Tuesday, November 10, 2009

Sejarah Yang Digelapkan





CATATAN DI BUMI KHILAFAH

Sebuah taman bernama Daulah
Retak seribu oleh kesombongan bangsa
Seorang khalifah yang gigih memerintah
Mengekang rekah dari terbelah
Bagai terdengar bisikan di pusaramu
“Ya Muslimi al-Aalam, Ittahidu!”
(Wahai Muslimin sekalian alam, bersatulah kamu)

Di sisi persemadianmu
Kuterkenang semalam
Hari-hari indah bahagia
Islam pernah gemilang

Tiada penderitaan
Keimanan pun dirasa
Islam yang gagah bertakhta
Rahmat alam semesta

Langit tidak akan cerah selamanya
Mendung datang bersama gerimis kedukaan
Rebahlah ummah bersama catatan sejarah yang hitam
Kekallah dunia dalam hina selamanya
Bumi Turki menyaksikan pengkhianatan agama
Mahkota negara jatuh gugur berkecai tidak tersisa
Lemaslah ummah dalam pelukan kemajuan yang berdusta
Islam dan al-Quran diperhina terpenjara

Seorang iblis yang durjana
Bertopengkan manusia
Membutakan mata rakyatnya
Dengan janji dunia

Bagai tak punya agama
Hidup membina harta
‘Islam Baru’ yang dicipta
Jauh dari Tuhannya

Manusia yang mulia di bumi yang bahagia
Kau hancurkan sejarah warisan perjuangan mereka
Namun lupakah engkau Islam itu di tangan Tuhannya
Langit tidak akan mendung selamanya

Bumi Turki menyaksikan kebangkitan kali kedua
Menjejaki perjalanan hari-hari semalam yang dilupa
Bersemadilah kau dalam kemurkaan Tuhan yang Esa
Islam akan dikembalikan ke takhtanya


Lagu / Lirik / Nyanyian: Hasrizal Abdul Jamil
Persembahan: Usrah al-Firdaus
Album: Dunia Ini (1996)


Artikel Pilihan:
Catatan Kembara Muhandis ke Istanbul, Turki

Monday, November 09, 2009

Selangkah Ke Hadapan


InsyaAllah, jika tidak ada apa-apa halangan, saya bakal meninggalkan kampus UIAM (Gombak) kira-kira dua minggu dari sekarang. Masih ada satu kertas peperiksaan berbaki yang akan diduduki pada 13 November 2009 ini.

Berbagai-bagai perancangan yang sedang diatur bagi menyelaraskan matlamat yang ingin dicapai sesuai dengan kemampuan diri. Dalam mempertimbangkan beberapa cadangan daripada rakan-rakan, terkenangkan perbualan bersama seorang teman.

"Tinggal beberapa bulan lagi kat sini. Apa perkara yang terfikir hendak dibuat sebelum meninggalkan UIA?", soal teman saya.

"Bukan apa yang nak dibuat di sini (UIA) yang diutamakan, tapi apa sumbangan yang bakal diberikan setelah berada di luar nanti. Hendak menyumbang di mana?"

Sememangnya saya lebih runsingkan kehidupan realiti selepas tamat pengajian berbanding perkara yang saya mahu wariskan kepada generasi pelapis memandangkan zaman kampus merupakan satu dunia yang lebih mudah dibentuk pemikirannya (akal). 'Dunia tahu' kata orang zaman sekarang. Manakala, dunia realiti memerlukan kepada MAHU. Segala-galanya bergantung kepada diri sendiri. Bergerak dengan hasil dorongan dari dalam diri.

Jika kita berdakwah kerana keyakinan akal terhadap hujah dan dalil, akal kita menawarkan TAHU. Apabila kita duduk dalam ‘dunia akal ‘di kampus, ia sudah cukup untuk membantu diri kita terjun ke medan dakwah. Dunia realiti bukan dunia akal. Ia bukan dunia tahu, dunia kita adalah dunia MAHU.


Terbayang-bayang 5 huruf yang cukup digeruni... S.I.B.U.K.

Sewaktu berada di kampus, tidak banyak kewajipan yang mesti didahului. Oleh sebab itu, keutamaan kepada kewajipan berdakwah tidak sukar untuk dipenuhi. Namun, apabila sudah berkeluarga dan berkerjaya, peranan semakin bertambah. Mungkin kewajipan berdakwah dilihat sebagai agenda kedua atau ketiga.

Dalam keserabutan minda memikirkan pelbagai perkara, akhirnya saya tadahkan tangan memohon ke hadrat Ilahi agar ditunjukkan jalan yang benar serta sentiasa berada di dalam pemeliharaan-Nya.

"Dakwah bukan hanya untuk kejayaan diri, tetapi juga untuk kejayaan orang lain. Bukan hanya berjaya mengubah cara fikir, cara pakai dan cara cakap, tetapi berjaya mengubah erti hidup dan bertemu jalan menuju Syurga!


Kita berdakwah kerana pada dakwah itulah kita bertemu kepuasan hidup. Pada dakwah itulah kita memberi makna kepada hidup. Keinginan untuk berdakwah, adalah kerana kemanisan iman dan penghargaan yang tinggi terhadap hidayah Tuhan, yang melimpah ruah di dalam hati, sebelum datang soal wajib dakwah dan panggilan dakwah terhadap kerosakan bi’ah (persekitaran)." - Abu Saif




“Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya” (Surah Al-Mu’minun : 61)

Wednesday, November 04, 2009

Proses Tajdid Di Dalam Sebuah Kehidupan



Saya kurang mengikuti siri-siri ceramah Ustaz Asri Zainal Abidin.
Namun, saya tekun meneliti hampir kesemua penulisan beliau.

Saya jarang memberikan komen tentang pandangan-pandangan beliau.
Namun, saya sering mengikuti perkembangan semasa tentang beliau terutamanya selepas tidak lagi memegang jawatan sebagai Mufti perlis.

"Tidak kelihatan, tidak semestinya tidak ada"

Walaupun tidak pernah menunjukkan sebarang sokongan atau bangkangan terhadap pemikiran tajdid beliau, namun saya mencuba agar tidak ketinggalan dalam mendengar pendapat yang sentiasa berlapikkan hujah ilmiah beliau terhadap beberapa perkara penting. Adakalanya, saya mempersetujui respon beliau terhadap isu-isu semasa dan adakalanya tidak.

Apatah lagi rakan baik saya selalu menyebut tentang beliau bilamana kami berdiskusi tentang minda tajdid yang diperkenalkan semenjak lama dulu. Saya juga mengagumi hasil pemikiran beliau selepas membaca buku, "Mengemudi Bahtera Perubahan Minda" yang memuatkan sebahagian daripada himpunan tulisan Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin dalam kolum tetap beliau ‘Pena Mufti’ di Mingguan Malaysia yang bermula sejak 11 Mac 2007. Penulisan yang telah membuka minda.

Kontroversi yang sinonim dalam perjalanan hidup adakalanya mencetuskan persepsi yang negatif terhadap beliau. Saya akui, saya juga merupakan salah seorang daripadanya.

Artikel ustaz Hasrizal yang di'post' pada tengah hari ini banyak mengubah tanggapan saya sendiri selaku orang awam terhadap pendirian ustaz Asri. Entahlah, bermacam-macam rasa bercampur baur semenjak membaca artikel tersebut. Rasa kesal yang mendominasi.

Dahulu, corak pemikiran saya banyak ditentukan oleh pandangan atau kritikan dari mereka yang agak dipercayai. Namun, pengalaman "belajar untuk berfikir sendiri" telah memandu saya agar mengamalkan sikap suka membaca hasil penulisan seseorang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.

Saya berpegang kepada prinsip:
Untuk mengkaji dan memahami tentang seseorang atau sesuatu topik, maka jangan mulakan kajian dengan membaca komen penyokong atau komen musuh. Pergi kepada hasil kerjanya sendiri.


Teringat kembali kepada suatu arahan yang pernah dikeluarkan oleh seorang pimpinan kampus suatu ketika dahulu. Arahan yang mengundang kelucuan, atau mungkin juga kesedihan... Ahli-ahli ditegah daripada mengikuti sebarang ceramah ustaz Asri atas alasan supaya tidak terpengaruh dengan sebaran fahaman beliau. Saya yang tidak menghadiri pertemuan tersebut hanya termenung mendengarnya. Malah, sahabat saya yang meminta justifikasi terhadap arahan tersebut juga turut dilabelkan sebagai salafi.

Menepati zamankah arahan yang sedemikian rupa? Dalam suasana kebanjiran informasi pada abad ini, walau seketat manapun sekatan yang dikenakan untuk membendung sesuatu kemasukan maklumat baru, ia adalah sesuatu tindakan yang tidak menepati zaman. Apa yang boleh dilakukan hanyalah dengan menyediakan diri agar sentiasa berpendirian apabila berpandangan serta mempersiapkan diri dengan ilmu tentang keupayaan untuk memilih.

Pertambahan ilmu pengetahuanlah yang mampu mengubah cara pemikiran setiap individu secara bertahap.

Izinkan diri untuk menempuh perubahan dari satu usia ke satu usia, kerana ia sebahagian dari proses kematangan Bani Insan.


Artikel Bersama:
Justifikasi seorang Teman
Tangkapan Dr. Asri: Satu Pandangan

Thursday, October 08, 2009

Kemuncak Sebuah Pengajian




“ICT SOLUTIONS FOR THE UMMAH”

Sebuah tajuk kepada kerja berkumpulan yang sedang saya pertimbangkan untuk subjek IT and Islam pada semester ini.

Ianya seolah-olah satu amanat besar yang diberikan oleh pensyarah kami, Assoc. Prof. Dr. Mohamad Fauzan Noordin. Beberapa kali diingatkan tentang matlamat hidup sebelum beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah pada Ramadhan baru-baru ini.

Subjek ‘IT and Islam’ yang diambil pada semester ini merupakan satu konklusi atau kemuncak kepada keseluruhan matapelajaran (kefahaman) yang telah dipelajari sepanjang tahun pertama sehinggalah ke tahun terakhir pengajian bagi penuntut berijazah Teknologi Maklumat di UIAM, Gombak. Dr. Fauzan menyarankan agar kami memikirkan tentang sumbangan professional IT kepada dunia Islam itu sendiri.

Penyelesaian yang dikehendaki haruslah merangkumi tiga perkara utama, iaitu Peopleware, Hardware dan Software.

Tidak ada seorang pun di kalangan kami yang menyangkal, bahawasanya, Peopleware (manusia) merupakan penyebab kepada segala-gala kerosakan dalam penggunaan teknologi. Jangan sesekali menyalahkan teknologi seandainya pernah ditipu apabila menggunakan pembelian secara online, penyebaran bahan-bahan porno, merasa terganggu dengan mesej-mesej berangkai dan kurangnya privasi. Sedangkan, perkara yang menentukan baik buruknya sesebuah teknologi itu, hanyalah AKHLAQ penggunanya.

Saya sentiasa menasihatkan para junior ICT supaya subjek yang penting ini didaftar ketika mereka berada di tahun akhir pengajian.


Tahun terakhir, semester terakhir...

Itulah sebaik-baik fasa untuk bermuhasabah serta mencadangkan bentuk solusi yang mampu dihasilkan setelah melalui sejumlah 35 subjek (tidak termasuk subjek-subjek dari kulliyyah lain).




Topik-topik yang dipelajari:

1) Philosophy of ICT and Islam

2) ICT and Islam as the Guiding Principle: ethic, security and privacy

3) ICT and Islam: Knowledge Workers to Wisdom Workers

4) Infostructure: ‘Qalam’ as a Journey of Insan

5) K-Society to Wisdom Society

6) ICT and Islam and E-Government

7) ICT and Islam: issues, trend and future direction


Kesemua topik tersebut dihalakan kepada satu arah tujuan, iaitu untuk membina manusia yang bukan sahaja berpengetahuan. Malahan, berhikmah. Manusia yang berHIKMAH menggunakan ilmu pengetahuan yang dimiliki untuk memandu dirinya serta manusia yang lain menuju kepada Allah.


*Selamat berkonvokesyen diucapkan kepada sahabat-sahabat di UIAM, Gombak. -(CONVEST '09)-

Monday, October 05, 2009

Open House: Peluang Mendekatkan Yang Jauh




Sudah menjadi suatu kebiasaan atau tradisi yang digalakkan di Malaysia, dengan mengadakan majlis rumah terbuka sepanjang bulan Syawal pada hujung minggu.

Rumah terbuka dihadiri untuk mengambil kesempatan bertemu mata dengan saudara mara dan rakan-rakan terdekat.

Bukanlah hidangan yang menjadi tumpuan utama, namun wajah-wajah sahabat bagi melepaskan kerinduan. Tambah istimewa lagi apabila dapat bertemu teman-teman yang sudah lama terpisah dengan 'wajah' baru serta pertambahan ahli keluarga masing-masing.

Seboleh-bolehnya, saya juga tidak mahu melepaskan peluang bagi memenuhi setiap undangan seandainya berkelapangan dan berkemampuan.


Sekalung penghargaan diucapkan buat:
Akhi Mohd Zulkifli Shafie
Kak Najdah Mohammed Hussain
Aishah Nurina
Amal Hayati
Anis Adlina
Mohd Fathi

B-102A Apartment Indah,
Damansara Damai.

Wednesday, September 30, 2009

1 Syawal 1430: Dari Hujung Lensa


Satu hari di hari raya bersama sebahagian kecil dari Keluarga


Ayahanda


Adik Bongsu, Ayahanda, Saya dan Abang


Bersama Nur Safira (anak saudara)

Friday, September 11, 2009

Legasi Teragung Khatimul Anbiya'



InsyaAllah, jika tidak ada apa-apa halangan, saya bakal berangkat ke negeri tercinta menjelang waktu berbuka puasa nanti. Mudah-mudahan, Allah permudahkan segala urusan ketika perjalanan.

Sudah lama memendam niat untuk menunaikan ibadah puasa di Kelantan selama mana yang boleh. Alhamdulillah, ada lagi seminggu masa berbaki.

Masjid UIAM Gombak sudah mula dipenuhi dengan mereka yang mahu ber'iktikaf bermula malam semalam (21 Ramadhan). Terasa hidup suasana Ramadhan di masjid dengan alunan al-Quran. Saya mencari-cari ruang masa di celahan solat sunat tarawih untuk menyemak bacaan.

Ada yang berhajat mahu 'menangguhkan' amalan sunat mereka ke bulan Ramadhan yang berikutnya. Bagi saya, kita perlu merebut pahala yang berganda-ganda ini pada tahun ini juga kerana tawaran pada Ramadhan yang akan datang merupakan tawaran yang berlainan. Setiap bonus yang datang, kita kejar pada waktu itu juga.

Di antara amalan-amalan sunat yang biasa dilakukan oleh kebanyakan orang pada bulan Ramadhan, saya lebih suka mengutamakan ibadah khusus dengan membaca al-Quran. Pahala pembacaan al-Quran pada bulan ini tidak sama dengan bulan-bulan yang lain.

Tidak menjadi satu kesalahan, seandainya kita menzahirkan berapa banyak juzuk yang telah berjaya dihabiskan serta target yang mahu dicapai pada bulan Ramadhan ini dengan niat mahu berlumba-berlumba dalam membuat kebaikan. Segalanya bergantung kepada niat asal serta cara yang tidak bersalahan dengan agama.

"Fokus utama Ramadhan dalam al-Quran ialah diturunkan al-Quran. Sementara perkara-perkara lain adalah perkara kedua. Namun, kebanyakan kita tidak banyak memberi fokus kepada al-Quran. Kita banyak berkisar kepada puasa, solat tarawih dan solat witir. Sedangkan fokus utama penurunan al-Quran mempunyai maksud yang jauh lebih besar. Fungsi utama al-Quran ialah dua perkara, iaitu untuk menjadi penunjuk jalan kepada manusia dan untuk memberikan segala penjelasan yang tidak ada manusia di muka bumi boleh beri penjelasan dengan tepat sebagaimana penjelasan al-Quran" - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Pemergian Rasulullah ditangisi Ummu Aiman dengan tangisan yang berat bukanlah semata-mata menangisi kehilangan seorang anak asuhannya, bahkan itulah sebaik-baik tempat di sisi Allah. Namun, kerana menyedari bahawa sesungguhnya WAHYU TELAH TERPUTUS DARI LANGIT.

Bacalah! Walau sebaris ayat sehari.

Friday, September 04, 2009

Muhasabah Di Pertengahan Ramadhan




Alhamdulillah, dengan izin-Nya kita telah memasuki fasa pertengahan dalam bulan Ramadhan. Ini merupakan satu nikmat yang sewajibnya disyukuri.

Ketika menyambut kedatangan bulan yang penuh kemuliaan dahulu, jiwa bercampur baur dengan perasaan gembira, sayu, syukur dan sebak memandangkan inilah pertama kali keluarga saya menyambut serta melalui hari-hari di bulan Ramadhan tanpa Bonda tercinta. Rupa-rupanya, Ramadhan 2007 merupakan Ramadhan terakhir kami bersama Bonda. Ya Allah, seandainya kami mengetahui...

Kepiluan semakin bertambah apabila mengenangkan ayah yang sedang bersahur dan berbuka dalam keadaan berseorangan. Sudah tentu saya sendiri tidak mampu menghadapinya tatkala cuba meletakkan diri di tempat ayah. Hati ayah, tiada siapa yang tahu.

Namun, apabila seorang sahabat saya menceritakan tentang pemergian bondanya pada bulan Syawal (sebagaimana arwah bonda saya) ketika usianya 16 tahun, saya termalu sendiri. Malu kerana kurang sabar. Padahal, masih ada ramai lagi mereka yang lebih kurang bernasib baik berbanding diri saya.


Sharpen Your Saw

Siapa diri kita akan menentukan bagaimana cara kita melihat ibadah puasa.
Apa yang dilihat itulah yang akan kita dapat.

Di pertengahan Ramadhan ini, saya kembali bermuhasabah bagi mendapatkan piala kemenangan (Taqwa) seolah-olah sedang menyertai satu pertandingan bola sepak. Saya mahu memastikan jaringan yang dibuat pada pusingan kedua ini merupakan satu jaringan penentu kepada kemenangan.



"Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya adalah pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.

Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?"

- Ustaz Hasrizal



Pembebasan

Ditakdirkan, pada Ramadhan ini juga negara kita telah menyambut ulang tahun kemerdekaan kali yang ke-52. Ada kemujurannya juga, sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini dibuat dengan cara yang bersederhana bagi menghormati bulan mulia.

"Merdeka bermaksud BEBAS." jawab seorang jemaah tarawih apabila pemberi tazkirah mengajukan soalan tentang erti kemerdekaan.



Imam Hassan al Banna telah menggunakan kedua-dua kalimah patriotisme dan nasionalisme (wataniyyah dan qaumiyyah) dengan menyelaraskan kalimah-kalimah dan penggunaannya sesuai dengan tuntutan dan nilai Islam.

Beliau telah menerima apa yang dinamakan sebagai wataniyyatu 'l-hanin (cintakan negara), wataniyyatu 'l-hurriyyah wa 'l 'izzah (menjunjung nilai-nilai kemerdekaan dan kehormatan), wataniyyatu 'l-fath (semangat juang untuk mengembangkan Islam).

Pada masa yang sama beliau menolak wataniyyatu 'l-hizbiyyah (dasar yang memecah-belahkan ummah supaya mereka saling bermusuhan).

Sementara yang berkaitan dengan nasionalisme atau al-qaumiyyah pula, Imam Hassan al-Banna menerima apa yang diistilahkan sebagai qaumiyyatu 'l-majd, iaitu pendirian yang menghargai dan mengambil pengajaran contoh-contoh terbilang generasi terdahulu, dan juga qaumiyyatu 'l-ummah, iaitu pendirian yang mengutamakan pengorbanan terhadap umat atau kaum kerabat.

Sementara itu, beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-jahiliyyah iaitu nasionalisme yang berusaha menghidupkan semula budaya jahiliah dan berusaha melepaskan kehidupan dari ikatan Islam.

Beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-udwan iaitu nasionalisme yang berasaskan kesombongan, ketinggian dan ego diri sehingga membawa kepada penindasan dan pencabulan hak-hak manusia yang lain.


Amat malanglah seandainya hasil amal ibadah di bulan Ramadhan ini masih lagi sama dengan bulan-bulan sebelumnya. Tidak ada sebarang perubahan yang dikecapi, malahan lebih buruk lagi.

Selamat memburu Lailatul Qadr.

Thursday, August 27, 2009

Sehebat Khabar


Source



Terjemahan Al-Quran (Surah al-Kahfi) tentang Zulkarnain:

83. Mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepadamu cerita tentangnya”.
84. Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu,
85. maka dia pun menempuh suatu jalan.
86. Hingga apabila dia telah sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam, dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: “Hai Zulkarnain, kamu boleh menyiksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka”.
87. Berkata Zulkarnain: “Adapun orang yang aniaya, maka kami kelak akan mengazabnya, kemudian dia dikembalikan kepada Tuhannya, lalu Tuhan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya.
88. Adapun orang-orang yang beriman dan beramal saleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan, dan akan kami titahkan kepadanya (perintah) yang mudah dari perintah-perintah kami”.
89. Kemudian dia menempuh jalan (yang lain).
90. Hingga apabila dia telah sampai ke tempat terbit matahari (sebelah Timur) dia mendapati matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya dari (cahaya) matahari itu,
91. demikianlah. Dan sesungguhnya ilmu Kami meliputi segala apa yang ada padanya.
92. Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain lagi).
93. Hingga apabila dia telah sampai di antara dua buah gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan.
94. Mereka berkata: “Hai Zulkarnain, sesungguhnya Ya’juj dan Makjuj itu orang-orang yang membuat kerusakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?”
95. Zulkarnain berkata: “Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka,
96. “berilah aku potongan-potongan besi” Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: Tiuplah (api itu)”. Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: “Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar kutuangkan ke atas besi panas itu”.
97. Maka mereka tidak bisa mendakinya dan mereka tidak bisa (pula) melobanginya.
98. Zulkarnain berkata: “Ini (dinding) adalah rahmat dari Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar”.



Suatu ketika dahulu, apabila membaca serta meneliti tafsir ayat dari surah Al-Kahfi, saya bertemu dengan perkataan Zulqarnain yang disebut sebanyak tiga kali dalam surah ini.

Saya tertanya-tanya, siapakah pemuda yang kisahnya diceritakan oleh Allah subhanahu wa ta’ala ini?

Apakah nama yang membawa maksud ‘yang bertanduk dua’ ini mewakili suatu symbol ataupun melambangkan sesuatu pengertian di sebaliknya?

Sememangnya tidak rugi mengumpulkan seberapa banyak maklumat tentang Zulqarnain memandangkan ianya mempunyai hubung kait dengan peristiwa akhir zaman yang bakal terjadi pada suatu masa nanti.

Malah, saya melabelkan ilmu yang terkandung dalam kisah ini sebagai suatu KEMESTIAN untuk dicarigali bagi menambahkan keyakinan selepas mempercayainya.

Bukankah PERCAYA dan YAKIN itu mempunyai pengertian yang berbeza?

Kepercayaan hanya melibatkan persoalan pemerhatian secara mata kasar. Namun, keyakinan amat berkait rapat dengan keimanan di dasar hati.

Saya percaya akan kewujudan Zulqarnain apabila membaca kisahnya. Namun, untuk menambahkan keyakinan yang haq, saya melihatnya dari pelbagai sudut serta sumber.

Saya teringatkan satu tazkirah yang disampaikan oleh seorang pelajar selepas solat sunat tarawih dan witir di asrama UIAM pada malam yang ke-5 tempoh hari. Pemberi tazkirah tersebut memberikan analogi mudah bagi menggambarkan perbezaan antara rasa kepercayaan dan keyakinan.

Ceritanya berkisar tentang seorang pemanah yang sentiasa tepat bidikannya. Belum pernah walau sekalipun anak panahnya tersasar setiap kali mengacukan busur ke arah sasaran. Sehinggakan, orang ramai mengiktirafnya sebagai seorang yang hebat. Lalu, dia mencabar seorang daripada mereka supaya menjunjung sebiji epal untuk dijadikan sasaran. Cabaran ini dibuat bagi menguji sejauh mana keyakinan mereka yang memuji-muji kehebatannya memanah. Namun, tidak ada seorang pun yang menyahut cabaran tersebut. Ternyata, mereka mengakui (PERCAYA) kebolehannya memanah dengan tepat. Tetapi, masih belum sampai ke tahap untuk berasa YAKIN.


Siapa Zulqarnain Yang Sebenarnya?

Ada yang menyatakan bahawa Zulqarnain adalah Raja Iskandar, Alexander The Great malah mengaitkannya dengan Raja Kurush (Cyrus The Great).

Terkejut juga apabila mengetahui bahawasanya, nama Iskandar Zulqarnain hanyalah panggilan yang tercipta melalui mitos orang Melayu. Ternyata, Iskandar dan Zulqarnain merupakan dua orang yang berbeza.

Namun, bagi kita yang beriman dengan Al-Quran, mempercayai segala yang terkandung di dalamnya merupakan satu kelebihan. Allah memandu para pengkaji dengan menyediakan garis panduan serta ciri-ciri umum tentang Zulqarnain.

Tercatat di dalam Al-Quran empat ciri Zulqarnain dan hanya ciri ini yang mampu membuktikan kebenarannya:
1) Perjalanannya ke arah terbenamnya matahari (barat).
2) Menerima wahyu daripada Allah iaitu memilih sama ada hendak mengazab ataupun membuat kebaikan.
3) Perjalanannya ke arah terbitnya matahari (timur) dan menemui kaum yang tiada pelindung.
4) Membina tembok menghalang Yakjuj Makjuj.

Melalui pembacaan juga, saya mendapati saidina Umar al-Khattab pernah menegur seseorang yang memanggilnya dengan nama Zulqarnain. Umar sendiri menyifatkan pemuda yang bernama Zulqarnain ini sebagai malaikat serta menegah dari disamakan diri beliau dengannya.

Apa yang pasti, Zulqarnain merupakan seorang yang teguh keimanannya kepada Tuhan Yang Esa.

Source


Source


Kisahnya Tersohor Di Kalangan Penduduk Madinah

Pada ayat yang ke-83, Allah Ta’ala berfirman tentang orang-orang yang bertanyakan kepada Rasulullah tentang Zulqarnain. Ayat ini menunjukkan bahawa pendeta-pendeta Yahudi di Madinah sudah sedia maklum tentang cerita Zulqarnain.

Mereka mengirimkan An-Nadh bin al-Harts dan Uqbah bin Abi Muith untuk bertanyakan soalan mengenai Zulqarnain bagi menguji kenabian Rasulullah.

Jika diperhatikan, teknik yang sedemikian juga pernah dipraktikkan oleh sesetengah golongan pada masa kini.


Misteri Sebuah Tembok

Pembicaraan tentang Zulqarnain tidak lengkap tanpa menyebut tentang kehebatan teknologi pembinaan tembok atau dinding yang didirikan bagi menghalang kemasukan Yakjuj dan Makjuj. Tembok ini dipercayai terletak di Derbent, berada di antara Banjaran Kaukasus dan Laut Kaspia (Rusia).

Pada zaman pemerintahannya, Sayidina Umar al-Khattab pernah mengutuskan Abdul Rahman bin Rabi’ah ke Derbent bagi mengumpul maklumat mengenai tembok Zulqarnain.

Berdasarkan ayat ke-96 (surah al-Kahfi), tembok tersebut telah dibina oleh satu kaum lemah dari sudut mempertahankan diri, namun, mereka berkemahiran dalam pencairan dan pembentukan besi dan tembaga.

Ternyata, formula saling melengkapi telah mencipta sesuatu yang luar biasa. Kepakaran yang dimiliki mereka digabungkan dengan kebijaksanaan Zulqarnain. Kelebihan ini berjaya menghasilkan satu benteng pertahanan yang kukuh buatannya sehingga ke umat akhir zaman.


Akhir Zaman

Sesungguhnya, tembok besi hasil binaan Zulqarnain itu akan runtuh jua apabila telah datang ketentuan Allah. Bermula dari sinilah, akan keluarnya makhluk perosak bernama Yakjuj dan Makjuj yang mana ianya merupakan salah satu antara tanda-tanda besar terjadinya kiamat.

Begitulah janji-Nya yang dinukilkan melalui sebahagian daripada isi kandungan surah al-Kahfi.

Jadikanlah pengetahuan mengenainya sebagai satu persediaan bagi menghadapi huru-hara pada akhir zaman, seandainya Allah mentakdirkan generasi kita yang akan berhadapan dengan kemunculan Yakjuj dan Makjuj.



Source: Saifulislam.com



Pengaruh

Kepimpinan Zulqarnain telah memberi pengaruh yang besar dalam corak kepimpinan pada masa lampau hingga ke hari ini. Falsafah pendidikan kepimpinannya pernah tercatat di dalam Cryopaedia of Xenophon yang mana, ianya merupakan bahan bacaan yang wajib dibaca oleh pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat.


________________________
Sumber rujukan:
[1] Buku “Asbabun Nuzul”, Imam Jalaluddin As-Sayuthi.
[2] Buku “Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain”, Afareez Abd Razak Al-Hafiz.
[3] Buku “Dzulqarnain: al-Qaid al-Fatih wa al-Hakim as-Solih”, Muhammad Khair R. Y.
[4] Artikel “Darihal Raja Zulkarnain”, Ali Bukhari Amir.

Saturday, August 22, 2009

SHAUM: Bekalan Di Sepanjang Perjalanan


Allah telah menyebut di dalam surah al-Baqarah ayat yang ke-183 bahawasanya, puasa itu diwajibkan ke atas Muslim agar mereka bertaqwa.

Orang-orang yang berpuasa kerana Allah pada bulan Ramadhan akan mendapat pakaian TAQWA. Ia merupakan perisai yang mempertahankan diri dari kejahatan dan hawa nafsu.

‘Ibadat puasa lebih istimewa daripada ibadat-ibadat yang lain kerana ia dinisbahkan secara khusus kepada Allah. Daripada Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu:
Bersabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam: Allah ‘Azzawajalla berkata: “Setiap anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untukKu dan Akulah yang membalasnya. Puasa adalah perisai. Apabila seseorang itu berpuasa pada suatu hari maka janganlah mengungkapkan perkataan jelek dan janganlah menengking. Sekiranya seseorang mencelanya atau menyerangnya, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa.’ Demi yang diri Muhammad di tanganNya, sesungguhnya berubahnya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah dari bau kasturi. Orang yang berpuasa merasai dua kegembiraan. Apabila ia berbuka, ia bergembira. Dan apabila ia bertemu dengan Tuhannya, ia bergembira dengan puasanya.” (Sepakat riwayat)

Fardhu puasa terikat dengan bulan Ramadhan. Apabila disebut Ramadhan, seolah disebut syurga yang amat luas. Seorang Muslim merentasinya, seolah-olah ia berjalan di tengah-tengah padang pasir kehidupan yang mana bahang panasnya tidak terperi dan mereka terpaksa menempuh pelbagai fitnah. Maka, puasalah yang menjadi bekalan dan memberikan kebaikan kepadanya. Ianya difardhukan pada bulan Ramadhan agar bekalan dapat digandakan serta bertambalah seri dan kebaikan.

Puasa menghasilkan sifat ikhlas dan memperbaiki ingatan hati terhadap Allah subhanahu wa ta’ala, kerana ia adalah rahsia antara hamba dan Tuhannya. Ikhlas kepada Allah merupakan antara bekalan terbesar dan paling perlu bagi setiap Muslim di sepanjang kembara kehidupan mereka. Tiada kebaikan daripada amalan atau usaha yang tiada keikhlasan kepada Allah. Allah subhanahu wa ta’ala terkaya daripada segala sekutu. DIA tidak menerima sebarang amalan melainkan yang ikhlas kepada-NYA.

Puasa juga berupaya menghasilkan mujahadah terhadap keinginan nafsu dan jasad. Ia menguatkan kemahuan seseorang Muslim. Puasa menahan kemahuan nafsu syahwat dari suatu yang halal dalam jangka waktu, pada setiap hari, selama sebulan. Inilah bekalan yang mesti dan daruri bagi setiap Muslim dan mujahid di jalan-Nya.

Amalan berpuasa memperbetulkan mind set yang salah pada kebanyakan orang, mereka bergembira apabila mendapat kebendaan dunia dan bersedih ketika kehilangannya.

Sesungguhnya, puasa menuntut seribu satu kesabaran. Sabar dalam membendung hawa nafsu. Sabar dalam mendidik akal dan hati. Sabar dalam memahami prinsip syari’atullah dan sunnatullah. Sabar dalam meluruskan perjalanan sebagai ‘abdillah dan khalifatullah.

“Sesungguhnya aku berpuasa.”

Monday, August 17, 2009

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan





عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : صعد النبي صلى الله عليه وسلم المنبر فقال : آمين ، آمين ، آمين ، قيل يا رسول الله إنك صعدت المنبر فقلت : آمين آمين آمين ، قال : أتاني جبريل عليه الصلاة والسلام فقال : من أدرك شهر رمضان فلم يغفر له فدخل النار فأبعده الله ، قل : آمين ، فقلت : آمين ، فقال : يا محمد ، ومن أدرك أبويه أو أحدهما فلم يبرهما فمات فدخل النار فأبعده الله ، قل : آمين ، فقلت : آمين ، قال : ومن ذُكرتَ عنده فلم يصل عليك فمات فدخل النار فأبعده الله ، قل : آمين ، فقلت : آمين

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA katanya: “Nabi SAW menaiki mimbar, kemudian baginda berkata: amin, amin, amin. Ditanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah, tuan menaiki mimbar dan mengucapkan amin, amin, amin?” Baginda SAW menjawab: “Jibril AS datang kepadaku, dan berkata: “Sesiapa yang berada dalam bulan Ramadhan, lalu Allah tidak mengampunkan dosanya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka dan akan dijauhkannya, katakan (wahai Muhammad) amin,” Lalu aku (Nabi SAW) pun menyebut “amin”. Jibril berkata lagi: “Wahai Muhammad, sesiapa yang memiliki dua orang tuanya atau salah seorang mereka, namun dia tidak berbuat kepada mereka berdua, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam neraka, dan Allah akan menjauhkannya, katalah amin.” Lalu akupun berkata: “Amin”. Berkata Jibril lagi: “Sesiapa yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak berselawat kepadamu, dan Allah akan menjauhkanya, katalah amin.” Lalu akupun menyebut: “Amin.”



Di kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf kepada semua sahabat sahabiah serta para pembaca yang dihormati sekalian.

Sesungguhnya, setiap kebaikan itu merupakan kurnia dari Allah subhanahu wa taala. Manakala, segala yang buruk itu berpunca dari kelemahan diri saya sendiri dan saya mohon kesejahteraan dari-Nya.

"Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan."

Mudah-mudahan, dengan kedatangan bulan tarbiyyah ini, kita berjaya merintis jalan keTAQWAan serta berpeluang mendekatkan diri kepada Tuhan Rabbul 'Alamin.

InsyaAllah...

Saturday, August 15, 2009

Satu Ucapan Tidak mampu Selesai Semua Masalah




Khusyuk saya mendengar penerangan dari Assoc. Prof. Dr. Istiaq Hossain (Department of Political Science) dan Prof. Dr. Muhammad Arif Muhammad Zakaullah (Management Centre, Kulliyyah of Economics and Management Science) tentang polisi-polisi dalam pentadbiran Barrack Obama ketika menghadiri forum "Obama: Foreign Policies and Muslim Nations" pada 14 Ogos 2009. Kedua-duanya merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Kebetulan, sebelum saya menghadiri forum tersebut, saya ada membaca teks pidato serta isu-isu yang dibawa oleh Obama ketika lawatan beliau ke Universiti Kaherah, Mesir di dalam Majalah I (Politik Obama Mendekati Islam) baru-baru ini. Assoc. Prof. Dr. Istiaq Hossain banyak mengupas tentangnya.

Beliau menegaskan bahawa ucapan Obama tidak boleh disandarkan sebagai satu bentuk harapan memandangkan posisi ucapannya berada jauh daripada tindakan yang bakal diambil. Masih terlalu awal untuk menilai perlaksanaan polisi Obama.



7 Isu (Mungkin Retorik) Yang ditekankan dalam pidato Obama di Mesir:

Isu pertama yang perlu kita hadapi adalah keganasan dalam apa jua bentuk sekalipun.

Di Ankara, saya telah menjelaskan bahawa Amerika tidak—dan tidak akan—memusuhi Islam. Sebaliknya, kami akan menentang secara berterusan puak-puak pelampau yang mengancam keselamatan kami. Ini kerana kami menolak sesuatu yang juga ditolak oleh para penganut setiap agama lain: Pembunuhan lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Dan tanggungjawab utama saya sebagai Presiden adalah melindungi rakyat Amerika.

Keadaan di Afghanistan mempamerkan matlamat Amerika, dan keperluan kita untuk bekerjasama. Lebih tujuh tahun dahulu, Amerika Syarikat telah memburu al-Qaeda dan Taliban dengan sokongan yang meluas daripada masyarakat antarabangsa. Pemergian kita ke sana bukan atas pilihan sendiri; keadaan telah memaksa kita pergi. Saya sedar masih ada yang mempersoalkan peristiwa September 11.

Tetapi saya ingin menyatakan di sini bahawa: al-Qaeda telah membunuh hampir 3,000 orang pada hari tersebut. Mangsa yang terlibat termasuk lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang tidak berdosa dari Amerika dan juga dari negara-negara lain yang tidak mengancam sesiapapun. Sebaliknya, al-Qaeda memilih jalan untuk membunuh mereka dengan kejam, membuat pengakuan atas serangan tersebut, dan kini masih bertekad untuk membunuh lagi secara besar-besaran. Mereka mempunyai kuncu-kuncu di banyak negara dan cuba meluaskan lagi pengaruh mereka. Ini bukanlah pendapat untuk diperbahaskan; ini adalah kenyataan yang perlu ditangani.

Jangan salah anggap, Kami tidak mahu mengekalkan penempatan anggota tentera kami di Afghanistan. Kami tidak mahu membina pangkalan tentera di sana. Adalah amat sukar bagi Amerika untuk kehilangan anak-anak muda kami. Kos yang ditanggung adalah tinggi dan dari segi politik, konflik ini sukar dibiarkan berterusan. Kami dengan rela hati akan membawa pulang setiap anggota tentera kami seandainya kami yakin bahawa puak pelampau tiada lagi berada di Afghanistan and kini pula di Pakistan yang bertekad mahu membunuh seberapa ramai rakyat Amerika yang mungkin. Namun, keadaan ini belum lagi menjadi kenyataan. Sebab itulah kami bersekutu dengan gabungan 46 buah negara. Walaupun kosnya tinggi, namun komitmen Amerika tidak akan goyah. Malah, mana-mana pihakpun tidak harus bersikap toleransi terhadap puak-puak pelampau ini. Mereka telah membunuh di banyak negara. Mereka telah membunuh para penganut daripada pelbagai agama—lebih-lebih lagi, mereka telah membunuh umat Islam. Tindakan mereka ini bercanggah dengan hak kemanusiaan, bercanggah dengan kemajuan negara-negara, dan bercanggah dengan Islam.

Kitab suci Al-Quran menyatakan bahawa barang siapa yang membunuh orang yang tidak berdosa, maka ini sama seperti dia telah membunuh seluruh umat manusia. Seterusnya, kitab suci Al-Quran juga menyatakan bahawa barang siapa yang menyelamatkan nyawa seseorang, maka ini sama seperti dia telah menyelamatkan seluruh umat manusia. Agama mulia yang mempunyai lebih satu billion umatnya ini adalah lebih besar daripada segelintir yang menaruh perasaan benci. Islam bukanlah sebahagian masalah dalam usaha memerangi keganasan—ia memainkan peranan penting dalam mempromosikan kedamaian.

Kita sedar bahawa kuasa ketenteraan sahaja tidak akan dapat menyelesaikan masalah di Afghanistan and Pakistan. Sebab itulah kami merancang untuk melabur lebih AS$1.5 bilion setiap tahun selama lima tahun akan datang dalam usaha pakatan bersama dengan rakyat Pakistan untuk membina sekolah dan hospital, jalanraya dan perniagaan, serta ratusan juta dolar lagi untuk membantu mereka yang kehilangan rumah. Oleh sebab itulah kami memberi lebih daripada AS$2.8 bilion untuk membantu rakyat Afghanistan membangunkan ekonomi mereka serta menyediakan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukannya.

Saya akan menyentuh juga tentang isu Iraq. Berbeza dengan Afghanistan, Iraq merupakan peperangan pilihan yang telah menimbulkan pelbagai pendapat yang berbeza di negara saya dan juga di seluruh dunia. Walaupun saya percaya bahawa nasib rakyat Iraq adalah lebih cerah dengan pemergian Saddam Hussein, saya juga percaya bahawa peristiwa di Iraq telah mengingatkan Amerika supaya menggunakan diplomasi dan persepakatan antarabangsa sebaik mungkin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang kita hadapi.

Malah, kita harus mengingati kata-kata Thomas Jefferson: ―Saya harap kebijaksanaan kita akan meningkat sejajar dengan kuasa kita, dan mengajar kita bahawa penggunaan kuasa secara berpada-pada adalah lebih berkesan daripada penggunaan kuasa secara berlebihan.

Pada hari ini, Amerika memikul dua tanggungjawab: Membantu Iraq membina masa depan yang lebih cerah—dan menyerahkan kembali Iraq kepada rakyat Iraq. Saya telah menyatakan kepada rakyat Iraq bahawa kami tidak ingin membina sebarang pangkalan di situ, dan tidak akan membuat sebarang tuntutan ke atas wilayah mereka ataupun sumber negara mereka. Kedaulatan Iraq adalah milik rakyat Iraq. Oleh sebab itulah saya telah mengarah supaya askar kami meninggalan Iraq menjelang bulan Ogos depan. Sebab itu juga kami akan menghormati perjanjian kami dengan kerajaan Iraq yang dipilih secara demokrasi untuk mengeluarkan tentera kami dari bandaraya-bandaraya Iraq menjelang bulan Julai, dan mengeluarkan kesemua anggota tentera kami menjelang tahun 2012. Kami akan membantu Iraq melatih pasukan keselamatan mereka dan membangunkan ekonominya. Kami akan menyokong Iraq supaya selamat dan bersatu padu sebagai rakan kongsi, dan tidak sama sekali sebagai penaung.

Akhir sekali, sebagaimana Amerika tidak akan bersikap toleransi terhadap keganasan oleh puak pelampau, kita tidak harus berganjak atau melupakan prinsip-prinsip kita. 11 September merupakan suatu trauma yang hebat bagi negara kami. Ketakutan dan kemarahan yang timbul memang difahami, tetapi dalam beberapa keadaan, ia juga telah menyebabkan kami membuat tindakan yang bercanggah dengan tradisi dan idealisme kami. Kami kini sedang mengambil langkah-langkah konkrit untuk mengubah haluan ini. Saya telah mengharamkan cara seksaan oleh kerajaan Amerika Syarikat, dan saya telah mengarahkan penutupan penjara di Teluk Guantanamo menjelang awal tahun depan.

Amerika akan mempertahankan diri, menghormati kedaulatan negaranya, dan kedaulatan undang-undang dan kami akan melakukan ini melalui kerjasama dengan masyarakat-masyarakat Islam yang juga turut diancam. Lebih cepat puak-puak pelampau ini disisihkan dan dipulaukan oleh masyarakat Islam, lebih cepat kita akan bebas daripada ancaman.


Sumber ketegangan kedua yang perlu kita bincangkan adalah keadaan yang wujud antara Israel, Palestin, dan dunia Arab.

Hubungan erat Amerika dengan Israel memang diketahui umum. Hubungan ini tidak boleh diputuskan. Ia berasaskan perhubungan budaya dan sejarah, serta pengiktirafan terhadap aspirasi kaum Yahudi untuk memiliki tanahair mereka sendiri susulan sejarah tragis yang tidak boleh dinafikan. Di seluruh dunia, kaum Yahudi telah dianiaya selama berabad-abad, dan sikap anti Yahudi di Eropah telah berakhir dengan pembunuhan beramai-ramai kaum tersebut. Keesokan hari, saya akan berangkat ke Buchenwald yang merupakan sebahagian daripada rangkaian kem-kem di mana kaum Yahudi telah dikurung, diseksa, ditembak, dan digas sehingga mati oleh Reich Ke-tiga. Enam juta orang Yahudi telah dibunuh—bilangan ini mewakili lebih daripada seluruh penduduk Yahudi yang ada pada hari ini. Penafian terhadap kenyataan ini amat tidak berasas, amat jahil, dan sangat terkutuk. Mengancam Israel dengan kemusnahan—atau mengulangi stereotaip tentang Yahudi—adalah salah, dan hanya akan mengingatkan semula kenangan pahit di kalangan rakyat Israel, serta menghalang hak masyarakat di rantau tersebut untuk mengecapi kedamaian.

Sebaliknya, tidak boleh dinafikan bahawa masyarakat Palestin juga—samada Muslim dan Kristian—telah menderita dalam perjuangan mereka untuk memiliki tanahair sendiri. Lebih enam puluh tahun mereka telah menderita akibat kehilangan kampung halaman. Ramai yang menunggu di kem-kem pelarian di Tebing Barat, Gaza, dan negara-negara jiran untuk memulakan kehidupan yang aman dan selamat yang selama ini tidak pernah mereka kecapi. Mereka menghadapi penghinaan setiap hari—besar dan kecil—yang berlaku akibat dijajah.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa, keadaan rakyat Palestin amat perit. Amerika tidak akan membelakangkan aspirasi sah rakyat Palestin terhadap maruah, peluang, dan tanahair mereka. Selama berdekad-dekad, tiada siapa yang menang atau kalah: Kedua-dua belah pihak mempunyai aspirasi yang sah, kedua-dua belah pihak juga melalui sejarah pedih yang membuatkan kompromi sukar dicapai. Memang mudah untuk menuding jari—bagi pihak Palestin untuk menyatakan punca kehilangan kampung halaman adalah akibat penubuhan Israel, dan bagi Israel untuk menyatakan permusuhan dan serangan sering dilakukan di dalam dan di luar sempadan wilayah sepanjang sejarahnya.

Jika kita melihat konflik ini hanya dari sudut satu pihak atau pihak yang lain, maka kita tidak akan dapat melihat apa yang nyata: Satu-satunya penyelesaian adalah dengan memenuhi aspirasi kedua-dua belah pihak menerusi dua buah negara, di mana rakyat Israel dan rakyat Palestin hidup secara berasingan dengan aman dan selamat. Ini demi kepentingan Israel, kepentingan Palestin, kepentingan Amerika, dan kepentingan seluruh dunia. Oleh sebab itulah saya akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat ini. Segala kewajipan—segala kewajipan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dalam perjanjian damai adalah jelas.

Bagi mencapai kedamaian, sudah tiba masanya untuk mereka—dan untuk kita semua—supaya melaksanakan tanggungjawab kita. Pihak Palestin mesti menghentikan keganasan. Tentangan menerusi keganasan dan pembunuhuan adalah salah dan tidak akan membawa kejayaan. Selama berabad-abad, masyarakat kulit hitam Amerika mengalami penderitaan diperhambakan dan dihina oleh sistem pemisahan. Namun, bukan keganasan yang telah berjaya mengembalikan sepenuh hak-hak kesaksamaan kepada mereka. Ia dilakukan menerusi ketegasan dan keazaman untuk mencapai idealisme yang merupakan asas penubuhan Amerika. Kisah yang serupa juga diceritakan oleh masyarakat lain, baik dari Afrika Selatan hinggalah ke Asia Selatan; dari Eropah Timur ke Indonesia. Ia merupakan kisah yang mengandungi suatu kebenaran yang mudah: Iaitu, keganasan akan menemui kebuntuan. Ia bukannya tanda berani atau kuasa untuk melancarkan roket ke arah kanak-kanak yang sedang tidur, atau meletupkan wanita-wanita tua di dalam bas. Itu bukannya tuntutan moral; itu adalah kemusnahan moral.

Kini sudah tiba masanya bagi rakyat Palestin untuk menumpukan perhatian kepada apa yang mereka boleh bina. Pihak Berkuasa Palestin mesti membangunkan keupayaan untuk mentadbir, serta membina institusi-institusi yang dapat memenuhi keperluan rakyatnya. Hamas memang mempunyai sokongan daripada sesetengah kalangan rakyat Palestin, tetapi mereka juga patut sedar akan tanggungjawab mereka. Bagi memainkan peranan untuk memenuhi aspirasi rakyat Palestin, bagi menyatu-padukan rakyat Palestin, Hamas mesti menghentikan keganasan, mengiktirafkan perjanjian-perjanjian lepas, dan mengiktiraf hak Israel untuk wujud. Pada masa yang sama, Israel mesti menerima hakikat bahawa sebagaimana Israel berhak untuk wujud, begitu juga Palestin mempunyai hak untuk wujud.

Amerika tidak menerima kesahihan penempatan-penempatan Israel yang terus dilakukan secara berterusan. Pembinaan ini mencabuli perjanjian-perjanjian yang lalu dan menjejaskan usaha damai. Sudah tiba masanya untuk menghentikan pembinaan penempatan ini. Israel juga mesti melaksanakan tanggungjawabnya bagi menentukan supaya rakyat Palestin dapat hidup dan bekerja serta membangunkan masyarakat mereka. Krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza bukan sahaja menghancurkan keluarga rakyat Palestin, malah menjejaskan juga keselamatan Israel. Begitu juga dengan ketiadaan peluang di Tebing Barat. Kemajuan dalam kehidupan harian rakyat Palestin mesti menjadi sebahagian isu penting dalam usaha damai, dan Israel mesti mengambil langkah-langkah konkrit untuk membenarkan kemajuan tersebut.

Akhir sekali, negara-negara Arab mesti mengiktiraf Inisiatif Damai Arab sebagai suatu titik permulaan yang penting. Namun, tanggungjawab mereka tidak berakhir di situ sahaja. Konflik Arab-Israel tidak boleh lagi digunakan sebagai alasan untuk mengalih perhatian masyarakat negara-negara Arab daripada permasalahan lain. Sebaliknya, ia harus dijadikan punca tindakan bagi membantu rakyat Palestin membangunkan institusi-institusi yang dapat menampung pembangunan negara mereka; untuk mengiktiraf kesahihan negara Israel; dan untuk memilih kemajuan berbanding tumpuan kepada peristiwa-peristiwa lepas yang hanya akan merugikan diri sendiri.

Amerika akan menyelaraskan dasar-dasarnya dengan dasar-dasar mereka yang inginkan kedamaian, dan kita akan menyatakan secara terbuka apa yang dinyatakan secara tertutup, baik kepada pihak Israel, pihak Palestin, mahupun pihak negara-negara Arab. Kami tidak boleh memaksa kedamaian. Tetapi secara senyap, ramai di kalangan umat Islam mengakui bahawa Israel tidak akan lenyap dengan begitu sahaja. Malah, ramai juga di kalangan rakyat Israel sendiri yang mengakui tentang perlunya mewujudkan negara Palestin. Oleh itu, sudah sampai masanya untuk kita bertindak atas apa yang setiap orang tahu sebagai kenyataan. Sudah terlalu banyak air mata yang mengalir. Sudah terlalu banyak pertumpahan darah.

Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk berusaha merealisasikan suatu hari nanti apabila para ibu daripada kedua-dua masyarakat Israel dan Palestin dapat melihat anak-anak mereka membesar tanpa perasaan takut; apabila Tanah Suci bagi ketiga-tiga agama utama ini menjadi tempat yang aman damai sebagaimana yang dikehendaki oleh ALLAH; apabila Baitulmaqdis menjadi tempat tinggal yang selamat dan berkekalan bagi orang Yahudi, Kristian dan umat Islam, iaitu suatu tempat di mana keturunan Nabi Ibrahim dapat bergaul secara aman seperti yang diceritakan dalam riwayat Isra’ …seperti yang diceritakan dalam riwayat Isra’ di mana Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s., dan Nabi Muhammad s.a.w. telah sama-sama menjalankan ibadah solat.


Punca ketegangan yang ketiga adalah kepentingan bersama terhadap hak dan tanggungjawab negara-negara berkenaan senjata nuklear.

Isu ini merupakan punca ketegangan antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran. Selama beberapa tahun, Iran telah mempamerkan pendirian menentang negara saya, dan memang benar wujudnya sejarah hubungan yang agak bergelora antara kedua-dua negara. Semasa Perang Dingin, Amerika Syarikat telah memainkan peranan dalam penyingkiran sebuah kerajaan Iran yang dipilih secara demokrasi.

Sejak Revolusi Islam, Iran telah memainkan peranan dalam pengambilan tawanan-tawanan tebusan dan tindakan ganas terhadap tentera dan orang awam A.S. Sejarah ini diketahui umum. Daripada terperangkap dalam sejarah silam, saya telah menyatakan kepada para pemimpin dan rakyat Iran bahawa negara saya bersedia untuk membuka lembaran baru. Persoalannya sekarang adalah bukan apa yang dibantah oleh Iran, tetapi jenis masa depan apa yang ingin dibina oleh Iran.

Saya sedar memang sukar untuk mengatasi perasaan curiga yang sudah berlanjutan berdekad-dekad lamanya tetapi kita tetap akan mara dengan tabah, cekal dan penuh azam. Ada pelbagai isu yang perlu dibincangkan oleh kedua-dua negara dan kami bersedia meneruskan usaha tanpa sebarang pra-syarat dengan berdasarkan sifat saling hormat-menghormati. Namun, setiap pihak sudahpun sedia maklum bahawa berkenaan senjata nukler pula, kami telah sampai ke tahap penentu. Ini bukan sekadar kepentingan Amerika sahaja. Isu ini adalah berkaitan persaingan penggunaan senjata nuklear di Timur Tengah yang boleh membawa kepada haluan yang amat berbahaya di rantau ini dan juga di dunia.

Saya faham ada yang membantah dan mengatakan mengapa harus sesetengah negara dibenarkan memiliki senjata nuklear padahal yang lain tidak. Tiada satu negara pun yang patut menentukan negara mana harus dilengkapi dengan senjata nukler. Sebab itulah saya menegaskan sekali lagi komitmen Amerika untuk berusaha ke arah sebuah dunia di mana tiada negara akan menyimpan senjata nukler. Mana-mana negara—termasuk Iran—berhak mendapatkan tenaga nukler bukan senjata jika ia mematuhi tanggungjawab-tanggungjawab bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nukler. Komitmen itu membentuk asas perjanjian tersebut dan mesti dipatuhi oleh setiap pihak yang mematuhinya. Saya menaruh harapan bahawa setiap negara di rantau ini akan berkongsi matlamat ini.


Isu keempat yang akan saya utarakan ialah demokrasi.

Saya sedar wujudnya kontroversi tentang isu mempromosikan demokrasi pada beberapa tahun kebelakangan ini dan sebahagian besar daripada kontroversi ini berkait rapat dengan peperangan di Iraq. Dengan jelas saya ingin menyatakan di sini bahawa: Tiada mana-mana sistem kerajaan yang boleh atau harus dipaksa ke atas sebarang negara oleh mana-mana pihak sekalipun.

Namun demikian, ini tidak mengurangkan komitmen saya terhadap kerajaan-kerajaan yang mencerminkan kehendak rakyat. Setiap negara menghidupkan prinsip ini dengan caranya tersendiri, berasaskan tradisi rakyat masing-masing. Amerika tidak mengandaikan apa yang terbaik bagi semua orang, seperti mana kami juga tidak dapat membuat andaian untuk mengetahui keputusan pilihanraya yang aman. Namun, saya kuat dalam pendirian saya bahawa setiap orang mempunyai keinginan tertentu: Kebebasan untuk bersuara dan memperkatakan tentang bagaimana mereka ditadbir; yakin terhadap kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan secara saksama; kerajaan yang telus dan tidak mencuri daripada rakyat; kebebasan untuk memilih cara hidup. Ini bukan idea Amerika semata-mata; ini merupakan hak-hak asasi manusia. Sebab itu kami akan tetap menyokong prinsip-prinsip tersebut di mana jua. Sememangnya tiada satu-satu jalan yang lurus bagi merealisasikan janji ini. Tetapi apa yang jelas ialah: Kerajaan yang melindungi hak-hak ini adalah lebih stabil, berjaya dan selamat. Menyekat idea-idea tidak akan berjaya melenyapkannya.

Amerika menghormati hak setiap bersuara yang dilakukan secara aman dan mematuhi undang-undang di seluruh pelusuk dunia, mahupun kita mungkin tidak setuju dengan pendapat tersebut. Kami juga menyambut baik setiap kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan menganjurkan kedamaian—asalkan pentadbiran mereka mentadbir rakyat mereka secara adil. Perkara yang terakhir adalah penting kerana ada sesetengah pihak yang menyokong demokrasi hanya bila mereka sudah tidak berkuasa lagi. Semasa mereka berkuasa, mereka kerap mengenakan sekatan terhadap hak-hak orang lain. Oleh itu, tidak kira di mana jua pun, kerajaan rakyat dan oleh rakyat menetapkan suatu piawai bagi semua yang memegang kuasa: Kita mesti mengekalkan kuasa kita melalui kesepakatan dan bukan paksaan; kita mesti menghormati hak minoriti dan mendukung semangat toleransi dan kompromi; kita mesti meletakkan kepentingan rakyat dan perihal politik yang sah mengatasi parti. Tanpa asas-asas ini, pilihanraya sahaja tidak mencukupi untuk membina suatu demokrasi yang sebenar-benarnya.


Isu kelima yang kita perlu tangani bersama ialah kebebasan beragama.

Islam mempunyai tradisi toleransi yang membanggakan. Kita dapat melihatnya dalam sejarah Andalusia dan Cordoba semasa di Zaman Pasitan (Inquisition). Saya mengalaminya sendiri semasa membesar di Indonesia, di mana para penganut Kristian bebas menjalankan tuntutan agama mereka di sebuah negara yang majoritinya beragama Islam. Inilah semangat yang kita perlukan pada hari ini. Rakyat di setiap negara harus bebas untuk memilih dan mengamalkan agama berasaskan kepercayaan di minda, di hati dan sanubari masing-masing. Toleransi sebegini amat penting untuk perkembangan agama. Namun, ia selalu diancam dengan pelbagai cara. Di kalangan sesetengah orang Islam pula terdapat suatu kecenderungan untuk mengukur kepercayaan diri menerusi penolakan kepercayaan orang lain.

Kekayaan yang wujud dalam kepelbagaian agama harus ditegakkan—sama ada bagi penganut Maronit di Lebanon ataupun penganut Koptik di Mesir. Jika kita ingin berterus terang, jurang perbezaan antara golongan-golongan umat Islam juga perlu dirapatkan kerana persengketaan antara pihak Sunni dan Shiah telah membawa kepada kemelut yang tragik, terutamanya di Iraq.

Kebebasan beragama adalah pokok kepada kemampuan masyarakat untuk hidup bersama. Kita harus sentiasa meneliti cara-cara kita melindunginya. Misalnya di Ameria Syarikat, peraturan-peraturan yang dikenakan terhadap amal ibadah telah menyusahkan orang Islam untuk memenuhi tuntutan agama mereka. Oleh itu, itu kami komited untuk bekerjasama dengan masyarakat Islam Amerika untuk memastikan mereka dapat menunaikan zakat. Begitu juga, amat penting bagi negara-negara Barat supaya tidak menyekat dengan sewenang-wenangnya kebebasan umat Islam daripada mengamalkan tuntutan agama mereka—misalnya, jenis pemakaian yang harus dipakai oleh kaum wanita Islam. Kita tidak boleh cuba melindungi rasa permusuhan kita terhadap mana-mana agama di sebalik liberalisme palsu.

Sebenarnya, kepercayaan harus merapatkan kita. Itulah sebabnya kita sedang melaksanakan projek-projek perkhidmatan di Amerika untuk merapatkan penganut-penganut Kristian, Islam, dan Yahudi. Sebab itulah kita mengalu-alukan usaha Raja Abdullah dari Arab Saudi dalam mengadakan dialog antara agama serta kepemimpinan negara Turki dalam Pakatan Tamadun-tamadun. Di seluruh dunia, kita boleh membentuk perkhidmatan antara agama melalui dialog yang dianjurkan. Oleh itu, usaha merapatkan jurang perbezaan antara masyarakat-masyarakat yang berbeza akan membawa kepada tindakan—sama ada dalam membanteras penyakit malaria di Afrika, ataupun penyediaan bantuan akibat bencana alam.


Isu keenam—isu keenam yang ingin saya bincangkan ialah berkenaan hak wanita.

Saya tahu dan anda dapat melihatnya sendiri daripada para hadirin yang turut serta pada hari ini bahawa wujud perbahasan yang sihat tentang isu ini. Saya menolak pandangan sesetengah pihak di Barat bahawa seseorang wanita yang memilih untuk menutup rambutnya adalah rendah tarafnya. Sebaliknya, saya berpendapat bahawa seseorang wanita yang tidak diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan adalah wanita yang telah disekat hak kesaksamaan. Bukan secara kebetulan bahawa negara-negara di mana kaum wanitanya berpendidikan tinggi adalah negara-negara yang cenderung dan lebih makmur.

Biar saya katakan dengan jelas di sini bahawa: Isu hak persamaan wanita bukan hanya merupakan isu Islam sahaja. Di negara-negara Turki, Pakistan, Bangladesh, dan Indonesia, kita telah melihat bagaimana negara-negara yang majoritinya penganut Islam telah melantik wanita sebagai pemimpin. Pada waktu yang sama, perjuangan hak persamaan wanita masih berterusan dalam pelbagai aspek kehidupan di Amerika, dan di negara-negara lain di seluruh dunia. Saya percaya bahawa anak-anak perempuan kita juga boleh menyumbang kepada masyarakat seperti mana anak-anak lelaki kita.

Kemakmuran kita bersama akan meningkat dengan membenarkan setiap insan—baik lelaki mahupun perempuan—mencapai potensi sepenuh mereka. Saya tidak berpendapat bahawa wanita harus membuat pilihan yang sama dengan lelaki untuk mencapai persamaan, dan saya memandang tinggi wanita-wanita yang memilih untuk menjalani kehidupan mereka mengikut tradisional masing-masin. Namun, ia mesti dibuat atas pilihan sendiri. Sebab itulah Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan mana-mana negara yang majoritinya penganut agama Islam untuk meningkatkan kemahiran membaca dan menulis di kalangan anak-anak perempuan, dan membuka peluang pekerjaan kepada gadis-gadis muda menerusi pinjaman mikro supaya impian mereka tercapai.


Akhir sekali, saya ingin berbincang tentang pembangunan ekonomi dan peluangnya.

Saya tahu terdapat banyak percanggahan dalam menghadapi isu-isu globalisasi. Internet dan televisyen sangat berguna dalam membawa ilmu pengetahuan dan informasi, tetapi saluran tersebut juga memaparkan adegan-adegan seks dan keganasan yang tidak wajar di tonton di rumah. Perdagangan boleh membawa kekayaan baru dan bermacam-macam peluang-peluang berniaga, tetapi ia juga boleh membawa kekacauan dan perubahan kepada komuniti-komuniti.

Di setiap negara - temasuk Amerika - perubahan ini boleh membawa kesan yang menakutkan. Takut kerana permodenan boleh membuatkan kita hilang kuasa terhadap penguasaan ekonomi, politik, dan lebih penting identiti kita - apa yang kita patut hargai tentang komuniti kita, keluarga kita, tradisi kita, dan kepercayaan kita. Saya juga tahu bahawa pembangunan manusia tidak boleh disekat. Tidak perlu ada percanggahan antara pembangunan dan tradisi. Negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan membangunkan ekonomi negara mereka dengan hebat dan dalam masa yang sama menjaga adat resam mereka. Ini juga sama benarnya dengan pembangunan yang hebat di dalam negara dengan majoriti Muslim dari Kuala Lumpur ke Dubai.

Di zaman dahulu dan sekarang, komuniti Islam mampu berada di barisan hadapan dalam inovasi dan pendidikan. Ini penting kerana strategi pembangunan bukan sahaja bersandar kepada dasarnya sahaja, ianya juga tidak boleh bertahan sementara anak-anak muda tiada pekerjaan. Banyak negara-negara Teluk telah menerima kekayaan yang besar kerana minyak, dan sesetengah mereka mula menumpukan kepada pembangunan menyeluruh. Tetapi kita semua mestilah mengaku bahawa pelajaran dan inovasi akan menjadi sumber matawang abad ke 21 dan dibanyakkan komuniti Islam, akan ada pelaburan yang tidak terlabur oleh mereka. Saya sendiri menekankan pelaburan seperti berlaku di negara saya. Dan Amerika pada dahulu kalanya ada tertumpu kepada hasil minyak dan gas di bahagian dunia ini, namun kami sekarang ingin mencari hubungan yang lebih luas lagi.

Mengenai pelajaran, kami akan memperluaskan program pertukaran, dan menambahkan biasiswa-biasiswa, seperti yang telah membawa bapa saya ke Amerika, Pada masa yang sama, kami mahu melihat lebih ramai rakyat Amerika belajar di negara-negara Islam. Dan kami akan mencari tempat untuk pelajar-pelajar Islam yang berpotensi untuk membuat internship di Amerika; menanam modal dalam pelajaran secara "on-line" untuk guru-guru dan kanak-kanak di seluruh dunia;dan melahirkan suatu jaringan baru secara "online", supaya seorang anak muda dari Kansas boleh berkomunikasi dengan segera dengan seorang anak muda di Kaherah. Mengenai pembangunan ekonomi, kami akan mencipta suatu badan sukarelawan perniagaan dengan kerjasama di negara majoritinya Islam. Dan saya akan menjadi tuan rumah Persidangan Kemuncak Hal-Ehwal Keusahawanan tahun ini untuk mengenalpasti bagaimana kita boleh mendalami ikatan antara pemimpin-pemimpin perniagaan, yayasan-yayasan dan usahawan-usahawan sosial di Amerika Syarikat dan komuniti Islam di seluruh dunia.

Mengenai sains dan teknologi, kami akan melancarkan suatu dana baru untuk membantu pembangunan teknologi di negara majoritinya Islam, dan membantu memindahkan idea-idea kepada pasaran supaya dapat melahirkan pekerjaan. Kami akan membuka pusat-pusat saintifik yang cemerlang di Afrika, Timur Tengah dan Asia Tenggara dan melantik Duta-Duta Sains yang baru untuk bekerjasama dalam program - program untuk memajukan punca baru tenaga, melahirkan pekerjaan, mendigitalkan rekod-rekod, mengeluarkan air yang bersih, dan menanam tanaman baru.

Dan hari ini saya ingin mengumumkan suatu dayausaha global yang baru bersama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk memansuhkan penyakit polio. Dan kami juga akan memperluaskan kerjasama dengan komuniti Islam bagi mempromosikan kesihatan kanak-kanak dan ibu-ibu. Semua ini mestilah dijalankan secara kerjasama. Rakyat Amerika bersedia berganding bahu bersama rakyat dan kerajaan; komuniti organisasi-organisasi, ketua-ketua agama, dan perniagaan dalam komuniti Islam di seluruh dunia untuk membantu rakyat kita menjalani kehidupan yang lebih baik.

Isu-isu yang saya nyatakan tadi bukan mudah untuk dikecapi. Tetapi kami mempunyai tanggung-jawab untuk bersama-sama bagi pihak masyarakat dunia lain supaya - pihak ekstremis tidak lagi mengugut rakyat kami, dan memaksa askar-askar Amerika untuk kembali; mewujudkan negara-negara di mana pihak Israel dan Palestin sama-sama berasa selamat di negara masing-masing, dan kuasa nuklar digunakan untuk tujuan keamanan dan mewujudkan satu dunia di mana kerajaannya berkhidmat untuk rakyat, dan hak-hak umat manusia jadian Tuhan dihormati. Kesemua itu adalah kepentingan bersama. Itulah dunia yang kita cari, tetapi kita akan berjaya mendapatkannya secara bersama.

Saya tahu terdapat ramai - orang Islam dan bukan Islam - yang menyoal samada kita mampu mengorak pembaharuan ini. Ada yang mahu menyemarakkan api untuk memecah-belahkan keadaan, dan menyekat perkembangan. Ada yang menyatakan usaha ini sia-sia belaka - dan kita telah ditakdirkan untuk tidak bersefaham, dan tamadun manusia sudah ditakdirkan bertelingkah. Ada ramai juga yang skeptikal - bahawa pembaharuan yang sebenar boleh berlaku. Terlalu banyak yang ditakuti, terlalu banyak keraguan yang telah bertambah selama beberapa tahun. Tetapi sekiranya kita terikat dengan masa lepas, kita tidak akan boleh maju kehadapan.

Saya juga mahu berkata ini kepada generasi muda setiap agama, di mana jua negara – anda, lebih dari yang lain, mempunyai kebolehan untuk memberi wawasan baru pada dunia ini, dan membina semula dunia ini. Kita semua di dunia ini hanyalah sementara. Persoalannya ialah samada kita menggunakan masa untuk memberi tumpuan kepada apa yang menjauhkan kita, atau kita sama-sama komited untuk suatu usaha - iaitu usaha berterusan - mencari persefahaman, tumpuan untuk masa depan yang kita cari untuk anak-anak kita, dan untuk menghormati maruah umat manusia.

Adalah mudah untuk memulakan peperangan daripada menamatkannya. Adalah lebih mudah untuk menuduh pihak lain daripada menunding diri sendiri; melihat apa yang berbeza tentang seseorang daripada mencari sesuatu yang boleh kita berkongsi. Tetapi kita mesti memilih jalan yang baik, bukan sahaja jalan yang mudah.

Di sinilah terletaknya garis panduan di setiap agama - iaitu melakukan sesuatu kepada orang lain sebagaimana kita mahu diperlakukan. Kebenaran ini merangkumi negara-negara dan manusia sejagat - kepercayaan yang bukan baru, yang bukan hitam atau putih ataupun coklat; yang bukan Kristian atau Islam atau Yahudi. Ianya suatu kepercayaan yang menjadi nadi kepada tamadun manusia dan ianya masih hidup di dalam hati berbilion manusia di seluruh dunia. Ianya adalah kepercayaan pada orang lain, dan itulah sebabnya saya di sini hari ini.

Wednesday, August 12, 2009

1 Jasad



Semalam, saya berpeluang menghadiri satu perbincangan tentang insiden rusuhan etnik Uighur dan Han di Wilayah Autonomi Xianjiang, China.

Sebelum ini, saya hanya mengikuti perkembangan masalah minoriti Muslim di China melalui akhbar-akhbar utama serta beberapa blog.

Menurut penjelasan Dr. Irfan, majoriti etnik Uighur merupakan masyarakat Islam yang berketurunan Turki.

Etnik Uighur yang merupakan penduduk asal Xinjiang pernah menikmati kebebasan dalam pentadbiran dan pemerintahan China. Tetapi sejak 20 tahun lalu dasar-dasar China telah melahirkan ketidakpuasan kepada mereka terutamanya berkaitan dengan penempatan semula jutaan etnik Han Cina ke wilayah mereka.

Antara punca terjadinya ketegangan etnik di China adalah kerana layanan tidak sama rata dan lebih memihak kepada etnik Han dalam segala hal terutama melibatkan politik dan ekonomi.

Malah polisi kerajaan yang mahu melupuskan penggunaan bahasa minoriti atas alasan perpaduan menyebabkan etnik Uighur berasa dipinggirkan, baik dari dalam sistem pendidikan sehinggalah kepada pasaran kerja.

Beberapa isu tentang Rabiya Kadeer, tindakan kerajaan China serta sumbangan Muslim yang lain juga turut disebut.

Saya tersentuh apabila mengetahui keadaan sebenar saudara Muslim yang hidup di sana. Sebelum ini, saya tidak pernah mendengar tentang khabar berita mengenai mereka. Kemudahan teknologi hari ini banyak membantu.

Sebagai seorang Muslim, saya terasa sesuatu apabila ia melibatkan kezaliman terhadap orang-orang Islam di seluruh negara.

Biarpun berlainan negara dan bangsa.

Asalkan mereka adalah seseorang yang beragama Islam...

Saya turut merasai kesakitannya.





"Perumpamaan kasih sayang seorang mukmin umpama tubuh, jika salah satu anggota tubuh terasa sakit, maka tubuh yang lainnya turut berasa sakit."
(riwayat Bukhari dan Muslim).

Monday, August 10, 2009

Pembaca Yang Berhajatkan Penulisan


“Kebelakangan ni, semakin ramai rakan-rakan yang berhenti mengemaskinikan blog mereka.” Luah saya kepada seorang teman.

Bimbang juga melihat blog mereka yang sudah terlalu lama terbiar tanpa dikemaskini, tidak seperti di awal waktu pembinaannya dahulu.

Ada juga yang mengambil keputusan dengan memansuhkan terus blog peribadi mereka. Namun, saya tidak menolak kemungkinan pemansuhan tersebut dilakukan dengan bertujuan untuk menjaga hal-hal tertentu.

“Sibuk agaknya.” Jawab teman saya.

“Entahlah, mungkin lepas balik ke rumah nanti, Kak Zatil pun akan kurang update blog. Mungkin berbulan-bulan lamanya. Dekat rumah tak ada connection, tak boleh online.” Saya mengagak.

Mungkin juga cabaran untuk saya mengemaskini blog, timbul apabila berada di alam membina keluarga ataupun kerjaya nanti. Saya masih belum berada di fasa kehidupan yang sama dengan mereka. Jadi, tidak pasti pula jika saya pun bakal mengikut jejak langkah yang sama.

“Kalau kes yang macam itu, tidak mengapa. Tapi ini kalau memang tak mahu menulis langsung.” Dia membalas.

Kami mula menetapkan perancangan, “Kita akan terus update blog kita.”

“Biarpun sekadar sekeping gambar.” Sambung saya.

Saya bukanlah seorang yang gemar menulis mahupun membaca pada permulaannya. Malah, saya mengambil masa yang agak lama untuk berfikir tentang keperluan membina sebuah blog peribadi. Pada waktu itu, banyak perkara yang saya pertimbangkan. Antaranya, bahan penulisan, bentuk pengisian yang sesuai, teknik penulisan, sumber yang banyak dan boleh dipercayai serta peruntukan masa untuk menulis dan mengkaji.

Akhirnya, blog ini tercipta dengan satu matlamat, iaitu untuk PERKONGSIAN (bukannya untuk dikemaskini setiap waktu).


Halangan Dalam Mengemaskini Blog

Sebenarnya, saya sendiri merasa kurang yakin dengan keupayaan diri dalam menjamin kelangsungan blog ini. Pelbagai bisikan pesimis yang terdetik di hati. Namun, keinginan yang kuat telah memadamkan bisikan-bisikan tersebut.

Selain daripada faktor risau akan kekeringan idea untuk menulis, saya juga bimbangkan penerimaan pembaca terhadap artikel-artikel saya. Mana mungkin pembaca akan tertarik dengan penulisan yang sebegini biasa sedangkan terdapat pelbagai himpunan penulis yang lebih berpengalaman di dunia maya.

Apatah lagi dengan kehadiran pelbagai aplikasi baru yang semakin menjadi pilihan ramai seumpama Facebook, Flixster dan MySpace. Pastinya ia bakal menjadi pesaing terbesar dalam menarik perhatian pengguna-pengguna internet. Tidak mustahil semakin lama, semakin kurang pengguna yang mengunjungi blog.

Namun, saya semakin berminat untuk menulis di blog setelah terjumpa dengan hasil penulisan saya di beberapa buah blog yang tidak saya kenali siapa pemiliknya. Mereka merupakan silent readers yang pernah menziarahi blog saya. Tanpa menyapa di ruangan chat box mahupun memberikan sebarang respon di ruangan komentar, mereka mempamerkan artikel-artikel saya dengan menyatakan sumbernya dan saya amat menghargai usaha tersebut.


Tulislah, Pasti Ada Yang Membacanya

Percayalah, akan ada seseorang yang membaca penulisan kita. Meskipun bukan sekarang, namun pada suatu ketika nanti, insyaAllah.

Saya sendiri sentiasa memperuntukkan masa untuk mengunjungi blog milik rakan-rakan yang dikenali. Bahkan, saya juga turut tidak melepaskan peluang untuk mengambil faedah dari blog-blog mereka yang tidak kenali.

Blog rakan-rakan terdekat dikunjungi bagi mengetahui perkembangan terkini tentang diri mereka. Manakala, blog yang lain dijadikan sebagai tempat untuk mencari ilham buat diri sendiri.

Artikel di blog-blog tersebut, ada yang sudahpun berusia di antara dua hingga sepuluh tahun lamanya. Namun, isi kandungannya sangat menarik. Walaupun sudah bertahun-tahun dihasilkan, maklumat tersebut masih lagi relevan untuk digunakan kembali.


Perkara Utama Dalam Menulis

Sebahagian daripada pengunjung blog saya merupakan mereka yang mencari subjek-subjek tertentu melalui enjin carian Yahoo dan Google. Saya menjejaki mereka dengan menggunakan kemudahan software StatCounter untuk memerhatikan taburan pengunjung. Dalam sehari, terdapat sekurang-kurangnya 20 orang pengunjung.

Namun, saya tidak meletakkan kehadiran pengunjung sebagai satu perkara utama dalam meneruskan penulisan di blog.

Bagi saya, menulis merupakan satu bonus kerana ia mampu mendorong saya membaca dan mengetahui perkara-perkara yang dianggap baru. Melalui pembacaan, saya telah menambah bonus ilmu dalam setiap artikel yang ditulis. Aktiviti menulis juga dapat memperkemaskan lagi kualiti penulisan.

Apa yang lebih penting, menulislah kerana Allah s.w.t.

Setelah mewujudkan blog sendiri, pelbagai pengalaman bermakna yang dilalui sepanjang proses memahirkan diri dengan pembacaan dan penulisan. Tidak kurang juga, pengetahuan dan percambahan idea-idea baru yang diperolehi hasil daripada perkongsian dengan bermacam-macam jenis penulisan blog.

Terasa bermanfaatnya memiliki blog.

Tuesday, August 04, 2009

Demonstrasi Anti-ISA: Bukan Agenda Sia-Sia



"Adik, tak payahlah nak berdemonstrasi ni. USELESS... Negara kita dah aman dah." Saya menoleh ke arah seorang lelaki yang berdiri di kanan jalan.

Ingin sahaja saya menjawab, "Kalau tidak berbuat apa-apa, itu lagilah useless."

Ketika saya membuat keputusan untuk menyertai demonstrasi mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 (Sabtu) yang lepas, tidak ada apa-apa kepentingan peribadi yang terlintas di dalam fikiran melainkan niat dan usaha untuk menolong mereka yang teraniaya.

Mungkin kerana tahap sensitiviti kita masih kurang terhadap isu ini disebabkan kita tidak pernah berada di tempat mereka. Malah, tidak pernah mengambil peduli tentang nasib mereka yang pernah ditahan tanpa dibicarakan terlebih dahulu. Maka, kita tidak menganggap akta tersebut sebagai salah satu daripada bentuk kezaliman.

Atau mungkin juga kerana kita tidak pernah terbaca mana-mana artikel atau mendengar ceramah agama yang menyebut tentang perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA) serta hukum-hukum yang berkaitan dengan demonstrasi.

Bukan sahaja ISA bercanggah dengan ajaran agama, penahanan tanpa bicara ini bercanggah juga dengan fikrah dan hak asasi manusia.

Oleh kerana tidak ada kuasa yang boleh digunakan untuk menyelesaikan isu ini melainkan dengan kuasa rakyat. Maka, demonstrasi dilancarkan bagi mendesak pihak yang berwajib memansuhkan atau meminda akta tersebut.



Catatan Demonstrasi Di Sogo

Bermula jam 1.30 petang, saya bersama dua orang rakan mula bergerak ke surau kompleks membeli-belah Sogo bagi menunaikan solat zohor. Pada waktu ini, pihak berkuasa sudah mula mengarahkan orang ramai supaya meninggalkan tempat tersebut melalui pintu utama. Keadaan mula kelam-kabut. Kami menyusup masuk di celahan orang awam.

Selesai menunaikan solat, kami mengenakan topeng muka dan bergegas keluar melalui pintu belakang kerana pintu utama sudah pun ditutup. Kami berlari ke arah tempat kejadian (jalan perarakan). Demonstrator telah memenuhi segenap ruang. Kami menyertai mereka sambil memegang kemas tangan antara satu sama lain. Terdengar suara yang menyuruh para demonstrator merapatkan barisan supaya tidak terpecah. Di hadapan, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sedang menanti.

Baru beberapa langkah memulakan demonstrasi secara aman, kedengaran bunyi ketukan kayu pemukul pihak FRU dari arah depan. Saya sudah tercium bau gas pemedih mata. Dalam hati hanya menyebut-nyebut nama Allah untuk menguatkan semangat. Kami bertiga berpaling ke belakang dan mula mengikut orang ramai berlari ke bahagian tepi jalan. Saya dan seorang rakan beserta beberapa orang demonstrator lagi masuk ke sebuah kedai kain untuk menyelamatkan diri. Manakala seorang rakan lagi sudah terpisah, tidak tahu ke mana. Pemilik kedai terus menutup kedai terbabit. Hampir 10 minit kami berada di situ.

Melihat keadaan yang agak reda sedikit, kami keluar menuju ke kompleks Pertama. Sudah ramai yang berkumpul di hadapan kompleks. Beberapa pihak mula berucap. Kelihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub di kompleks Pertama, depan Sogo.

Kemudian kami beramai-ramai ke Jalan Raja Laut. Sekali lagi demonstrator mula menyusun barisan untuk melancarkan perarakan bermula dari sini. Tiba-tiba saya melihat orang-orang yang berada di hadapan berpaling melarikan diri. Saya juga mula memalingkan diri dan berjalan perlahan-lahan. Terdengar suara orang ramai menjerit, "Jangan lari, jangan lari". Saya memberanikan diri untuk menoleh ke belakang bagi memastikan apa yang sedang berlaku. Berderau darah sebaik sahaja terpandangkan pancuran tinggi water canon serta air yang mengandungi asid dari trak FRU. Gas pemedih mata sudahpun memenuhi ruang.

Saya berlari ke tepi jalan mencari perlindungan. Saya terus menundukkan badan bagi mengelakkan air asid tersebut mengenai bahagian muka. Ada yang berlindung di sebalik kain banner. Ada juga yang mengambil risiko dengan terjun ke tebing sungai.

Terasa pedih bahagian belakang badan dan anggota yang terkena air tersebut. Ramai yang sudah terbatuk-batuk. Sebahagian besar protestant berlari ke Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut. Saya dan rakan pula berlari balik ke penjuru Sogo. Kepedihan asid dineutralkan dengan garam. Sekejap sahaja, pening kepala sudah hilang. Saya membasuh muka dan membasahkan saputangan dengan air mineral. Topeng muka kembali dipakai.

Pada waktu ini, kumpulan-kumpulan demonstrasi sudahpun berpecah-pecah namun tidak sekali-kali mereka berundur. Masing-masing menyelamatkan diri dari ditangkap pihak polis sambil merancang untuk membentuk kumpulan. Beberapa rakan saya yang ditahan juga telah di bawa ke ibu pejabat polis. Alhamdulillah, mereka sudahpun dibebaskan selepas 'berehat-rehat' di ibu pejabat polis.

Selepas menyerahkan sebuah beg milik salah seorang protestor yang ditangkap kepada anggota unit Amal di Pejabat Agung PAS, saya dan rakan mengambil keputusan untuk pulang. Kelihatan 3 buah trak FRU serta beberapa orang pihak polis sedang mengepung bangunan tersebut.

Sebelum itu, stesen LRT Bandaraya dekat Sogo telah ditutup. Turut ditutup ialah stesen LRT Masjid Jamek dan Pasar Seni. Kami terpaksa berjalan kaki dari Jalan Raja Laut ke stesen Central Market memandangkan pemandu teksi enggan mengambil penumpang yang menyertai demonstrasi. Barangkali, bimbang dituduh sebagai bersubahat.


Saya Meyakini Jalan Ini

Saya memandang pengalaman berdemonstrasi pada kali ini sebagai sesuatu yang bermanfaat. Walaupun tidak mampu memberikan manfaat kepada ummah, namun InsyaAllah bermanfaat untuk diri sendiri.

Gagal menyerahkan memorandum kepada pihak Istana Negara tidak bermakna usaha ini turut menemui kegagalan. Saya PERCAYA kepada hikmah Allah Taala yang terselindung di sebaliknya.


Ingatlah janji Allah:

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) bahawa Dia (Allah) akan menjadikan mereka berkuasa memegang pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka (fasik)". (an-Nuur: 55)