InsyaAllah, jika tidak ada apa-apa halangan, saya bakal berangkat ke negeri tercinta menjelang waktu berbuka puasa nanti. Mudah-mudahan, Allah permudahkan segala urusan ketika perjalanan.
Sudah lama memendam niat untuk menunaikan ibadah puasa di Kelantan selama mana yang boleh. Alhamdulillah, ada lagi seminggu masa berbaki.
Masjid UIAM Gombak sudah mula dipenuhi dengan mereka yang mahu ber'iktikaf bermula malam semalam (21 Ramadhan). Terasa hidup suasana Ramadhan di masjid dengan alunan al-Quran. Saya mencari-cari ruang masa di celahan solat sunat tarawih untuk menyemak bacaan.
Ada yang berhajat mahu 'menangguhkan' amalan sunat mereka ke bulan Ramadhan yang berikutnya. Bagi saya, kita perlu merebut pahala yang berganda-ganda ini pada tahun ini juga kerana tawaran pada Ramadhan yang akan datang merupakan tawaran yang berlainan. Setiap bonus yang datang, kita kejar pada waktu itu juga.
Di antara amalan-amalan sunat yang biasa dilakukan oleh kebanyakan orang pada bulan Ramadhan, saya lebih suka mengutamakan ibadah khusus dengan membaca al-Quran. Pahala pembacaan al-Quran pada bulan ini tidak sama dengan bulan-bulan yang lain.
Tidak menjadi satu kesalahan, seandainya kita menzahirkan berapa banyak juzuk yang telah berjaya dihabiskan serta target yang mahu dicapai pada bulan Ramadhan ini dengan niat mahu berlumba-berlumba dalam membuat kebaikan. Segalanya bergantung kepada niat asal serta cara yang tidak bersalahan dengan agama.
"Fokus utama Ramadhan dalam al-Quran ialah diturunkan al-Quran. Sementara perkara-perkara lain adalah perkara kedua. Namun, kebanyakan kita tidak banyak memberi fokus kepada al-Quran. Kita banyak berkisar kepada puasa, solat tarawih dan solat witir. Sedangkan fokus utama penurunan al-Quran mempunyai maksud yang jauh lebih besar. Fungsi utama al-Quran ialah dua perkara, iaitu untuk menjadi penunjuk jalan kepada manusia dan untuk memberikan segala penjelasan yang tidak ada manusia di muka bumi boleh beri penjelasan dengan tepat sebagaimana penjelasan al-Quran" - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Pemergian Rasulullah ditangisi Ummu Aiman dengan tangisan yang berat bukanlah semata-mata menangisi kehilangan seorang anak asuhannya, bahkan itulah sebaik-baik tempat di sisi Allah. Namun, kerana menyedari bahawa sesungguhnya WAHYU TELAH TERPUTUS DARI LANGIT.
Bacalah! Walau sebaris ayat sehari.
auntie ucapkan Selamat Hari Raya dan selamat menjalani ibadah yang seterusnya !
ReplyDelete