Monday, July 20, 2009

TEKANAN: Ancaman Atau Peluang?



“Setiap hari Isnin – Jumaat bermula dari pukul 8.00 pagi hingga ke pukul 5.00 petang saya berada dalam bilik kuliah. Memulakan pembelajaran tentang asas-asas bidang Islamic banking, Economics dan Financial. Memang tidak ada masa untuk berehat.” Cerita sahabat saya tentang pengalamannya yang sedang mengikuti kursus di sebuah bank yang terkemuka di ibu Negara.

“Tak stress ke dengan keadaan macam tu?” Tanya saya.

“Hah, soalan awak itulah yang selalu timbul. Memang betul pun kalau awak cakap stress. Bayangkan subjek yang jika diajar di university memerlukan masa selama 6 bulan, kami di sini perlu menghabiskannya dalam jangka waktu hanya beberapa minggu sahaja. Lepas tu kena menjalani beberapa test dan exam. Memang stress pun sebab nak menelaah buku pun tak ada masa. Hari minggu biasanya ada aktiviti lasak. Kadang-kadang ada siri-siri ceramah tentang Corporate Social Responsibility (CSR). Benda ni memang penting.” Dia menerangkan dengan panjang lebar, tanpa ada peluang bagi saya untuk mencelah.

Dia menyambung, “Tapi semua tu depends pada setiap orang. Bagi saya, saya cuma teruskan dengan apa yang saya minat dan saya rasa betul. Saya belajar tentang cara-cara untuk menguruskan stress. Banyak belajar benda-benda baru.”

Sememangnya setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza dalam memandang sesuatu perkara. Bagaimana kita melihat akan menentukan siapa diri kita.

Jika kita melihat tekanan hanyalah satu masalah, maka ia akan menjadi beban di sepanjang hidup kita. Sebaliknya, jika kita menjadikan tekanan tersebut sebagai satu pelajaran hidup serta berusaha mencari nilai positif di dalamnya. Maka, banyak kejayaan yang bakal terhasil daripadanya.




Tekanan Mampu Menghasilkan Kualiti



Saya teringatkan satu dokumentari mengenai Kejuruteraan Pengurusan Banjir di Netherlands, Belanda yang ditonton melalui rancangan National Geographic Channel. Selain daripada rasa terpegun melihat jambatan rekaan seorang arkitek bernama Ben van Berkel, saya juga tertarik melihat cara pemimpin penduduk Netherlands serta jurutera dan arkitek mereka menangani masalah banjir yang dihadapi sejak tahun 1287 sehingga tahun 1995.


Petikan dari Wikipedia.com:

Belanda telah berjuang menentang banjir sejak petempatan awal di sini. Lebih daripada 60% negara ini terletak di bawah aras laut. Tidak terhitung banyaknya mangsa-mangsa yang kehilangan rumah dan nyawa mereka akibat banjir daripada laut atau sungai-sungai yang yang gagal diatasi oleh sistem pertahanan banjir.

Kepentingan perlindungan tersebut telah menyebabkan Belanda menubuhkan sebuah Kementerian khas yang bertanggungjawab dalam perlindungan terhadap banjir. Lebih dari itu, diwujudkan agensi-agensi tempatan yang berfungsi sebagai satu lapisan tambahan kerajaan bagi meningkatkan taraf perlindungan dari banjir dan bagi pengurusan air. Ini telah menghasilkan tahap perlindungan banjir yang amat tinggi. Perlindungan dari banjir tetap kekal sebagai agenda penting akibat ancaman banjir terhadap ekonomi Belanda.



Penduduk Belanda sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah banjir yang banyak menjejaskan petempatan, ekonomi dan ekosistem negara mereka. Antaranya, dengan membina Zuiderzee Works (sistem buatan manusia pada empangan, reklamasi tanah dan kerja-kerja perlongkangan air), Delta Works (sebuah sistem pertahanan banjir yang terdiri daripada empangan dan sempadan surge ribut) serta jambatan kreatif sebesar menara Eiffel.

Hasilnya, sehingga kini tidak ada satu negara di dunia ini pun yang mampu menandingi kepakaran Netherlands dalam bidang pengurusan air dan pengawalan banjir.

No comments:

Post a Comment