Sunday, March 22, 2009

Kerjasama Yang Menyusahkan





“Wonderpet, Wonderpet,
Kami datang,
Menyelamatkan anak rusa dalam kesusahan,
Kami tak besar dan kami tak kuat,
Bila bekerjasama semua jadi SUSAH…”
Nyanyi anak saudara saya dengan sepenuh hati.

“Kenapa bila bekerjasama semua jadi SUSAH pula?” Potong Nabil (abang) apabila mendengar adiknya, Najib mendendangkan lagu dari cerita animasi Wonderpets dengan meminda perkataan “Mudah” kepada “Susah”.

Saya mengamati perbualan mereka dengan penuh tanda tanya dari meja makan, berhampiran dengan mereka berdua.

“Yalah, yang ni nak tu. Yang tu nak ni. Susahlah. Nanti pening kepala,” Terang Najib yang petah bercakap dan lebih terkehadapan cara fikirnya berbanding si abang. Saya hampir tersedak.

Sampai begitu sekali pemikiran budak ini. Tidak pernah pula saya terfikir akan kerjasama yang menyusahkan. Selama ini saya menganggap semua kerja yang dilakukan secara beramai-ramai akan bertambah mudah dan pantas.

Memang tidak dapat dinafikan, dari satu sudut, kerjasama akan jadi menyusahkan seandainya dilaksanakan tanpa disiplin teamwork dari semua ahli kumpulan.

Masing-masing bekerja dengan ‘membawa kepala sendiri’ (meminjam istilah dari seorang teman).

Setiap orang berkeras mempertahankan pandangan dan caranya sendiri.

Ahli kumpulan menyelesaikan tugasan mereka tanpa mengikut arahan dari ketua.

Haru biru gerak kerja jadinya.

Perlu difahami bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar dan prinsip yang benar tanpa membina peribadi dengan akhlak berorganisasi (berjamaah).




Mengajar Ahli Dengan Ketaatan

“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan Allah, taatlah kamu akan Rasul dan Ulil Amri (pemimpin di kalangan kamu)”. (an-Nisa : 59)

Ayat di atas menyuruh kita supaya taat kepada Allah, Rasul dan pemimpin yang dilantik selama mana arahannya tidak bercanggah dengan syari’at agama.

Ketaatan yang dituntut adalah ketaatan yang membawa ahli-ahlinya kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut. Ahli jawatankuasa dalam sesebuah organisasi yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan boleh membawa kepada perpecahan serta wujudnya ‘geng-geng’ tertentu.

Ketaatan itu juga bakal membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota kumpulan serta untuk mengimbangi sikap yang berbagai-bagai di dalam organisasi, kerana ada ahli yang terlalu advance, ada ahli yang terlalu lambat dan ada ahli yang berada di tengah-tengahnya.


Praktikaliti Melalui Sirah Baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w. telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antaranya ialah Bai’ ah al-‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan HIJRAH yang merupakan perintah yang sangat penting yang membawa kepada tertegaknya sebuah negara Islam.

Di dalam bai’ah itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Berbai’ahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di masa cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang,menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah s.w.t. tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbai’ah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu dan untuk syurga." (Riwayat Ahmad)

Hanya dengan mengamalkan adab-adab berorganisasi, sesuatu kerjasama itu akan memudahkan dan menyenangkan semua pihak yang terlibat.

No comments:

Post a Comment