Friday, July 17, 2009

Agar PERSPEKTIF Sentiasa OPTIMIS



JOHANES LIM dalam bukunya "No Pain No Gain" (1997) mengisahkan cerita menarik tentang seorang petani dan seekor kuda. Ada seorang petani di sebuah desa yang mempunyai seorang anak lelaki dewasa dan seekor kuda. Pada suatu hari, kuda si petani tersebut telah lari ke hutan, tentu saja ia sangat sedih tambahan pula menerima sindiran dari jiran tetangganya. Walaupun begitu, si petani tetap tabah dalam menghadapi musibah itu.

Syukurlah, selang beberapa minggu kemudian si kuda yang hilang tadi kembali. Kuda itu pulang bersama seekor kuda liar.

Si petani menugaskan anak lelakinya dalam usaha untuk menjinakkan kuda liar agar menjadi kuda tunggangan. Akan tetapi, anak petani tersebut mengalami kecederaan yang teruk ketika cuba mengawal kuda liar itu.

Sekali lagi si petani sedih dengan musibah yang dihadapinya. Jiran tetangganya kembali mencemuhnya dan bergembira melihat peristiwa ini. Namun, si petani tetap optimis, "Hari baik atau hari buruk bukan mereka yang menentukan," fikirnya.

Pada waktu itu, negaranya sedang mengalami perang saudara. Kemudian, datang sepasukan pegawai tentera dan pemerintah setempat untuk merekrut pemuda-pemuda di desa tersebut dengan mewajibkan mereka mengikuti kursus tentera. Pemuda-pemuda yang menyertai pasukan tentera itu tidak diketahui sama ada akan kembali dalam keadaan hidup ataupun tidak.

Ketika pegawai tentera tersebut tiba di rumah si petani. Melihatkan keadaan kaki anak lelaki si petani sedang luka parah akibat terjatuh dari tunggangan kuda liar beberapa hari yang lalu, dia dikecualikan daripada perekrutan wajib ketenteraan. Kini, jiran-jirannya pula yang bersedih dengan pemergian anak-anak mereka.

Hari yang baik atau hari yang buruk, tidak ada sesiapa yang tahu. Maka, lakukanlah tugas kita dengan sebaik-baiknya.

Seorang bijak pernah berkata, dalam situasi yang serba tidak menentu, satu perkara yang tidak dapat berubah namun mampu mengubah dunia sekeliling kita, iaitu senyuman, perkataan dan ungkapan syukur.

Kajian menunjukkan, seorang pekerja yang sentiasa bersyukur (optimis) atas apa yang diterimanya baik ataupun buruk ternyata membuat dia lebih tahan terhadap penyakit stress akibat kerja dibandingkan mereka yang selalu mengeluh (pesimis).


Sebagaimana kisah petani di atas, di sebalik ucapan syukur terdapat rasa optimis yang luar biasa.

Apakah itu OPTIMISME?

Optimisme yang sebenarnya adalah...

Menyedari masalah tetapi mengenali penyelesaiannya,

Mengetahui kesulitan namun yakin bahawa itu dapat diatasi,

Melihat yang negatif tetapi menekankan yang positif,

Menghadapi yang terburuk namun mengharapkan yang terbaik,

Mempunyai alasan untuk bersedih tetapi memilih untuk tersenyum.

No comments:

Post a Comment