Thursday, July 09, 2009

Pemansuhan PPSMI Pada 2012: Berbaloikah?

Media massa hari ini dan semalam memaparkan keputusan Kabinet yang mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Saya terbaca statement Hishamuddin Tun Hussien yang menyifatkan pemansuhan PPSMI bukanlah sesuatu yang mudah. Federasi terpaksa mengambil masa 7 tahun untuk mengkaji dan kenal pasti kegagalan sistem itu. Sebelum ini, beliaulah yang menempelak analisis yang dijalankan oleh GAPENA kerana bertentangan dengan dasar PPSMI.

Persoalannya, mengapakah pemansuhan ini mengambil masa yang terlalu lama untuk dilaksanakan?

Sedangkan ketika dasar ini diluluskan pada tahun 2003 dengan memakan belanja lebih kurang RM12 billion, keputusannya dibuat tanpa melalui sebarang proses kajian terlebih dahulu.

Saya tidak mahu mengaitkannya dengan agenda Pilihanraya Umum 13. Mungkin perlaksanaan secara bertahap serta perkara yang terkandung dalam dasar baru nanti ada penjelasannya.


Rekod kegagalan perlaksanaan PPSMI:

Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1% kepada 82.5% bagi sekolah bandar dan daripada 83.2% kepada 79.7% bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8%kepada 80.9% manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9% kepada 77%.

Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.

Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007.

Kajian universiti-universiti tempatan mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih 3% sepanjang pelaksanaan PPSMI.

No comments:

Post a Comment