Wednesday, November 04, 2009

Proses Tajdid Di Dalam Sebuah Kehidupan



Saya kurang mengikuti siri-siri ceramah Ustaz Asri Zainal Abidin.
Namun, saya tekun meneliti hampir kesemua penulisan beliau.

Saya jarang memberikan komen tentang pandangan-pandangan beliau.
Namun, saya sering mengikuti perkembangan semasa tentang beliau terutamanya selepas tidak lagi memegang jawatan sebagai Mufti perlis.

"Tidak kelihatan, tidak semestinya tidak ada"

Walaupun tidak pernah menunjukkan sebarang sokongan atau bangkangan terhadap pemikiran tajdid beliau, namun saya mencuba agar tidak ketinggalan dalam mendengar pendapat yang sentiasa berlapikkan hujah ilmiah beliau terhadap beberapa perkara penting. Adakalanya, saya mempersetujui respon beliau terhadap isu-isu semasa dan adakalanya tidak.

Apatah lagi rakan baik saya selalu menyebut tentang beliau bilamana kami berdiskusi tentang minda tajdid yang diperkenalkan semenjak lama dulu. Saya juga mengagumi hasil pemikiran beliau selepas membaca buku, "Mengemudi Bahtera Perubahan Minda" yang memuatkan sebahagian daripada himpunan tulisan Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin dalam kolum tetap beliau ‘Pena Mufti’ di Mingguan Malaysia yang bermula sejak 11 Mac 2007. Penulisan yang telah membuka minda.

Kontroversi yang sinonim dalam perjalanan hidup adakalanya mencetuskan persepsi yang negatif terhadap beliau. Saya akui, saya juga merupakan salah seorang daripadanya.

Artikel ustaz Hasrizal yang di'post' pada tengah hari ini banyak mengubah tanggapan saya sendiri selaku orang awam terhadap pendirian ustaz Asri. Entahlah, bermacam-macam rasa bercampur baur semenjak membaca artikel tersebut. Rasa kesal yang mendominasi.

Dahulu, corak pemikiran saya banyak ditentukan oleh pandangan atau kritikan dari mereka yang agak dipercayai. Namun, pengalaman "belajar untuk berfikir sendiri" telah memandu saya agar mengamalkan sikap suka membaca hasil penulisan seseorang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.

Saya berpegang kepada prinsip:
Untuk mengkaji dan memahami tentang seseorang atau sesuatu topik, maka jangan mulakan kajian dengan membaca komen penyokong atau komen musuh. Pergi kepada hasil kerjanya sendiri.


Teringat kembali kepada suatu arahan yang pernah dikeluarkan oleh seorang pimpinan kampus suatu ketika dahulu. Arahan yang mengundang kelucuan, atau mungkin juga kesedihan... Ahli-ahli ditegah daripada mengikuti sebarang ceramah ustaz Asri atas alasan supaya tidak terpengaruh dengan sebaran fahaman beliau. Saya yang tidak menghadiri pertemuan tersebut hanya termenung mendengarnya. Malah, sahabat saya yang meminta justifikasi terhadap arahan tersebut juga turut dilabelkan sebagai salafi.

Menepati zamankah arahan yang sedemikian rupa? Dalam suasana kebanjiran informasi pada abad ini, walau seketat manapun sekatan yang dikenakan untuk membendung sesuatu kemasukan maklumat baru, ia adalah sesuatu tindakan yang tidak menepati zaman. Apa yang boleh dilakukan hanyalah dengan menyediakan diri agar sentiasa berpendirian apabila berpandangan serta mempersiapkan diri dengan ilmu tentang keupayaan untuk memilih.

Pertambahan ilmu pengetahuanlah yang mampu mengubah cara pemikiran setiap individu secara bertahap.

Izinkan diri untuk menempuh perubahan dari satu usia ke satu usia, kerana ia sebahagian dari proses kematangan Bani Insan.


Artikel Bersama:
Justifikasi seorang Teman
Tangkapan Dr. Asri: Satu Pandangan

2 comments:

  1. Salam, Sudah lama tidak menjenguk blog akak, Alhamdulillah artikel ini sangat menyejuk jiwa merangsang minda.. Moga akan ramai lagi pejuang agama yang akan membuka ruang berfikir dan mengkaji dengan usaha bukan dengan ikutan.. Allahu Waliyyu Taufiq..

    ReplyDelete
  2. Terima kasih dik atas ziarah..
    Semoga kita sama-sama mengubah paradigma untuk lebih terbuka dalam menilai pandangan seseorang yang bertentangan dengan pandangan kita.

    ReplyDelete