Friday, July 24, 2009

Saya Memuliakannya



"Hari ni hari Jumaat ke?" Saya bertanya kepada seorang rakan ketika kami berjalan keluar dari kedai buku MPH.

Oleh kerana keputusan untuk ke kedai buku pada hari itu dibuat tanpa sebarang perancangan, saya tidak ambil kisah tentang hari. Seolah-olah hilang dari ingatan saya. Betul-betul tidak terlintas.

Tengahari itu terasa sungguh hening. Segala pergerakan manusia kelihatan tenang. Sebab itulah saya terdetik untuk bertanyakan kepada rakan.

"Ya, hari ni hari Jumaat." Jawab beliau ringkas.

"Patut pun." Saya berbisik.

"Kenapa?" Beliau sudah kehairanan.

"Entahlah, rasa lain je. Tengoklah buku-buku yang dibelek tadi, buku-buku yang bersifat kerohanian sikit." Gurau saya.

Entah kenapa, setiap kali hari ini tiba saya merasakan 'sesuatu' dari lubuk hati.

Tenang.

Damai.

Syahdu.

Ianya merupakan satu hari yang sangat istimewa bagi saya. Tidak dapat untuk digambarkan dengan kata-kata.

Saya meraikan kehadiran Jumaat dengan cara yang tersendiri. Lain dari hari yang lain.

Mungkin kerana sudah terbiasa dengan suasana di Kelantan yang mengisytiharkan hari Jumaat sebagai cuti umum, saya sering mengelak untuk keluar dari tempat tinggal sekiranya tidak ada perkara yang mustahak.

Khutbah Jumaat sudah tentu tidak dipinggirkan selain dari menghayati terjemahan ayat-ayat al-Quranul Kareem dari surah al-Kahfi.


"Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya."



"Hari ini mesti diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat." Azam saya.

No comments:

Post a Comment