Tuesday, August 04, 2009

Demonstrasi Anti-ISA: Bukan Agenda Sia-Sia



"Adik, tak payahlah nak berdemonstrasi ni. USELESS... Negara kita dah aman dah." Saya menoleh ke arah seorang lelaki yang berdiri di kanan jalan.

Ingin sahaja saya menjawab, "Kalau tidak berbuat apa-apa, itu lagilah useless."

Ketika saya membuat keputusan untuk menyertai demonstrasi mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 (Sabtu) yang lepas, tidak ada apa-apa kepentingan peribadi yang terlintas di dalam fikiran melainkan niat dan usaha untuk menolong mereka yang teraniaya.

Mungkin kerana tahap sensitiviti kita masih kurang terhadap isu ini disebabkan kita tidak pernah berada di tempat mereka. Malah, tidak pernah mengambil peduli tentang nasib mereka yang pernah ditahan tanpa dibicarakan terlebih dahulu. Maka, kita tidak menganggap akta tersebut sebagai salah satu daripada bentuk kezaliman.

Atau mungkin juga kerana kita tidak pernah terbaca mana-mana artikel atau mendengar ceramah agama yang menyebut tentang perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA) serta hukum-hukum yang berkaitan dengan demonstrasi.

Bukan sahaja ISA bercanggah dengan ajaran agama, penahanan tanpa bicara ini bercanggah juga dengan fikrah dan hak asasi manusia.

Oleh kerana tidak ada kuasa yang boleh digunakan untuk menyelesaikan isu ini melainkan dengan kuasa rakyat. Maka, demonstrasi dilancarkan bagi mendesak pihak yang berwajib memansuhkan atau meminda akta tersebut.



Catatan Demonstrasi Di Sogo

Bermula jam 1.30 petang, saya bersama dua orang rakan mula bergerak ke surau kompleks membeli-belah Sogo bagi menunaikan solat zohor. Pada waktu ini, pihak berkuasa sudah mula mengarahkan orang ramai supaya meninggalkan tempat tersebut melalui pintu utama. Keadaan mula kelam-kabut. Kami menyusup masuk di celahan orang awam.

Selesai menunaikan solat, kami mengenakan topeng muka dan bergegas keluar melalui pintu belakang kerana pintu utama sudah pun ditutup. Kami berlari ke arah tempat kejadian (jalan perarakan). Demonstrator telah memenuhi segenap ruang. Kami menyertai mereka sambil memegang kemas tangan antara satu sama lain. Terdengar suara yang menyuruh para demonstrator merapatkan barisan supaya tidak terpecah. Di hadapan, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sedang menanti.

Baru beberapa langkah memulakan demonstrasi secara aman, kedengaran bunyi ketukan kayu pemukul pihak FRU dari arah depan. Saya sudah tercium bau gas pemedih mata. Dalam hati hanya menyebut-nyebut nama Allah untuk menguatkan semangat. Kami bertiga berpaling ke belakang dan mula mengikut orang ramai berlari ke bahagian tepi jalan. Saya dan seorang rakan beserta beberapa orang demonstrator lagi masuk ke sebuah kedai kain untuk menyelamatkan diri. Manakala seorang rakan lagi sudah terpisah, tidak tahu ke mana. Pemilik kedai terus menutup kedai terbabit. Hampir 10 minit kami berada di situ.

Melihat keadaan yang agak reda sedikit, kami keluar menuju ke kompleks Pertama. Sudah ramai yang berkumpul di hadapan kompleks. Beberapa pihak mula berucap. Kelihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub di kompleks Pertama, depan Sogo.

Kemudian kami beramai-ramai ke Jalan Raja Laut. Sekali lagi demonstrator mula menyusun barisan untuk melancarkan perarakan bermula dari sini. Tiba-tiba saya melihat orang-orang yang berada di hadapan berpaling melarikan diri. Saya juga mula memalingkan diri dan berjalan perlahan-lahan. Terdengar suara orang ramai menjerit, "Jangan lari, jangan lari". Saya memberanikan diri untuk menoleh ke belakang bagi memastikan apa yang sedang berlaku. Berderau darah sebaik sahaja terpandangkan pancuran tinggi water canon serta air yang mengandungi asid dari trak FRU. Gas pemedih mata sudahpun memenuhi ruang.

Saya berlari ke tepi jalan mencari perlindungan. Saya terus menundukkan badan bagi mengelakkan air asid tersebut mengenai bahagian muka. Ada yang berlindung di sebalik kain banner. Ada juga yang mengambil risiko dengan terjun ke tebing sungai.

Terasa pedih bahagian belakang badan dan anggota yang terkena air tersebut. Ramai yang sudah terbatuk-batuk. Sebahagian besar protestant berlari ke Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut. Saya dan rakan pula berlari balik ke penjuru Sogo. Kepedihan asid dineutralkan dengan garam. Sekejap sahaja, pening kepala sudah hilang. Saya membasuh muka dan membasahkan saputangan dengan air mineral. Topeng muka kembali dipakai.

Pada waktu ini, kumpulan-kumpulan demonstrasi sudahpun berpecah-pecah namun tidak sekali-kali mereka berundur. Masing-masing menyelamatkan diri dari ditangkap pihak polis sambil merancang untuk membentuk kumpulan. Beberapa rakan saya yang ditahan juga telah di bawa ke ibu pejabat polis. Alhamdulillah, mereka sudahpun dibebaskan selepas 'berehat-rehat' di ibu pejabat polis.

Selepas menyerahkan sebuah beg milik salah seorang protestor yang ditangkap kepada anggota unit Amal di Pejabat Agung PAS, saya dan rakan mengambil keputusan untuk pulang. Kelihatan 3 buah trak FRU serta beberapa orang pihak polis sedang mengepung bangunan tersebut.

Sebelum itu, stesen LRT Bandaraya dekat Sogo telah ditutup. Turut ditutup ialah stesen LRT Masjid Jamek dan Pasar Seni. Kami terpaksa berjalan kaki dari Jalan Raja Laut ke stesen Central Market memandangkan pemandu teksi enggan mengambil penumpang yang menyertai demonstrasi. Barangkali, bimbang dituduh sebagai bersubahat.


Saya Meyakini Jalan Ini

Saya memandang pengalaman berdemonstrasi pada kali ini sebagai sesuatu yang bermanfaat. Walaupun tidak mampu memberikan manfaat kepada ummah, namun InsyaAllah bermanfaat untuk diri sendiri.

Gagal menyerahkan memorandum kepada pihak Istana Negara tidak bermakna usaha ini turut menemui kegagalan. Saya PERCAYA kepada hikmah Allah Taala yang terselindung di sebaliknya.


Ingatlah janji Allah:

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) bahawa Dia (Allah) akan menjadikan mereka berkuasa memegang pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka (fasik)". (an-Nuur: 55)

No comments:

Post a Comment