Wednesday, April 22, 2009

Air Tangan Seorang Ayah

"Pergilah makan dulu. Nasi ada dekat dapur. Lauk ada bawah saji." Sampai-sampai saja, ayah terus menyuruh saya makan terlebih dahulu. Beliau pula sedang bersiap-siap untuk ke surau yang berdekatan. Sudah hampir Maghrib rupa-rupanya. Rutin harian beliau, bersiap sedia untuk ke surau 15 minit sebelum masuk waktu solat.

Ayah saya faham, perjalanan yang mengambil masa selama 8 jam dari Kuala Lumpur ke Kelantan pastinya menggunakan banyak tenaga. Sememangnya inilah tabiat saya. Pulang saja dari UIAM, kaki saya terus melangkah ke dapur mencari sesuatu untuk mengisi perut.

Namun, kepulangan kali ini tidak seperti biasa. Ini kali pertama saya menjamah masakan kari ayam dan telur dadar hasil air tangan ayah. Jika dulu hidangan emak yang membuka selera menggamit rasa. Kini, masakan ayah menumpahkan kasih sayang yang berada di luar kebiasaan. Mungkin beliau tidak mahu saya merasai kehilangan bonda tersayang. Saya menjamu selera dengan perasaan sebak.

"Ilmu agama kena cari sendiri. Ayah tak dapat bagi sebab ayah pun kurang juga. Ilmu agama tu penting, sebagai bekalan di akhirat." Antara pesanan ayah ketika memberi ucapan dalam satu sambutan hari keluarga saya.

Kasih ayah bonda tersemat di kalbu.

Terima kasih duhai ayahanda tercinta.


Kenangan Di Zaman Sekolah

Memandang setiap sudut di dalam rumah, mampu mengundang titisan air mata. Saya rindukan zaman kanak-kanak saya yang penuh warna-warni. Pagi kami sekeluarga dikejutkan dengan suara garau ayah yang baru pulang dari menunaikan solat Subuh dari surau. Selama 12 tahun ayah setia menghantar dari rumah serta mengambil saya dari sekolah. Sementara menunggu saya dan adik menyiapkan diri untuk ke sekolah, beliau menghabiskan beberapa helaian Al-Quran sebagai santapan rohani.

Pulang saja dari sekolah, kami adik-beradik berkejaran ke rumah tok guru untuk belajar mengaji Al-Quran. Siapa lambat, panjanglah beraturnya kerana jumlah kami yang ramai, menjangkau 30 orang. Lambat siap mengaji, lambatlah pula ke padang permainan. Permainan kami macam-macam, dari coh (galah panjang), wau bulan, bola kaki tiga hinggalah ke aktiviti berakit di sepanjang parit di belakang rumah saya.

Di sebelah malam pula, kami adik-beradik menyiapkan kerja sekolah selepas menonton TV. Waktu itu, rancangan kegemaran saya adalah Tomato Man, The Cave of the Golden Rose dan Mask Man.


Kini

Perangai, pemikiran, gaya hidup dan tabiat saya sudah banyak yang berubah seiring dengan pertambahan usia. Ramai juga rakan-rakan yang menegur kelainan saya ini.

Namun, saya bersyukur andainya saya berubah ke arah kebaikan. Sebaliknya, saya mohon diperbaiki sekiranya keburukan yang ditempa.


*Takziah saya ucapkan kepada teman, Ernie Farashikin dan Wan Firdaus yang baru sahaja kehilangan ayahanda tercinta. Semoga tabahkan hati.

No comments:

Post a Comment