa dan pembangunan akal. Saya akan mendapatkan sekurang-kurangnya sebuah buku agama, politik, haraki serta motivasi sekaligus setiap kali ke kedai buku.

Saya memilih sesuatu bahan bacaan dengan mengambil kira aspek kualiti isi kandungan, penulisan yang memudahkan laluan kefahaman serta kepakaran penulis terhadap penulisannya. Aspek-aspek teknikal seperti reka bentuk kulit muka, susun atur visual grafik dan jenis font yang digunakan juga banyak mempengaruhi pemilihan saya.

Bermulanya aktiviti membaca saya dengan membelek helaian buku dari sebelah kanan ke kiri. Saya pun kurang pasti apa sebabnya saya gemar membaca halaman akhir terlebih dahulu sebelum beralih ke mukasurat yang pertama.

Dan sia-sia juga membaca sekiranya tidak diaplikasikan.

Wednesday, April 22, 2009

Air Tangan Seorang Ayah

"Pergilah makan dulu. Nasi ada dekat dapur. Lauk ada bawah saji." Sampai-sampai saja, ayah terus menyuruh saya makan terlebih dahulu. Beliau pula sedang bersiap-siap untuk ke surau yang berdekatan. Sudah hampir Maghrib rupa-rupanya. Rutin harian beliau, bersiap sedia untuk ke surau 15 minit sebelum masuk waktu solat.

Ayah saya faham, perjalanan yang mengambil masa selama 8 jam dari Kuala Lumpur ke Kelantan pastinya menggunakan banyak tenaga. Sememangnya inilah tabiat saya. Pulang saja dari UIAM, kaki saya terus melangkah ke dapur mencari sesuatu untuk mengisi perut.

Namun, kepulangan kali ini tidak seperti biasa. Ini kali pertama saya menjamah masakan kari ayam dan telur dadar hasil air tangan ayah. Jika dulu hidangan emak yang membuka selera menggamit rasa. Kini, masakan ayah menumpahkan kasih sayang yang berada di luar kebiasaan. Mungkin beliau tidak mahu saya merasai kehilangan bonda tersayang. Saya menjamu selera dengan perasaan sebak.

"Ilmu agama kena cari sendiri. Ayah tak dapat bagi sebab ayah pun kurang juga. Ilmu agama tu penting, sebagai bekalan di akhirat." Antara pesanan ayah ketika memberi ucapan dalam satu sambutan hari keluarga saya.

Kasih ayah bonda tersemat di kalbu.

Terima kasih duhai ayahanda tercinta.


Kenangan Di Zaman Sekolah

Memandang setiap sudut di dalam rumah, mampu mengundang titisan air mata. Saya rindukan zaman kanak-kanak saya yang penuh warna-warni. Pagi kami sekeluarga dikejutkan dengan suara garau ayah yang baru pulang dari menunaikan solat Subuh dari surau. Selama 12 tahun ayah setia menghantar dari rumah serta mengambil saya dari sekolah. Sementara menunggu saya dan adik menyiapkan diri untuk ke sekolah, beliau menghabiskan beberapa helaian Al-Quran sebagai santapan rohani.

Pulang saja dari sekolah, kami adik-beradik berkejaran ke rumah tok guru untuk belajar mengaji Al-Quran. Siapa lambat, panjanglah beraturnya kerana jumlah kami yang ramai, menjangkau 30 orang. Lambat siap mengaji, lambatlah pula ke padang permainan. Permainan kami macam-macam, dari coh (galah panjang), wau bulan, bola kaki tiga hinggalah ke aktiviti berakit di sepanjang parit di belakang rumah saya.

Di sebelah malam pula, kami adik-beradik menyiapkan kerja sekolah selepas menonton TV. Waktu itu, rancangan kegemaran saya adalah Tomato Man, The Cave of the Golden Rose dan Mask Man.


Kini

Perangai, pemikiran, gaya hidup dan tabiat saya sudah banyak yang berubah seiring dengan pertambahan usia. Ramai juga rakan-rakan yang menegur kelainan saya ini.

Namun, saya bersyukur andainya saya berubah ke arah kebaikan. Sebaliknya, saya mohon diperbaiki sekiranya keburukan yang ditempa.


*Takziah saya ucapkan kepada teman, Ernie Farashikin dan Wan Firdaus yang baru sahaja kehilangan ayahanda tercinta. Semoga tabahkan hati.

Tuesday, April 21, 2009

Perancangan Untuk Ke KLIBF 2009

Sudah lama saya merancang untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. Namun masih tidak berpeluang untuk berkunjung ke sana memandangkan Practical Training sudah bermula seawal minggu ini. Terasa agak ketinggalan berbanding mereka yang sudah ke sana.

Saya mampu bertahan berjam-jam lamanya apabila berada di sesebuah kedai buku akibat terlalu khusyuk melayan timbunan buku. Banyak yang hendak dibelek. Sedar-sedar, kaki dan tangan telah pun lenguh.

InsyaAllah, jika tidak ada aral melintang, saya bakal menjejakkan kaki ke KLIBF 2009 pada 26 April nanti. Last but not least...

Agak hampa kerana hajat untuk bersua muka dengan penulis-penulis kegemaran saya tidak kesampaian. Mereka berada di PWTC pada peringkat awal pameran lagi.

Beberapa tajuk buku sudah saya siapkan dalam satu senarai pendek.

Tidak sedikit pelaburan yang akan dibuat, namun berbaloi demi melakar masa depan yang lebih cerah.

Semoga Pesta Buku kali bakal menemukan saya dengan penulisan yang berada di luar jangkaan.

Tuesday, April 14, 2009

"Sebutir Permata" Dakwah Yang Hilang

"AL-FATIHAH kpd allahyarham Ahmad Syukri Abd Kadir yang telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Moga ruhnya di kalangan para Muttaqin."

"ALFATIHAH kpd allahyarham Ahmad Syukri (Bayie) yang baru meninggal dunia sebentar tadi. Semoga arwah dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman."


Mesej yang diterima sekitar pukul 12.15-12.30 am lewat malam semalam, saya sambut dengan alunan surah Al-Fatihah di dalam dada.

Hanya Allah yang menjadi saksi segala jasa dan pengorbanan yang telah dikau curahkan ke jalan dakwah ini hingga ke titisan terakhir.

Alhamdulillah, Allah mengurniakan kesempatan kepada saya untuk menziarahi beliau pada tahun lepas. Ketika itu beliau baru sahaja selesai menunaikan solat fardhu Asar. Terasa sebak seketika apabila melihat beliau terpaksa membuka kelopak mata dengan kudrat tangan kerana ingin melihat sahabat-sahabat yang berkunjung ke rumah kakak beliau. Sedaya upaya saya cuba menahan air mata ini dari gugur ke pipi.

Masih terbayang-bayang lagi kenangan ketika sama-sama menjalankan gerak kerja dakwah di kampus UIAM.

Hanya doa yang dapat kami kirimkan.

Semoga Allah swt mempermudahkan kembaramu di alam barzakh.

Dan... kami juga bakal menyusulmu ke sana satu hari nanti.

Thursday, April 02, 2009

Platform Dakwah Di Era Ini



"Sesungguhnya dakwah bukan sekadar menyampaikan. Sebaliknya tanggungjawab menguruskan dakwah juga sama penting. Soal dokumentasi, adalah penting agar usaha dakwah seorang da’ie tidak mati dengan matinya dia.

Berdakwah dengan hikmah itu luas pengertiannya. Namun hikmah yang penting untuk dikaitkan dengan topik berdakwah melalui blog ini, adalah hikmah yang bermaksud ketepatan. Tepat kaedah dan tepat sasaran. Bukan sahaja perniagaan yang memencilkan internet akan kerugian besar pada pelanggannya yang berpotensi, malah pada jalur yang sama, dakwah juga akan terpencil dengan memencilkan internet.

Berdakwah melalui blog adalah response yang dituntut bagi mendepani challenge yang sedang dihadapi semasa. Ia adalah suatu tindakan proaktif." - Ustaz Hasrizal