Alhamdulillah, berkesempatan mengendalikan beberapa slot di program Kem Bina Insan Muslimah Sejati untuk pelajar sekolah tingkatan 2, 3, 4 dan 5. Masih terbayang-bayang gelagat para peserta, suasana syahdu ketika killer slot, wajah-wajah para guru yang bertungkus-lumus memastikan program berjalan lancar serta keindahan landskap chalet yang berkonsepkan desa. Terasa rindu untuk ke sana lagi. InsyaAllah, jika berpeluang.
Takjub saya mendengar cerita dari seorang ustaz tentang penghuni sebuah pusat pemulihan akhlak. Setiap kali penceramah menyebut kalimah “Rasululullah s.a.w.”, bergegar bilik kuliah dengan ucapan selawat ke atas Baginda. Subhanallah, betapa lembutnya hati mereka. Menandakan keazaman mereka untuk memulakan sebuah PENGHIJRAHAN.
Saya menarik nafas lega bila mana majority daripada peserta Kem Bina Insan ini menyatakan kesediaan mereka untuk memperbaiki kesilapan diri apabila pulang dari program nanti. Rata-ratanya memberikan kesanggupan untuk berubah jika diberikan peluang. Namun, apa yang menjadi kebimbangan adalah seandainya iltizam mereka bakal mengundang lelah di tengah jalan…
Lelah kerana persekitaran yang membantutkan pembinaan diri.
Lelah kerana terputusnya kesinambungan didikan di sekeliling mereka.
Lelah kerana terpengaruh dengan perkara-perkara negative yang datangnya dari masyarakat.
Dan, lebih malang lagi lelah dengan sikap ibubapa yang memandang remeh terhadap cara hidup beragama dalam kehidupan seharian.
“Kalau adik-adik tak solat, mak ayah marah tak?”, saya cuba menyelongkar kaedah didikan ibubapa mereka.
“Tak.” Sebahagiannya menggeleng-gelengkan kepala.
Sebahagian lagi menjawab, “Mereka tak cakap apa pun.”
Saya memandang mereka dengan sayu. Sama ada sedar ataupun tidak, masih ramai lagi ibubapa yang memandang ringan soal amal ibadah serta cara hidup anak-anak mereka. Beginikah caranya mengekspretasikan erti sebuah kasih sayang? Tanggungjawab ibubapa tidak cukup hanya dengan memenuhi tuntutan keperluan asas untuk hidup sahaja. Malah, ramai saja di kalangan mereka yang kekurangan dari sudut material mampu mencapai kejayaan yang membanggakan. Hal ini terjadi disebabkan oleh disiplin hidup mereka.
Fitrah jiwa remaja, mudah terikut-ikut dengan budaya dan perkara-perkara baru. Namun, fitrah memerlukan hidayah, tunjuk ajar ataupun panduan yang betul. Jika tidak, fitrah bakal bertukar menjadi fitnah. Dalam usia semuda mereka, kebiasaannya mereka akan tercari-cari satu qudwah atau role model terbaik untuk dicontohi. Ibubapalah orang yang terhampir dengan pandangan mereka untuk dijadikan teladan. Gagalnya ibubapa dalam menjadi ikutan yang baik bakal membawa mereka kepada ikutan yang salah di luar sana. Oleh itu, tawarkanlah diri sendiri untuk menjadi yang terbaik dari kaca mata anak-anak.
Saya yakin didikan yang berkesan lahir dari ajaran yang berterusan. Jika mereka telah bersedia untuk ditarbiyyah, bagaimana pula dengan murabbi mereka? Adakah berada di atas track yang sama?
Saya amat berharap supaya pihak penganjur menyediakan satu ruang di mana para ibubapa dan guru berpeluang menyaksikan sendiri kesungguhan anak didik mereka untuk mengubah diri. Janji-janji peserta hanya akan bernilai jika dilafazkan di hadapan individu-individu yang paling hampir dengan mereka atau yang bertanggungjawab dalam membentuk mereka, bukan di hadapan pihak penganjur kerana mereka tidak dikenali.
RESTU
Setitis kasih sayang ibuku tiada ternilai
Secebis pengorbanan ayahku tiada terbalas
Mengasuh mendidikku menjadi insan yang berjaya
Terima kasih ibu, ayah kerana membawaku ke dunia
Ku kucup tangan ibu, ayah tanda ku memohon restu
Ampuni jua dosa-dosa anakmu andai tersilap laku
Doakanlah hidup anakmu ini agar berjaya
sempurna sejahtera menempuhi hari yang bakal menjelma
Restu ibu dan ayah
Cahaya kehidupan
Cinta dan kasih sayang
Bersemi di taman hati
Restu ibu dan ayah
Azimat perjuangan
Mencari impian cinta
Keluarga bahagia
Segenggam harapan anakmu melangit tingginya
Seuntai kalimah doa ibu ayah diperkenankan Ilahi
Ku pohonkan restu, redhamu duhai permata hati
Damailah bahagia sinar suci di taman indah syurgawi
Oh ibu, ayah dengarlah rintihan anakmu
Anakmu mendamba restu dan kasih sayangmu
Redha Allah itu terletak di atas keredhaan ibu ayah
Restu ibu dan ayah membawa cahaya kedamaian yang abadi
Tajuk: Restu
Munsyid: Saujana & Nowseeheart
Album: Jalan Sehala
No comments:
Post a Comment