Friday, September 04, 2009

Muhasabah Di Pertengahan Ramadhan




Alhamdulillah, dengan izin-Nya kita telah memasuki fasa pertengahan dalam bulan Ramadhan. Ini merupakan satu nikmat yang sewajibnya disyukuri.

Ketika menyambut kedatangan bulan yang penuh kemuliaan dahulu, jiwa bercampur baur dengan perasaan gembira, sayu, syukur dan sebak memandangkan inilah pertama kali keluarga saya menyambut serta melalui hari-hari di bulan Ramadhan tanpa Bonda tercinta. Rupa-rupanya, Ramadhan 2007 merupakan Ramadhan terakhir kami bersama Bonda. Ya Allah, seandainya kami mengetahui...

Kepiluan semakin bertambah apabila mengenangkan ayah yang sedang bersahur dan berbuka dalam keadaan berseorangan. Sudah tentu saya sendiri tidak mampu menghadapinya tatkala cuba meletakkan diri di tempat ayah. Hati ayah, tiada siapa yang tahu.

Namun, apabila seorang sahabat saya menceritakan tentang pemergian bondanya pada bulan Syawal (sebagaimana arwah bonda saya) ketika usianya 16 tahun, saya termalu sendiri. Malu kerana kurang sabar. Padahal, masih ada ramai lagi mereka yang lebih kurang bernasib baik berbanding diri saya.


Sharpen Your Saw

Siapa diri kita akan menentukan bagaimana cara kita melihat ibadah puasa.
Apa yang dilihat itulah yang akan kita dapat.

Di pertengahan Ramadhan ini, saya kembali bermuhasabah bagi mendapatkan piala kemenangan (Taqwa) seolah-olah sedang menyertai satu pertandingan bola sepak. Saya mahu memastikan jaringan yang dibuat pada pusingan kedua ini merupakan satu jaringan penentu kepada kemenangan.



"Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya adalah pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.

Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?"

- Ustaz Hasrizal



Pembebasan

Ditakdirkan, pada Ramadhan ini juga negara kita telah menyambut ulang tahun kemerdekaan kali yang ke-52. Ada kemujurannya juga, sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini dibuat dengan cara yang bersederhana bagi menghormati bulan mulia.

"Merdeka bermaksud BEBAS." jawab seorang jemaah tarawih apabila pemberi tazkirah mengajukan soalan tentang erti kemerdekaan.



Imam Hassan al Banna telah menggunakan kedua-dua kalimah patriotisme dan nasionalisme (wataniyyah dan qaumiyyah) dengan menyelaraskan kalimah-kalimah dan penggunaannya sesuai dengan tuntutan dan nilai Islam.

Beliau telah menerima apa yang dinamakan sebagai wataniyyatu 'l-hanin (cintakan negara), wataniyyatu 'l-hurriyyah wa 'l 'izzah (menjunjung nilai-nilai kemerdekaan dan kehormatan), wataniyyatu 'l-fath (semangat juang untuk mengembangkan Islam).

Pada masa yang sama beliau menolak wataniyyatu 'l-hizbiyyah (dasar yang memecah-belahkan ummah supaya mereka saling bermusuhan).

Sementara yang berkaitan dengan nasionalisme atau al-qaumiyyah pula, Imam Hassan al-Banna menerima apa yang diistilahkan sebagai qaumiyyatu 'l-majd, iaitu pendirian yang menghargai dan mengambil pengajaran contoh-contoh terbilang generasi terdahulu, dan juga qaumiyyatu 'l-ummah, iaitu pendirian yang mengutamakan pengorbanan terhadap umat atau kaum kerabat.

Sementara itu, beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-jahiliyyah iaitu nasionalisme yang berusaha menghidupkan semula budaya jahiliah dan berusaha melepaskan kehidupan dari ikatan Islam.

Beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-udwan iaitu nasionalisme yang berasaskan kesombongan, ketinggian dan ego diri sehingga membawa kepada penindasan dan pencabulan hak-hak manusia yang lain.


Amat malanglah seandainya hasil amal ibadah di bulan Ramadhan ini masih lagi sama dengan bulan-bulan sebelumnya. Tidak ada sebarang perubahan yang dikecapi, malahan lebih buruk lagi.

Selamat memburu Lailatul Qadr.

No comments:

Post a Comment