Wednesday, July 22, 2009

Maaf, Belum Sampai Ke Tahap Itu


"Salam. Kak Zatil, minta huraikan tentang hadith ni. Apa status hadith ni?"

"Ada orang tanya, Jika nabi Muhammad itu maksum, kenapa baginda masih lagi buat kesalahan yang menyebabkan dosa kecil? macam mana ye nak jawab? URGENT."

"Wakil ***** (Nama sebuah pertubuhan) akan berjumpa dengan pimpinan PAS. Apa harapan akak untuk disampaikan kepada Tuan Guru?"

"Assalamu'alaikum. Ustazah, minta bagi pengisian tentang tajuk Aqidah Islamiyyah untuk tamrin asas,"

"Salam. Tolong saya akak. Tolong terangkan kenapa kita mesti pilih jemaah ni? Apa sejarah mengenai jemaah ******?"

"Salam. Kak Zatil, nak tanya tentang Fiqh Taghyir dan contohnya. As soon as possible ye. Syukran."

"Minta pandangan akak tentang jalan kesufian dalam gerakan Islam."


Jangan salah faham dengan entri saya pada kali ini. Tidak pernah terlintas di hati untuk bermegah-megahan. Malah, saya menulisnya sebagai peringatan bahawa ilmu pengetahuan saya belum sampai ke tahap itu untuk menjawab soalan-soalan yang pernah diajukan oleh sahabat-sahabat yang dikasihi. Apatah lagi mahu memenuhi setiap undangan untuk menyampaikan pengisian atau ceramah. Kemampuan saya masih belum sampai ke tahap itu.

Kadang-kadang saya menjawabnya dengan 'ilmu segera' kerana saya tidak melalui sebarang disiplin ilmu untuk menuntut ilmu dalam bidang pengajian agama Islam. Perasaan bimbang dan bersalah menghantui saya seandainya memberikan jawapan dalam keadaan yang tidak pasti mengenai kesahihannya.

Sebenarnya saya berasa serba salah apabila diberikan persoalan yang berkaitan dengan bidang pengajian agama Islam. Rasa rendah diri pun ada apabila pihak yang bertanyakan soalan itu merupakan pelajar yang berlatarbelakangkan bidang pengajian Syari'ah, Ilmu Wahyu serta bahasa Arab. Besar pertimbangan yang dibuat sebelum jawapan disediakan buat mereka. Saya memohon kemaafan seandainya penjelasan saya sekadar cukup-cukup makan sahaja. Aras pengetahuan saya masih lagi rendah. Mana mungkin saya berupaya menjawab persoalan level 5 dengan kedudukan yang masih berada di level 3.

Saya mudah memenuhi sesuatu permintaan atau persoalan itu kerana tidak sampai hati membiarkan mereka tertunggu-tunggu. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang amat memerlukan jawapan dengan kadar segera. Saya akan berusaha menggalinya juga walaupun tidak setepat mana kerana saya terfikir, mungkin mereka dalam keadaan yang sangat terdesak. InsyaAllah, saya cuba menjawabnya sebaik mungkin.

Realitinya, saya akan merasa berpuashati seandainya dapat menyelesaikan permasalahan yang ada hubungkaitnya dengan pendidikan dan ICT kerana ia merupakan bidang saya. Namun, tidak ramai yang berminat untuk bertanyakan persoalan mengenai dunia ICT jika dibandingkan dengan subjek agama. Sukar untuk saya mendalaminya...

Kepada sahabat-sahabat, jangan merasa bimbang untuk mengajukan sebarang persoalan selepas daripada ini. Asalkan dengan meletakkan saya sebagai sumber sekunder. InsyaAllah, saya akan cuba untuk memenuhinya dengan kemampuan yang ada. Saya menganggapnya sebagai satu cabang untuk mencari pengisian diri. Banyak yang telah saya pelajari daripadanya. Malahan, saya merasa semakin bersemangat untuk menambah ilmu pengetahuan agar mampu menyelesaikannya suatu masa nanti.

Berikanlah sedikit masa. Saya masih lagi dalam proses pembelajaran...



Firman Allah dalam Surah al-Isra ayat 36 (maksudnya):
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.


Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H):
“Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang daripada kesilapan (maksudnya RasululuLah S.A.W) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat kekeliruan pada ikutan tersebut. Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima kita tinggalkannya.”. (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s 165, Beirut: Dar al-Kitab al-`Arabi).

No comments:

Post a Comment