Tuesday, December 28, 2010

Catatan Tanggal 28 Disember 2010

Ya Allah, Engkau telah meminjamkan umur yang panjang buatku. Pinjamkanlah ia dengan pinjaman yang baik.

Engkau kurniakanlah keberkatan kepada jangka hayatku ini Ya Allah.

Untuk umurku yang akan datang, Engkau bimbinglah perjalanan hidupku Ya Allah.

Engkau redhailah diriku Ya Allah.

Engkau kurniakanlah kekuatan kepadaku Ya Allah.

Engkau pasakkanlah keimanan dalam diriku Ya Allah

Engkau jadikanlah diriku ini sebagai seorang yang banyak bersabar dan bersyukur Ya Allah.

Aku impikan KEIKHLASAN HATI dalam beramal kepada-Mu Ya Allah.

Kuserahkan ketentuan hidupku di bawah kekuasaan-Mu Ya Allah.
Perkenankanlah hajat di hatiku Ya Allah.
Ameen, ameen, ameen Ya Rabbal 'Alamin.

* Al-Fatihah buat arwah bonda yang telah mempertaruhkan nyawanya untukku.

Wednesday, December 22, 2010

Bermula Dengan Matlamat Akhir

Kembali semula ke sekolah rendah sebagai tenaga pengajar membuatkan saya sering mengingati kenangan ketika zaman persekolahan.

Suatu ketika dahulu, saya pernah dirotan kerana gagal memberikan jawapan yang betul kepada guru subjek Penulisan Jawi walaupun saya dengan sukarelanya mengangkat tangan untuk menjawab soalan tersebut. Kejadian itu telah memberikan persepsi yang salah tentang sifat berani. Dalam diri saya telah menyimpan satu pandangan salah yang mana keberanian hanya mengundang padah.

Mulai dari hari itu, saya menjadi seorang murid yang agak pasif dan hilang keyakinan diri.

Ini antara kisah yang dikongsikan bersama guru-guru agar sentiasa berfikir sebelum mengambil sebarang tindakan. Peristiwa di sekolah mampu memberikan impak yang besar kepada pertumbuhan seseorang pelajar.

Ramai antara mereka yang memilih karier sebagai guru atau pendidik sebenarnya bukan sahaja kerana minat mengajar, malah mereka menyimpan impian untuk melakukan perubahan.

Majoritinya terkenangkan zaman persekolahan yang telah lama ditinggalkan itu. Karakter setiap murid banyak mengingatkan mereka kepada diri sendiri. Mereka juga masih ingat mengenai guru yang telah mempengaruhi hidup mereka.
Hasrat utama mereka adalah bagi menjadi guru yang membawa pengaruh baik kepada anak-anak didik mereka.

Ramai guru yang tidak sedar betapa besarnya pengaruh yang dimainkan oleh mereka pada perkembangan fizikal, emosi, mental dan rohani anak didik mereka. Terlalu ramai murid yang hilang semangat sebelum persekolahan mereka tamat.

Kebiasaannya, mereka mahu merasakan yang diri mereka juga bernilai. Namun, ramai di antara ibu bapa dan guru yang memberitahu bahawa mereka tidak ada nilai. Malah, ramai juga yang mengekspresikan perhatian mereka ke dalam bentuk yang salah.

Saya memegang dalam diri:
"Kepimpinan itu adalah kebolehan menyatakan harga diri dan potensi seseorang itu dengan jelas sehingga mereka sendiri mendapat inspirasi bagi melihatnya ada dalam diri sendiri."

Thursday, November 25, 2010

Termenung Seketika...


Seorang nenek harus berjalan jauh ke pasar di kota untuk menjual bunga cempaka. Itulah kerja hariannya.

Selepas berjualan, beliau singgah dahulu ke masjid di kota untuk bersolat zuhur.
Selepas berdoa dan berwirid sekadarnya, nenek itu akan terlebih dahulu membersihkan dedaun yang berselerakan di halaman masjid. Ini dilakukannya setiap hari di bawah terik matahari. Setelah semua dedaun itu dibersihkan barulah beliau pulang ke desanya.Jemaah dan pengelola masjid kasihan melihat rutin nenek yang demikian.

Suatu hari, pengurus masjid memutuskan untuk membersihkan dedaun yang berselerakan di halaman masjid sebelum nenek itu datang. Fikirnya, usaha itu akan membantu nenek tadi agar tidak perlu bersusah payah membersihkan halaman masjid itu.

Rupanya, niat baik itu telah membuat nenek tersebut menangis sedih.

Dia bermohon supaya dia terus diberi kesempatan membersihkan halaman masjid seperti biasa.

Akhirnya, pihak masjid terpaksa membiarkan situasi berjalan seperti biasa supaya nenek itu tidak lagi hiba.

Satu ketika apabila ditanyakan seorang kiai mengapa nenek tersebut perlu melakukan hal itu, nenek tersebut menjawab:

“Saya ini perempuan bodoh, kiai. Saya tahu amal-amal saya yang kecil ini mungkin juga tidak benar dijalankan. Saya tidak mungkin selamat pada hari kiamat tanpa syafaat Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam.

“Setiap kali saya mengambil selembar daun, saya ucapkan satu selawat kepada Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam. Kelak jika saya mati, saya ingin Rasulullah menjemput saya.

“Biarlah semua dedaun ini bersaksi bahwa saya telah membacakan selawat kepadanya.”

Sunday, September 26, 2010

Supaya Gelisah berNILAI IBADAH

Ketika pulang bercuti tempoh hari saya sempat membelek-belek sejumlah buku yang masih lagi tidak dikeluarkan dari kotak. Buku-buku yang menemani saya sepanjang berada di UIAM, Gombak. Agak risau juga bila memikirkan serangan anai-anai yang tidak mengenal nilai sesuatu bahan. 

Alhamdulillah, buku-buku milik saya masih lagi tersimpan elok. Cuma sedikit berhabuk.

Bila diperhatikan satu persatu buku-buku tersebut, timbul rasa kesal memandangkan sudah lama saya tidak 'mengulangkaji' isi kandungannya.

ILMU, apabila ditinggalkan, ia terus hilang ibarat unta yang terlepas dari tali kekangannya.

Terasa sayang bila mengenangkan sudah berpuluh-puluh buku yang dibaca, namun pengetahuan lenyap akibat jarang dimanfaatkan.

Buku-buku usrah masih lagi saya gunakan ketika ada ruang untuk berdiskusi bersama rakan-rakan. Cuma buku-buku yang jarang terusik seumpama buku sejarah dan fiqh kelihatan masih 'baru'.

Refleksinya turut mempengaruhi nilai penulisan. Sudah berhari-hari blog tidak dijenguk dan diisi dengan subjek yang baru akibat daripada kekeringan idea. Beberapakali juga posting saya bertukar dari 'publish' kepada 'draf'' kerana kematian akal dan kekreatifan untuk menyusun kata. 



Semakin hari semakin gelisah mengingatkan diri yang semakin jauh dari pengisian ilmu dan hikmah.

Diluahkan agar gelisah tidak hanya kekal sebagai gelisah selama-lamanya.

Namun untuk mengubah gelisah kepada nilai IBADAH.

“Selaku orang yang beriman, apabila kita ditimpa musibah kita kena cepat-cepat ingat pada Allah dan kembali kepadaNya. Terdapat banyak doa-doa yang boleh membantu dan memujuk kita yang gelisah untuk menghadapi situasi yang merunsingkan kita itu.”

-Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Wednesday, September 01, 2010

Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Pakistan

Berkesempatan menghantar rombongan Yayasan AMAL serta Haluan ke Pakistan sehingga KLIA.

Semoga selamat sampai dan selamat kembali.

Saya difahamkan mereka akan berada di sana selama seminggu.

Monday, August 30, 2010

Aktiviti Sepanjang Ramadhan 2010

Semoga Ramadhan pada kali ini diisi para remaja dengan pelbagai aktiviti yang benar-benar berfaedah.

Mudah-mudahan para remaja memanfaatkan Ramadhan dengan amalan-amalan soleh.

Hidupkan malam dengan Qiyamullail


   Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju


Tadarus Al-Quran


Program Tadarus dan Khatam Al-Quran bersama Nisa' Gombak


Grand Iktikaf


Mendidik anak-anak beriktikaf dan menjaga adab-adab ketika berada di masjid (Murid tahun 6)


Program Diskusi Ilmu atau Ceramah Agama
                       Program bersama Sheikh Siyam

Monday, August 16, 2010

Kembali Berblog

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah.

Akhirnya berjaya membebaskan blog dari beberapa masalah yang berkaitan dengan penggunaan 'username' yang pelbagai.

Semoga berkekalan MERDEKA!!!

Sunday, May 02, 2010

Mathematics Haunting Me!


Pertama kali ketika dimaklumkan tentang kejayaan temuduga saya untuk bergelar sebagai pendidik di sebuah sekolah rendah Islam, hati saya sudah berdebar-debar. Masakan tidak, saya tidak pernah ada pengalaman mengajar, apatah lagi mengajar pelajar sekolah rendah. 

Saya sedar, semakin rendah tahap umur seseorang pelajar, semakin sukar  untuk memahami pemikiran dan memahamkan mereka tentang sesuatu topik.

Pening kepala memikirkan kaedah-kaedah yang diperlukan bagi menambah kefahaman mereka nanti. Saya sendiri tidak pasti bagaimanakah cara yang berkesan untuk menarik minat mereka belajar subjek Matematik. Bukan mudah, lebih-lebih lagi selepas matapelajaran tersebut diwajibkan ditukar pengajarannya ke dalam bahasa Inggeris setelah PPSMI diwujudkan.

Langkah pertama yang diambil adalah dengan mengusahakan satu perbincangan bersama guru-guru yang pernah berpengalaman mengajar Matematik sebelum ini. Sememangnya permasalahan 'darab' dan 'bahagi' nombor-nombor besar masih lagi merupakan masalah berulang yang dihadapi oleh pelajar-pelajar tersebut.

Akhirnya, saya mengambil inisiatif untuk mengumpulkan formula-formula yang pernah dicipta oleh adik Adi Putra, genius Matematik, dalam membantu menambahkan kefahaman pelajar-pelajar.

Permudahkanlah urusanku Ya Allah!


Genius

Genius, like gold and precious stones,
is chiefly prized because of its rarity.


Geniuses are people who dash of weird, wild,
incomprehensible poems with astonishing facility,
and get booming drunk and sleep in the gutter.


Genius elevates its possessor to ineffable spheres
far above the vulgar world and fills his soul
with regal contempt for the gross and sordid things of earth.


It is probably on account of this
that people who have genius
do not pay their board, as a general thing.


Geniuses are very singular.


If you see a young man who has frowsy hair
and distraught look, and affects eccentricity in dress,
you may set him down for a genius.


If he sings about the degeneracy of a world
which courts vulgar opulence
and neglects brains,
he is undoubtedly a genius.


If he is too proud to accept assistance,
and spurns it with a lordly air
at the very same time
that he knows he can't make a living to save his life,
he is most certainly a genius.


If he hangs on and sticks to poetry,
notwithstanding sawing wood comes handier to him,
he is a true genius.


If he throws away every opportunity in life
and crushes the affection and the patience of his friends
and then protests in sickly rhymes of his hard lot,
and finally persists,
in spite of the sound advice of persons who have got sense
but not any genius,
persists in going up some infamous back alley
dying in rags and dirt,
he is beyond all question a genius.


But above all things,
to deftly throw the incoherent ravings of insanity into verse
and then rush off and get booming drunk,
is the surest of all the different signs
of genius.

By: Mar Twain

Wednesday, March 31, 2010

Menjadi Manusia Terbaik


Saya memerhatikan seorang lelaki berbangsa Cina yang sedang menguruskan seorang pesakit yang berada di sebelah kiri katil arwah bonda. Mungkin saudara maranya, saya mengagak.

Kebiasaannya, pesakit di wad perempuan ini sentiasa silih berganti keluar masuknya. Namun, wanita di sebelah ini sudah lama di sini. Keadaan beliau kelihatan agak serius kerana tidak mampu menguruskan makan, minum dan pakai sendiri. Tidak pasti pula apa sakitnya.

Hari ini merupakan giliran saya untuk menjaga bonda di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Bonda terus dimasukkan ke sini setelah dibawa pulang dari Mekah kira-kira dua minggu yang lalu kerana menghadapi masalah pernafasan.

Sejak mula-mula sampai tadi beliau terus membersihkan pesakit, mencuci luka-luka di seluruh badan, menukar posisi badan agar tidak terkena 'bedsoil', menyuapkan ubat dan susu melalui tiub serta menukar kain cadar yang kotor. Setiap satunya dilakukan dengan penuh tertib dan berhati-hati.

Setelah itu, melepaskan penat dengan duduk bersandar di kerusi yang berada di sebelah pesakit.

"Uncle, ini siapa?" saya meramahkan diri.

"Ooo, ini isteri saya." dia menoleh sambil menjawab dalam dialek Cina.

"Oh, sakit apa uncle?" tanya saya dengan rasa ingin tahu.

"Dia ada ketumbuhan dalam otak. Sudah tiga tahun dekat sini. Mula-mula kena bedah, ok lagi. Dua tahun lepas tu, terus jadi macam ni." Jawabnya dengan baik.

Beliau mengunjukkan kad pengenalan isterinya kepada saya untuk ditunjukkan wajah sebenarnya sebelum ditimpa penyakit tersebut. Terlalu jauh berbeza daripada sekarang.

Sambung beliau, "Tiap-tiap hari lepas kerja, saya datang sini untuk bagi dia makan."

Saya cuma mengangguk-anggukkan kepala mendengar beliau bercerita sebelum meminta diri untuk menyiapkan bonda yang mahu menunaikan solat fardhu Asar.

Sambil membantu bonda mengambil wudhuk, saya terfikirkan betapa beruntungnya wanita Cina itu tadi kerana memiliki suami dan anak-anak yang baik. Masih setia menjaga beliau walau dalam keadaan sakit begini.

Dan, alangkah lebih bertuah lagi seandainya suami beliau merupakan seorang Muslim yang sejati. Kerana peluang bagi menjadi MANUSIA YANG TERBAIK amat terbuka luas.

Merapatkan silaturrahim sesama ahli keluarga merupakan perbuatan baik.

Menjaga kebajikan ahli keluarga merupakan perbuatan baik.

Melindungi hak sanak-saudara merupakan perbuatan baik.

Pendek kata, setiap mereka yang berbuat baik kepada keluarganya mampu menjadi manusia yang terbaik.

Hal ini bertepatan dengan satu hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:

“Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah orang yang paling berbuat baik untuk keluargaku!”

Timbul kepelikan apabila melihat segolongan manusia berlumba-lumba mengejar populariti, kekayaan dan pangkat atas tujuan ingin menjadi manusia terbaik. Namun keluarga sendiri terabai dari sudut pengisian hidup, material dan perhatian.

Baikkah manusia yang seumpama itu?

Monday, March 08, 2010

Buku Yang Mengubah Tabiatku



Setiap orang mempunyai sebab yang tersendiri tentang persoalan mengapa mereka membaca. Jika soal minat yang dibicarakan, maka mereka yang sentiasa sibuk pun pasti akan meluangkan masa untuk menghabiskan pembacaan dalam tempoh waktu yang ditetapkan.


Fasa 'Curiosity'

Pada mulanya, saya bukanlah tergolong di kalangan mereka yang suka membaca Saya mendekati bahan bacaan atas dorongan rasa ingin tahu tentang sesuatu perkara ataupun isu. Rasa ingin tahulah yang membuatkan saya rasa tidak tenang sekiranya tidak bertemu jawapannya secepat mungkin.

Oleh sebab itu, saya akan berusaha mendapatkan apa-apa sahaja bahan bacaan yang dirasakan mengandungi isi kandungan yang boleh membantu melengkapkan proses kefahaman saya seumpama buku, surat khabar, majalah, jurnal dan internet.

Lama-kelamaan, rasa ingin tahu telah mendahului rasa malas.


Fasa 'Competition'

Kemudian, saya terpengaruh dengan rakan-rakan yang suka berdebat. Setiap pandangan yang mereka kemukakan kebiasaannya berjaya mematahkan hujah-hujah saya. Acapkali juga saya terdiam selepas mendengar kata-kata mereka. Keadaan inilah yang membuatkan saya rasa tercabar dan terasa jauh ketinggalan kerana tidak cukup mengumpulkan fakta.

Setelah diperhatikan, ternyata mereka mengamalkan tabiat suka membaca. Saya meneliti setiap bahan bacaan mereka sebelum mengunjungi beberapa kedai buku untuk mendapatkannya.

Lama-kelamaan, saya semakin khusyuk mendampingi buku-buku yang pelbagai jenis.


Fasa 'Establishment'

Saya masih lagi berada dalam fasa ingin memperbaiki mutu kehidupan. Pembacaan diamalkan untuk mempertingkatkan lagi potensi dalam diri. Tidak ada rasa bosan dalam mendampingi buku-buku kerana banyak perkara yang telah saya pelajari. 

Terdapat beribu-ribu jenis buku di pasaran yang memasarkan penulisan yang bercorakkan motivasi, keagamaan, kewangan, kepimpinan, politik, sejarah dan ketamadunan serta perundangan. Kita cuma perlu memulakan langkah dengan mencari sahaja.

“Beruntunglah orang yang menyibukkan diri dengan mengetahui dan memperbaiki aib-aib nya sendiri.” - Hadith Hasan

Hasil dari pembacaan banyak mengubah persepsi saya terhadap beberapa perkara.


Jangan Lepaskan Peluang


Sedang menjalankan survey ke atas beberapa buah buku yang baru diterbitkan. Saya mengutamakan review daripada penulisnya sendiri.

Friday, February 19, 2010

Kelantan Dari Kacamata Habiburrahman El Shirazy


Saya tertarik apabila membaca pandangan penulis novel islamik, Habiburrahman El Shirazy tentang negeri Kelantan. Pandangan pertama yang diberikan adalah mengenai Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Karisma Seorang Pemimpin

Tiga hari saya berada di Malaysia, dan saya menjumpai betapa cintanya rakyat Kelantan pada Tuan Guru mereka, kepada ulama mereka yang juga menjadi Menteri Besar mereka. Ada kalimat Tuan Guru Dato` Haji Nik Abdul Aziz yang diingat selalu oleh rakyatnya, iaitu, "Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu menyatukan hati ramai orang. Bukan pemimpin yang hanya mampu menggunakan kekuasaannya untuk membatasi ini dan itu."

Ternyata, Tuan Guru merupakan seorang yang bersikap profesional apabila meraikan setiap tetamu yang berkunjung ke Kelantan. Tidak kira walau sesiapa atas tujuan apa sekalipun.

Tuan Guru juga bersikap sederhana dalam menjalani hidup seharian. Lihat sahaja kediaman dan pejabat beliau. Segala kemudahan hanya digunakan untuk menyempurnakan urusan negara sahaja.


Rakyat Yang Menghargai Bangsa Indonesia

Kenyataan yang saya temui, masyarakat awam Melayu Kelantan sangat menghargai bangsa Indonesia. Dan masih mengakui Indonesia sebagai bangsa besar.

Indonesia adalah ikon Islam di Asia Tenggara.Jika Indonesia tegak, maka umat Islam di Asia Tenggara termasuk Malaysia tegak. Jika Indonesia runtuh yang lain juga akan runtuh.

Komen tersebut dikemukakan setelah beliau diajukan persoalan mengenai kisah Manohara. Namun, majoriti rakyat Kelantan tidak mengetahui tentang kisah tersebut.


Suasana Di Bandar Kota Bharu

Yang unik adalah background panggung dan hiasan Mall seratus persen bernuansa China. Karena hari itu memang bertepatan tahun baru China. Akan tetapi acara sesungguhnya adalah Festival Hari Hiburan Islam.

Festival ini telah membuktikan keinginan rakyat Malaysia yang tinggi terahdap filem-filem islamik. Sememangnya diakui bahawa kreativiti pembuatan filem islamik di Malaysia agak ketinggalan jika dibandingkan dengan Indonesia. Hanya filem "Syukur 21" yang dijadikan sebagai contoh untuk filem yang berunsurkan ajaran Islam.

Wednesday, February 03, 2010

Tetap Tidak Sama


Kira-kira dua bulan saya menghabiskan masa di rumah. Sudah dua bulan juga tidak menjenguk internet. Susah juga mengubah tabiat daripada melayari internet sebanyak dua tiga kali sehari kepada dua tiga kali sebulan. Terasa gelisah sepanjang hari. Serba tak kena dibuatnya.

Paling terasa ketinggalan, apabila terlepas pandang setiap isu-isu terkini atau berita-berita penting yang berlaku dalam dua tiga minggu ini. Terlepas khabar terbaru mengenai perlaksanaan dasar-dasar kerajaan. Saya kekurangan maklumat berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’. Juga tidak jelas tentang perkara-perkara yang melibatkan politik di Kelantan.

Bukan tidak ada media alternatif…


Media Massa Vs Media Maya

Meskipun saban waktu televisyen menyiarkan berita tentang perkembangan semasa di dalam dan luar Negara, berbanding internet, ianya masih terdapat kekurangan dari sudut kepelbagaian sudut pandang yang diwakili individu serta badan-badan tertentu.

Saya mengikuti berita-berita di saluran TV 1, TV 3, Astro Awani dan Bernama. Namun, kesemuanya masih lagi memuatkan isi kandungan yang serupa. Malah, penyampaiannya juga hampir sama. Tidak ada pandangan yang pro dan kontra. Mungkin kerana kesemuanya datang daripada sumber berita yang satu bagi menjamin keseragaman fakta.

Berbeza dengan internet, kupasan setiap satu berita lebih menyeluruh di laman berita dan blog peribadi milik mereka yang lebih ahli untuk bercakap mengenainya.

Begitu juga dengan akhbar. Tidak ada kepuasan membaca setiap helaian di halaman yang terlalu padat lagi terbatas. Bahan bacaan lebih bersifat satu hala. Jika di internet, pengunjung masih berpeluang untuk memberikan respon terhadap sesuatu dakwaan atau pernyataan. Namun tidak di akhbar. Tidak ada perbincangan aktif bagi menyuarakan pandangan tertentu.


Semakin Hari, Semakin Senyap

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk menjadi pemerhati setia buat sementara waktu. Benarlah kata pepatah Jerman, Silent is Golden (Diam adalah Emas). Memperkatakan tentang sesuatu perkara yang kita kurang pengetahuan mengenainya, hanya akan membiakkan masalah serta kekeliruan. Diam merupakan jalan yang terbaik.

Benar-benar terasa ketinggalan.