Monday, November 09, 2009

Selangkah Ke Hadapan


InsyaAllah, jika tidak ada apa-apa halangan, saya bakal meninggalkan kampus UIAM (Gombak) kira-kira dua minggu dari sekarang. Masih ada satu kertas peperiksaan berbaki yang akan diduduki pada 13 November 2009 ini.

Berbagai-bagai perancangan yang sedang diatur bagi menyelaraskan matlamat yang ingin dicapai sesuai dengan kemampuan diri. Dalam mempertimbangkan beberapa cadangan daripada rakan-rakan, terkenangkan perbualan bersama seorang teman.

"Tinggal beberapa bulan lagi kat sini. Apa perkara yang terfikir hendak dibuat sebelum meninggalkan UIA?", soal teman saya.

"Bukan apa yang nak dibuat di sini (UIA) yang diutamakan, tapi apa sumbangan yang bakal diberikan setelah berada di luar nanti. Hendak menyumbang di mana?"

Sememangnya saya lebih runsingkan kehidupan realiti selepas tamat pengajian berbanding perkara yang saya mahu wariskan kepada generasi pelapis memandangkan zaman kampus merupakan satu dunia yang lebih mudah dibentuk pemikirannya (akal). 'Dunia tahu' kata orang zaman sekarang. Manakala, dunia realiti memerlukan kepada MAHU. Segala-galanya bergantung kepada diri sendiri. Bergerak dengan hasil dorongan dari dalam diri.

Jika kita berdakwah kerana keyakinan akal terhadap hujah dan dalil, akal kita menawarkan TAHU. Apabila kita duduk dalam ‘dunia akal ‘di kampus, ia sudah cukup untuk membantu diri kita terjun ke medan dakwah. Dunia realiti bukan dunia akal. Ia bukan dunia tahu, dunia kita adalah dunia MAHU.


Terbayang-bayang 5 huruf yang cukup digeruni... S.I.B.U.K.

Sewaktu berada di kampus, tidak banyak kewajipan yang mesti didahului. Oleh sebab itu, keutamaan kepada kewajipan berdakwah tidak sukar untuk dipenuhi. Namun, apabila sudah berkeluarga dan berkerjaya, peranan semakin bertambah. Mungkin kewajipan berdakwah dilihat sebagai agenda kedua atau ketiga.

Dalam keserabutan minda memikirkan pelbagai perkara, akhirnya saya tadahkan tangan memohon ke hadrat Ilahi agar ditunjukkan jalan yang benar serta sentiasa berada di dalam pemeliharaan-Nya.

"Dakwah bukan hanya untuk kejayaan diri, tetapi juga untuk kejayaan orang lain. Bukan hanya berjaya mengubah cara fikir, cara pakai dan cara cakap, tetapi berjaya mengubah erti hidup dan bertemu jalan menuju Syurga!


Kita berdakwah kerana pada dakwah itulah kita bertemu kepuasan hidup. Pada dakwah itulah kita memberi makna kepada hidup. Keinginan untuk berdakwah, adalah kerana kemanisan iman dan penghargaan yang tinggi terhadap hidayah Tuhan, yang melimpah ruah di dalam hati, sebelum datang soal wajib dakwah dan panggilan dakwah terhadap kerosakan bi’ah (persekitaran)." - Abu Saif




“Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya” (Surah Al-Mu’minun : 61)

2 comments: