Thursday, April 23, 2009

KLIBF '09: "Discover The Power Of Reading"


Berada kira-kira dua jam di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009, bagi saya sudah memadai. Selebihnya, tunggu pada 26 April nanti. Kebetulan Kak Intan Abdullah, wartawan Harakah ada kelapangan. Beliau menemankan saya ke PWTC.

Sambutan KLIBF kali ini amat menggalakkan berbanding tahun lepas. Mungkin kebanjiran buku-buku yang baru dilancarkan menjadi tarikan utama pengunjung di samping aktiviti-aktiviti kreatif bersama penulis dan penganjur. Tumpuan utama saya semestinya pada buku-buku hasil karangan Ustaz Hasrizal dan Ustaz Pahrol. Setelah mendapatkan buku-buku yang dicari dari beberapa booth di aras dua, kami beralih ke aras tiga untuk ke booth Telaga Biru.


Di Sebalik "Keberanian Menggapai Harapan"
Tiba-tiba kaki saya terhenti sebaik sahaja melintasi booth Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Niat di hati ingin mendapatkan buku yang baru sahaja dilancarkan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah semalam. Rupa-rupanya booth ITNM diseliakan oleh pelajar-pelajar Kelab Usahawan dari UIAM.

Buku yang diterjemahkan daripada buku asalnya, "The Audicity of Hope" ini menceritakan perjalanan hidup Barrack Obama dalam mencapai cita-cita beliau untuk bergelar sebagai Presiden U.S.

Sudah terdapat banyak versi buku tentang Barrack Obama di pasaran, namun tidak menarik minat saya untuk membacanya. Entah kenapa tergerak di hati saya untuk mendalami buku ini, apatah lagi saya sedang berjinak-jinak dengan buku-buku terbitan ITNM sejak akhir-akhir ini bermula dengan buku "Ancaman Islam: Mitos Atau Realiti" yang ditulis oleh John L. Esposito.

Anggaplah pembelian saya ini sebagai satu bentuk sokongan terhadap aktiviti penterjemahan di Malaysia yang lebih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara Indonesia dan Thailand.

Sementara menunggu wartawan Intan Abdullah menyiapkan temuramah beliau bersama Dr. Abu Hassan Bin Hasbullah, selama 4 jam saya beruzlah di surau pejabat akhbar Harakah bersama buku tersebut.

Saya meneliti pandangan Barrack Obama terhadap kepercayaan agama, isu yang pernah dimanipulasikan oleh parti Republikan sepanjang kempen pilihanraya Amerika Syarikat. Beliau mengeluarkan statement:


"Agama adalah ungkapan budaya manusia, jelasnya, ia bukan permulaan, tetapi salah satu daripada cara - dan tidak semestinya cara yang terbaik - bagaimana manusia cuba mengawal apa yang tidak dapat diketahui olehnya dan memahami kebenaran yang lebih dalam tentang hidup kita."


Buku yang dihasilkan sendiri oleh Barrack Obama ini juga telah memberikan impak yang besar dalam meraih undi rakyat Amerika terhadap beliau.


Tabiat Membaca Dan Memilih Bahan Bacaan
Biasanya saya akan memastikan buku-buku yang bakal dibeli, mengandungi kepelbagaian dan keseimbangan dari segi pembangunan jiwa dan pembangunan akal. Saya akan mendapatkan sekurang-kurangnya sebuah buku agama, politik, haraki serta motivasi sekaligus setiap kali ke kedai buku.

Saya memilih sesuatu bahan bacaan dengan mengambil kira aspek kualiti isi kandungan, penulisan yang memudahkan laluan kefahaman serta kepakaran penulis terhadap penulisannya. Aspek-aspek teknikal seperti reka bentuk kulit muka, susun atur visual grafik dan jenis font yang digunakan juga banyak mempengaruhi pemilihan saya.

Bermulanya aktiviti membaca saya dengan membelek helaian buku dari sebelah kanan ke kiri. Saya pun kurang pasti apa sebabnya saya gemar membaca halaman akhir terlebih dahulu sebelum beralih ke mukasurat yang pertama.

Dan sia-sia juga membaca sekiranya tidak diaplikasikan.

No comments:

Post a Comment